Novel : Biar aku jadi penunggu 26

24 October 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Fat, kita mandi pastu solat dulu. Siap nanti baru kita kemas sama-sama.” Ajak Afeef seraya meletakkan semua barang dapur yang dibeli di atas meja makan.

Iffat yang masih tercegat di pintu masuk mendiamkan diri. Dia sebenarnya kagum dengan perhiasan rumah itu mahupun ianya tidak sebesar rumah keluarga mertuanya. Dari ke perabot hinggalah ke barang perhiasan seperti replika kereta kecil di atas almari tv. Semuanya berwarna putih dan hitam.

“Iffat Hamani” panggil Afeef perlahan rapat di telinga Iffat sehingga beg plastik yang dipegang wanita itu hampir terlepas dari tangan kerana terkejut.

“Hahaha.. tu la.. termenung lagi. Nasib baik aku tak buat apa-apa tadi.” Kata Afeef lagi dalam sisa tawanya.

Iffat hanya menjeling ke arah Afeef yang sudah ke keretanya semula untuk mengambil baki barang yang belum dibawa masuk. Iffat meletakkan semua barang di tangannya di atas meja seperti Afeef.

“Iffat, dengar tak apa aku cakap tadi?” tanya Afeef lagi apabila melihat Iffat leka pula melihat kawasan belakang rumah yang agak luas kerana rumah mereka merupakan rumah lot tepi.

“Ya..dengar..kau sembahyanglah dulu. Biar aku kemaskan sikit-sikit dulu. Lepas tu aku nak terus masak.” Balas Iffat yang masih berdiri di muka pintu dapur sambil melihat kawasan belakang rumah. Dalam kepalanya sudah merancang untuk menanam sayur-sayuran yang mudah dijaga sesuai dengan keluasan tanah yang ada. Dia sudah tersenyum lebar membayangkan kawasan belakang rumah yang dipenuhi sayur-sayuran.

“Haa..ni kenapa senyum-senyum ni?” tanya Afeef dengan selamba mendaratkan tangan kirinya di pinggang Iffat.

“Haa..yang kau pun kenapa senyum-senyum dengan tangan pun nak buat kerja?” balas Iffat semula dengan cepat menolak tangan Afeef di pinggangnya.

“Eleh..aku bukan buat apa pun..” jawab Afeef selamba mengekori Iffat masuk ke dapur semula.

“Ye la kau tak buat apa.. kau pegang-pegang aja kan..” sindir Iffat geram dengan tingkahlaku Afeef yang semakin berani itu. Lelaki itu sudah ketawa mendengar kata-kata Iffat.

“Dah lah. Kau pergilah mandi sembahyang dulu.” Suruh Iffat sambil tangannya mengeluarkan satu persatu barang dapur yang dibeli tadi.

“Ala..jomlah sekali Fat..” ajak Afeef dengan suara yang lembut memujuk.

“Erk.. jangan nak mengada-ngada boleh tak.. aku tak masak nanti..tahulah..” balas Iffat malas melayan perangai Afeef yang sengaja ingin bermanja dengannya. Entah apa kena dengan lelaki itu. Manja semcam aja. Kalau dulu, dialah yang paling anti dengan orang mengada-ngada ni.

“Alaa..yela..yela.. tapi kan Fat, lagi berkat kalau kita solat dan mandi berjemaah..” kata Afeef selamba seraya berlalu memanjat tangga. Dalam hatinya sudah tergelak jahat apabila melihat Iffat yang memandangnya macam nak ditelan hidup-hidup.

“Afeef!!!” Iffat terjerit kerana geram dengan kata-kata Afeef yang sengaja mengusiknya. Terdengar lelaki itu mentertawakannya dari atas rumah.

Hampir setengah jam, Afeef sudah turun semula ke dapur dengan wajah yang segar. Lelaki itu hanya mengenakan kain pelekat dan t-shirt putihnya. Jelas dilihat lelaki itu baru sahaja menunaikan solat asar dengan hujung rambut yang masih basah.

“Iffat, dah habis kemas ke?” tegur Afeef apabila melihat wanita itu terjingkit-jingkit meletak makanan tin di dalam kabinet yang lebih tinggi darinya.

“Hmm..belum.. tinggal yang kering ni aja. Barang basah semua dah letak dalam peti sejuk.” Jawab Iffat yang masih terjingkit-jingkit meletak satu-persatu makanan tin itu.

“Dah lah. Meh sini tin tu semua, biar aku masukkan. Kau pergilah mandi solat.” Balas Afeef sambil mengambil tin susu di tangan Iffat.

Bergetar hati Iffat apabila terbau wangian dari badan lelaki itu. Cepat-cepat dia berlalu apabila Afeef berdiri rapat di sisinya.

“Err..Fat..” panggil Afeef perlahan.

“Hmm..?” Iffat memberhentikan langkahnya di tepi tangga menoleh ke arah Afeef.

“Err..takda apalah..” balas Afeef sambil meletakkan tin-tin lain di dalam kabinet itu.

“Erk? Kau ada apa-apa nak cakap dengan aku ke?’” tanya Iffat lagi.

“Hehe..takda apalah..” Afeef sudah tersengeh melihat Iffat yang menjeling kepadanya. ‘Fat..aku tak suka kau pakai tudung depan aku!!!’ Nak sahaja ayat itu dijeritkan kepada Iffat apabila melihat wanita itu cukup selesa dengan tudung di kepala.

Iffat hanya menggelengkan kepala sebelum memanjat tangga terus naik ke bilik untuk membersihkan diri.

Iffat melangkah masuk ke bilik yang pintunya ternganga luas. Dia pasti, itu adalah bilik yang digunakan oleh Afeef tadi. Melangkah sahaja masuk ke dalam bilik itu, cepat sahaja dia menangkap bauan lavender yang memenuhi ruang itu. Pastinya itu adalah bilik utama berbanding dua lagi bilik yang dilihat pintunya masih tertutup rapat. Perhiasan didalamnya saling tidak tumpah seperi bilik Afeef di rumah mertuanya. Bezanya adalah warna tema yang digunakan. Bilik itu menggunakan warna hitam putih sama seperti di ruang tamu. Masih ada unsur putih di setiap sudut rumah dua tingkat itu. Dia tidak menyangka Afeef seperti mengetahui warna hitam kegemarannya. Dia melihat beg pakaiannya sudah di letakkan di tepi katil. Telekung, sejadah dan tuala juga sudah di letakkan di atas katil. Siapa lagi kalau bukan kerja Afeef. Iffat terus membuka tudung kepalanya dan melangkah ke bilik mandi untuk membersihkan diri.

Keluar dari bilik mandi, Iffat hanya mengenakan tuala sahaja memandangkan dia pasti Afeef tidak akan masuk ke bilik waktu itu sebab sibuk berkemas di dapur. Sedang asyik Iffat mengeringkan rambutnya dengan sehelai tuala kecil di hadapan cermin, tiba-tiba pintu terkuak dari luar. Hanya dia dan Afeef di dalam rumah itu, sudah pastinya Afeef yang melangkah masuk. Iffat yang terkejut terus membelakangkan Afeef yang turut sama terkejut apabila melihat Iffat yang hanya bertuala pendek.

“Afeef! Kenapa kau masuk aja ni tak bagi salam dulu!” marah Iffat dengan suara yang tertahan. Malu tak terhingga apabila Afeef melihat dia dalam berkeadaan begitu. Menyesal di hatinya apabila tidak memakai pakaian di dalam bilik mandi terus tadi. Pintu bilik pulak sengaja tidak dikunci.

“Ops sorry..my dear. Aku ingat kau mandi lagi…” balas Afeef selamba. Dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu betapa terkejutnya dia apabila melihat tubuh mulus itu di hadapannya. Terasa tidak teratur nafasnya melihat Iffat yang masih berdiri membelakangkannya. Beristighfar dia berkali-kali memohon agar hatinya tenang melawan debar yang luar biasa di dadanya. Afeef berlagak tenang dan menghampiri tempat Iffat berdiri. Terbau wangian dari tubuh itu sahaja sudah cukup membuai rasa debar di dadanya.

“Feef, apa kau buat..? Please..” kata Iffat lagi apabila merasakan Afeef semakin mengahampirinya.

“Aku mana ada buat apa-apa..” terdengar suara Afeef betul-betul di pangkal telinganya.

“Please Afeef…” pinta Iffat perlahan. Terasa ingin menangis apabila Afeef sudah berdiri rapat di sisinya. Wangian lelaki menusuk deria baunya.

“Apa..” balas Afeef pendek. Dia sengaja ingin menguji keberanian wanita itu untuk berhadapan dengannya. Dia sendiri sudah terasa lain macam apabila melihat Iffat begitu. Tapi akalnya masih boleh mengawal rasa debar di dadanya agar tidak melakukan perkara yang bukan-bukan terhadap Iffat walaupun dia berhak sepenuhnya ke atas diri wanita itu. Tujuan asalnya masuk ke bilik itu untuk mengambil telefon bimbitnya di meja mekap. Tapi, tidak pula dia menyangka yang Iffat baru lepas mandi. ‘Rezeki kaulah Afeef’ hatinya berbisik nakal.

Iffat menjarakkan dirinya dan bersandar di tepi almari apabila merasakan nafas hangat Afeef menampar batang lehernya. Iffat hanya menunduk kepala memandang hujung kakinya sambil kedua tangannya menutup dada yang terdedah. Tuala kecil tadi telah di sangkutkan ke bahu menutupi kedua bahunya.

“Iffat..kenapa takut sangat ni..” kata Afeef lembut masih di dalam nada yang sama.

Iffat melihat hujung kakinya sudah bertemu dengan hujung kaki Afeef yang berdiri berdiri betul-betul di hadapannya. Tangan lelaki itu juga sudah disandarkan ke almari kiri dan kanan menyebabkan Iffat tidak boleh bergerak ke mana-mana kerana terhalang dengan kedua tangan Afeef. Dia terasa ingin menangis saat sebelah tangan Afeef menyentuh dagunya agar menentang wajahnya. Iffat dapat rasakan wajahnya kebas menahan malu apabila Afeef menatapnya.

“Iffat Hamani…” tutur Afeef perlahan seperti berbisik sambil merapatkan wajahnya ke wajah Iffat yang mula pucat tak berdarah itu. Dalam hatinya pula sudah tergelak besar melihat wajah Iffat yang pucat-lesi itu. Dia perasan juga mata Iffat mula berkaca seperti ingin menangis. Sampai macam itu sekali takutnya Iffat apabila dia menghampiri.

“Aku nak….” bisik Afeef lagi dengan nada paling menggoda. Iffat sudah memejamkan matanya kerana tidak sanggup untuk melawan pandang wajah Afeef yang terlalu hampir.

“Aku nak…ambik ni..” kata Afeef sambil menayangkan iPhonenya di hadapan wajah Iffat. Serta-merta Iffat membuka matanya dan menolak kuat Afeef sehingga terdorong sedikit badan lelaki itu ke belakang.

Iffat lekas mencapai bantal di atas katil lalu dibaling kepada Afeef apabila melihat lelaki itu sudah mengekek ketawa. Habis semua bantal yang berada di atas katil itu di lempar kepada Afeef.

“Okey..okey..aku keluar..” kata Afeef dalam tawanya sambil melangkah keluar bilik.

“Muhammad Afeef Adwan bin Ramlee jahat….!!!” jerit Iffat sekuat hati bergema di dalam bilik itu. Dia masih lagi mendengar suara Afeef yang mentertawakannya di luar bilik.

“Fat..lain kali nak mandi, ajak aku sekali.” Jerit Afeef pula dari luar bilik.

Iffat sudah masuk semula ke dalam bilik mandi untuk memakai baju walaupun dia telah mengunci pintu bilik itu sebaik sahaja Afeef keluar.

‘Ciss..nanti kau Feef..balik-balik, aku jugak yang terkena..’ omel Iffat kepada dirinya sendiri. Bukan dia berdendam dengan Afeef, tapi geram dengan perangai Afeef yang tidak henti-henti untuk mengenakannya sahaja. Sudahnya, sampai ke isya’ Iffat baru Iffat keluar dari bilik. Dia mogok tidak mahu masak makan malam seperti yang dijanjikan. Afeef pula langsung tidak memanggilnya.

Setelah memastikan tudung kepalanya elok terletak, Iffat yang ringkas dengan seluar panjang hitam dan t-shirt putih lengan panjangnya, keluar dari bilik dan melangkah terus ke dapur. Perutnya terasa lapar apabila dari siang tadi perutnya masih belum diisi. Hanya bihun goreng sahaja yang dimakan waktu bersarapan di rumahnya tadi. Dia tercari-cari kelibat Afeef, tapi tidak kelihatan. Di ruang tamu juga tiada ketika dia melewati ruang itu tadi. Entah di mana lelaki itu bersolat maghrib tadi.

Iffat mengeluarkan bekas mentega dan jem strawberi yang dibeli tadi dari dalam kabinet. Nasib baik juga dia ada membeli sebuku roti untuk dibuat sarapan pagi esok. Iffat menuang segelas jus oren dari dalam peti sejuk. Ligat tangannya menyapu mentega dan jem pada roti. Baru sahaja ingin menyuap masuk roti yang siap bersapu mentega dan jem ke dalam mulut, dia terdengar seperti ada orang membuka kunci pintu rumahnya dari luar. Dilihat Afeef yang siap bersongkok membawa beberapa bungkus plastik makanan lalu diletakkan di atas meja makan. Terasa tenang hatinya apabila melihat Afeef yang kemas bersongkok walaupun dengan hanya berkain pelekat. Gayanya seperti baru balik dari masjid atau surau berhampiran. Memang waktu maghrib tadi dia ada terdengar azan seperti hampir dengan rumahnya. Tapi dia tidak pasti dari arah mana.

“Hai..kenyang ke makan roti..” sapa Afeef dengan selamba meneguk jus oren di hadapan Iffat. Iffat membulatkan matanya apabila Afeef meletakkan semula gelas yang sudah kosong dihadapannya.

“Assalamualaikum..” balas Iffat sengaja ingin mengingatkan Afeef agar meringankan mulut untuk memberi salam apabila masuk ke rumah. ‘Selamba aja mamat ni minum air aku..’ desis hatinya apabila Afeef dengan selamba menghabiskan baki jus orennya yang tinggal separuh gelas itu tadi.

“Opss..sorry my dear. Lupa pulak nak bagi salam. Assalamualaikum..” ucap Afeef ceria seraya mengeluarkan bekas jus oren dan dituang semula ke dalam gelas yang kosong tadi. Afeef mengambil tempat di hadapan Iffat.

“Waalaikumussalam..but..jangan nak my dear sangat eh..” jawab Iffat malas. Dia masih terasa hati dengan apa yang berlaku tadi.

“Tak baik Fat buat muka masam-masam ni depan rezeki.” Tegur Afeef pula. Iffat hanya mendiamkan diri. ‘Haish, takda mood la pulak minah ni. Macam mana nak discuss ni..’ bisik hati Afeef sendiri.

“Fat..” panggil Afeef apabila Iffat masih mendiamkan diri.

“Fat.. sorry pasal tadi.. aku tak sengaja masuk tadi.” Ucap Afeef tenang dengan mata masih tertumpu ke wajah Iffat yang leka mengunyah roti. Iffat tetap diam tidak menjawab.

“Fat..dengar tak ni..?” kata Afeef lagi tapi nadanya sudah bertukar sedikit tegas. Geram apabila Iffat tidak menjawab langsung katanya. Jika tidak, bibir comel itu sentiasa ingin menjawab tiap patah katanya.

“Iya..dengar..aku belum pekak lagi.” Balas Iffat selamba.

“Err..Fat..” panggil Afeef dalam nada tiba-tiba lembut.

“Iya..” balas Iffat malas sambil melawan pandang ke wajah Afeef di hadapannya.

“Fat hidang ni..”tutur Afeef dalam nada yang sama sambil menolak beg plastik yang dibawa tadi dekat ke Iffat. Balik dari masjid tadi dia singgah di kedai makan berhampiran kerana yakin Iffat tidak akan memasak malam itu. Perutnya memang lapar dari petang tadi kerana tidak sempat menjamah makan tengah hari gara-gara ingin segera pindah masuk ke rumahnya.

Iffat hanya menuruti. Diambil beg plastik itu dan mengeluarkan semua lauk yang masih panas ke dalam bekas. Iffat menghidangkannya di hadapan Afeef. Afeef hanya tersenyum senang apabila melihat wajah Iffat sudah tidak setegang tadi. Tudung! Ya.. tudung masih ada di kepalanya.

“Err,.kau beli lauk takda nasi ke?” tanya Iffat setelah meletakkan semua lauk yang dibeli Afeef tadi.

“Nasi kan boleh masak sendiri. Tu yang dalam rice cooker tu kan kau yang masak tadi.” Balas Afeef sekaligus menyindir Iffat. Sebelum ke masjid solat maghrib tadi dia yang masak nasi tu. Nasib baik juga dia pernah menuntut ilmu cara memasak nasi dengan mamanya dahulu. Sengaja dia ingin mengusik Iffat yang telah berjanji dengannya untuk memasak petang tadi. Iffat menjuihkan bibirnya apabila Afeef sudah tersengeh memandangnya.

“Yela..sorry..” ucap Iffat selepas meletakkan pinggan yang sudah berisi nasi di hadapan Afeef.

“Kenapa kau tak makan sekali?” tanya Afeef apabila melihat hanya sepinggan nasi sahaja yang diletak oleh Iffat.

“Takpalah..kau makan ajalah. Aku dah makan roti ni.” Dalih Iffat. Melihat rupa makanan yang dibeli oleh Afeef sahaja sudah tahu semuanya berunsurkan pedas belaka.

“Laa..kenyang ke makan roti?” tanya Afeef lagi.

“Err..takpalah..kau makan ajalah. Aku teman kau makan aja. Lepas ni kau kata nak bincangkan..” Jawab Iffat sambil menyapu mentega dan jem pada sekeping roti lagi.

“Laa..kau ni..banyak ni siapa nak habiskan.. kau makan sekalilah.” Balas Afeef seraya bangun lalu menyenduk sepinggan nasi dan diletakkan di hadapan Iffat. Iffat tak terkata apa. Tidak sampai hati pula untuk memarahi Afeef kerana membeli lauk-pauk yang mengikut selera lelaki itu sahaja. Iffat menuruti menadah tangan ketika Afeef membaca doa makan.

“Makanlah Fat..jangan kau tenung aja lauk tu. Lauk tu tak berjalan sendiri masuk dalam mulut kau.” Kata Afeef berseloroh sebelum menyuap nasi masuk ke mulut. Sungguh berselera dia makan.

“Fat..kau nak aku tolong suapkan ke..?” tanya Afeef lagi apabila melihat Iffat masih tidak mencuit lauk di hadapannya.

“Feef…aku sebenarnya..” Iffat tergagap ingin memberitahu.

“Kenapa?” Afeef sudah mengerutkan dahinya.

“Kau mesti dah lupa aku tak makan pedas..” jawab Iffat perlahan.

“Alamak! Sorry sorry beb.. aku lupa la.. tak teringat langsung.” Afeef menepuk dahinya sendiri. Memang dia tadi memesan ke semua lauk kegemarannya kerana terlalu lapar sangat sampai terlupa ada insan lain di rumah tu.

“It’s okey la Feef. Kau makan ajalah eh.” Iffat terus menyuap roti ke mulutnya. Sedikit terasa kerana Afeef lupa akan satu hal itu walaupun telah lama berkawan.

“Alaa..Fat..serius aku lupa. Err.. lepas aku makan ni, kita keluar beli makanan lain eh..” Afeef terasa bersalah kerana terlupa akan satu hal itu.

“Eh..takpalah Feef. Tak payahlah. Aku okey aja makan roti ni. Salah aku jugak tadi janji nak masak..tiba-tiba..” Iffat mati kata-kata apabila teringat hal tadi. Tiba-tiba dirasakan darah menyerbu ke muka. Rasa nak disorok wajahnya di bawah dari dilihat Afeef.

“Err..sorry..salah aku jugak tadi..” potong Afeef cepat.

“Err..takpalah Feef..takdanya yang salah pun..bukan kita buat dosa..” tutur Iffat perlahan. Hakikat yang sewajarnya dia terima apabila bergelar seorang isteri. Cuma, akalnya sahaja yang menolak untuk menafikan hakikat yang satu itu apabila dia sah bergelar isteri Afeef.

“Maknanya kita boleh.…” Afeef sudah tersenyum lebar.

“Ya.. boleh..” jawab Iffat perlahan. Dia hanya menunduk tidak sanggup menentang mata Afeef di hadapannya.

“Fat..lepas makan ni kita..” balas Afeef dengan senyuman tidak lekang di bibirnya. Dalam hatinya pula sudah berdansa riang apabila Iffat menunjukkan tanda-tanda menerimanya.

“Afeef!” jerit Iffat apabila Afeef mula buat muka gatalnya memandangnya. Terangkat-angkat keningnya melihat Iffat.

“Hahaa..” meletus tawa Afeef apabila melihat Iffat sudah membulatkan matanya. “Aku main-main ajalah. Kau ni serius betul.. kau nak sangat ke. Aku on je.” Balas Afeef dalam sisa tawanya. Iffat sudah menjuihkan bibirnya.

“Alaa..Fat..kau janganlah risau. Aku takdalah terdesak sangat Fat. Masalah kita pun belum settle lagi. Aku takkan ambik hak kau tanpa kebenaran walaupun aku berhak buat semua tu. Aku kahwin dengan kau bukan atas dasar nafsu semata Fat. Ya..aku mengaku, aku dulu kahwin semata-mata nak dapat lesen untuk sambung study. Itu aku akui. Tu juga satu-satunya kesalahan paling besar yang aku pernah buat dalam hidup aku ni Fat.” Tutur Afeef tenang dan lirih ketika menuturkan ayat terakhirnya.

“Hmm..Feef..kau makanlah dulu. Nanti kita boleh bincang hal tu semua.” Ujar Iffat apabila melihat wajah Afeef tiba-tiba bertukar suram.

Afeef yang mula menyuap nasi ke mulut di rasakan tidak terasa ke tekaknya. Kuah tom yang pedas itu juga dirasakan seperti tiada rasa. Seleranya tiba-tiba mati apabila teringat perkara-perkara yang pernah dia lakukan dulu.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

11 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 26”
  1. arsha says:

    eh, sorry. nur kasih?
    ahaha. serius tak perasan. sorry. 😀

    but thanks for reading. really appreciate :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.