Novel : Biar aku jadi penunggu 34

14 February 2012  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Afeef..” tegur Iffat selepas menidurkan Aqil. Afeef ketika itu sedang khusyuk membaca di kerusi rehat di dalam bilik mereka. Dari tadi lelaki itu hanya mendiamkan diri. Waktu makan malam pula mereka makan berasingan. Selepas Iffat membersihkan diri, apabila turun sahaja ke dapur dilihat Afeef sedang mencuci pinggan di sinki. Pastinya lelaki itu sudah selesai makan.

Afeef menegakkan kepalanya memandang Iffat yang berjalan menghampiri tempat duduknya. Iffat duduk di kerusi berhampiran.

“Afeef..kenapa diam je ni? Iffat ada buat salah ke?” Tanya Iffat lembut. Dia tidak sedap hati melihat Afeef yang diam membisu dengan wajah masam mencuka.

“Taklah..” balas Afeef pendek sebelum menyambung semula pembacaannya.

“Ye ke tak marah..dah tu kenapa muka macam tu?” tanya Iffat berani.

“Muka marah ke ni?” tanya Afeef semula dengan mata masih terhala di pembacaannya. Iffat yang mula tidak sabar, menarik buku di tangan Afeef.

“Eh, tak nampak ke abang tengah baca?” marah Afeef dengan nada sedikit tinggi. Matanya tajam menikam mata Iffat.

“Bacalah sangat. Macamlah Iffat tak tahu..abang sebenarnya tak baca pun kan..” balas Iffat sinis.

“Iffat panggil abang apa? Cuba ulang balik?” Afeef menyoalnya semula dengan kening yang terangkat sebelah.

“Erk. Panggil apa pulak?” tanya Iffat pelik. Dia masih tidak perasan dengan panggilan yang baru sebentar tadi digunakan.

“Tadi yang Iffat guna panggil abang..” tanya Afeef yang mula mengukir senyum. Lembut sekali di pendengarannya apabila bibir comel itu menuturkan.

“Panggil abang apa ni?” tanya Iffat lagi. Ops! Spontan Iffat menutup mulutnya. Dia terus bangun dan berlalu ke bilik air. Afeef sudah mengekek ketawa. Rasa marah dan rajuk di hatinya tadi hilang sekelip mata apabila mendengar Iffat memanggilnya dengan panggilan itu.

Iffat di dalam bilik air sudah menampar mulutnya sendiri kerana kelancaran bibirnya menyebut panggilan yang selalu cuba dielakkan. Dan hari itu, dia terlepas kata juga akhirnya. Dia dengar suara Afeef yang mentertawakannya di luar. ‘Hampeh betul! Apsal pulak mulut ni laju aja sebut. Sukalah mamat tu..’ kutuk Iffat kepada diri sendiri. Dia meraba wajahnya apabila melihat biasan wajah di cermin yang mula merona merah. Berdegup laju detak jantungnya. Iffat membasuh mukanya untuk mengurangkan merah di pipinya dan debar di hatinya yang tidak seirama. Lama dia bertapa di dalam bilik air. Malu untuk berhadapan dengan Afeef.

“Sayang…keluarlah. Buat apa lama sangat dalam tu. Tak sejuk ke?” terdengar suara Afeef dekat dengan pintu.

“Err..nak keluarlah ni..” Iffat gugup untuk berhadapan dengan Afeef ketika itu. Tidak boleh tidak, Iffat kena juga berhadapan dengan Afeef. Takkan pula dia mahu tidur di dalam bilik air malam tu. Dengan rasa malu yang masih menggunung, Iffat memulas perlahan tombol pintu dan dia nampak Afeef yang tersengeh berdiri menghalang di muka pintu.

“Tepilah orang nak lalu la..” kata Iffat dengan wajah yang menunduk. Tidak sanggup untuk menentang wajah Afeef ketika itu.

“Lalulah..” balas Afeef selamba tetapi dia masih di posisi yang sama.

“Err..macam mana nak lalu..” omel Iffat lagi apabila melihat sedikit pun Afeef tidak berganjak dari depan pintu itu.

“Eh..lalu ajalah. Mana ada abang halang..” balas Afeef dengan suara yang cukup lembut di pendengaran Iffat. Sengaja ingin menguji perasaan isterinya itu.

Iffat memberanikan diri menentang wajah Afeef di hadapannya. Dia nampak lelaki itu tersenyum lebar. Memang tiada ruang untuk dia berlalu apabila Afeef sengaja mendepangkan kedua tangannya menghalang laluan Iffat.

“Nak lalu apa macam ni..” rungut Iffat lagi. Membulat matanya menentang mata Afeef. Hilang rasa malu, rasa geram pula yang muncul apabila Afeef sengaja mempermainkannya.

“Yela..lalu ajalah. Apa masalahnya..” balas Afeef selamba.

“Mengadalah!” jawab Iffat seraya dengan selamba juga merempuh badan Afeef sehingga terdorong ke belakang sedikit tubuh lelaki itu.

“Aduh! Ganas betul sayang abang ni..” balas Afeef yang mula mengekek ketawa. Dia nampak wajah mulus itu merona merah. Tidak tahu sama ada menahan malu atau marah kepadanya.

Iffat menghempaskan badannya ke katil dan terus menarik selimut menutupi seluruh wajahnya. Rasa hatinya bercampur-baur apabila berhadapan dengan Afeef ketika itu. Dia terdengar tawa halus Afeef rapat di sisinya. Dia tahu lelaki itu pasti sudah berbaring di sebelahnya. Iffat baring membelakangkan Afeef.

“Iffat..tak baik tidur macam tu..” tegur Afeef perlahan dengan sisa tawanya.

Spontan Iffat baring mengadap ke siling tetapi masih menutupi wajahnya.

“Sorry..” ucap Afeef perlahan rapat di telinganya. Terasa pula ada tangan yang melingkar di pinggangnya. Iffat mematikan diri. Semakin hebat debar di dalam hatinya.

“Good night sayang…” ucap Afeef lembut seraya mengucup wajah yang berlapik itu. Afeef yang memahami keadaan Iffat itu, terus meleraikan pelukan. Dia tersenyum sendiri. Bahagia mula menginjak di dalam hatinya apabila mendengar panggilan ‘abang’ dari bibir comel itu tadi. ‘Syukur ya Allah, Kau lembutkan hati isteriku untuk menerimaku. Alhamdulillah..’ ucap Afeef dalam hati. Iffat di sisi terus-terusan mengeraskan diri. Sepatah pun tidak menjawab kata-kata Afeef. Sehingga dia terlena sendiri.

………..

“Morning!” tegur Afeef sambil mendukung Aqil yang sudah terjaga ke dapur. Iffat sedang membancuh secawan air milo panas buat Afeef.

“Morning..” jawab Iffat perlahan. Dia siap lebih awal hari pagi itu. Waktu dia bangun pagi tadi pun, Afeef masih lagi tidur. Disebabkan terjaga awal, Iffat sempat memasak nasi lemak pagi itu.

“Anak mummy bangun awal pagi ni..” tegur Iffat pula pada Aqil dipangkuan Afeef selepas meletakkan cawan itu di hadapan Afeef.

“Thanks!” ucap Afeef seraya menghulurkan Aqil kepada Iffat. Iffat hanya teresenyum tawar.

“Pegang dulu. Nanti Iffat siapkan susu dia.” Ujar Iffat sebelum kembali ke tepi kabinet untuk menyediakan susu Aqil. Nasib baik juga si kecil itu tidak merengek apabila terjaga dari tidur.

“Iffat.. sorry semalam. Abang gurau je dengan Iffat..” kata Afeef apabila Iffat langsung tidak memandang wajahnya pagi itu.

“Gurau? Oh bergurau ke yang sampai masam muka semalam tu..” sindir Iffat selamba mengingatkan hal Afeef yang bermasam muka dengannya semalam.

“Hehe…” Afeef hanya tersengih apabila teringat hal semalam. Dia cemburu apabila melihat Iffat berkawan rapat dengan Rafaal. “Alaa..semalam sayang tu rapat sangat Rafaal siapa suruh. Abang tak sukalah..” adu Afeef akan tindakannya semalam.

“Hah? Pasal Rafaal je? Kan Iffat dah cakap..Iffat takda hubungan apa pun dengan dialah..” balas Iffat lalu duduk di kerusi berhampiran dengan Afeef. Aqil pula dibaringkan di pangkuannya leka menghisap botol susu yang diserahkan. Perlahan Iffat mengusap kepala si kecil itu. Sungguhpun si kecil itu bukan anak dari darah dagingnya, tetapi dia terlalu menyayangi Aqil seperti anaknya sendiri.

“Afeef tak percayakan Iffat ke?” tanya Iffat apabila Afeef hanya mendiamkan diri.

“Afeef? Siapa Afeef?” tanya Afeef semula apabila mendengar Iffat memanggilnya dengan panggilan nama tidak seperti malam tadi.

“Err..Afeef.. please..Iffat tak sedia lagilah..” balas Iffat tak berani bertentang mata dengan Afeef. Dia tahu, apa yang terzahir di bibirnya semalam adalah tanpa dipaksa. Tapi hari ni, dia kekok untuk memanggil Afeef dengan panggilan itu.

“Yela tak sedia.. yang malam tadi tu apa..saja-saja ke..ke saja nak mainkan abang..” balas Afeef sambil menyenduk nasi lemak yang masih mengelurkan asap nipis ke dalam pinggan.

“Err..bukan..tak..” tutur Iffat tergagap.

“Dah tu..” balas Afeef lagi tidak puas hati.

“Feef..bagilah Iffat masa…” pinta Iffat dengan suara yang lirih memandang lembut wajah suaminya itu.

“Hmm..” terdengar keluhan berat dari bibir lelaki itu. “Ambiklah berapa banyak masa yang Iffat nak. Abang takkan paksa… Abang tahu Iffat tak boleh nak terima abang lagi kan..” perlahan Afeef menuturkan. Sengaja ingin merajuk dengan isterinya. Bukan dia tidak tahu perangai Iffat yang tidak boleh melihat orang merajuk dengannya. Pasti akan sedaya upaya memujuk walaupun wanita itu sebenarnya langsung tidak tahu memujuk.

“Abang…” potong Iffat cepat.

“Haa..kan sedap tu.. sejuk je hati abang dengar..” Afeef sudah tersenyum lebar. Merona merah lagi pipi Iffat pagi itu.

“Saja je kan..” balas Iffat dengan muka yang masam mencuka.

“Dahlah tu..makanlah..nanti lambat nak ke office. Letak Aqil kat kerusi ni.” Ujar Afeef sambil menarik rapat kerusi khas ke sisinya untuk memudahkan Aqil duduk. Afeef menyendukkan nasi ke dalam pinggan Iffat. Dia menadah tangan untuk membaca doa makan.

“Hmm. Makan banyak sikit. Iffat ni kalau tak paksa makan, susah betul nak makan kan. Malam tadi pun makan sikit je kan.” Kata Afeef selepas selesai membaca doa makan. Dia meletakkan sambal dan telur rebus ke dalam pinggan Iffat. Iffat hanya mendiamkan diri apabila mendengar celoteh dari mulut Afeef pagi itu.

“Err..Feef..sorry..semalam..tapi Iffat memang takda hubungan apa-apa pun dengan Rafaal. Kita orang memang kawan je dari dulu. Iffat tak pernah pun sukakan dia. Kita orang kan kerja satu bangunan. Memang hari-hari jumpa..” terang Iffat setelah masing-masing mendiamkan diri.

“Ye la. Abang percaya.. Cuma abang tak suka je Iffat rapat sangat dia.” Balas Afeef sebelum menghabiskan suapannya yang terakhir.

“Kenapa.” Tanya Iffat ingin mengetahui rasa hati lelaki itu. Dia akan cuba mengikut rentak Afeef jika itu yang dimahukan dan tidak akan mengeruhkan hubungannya dengan Afeef.

“Hmm..kan dulu dia pernah sukakan Iffat..abang risau kalau Iffat..” Afeef mati kata-kata. Risau kata-katanya akan mengguris perasaan Iffat.

“Takut Iffat jatuh cinta dengan dia..takut Iffat tinggalkan Afeef..macam tu?” balas Iffat cepat. Sedikit terasa hati dengan kata-kata Afeef yang seakan-akan tidak mempercayainya. Afeef mencapai tangan Iffat di atas meja. Diramas perlahan jemari halus itu. Aqil yang leka dengan mulut masih disumbat dengan botol susu, tidak menyedari apa yang berlaku. Dia dengan dunianya sendiri apabila Afeef menghulurkan alat permainannya tadi.

“Iffat yang takut kalau Afeef yang tinggal Iffat lagi..” tersekat-sekat suara Iffat menuturkan. Dirasakan ada air jernih mula bertakung di tubir matanya.

“No! abang takkan tinggalkan sayang..” Pantas Afeef memotong. Dia nampak mata Iffat yang mula berkaca. “Please..lupakan je pasal semalam. Abang janji takkan persoalkan lagi hal Iffat dengan Rafaal. Abang percayakan Iffat. Please sayang..I’m sorry..” sambung Afeef yang mula berdiri dan memeluk Iffat dari belakang. Iffat hanya mendiamkan diri. Pantas di seka air jernih menuruni pipi. Sedikit terpujuk dengan kata-kata Afeef.

Terdengar Aqil yang mengekek ketawa dengan tiba-tiba, Afeef meleraikan pelukan. “Anak papa ni suka sangat ni kenapa?” tanya Afeef seraya menghadiahkan kucupan sayang di ubun-ubun si kecil. “Mesti sayang papa ni gelakkan mummy ni eh..” kata Afeef lagi cuba menimbulkan suasana ceria pagi itu. Tidak mahu pagi itu dihiasi dengan kesedihan.

“Feef..thanks to be my husband..” ujar Iffat perlahan sambil tersenyum memandang Afeef yang sudah mendukung Aqil.

“No dear. Abang yang patut cakap macam tu kat Iffat sebab Iffat dah banyak berkorban sebab abang..” balas Afeef lembut seraya membalas senyuman Iffat. “Dahlah tu. Habiskan nasi tu. Tak baik membazir. Biar abang siapkan barang Aqil dulu. Habiskan tau..” sambung Afeef lagi. Dia mengucup perlahan kepala Iffat yang sudah siap berlapik tudung itu.

“Thanks.” Ucap Iffat lembut.

“Sama-sama kasih, sayang.” Balas Afeef sambil menyentuh perlahan pipi Iffat. Afeef terus berlalu dan naik ke bilik untuk mengambil barang-barang Aqil. Iffat hanya tersenyum. ‘Syukur ya Allah. Kau lindungi dan redhailah hubungan kami berdua.’ doa Iffat perlahan.

………..

“Amboi akak..pagi-pagi lagi dah senyum sampai telinga.. ada cerita best ke malam tadi? Eheh..” sapa Rozita saat Iffat melangkah masuk ke pejabat.

“Erk. Mengadalah kau. Ada saja kau nak usik akak kan. Mestilah ada cerita best. Haha..” balas Iffat riang sengaja melayan usikan gadis tinggi lampai itu.

“Wah! Bolehlah share sikit dengan Ita. Esok-esok nak kahwin, senanglah. Hehe..” jawab Rozita sambil melabuhkan duduk di kerusi hadapan meja Iffat.

“Eh..mana boleh. Rahsia dalam kelambu, takkan nak cerita kat Ita pulak. Kalau nak tau, kena kahwinlah dulu.” Balas Iffat selamba. Dia masih dengan senyuman lebarnya. Kalaulah Rozita tahu yang dia sebenarnya belum menunaikan tanggungjawab yang satu itu, pasti gadis itu mentertawakannya.

“Ala..kedekutlah akak ni..tak boleh share ke? Sikit je..” pujuk Rozita lagi yang teruja ingin mengetahui. Gadis itu akan berkahwin tidak lama lagi dengan lelaki pilihan hatinya.

“Nope! Sekian terima kasih!” balas Iffat dengan menggelengkan kepala. Kalau ada cerita pun, dia tidak mungkin akan bercerita dengan sesiapa. Biarlah antara dia, Afeef dan Allah sahaja yang mengetahui. Itu rahsia rumahtangga yang tidak boleh dikongsi dengan sesiapa pun.

“Kedekutlah akak ni..” Rozita mula buat muncung tanda merajuk.

“Kau belum kahwin lagi. Esok-esok kau dah kahwin, baru boleh cerita.” Jelas Iffat dengan tawa kecilnya. Lucu melihat wajah cemberut Rozita. “Sudahlah. Pergi buat kerja sana. Akak banyak kerja tak siap ni. Kalau kau nak tolong okey jugak ni.” Sambung Iffat lagi sengaja ingin menukar topik. Dia tidak mahu topik yang berkaitan hal rumahtangganya menjadi perbualan mereka pagi itu.

“Hish! Taknak lah. Akak la yang buat. Ita punya kerja pun banyak.” Balas Rozita sebelum melangkah keluar dari bilik Iffat.

Baru sahaja setengah jam Iffat mengadap skrin komputernya, telefon di atas meja menjerit minta diangkat. ‘Siapa pulaklah awal-awal dah call ni.’ Rungut Iffat sendiri.

“Hello, selamat pagi.” Ucap Iffat lembut kepada si pemanggil.

“Assalamualaikum sayang..” balas si pemanggil. Iffat yang mendengar perkataan sayang diucap, hampir terlepas ganggang telefon dari tangannya. ‘Aik! Siapa pulak nak bersayang-sayang dengan aku pagi-pagi ni?’ omel Iffat di dalam hati. Iffat hanya mendiamkan diri untuk mendengar butiran selanjutnya dari si pemanggil. Dia tidak dapat mengecam suara pemanggil tersebut.

“Sayang, are you still there?” suara si pemanggil mula sedikit cemas apabila Iffat langsung tidak bersuara.

“Iffat..abang ni..” ujar si pemanggil lagi. Mendengar perkataan itu, baru Iffat mengetahui gerangan si pemanggil yang menghubunginya awal pagi itu.

“La..ingat orang gila mana yang call Iffat bersayang-sayang pagi-pagi ni.” Balas Iffat selamba sengaja ingin bergurau. Entah kenapa dia tidak dapat mengecam langsung suara Afeef.

“Sampai hati kata abang orang gila. Tapi..memang pun abang dah gila. Abang gilakan wife abang ni.” Iffat yang mendengar kata-kata itu merasa darah menyerbu ke muka. ‘Wife’ yang dimaksudkan Afeef itu sudah pasti adalah dirinya.

“Err..takda kerja ke? Ada hal penting nak cakap ke..” tanya Iffat yang tiba-tiba gugup.

“La..sejak bila pulak abang tak boleh call ni? Iffat busy eh?” suara garau di hujung sana bertanya.

“Eh..bukan tak boleh. Kerja memang banyak ni. Ingat tadi ada barang tinggal ke apa ke..” Jawab Iffat dengan suara yang cuba ditenangkan.

“Hmm..okeylah kalau macam tu. Sorry kalau abang ganggu. Takda hal penting pun. Cuma, abang lupa nak cakap dengan Iffat. Abah ada call abang semalam. Dia tanya bila nak buat kenduri doa selamat kat rumah kita. Tapi takpelah, abang ingat nak lunch dengan Iffat nanti..Nanti boleh bincang..”

“Oh..Hmm..tapi Iffat busy lah hari ni. Kita bincang kat rumah aja boleh? Nanti Afeef susah je datang sini.” Balas Iffat menolak untuk makan tengah hari bersama Afeef. Memang tengah hari itu dia tidak bercadang untuk turun makan. Dia ingin menyiapkan tugas-tugas yang tertangguh semalam. Dia tidak mahu pulang lewat lagi dan tidak mahu juga Afeef menunggunya. Dia yang sepatutnya menunggu kepulangan Afeef di rumah. Dia ingin belajar menjadi seorang isteri yang taat kepada perintah suami.

“Ala..abang baru ingat nak makan dengan Iffat..” Suara Afeef berbaur rajuk.

“Bukan tak boleh..Kan nanti Afeef susah datang sini. Lepas tu nak kena balik pejabat lagi kan.. Iffat ingat nak siapkan kerja cepat hari ni. Nanti takdalah Afeef tunggu Iffat lama macam semalam.” Jelas Iffat cuba berlembut dengan Afeef agar lelaki itu tidak bersangka yang tidak-tidak dengannya.

“Hmm. Okeylah kalau macam tu. Tapi Iffat jangan lupa makan tau. Jumpa nanti. Jaga diri. Assalamualaikum.”

“Okey..Waalaikumussalam..” balas Iffat pendek sebelum memutuskan panggilan. Dia tersenyum sendirian apabila memikirkan perangai Afeef jauh banyak berubah dari Afeef yang dikenali ketika sekolah dulu. Lelaki itu cukup ego dulu dan yang paling penting, Afeef bukanlah seorang yang pandai menunjukkan sikap ambil berat. Malah macam tidak percaya lelaki yang sering melayan kasar dirinya sama seperti dia melayan kawan-kawan lelakinya yang lain, menjadi seorang yang lebih perihatin dan lembut ketika berbicara dengan dirinya. Tindak-tanduknya yang sukar dijangka seringa mengundang debar di hati. Barangkali, memang begitulah perangai Afeef yang sebenar apabila dia mula menyayangi seseorang wanita dalam hidupnya. Iffat tersenyum lagi.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

Satu ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 34”
  1. rieda says:

    best…nak lagi…:-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.