Novel : Biar aku jadi penunggu 35

23 February 2012  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

Bab 35

“Tersenyum lebar nampak..” tegur Atikah di muka pintu. Afeef menegakkan wajahnya memandang wanita seksi dengan skirt pendek sendatnya.

“Err,..takdalah. You ada apa-apa hal ke jumpa I ni? Tiba-tiba je..” balas Afeef sambil membetulkan duduknya di kerusi empuk itu.

“Ni I nak bagi fail syarikat yang you mintak semalam. Sorry I bagi lambat.” Terang Atikah sambil menghulurkan fail biru itu kepada Afeef.

“Thanks.” Ucap Afeef pendek.

“So, ada apa-apa lagi yang you nak tahu pasal syarikat?” tanya Atikah.

“Hmm, buat masa ni takda. Nanti apa-apa hal I cari you.” Ujar Afeef sambil membelek fail yang diserahkan oleh Atikah tadi.

“Err..Afeef, may I ask you something?” tanya Atikah serba-salah. Sengaja ingin mengetahui status sebenar hubungan Afeef dan Damia. Afeef yang segak berpakaian pejabat itu cukup mendebarkan hatinya. Lelaki yang duduk di hadapannya kini jauh berubah daripada Afeef yang dikenali di waktu sekolah dulu. Malah ketika menziarahi Damia di UK tahun lalu pun, Afeef tidak sesegak dan berkarisma seperti yang berada di hadapannya kini.

“Ya, sure..” balas Afeef dengan mata setia di fail tadi.

“Afeef, you ada contact Damia?” tanya Atika. Dia bukan tidak tahu perkembangan kawan karibnya yang masih di UK kerana mengulangi dua subjek yang gagal pada semester yang lalu. Diikutkan, akhir tahun ini wanita itu akan pulang ke Malaysia.

“No.” balas Afeef pendek dengan mata masih terhala kepada fail yang dipegangnya. Dia perlu mengetahui dan memahami semua operasi syarikat itu. Lagi pula, dia tidak berminat untuk bercerita tentang Damia. Wanita yang pernah curang dengannya semata-mata ingin mengejar kemewahan dunia.

“Langsung takda call?” tanya Atikah lagi. Dia tidak terkejut dengan jawapan lelaki itu kerana dia tahu penceraian Afeef dan Damia adalah berpunca daripada diri kawan karibnya sendiri. Tidak ada lelaki yang akan menerima seorang wanita yang pernah curang demi lelaki lain. Tambahan pula mereka pernah tinggal bersama dan telah mempunyai anak. Damia terlupa akan kewujudan si kecil demi kebahagiaan diri sendiri. Terus hanyut dengan dunianya sendiri.

“Buat apa I nak call dia. Kan dia dah bahagia dengan boyfriend dia.” Balas Afeef dengan suara mendatar. Dia langsung tidak berminat untuk mengetahui perihal wanita bernama Damia walaupun wanita itu pernah melahirkan zuriatnya. Paling yang dia tidak boleh terima adalah apabila Damia langsung tidak menghiraukan kewujudan si kecil itu di muka bumi ini. Itu yang membuatkan dia kesal dan menyesal selepas memperisterikan Damia. Apabila mengingati kembali apa yang pernah berlaku antara dia dan Damia automatik akan menaikkan suhu kemarahan dan kebencian terhadap wanita itu.

“Dia ada call you?” tanya Atikah lagi tanpa jemu.

“Buat apa dia call I. Dia bukan ingat kat I pun. Anak apatah lagi.” beritahu Afeef dengan nada yang sama. Walaupun matanya masih terhala membaca butiran di dalam fail itu, tetapi akalnya langsung tidak memberi fokus atas apa yang dibaca. Tiada satu pun patah perkataan yang dapat dicerna di dalam kepalanya ketika itu.

Atikah perasan wajah Afeef mula bertukar riak. Kata-kata Afeef juga dirasakan berbaur kemarahan yang tak terucap kepada kawan karibnya itu. “Err..sorry Feef. I saja je tanya. Err..I keluar dululah ye. Ada apa-apa you cari je I.” tutur Iffat sebelum melangkah keluar dari bilik Afeef. Dia risau Afee akan memarahinya kerana menimbulkan soal Damia yang sememangnya sudah menjadi sejarah hitam di dalam hidup lelaki itu.

Hilang sahaja kelibat Atikah di sebalik pintu, fail syarikat yang dipegang tadi dihempas kuat di atas meja. Dia beristighfar berulang kali bagi mengurangkan rasa marah di hatinya apabila teringat tentang Damia. Nafas yang di tarik dirasakan sesak. Dadanya turun naik menahan marah. “Astaghfirullah..” ucap Afeef sendiri. Dia meraup wajahnya beberapa kali.

Entah apa yang berlaku dengan wanita itu pun dia tidak tahu. Kali terakhir berjumpa dengan wanita itu sebelum dia berangkat pulang ke Malaysia. Itu pun kebetulan dia ingin membeli cenderamata untuk di bawa pulang memandangkan mungkin dia tidak akan menjejakkan lagi kaki di situ. Tempat yang banyak mengajarnya erti kehidupan berumahtangga. Pada waktu itu, Damia langsung tidak bertanya akan perihal satu-satunya zuriat yang dia ada. Sedih dirasakan apabila seorang ibu langsung tidak menghiraukan kewujudan seorang anak yang lahir dari rahimnya sendiri. Terasa ada air panas bertakung di tubir matanya apabila mengenang kembali kisah-kisah lalu yang telah menjadi sejarah hitam dalam hidupnya.

Tekadnya hari ini adalah untuk memelihara keharmonian rumahtangganya agar tidak pincang seperti kehidupannya bersama Damia dulu. Dia percaya akan satu kata-kata, biarlah kita berkahwin dengan orang yang lebih mencintai diri kita berbanding dengan orang yang kita lebih cintai. Kasih sayang dan cinta yang kita curahkan, tidak semestinya akan mendapat pulangan yang sama seperti kita menyayanginya. Afeef bersandar dan memejam matanya. Ayat itu sentiasa berlegar-legar di dalam kepalanya. Baru hari ni dia menerima dan menelan pahit kata-kata itu dalam hidupnya.

Iffat Hamani sahaja isterinya kini. Sedaya upaya dia akan berusaha untuk melindungi dan membahagiakan wanita itu kerana dia meyakini wanita itu juga tidak akan sesekali menghampakan masa depan rumahtangganya. Cuma, kini dia perlu berusaha lebih untuk mendapatkan semula kepercayaan Iffat terhadap dirinya. Kebahagiaan Aqil Irfan juga menjadi kepentingannya kini. Dan dia yakin, hanya Iffat Hamani sahaja yang dapat membahagiakan dia dan Aqil.

………

“Assalamualaikum.” Ucap Iffat selepas meloloskan diri di dalam kereta. Hari itu, Afeef tidak perlu menunggunya sebaliknya dia yang terlebih dahulu menunggu Afeef di tempat letak kereta.

“Waalaikumussalam.” Balas Afeef lemah. Dia masih di dalam mood pagi tadi selepas Atikah menimbulkan soal Damia kepadanya. Langsung tidak menoleh ke arah Iffat, Afeef hanya menumpukan kepada pemanduannya sahaja.

Iffat menoleh ke sisi. Afeef yang berkaca mata hitam langsung tidak menoleh kepadanya. Pelik dengan perangai Afeef yang berdiam diri. Jika tidak, mulut itu pasti bertanya itu ini kepadanya.

“Afeef, okey ke?” tanya Iffat takut-takut apabila melihat wajah Afeef yang masam mencuka. Barangkali ada masalah dengan tempat kerja barunya.

“Okey je..” balas Afeef pendek. Iffat terus mendiamkan diri tidak bertanya lanjut. Risau akan menambah tekanan kepada lelaki itu pula.

‘Okey apanya muka macam tu.’ Omelnya dalam hati.

Apabila kereta semakin menghampiri perkarangan rumah Haji Ramlee, baru Afeef bersuara. “Iffat, malam ni kita dinner kat rumah mama. Tadi mama ada call abang. Dia kata ada hal nak bincang sekali. Abah dengan mak pun datang sekali malam ni.” Beritahu Afeef tenang.

“Hmm. Okey.. tapi ada hal apa eh? Ada apa-apa hal penting ke nak bincang?” tanya Iffat semula.

“Entah. Abang pun tak tahu. Maybe pasal Abang Luth dengan Kak Afwan kot.” Balas Afeef sebelum memberhentikan kereta.

“Ya ke? Hmm..Feef, malam ni kita boleh bincang sekali pasal kenduri doa selamat tu..” ujar Iffat pula.

“Abang okey je.” Balas Afeef seraya membuka pintu kereta.

“Mmee..” si kecil Aqil terjerit apabila melihat Afeef dan Iffat keluar dari kereta. Terkedek-kedek dia mendapatkan Iffat. Haji Ramlee yang duduk di buaian tepi rumah itu hanya memerhati.

“Wanginya sayang mummy ni..” Iffat memeluk dan mencium kedua pipi Aqil yang semakin tembam itu. Si kecil itu pula tidak lokek untuk membalas apabila dia turut menghadiahkan ciuman kedua pipi Iffat.

“Mummy je. Papa takda?” ujar Afeef pula sambil menyuakan kedua pipinya kepada Aqil. Aqil yang berada di dalam dakapan Iffat menyembamkan mukanya di bahu manakala tangannya erat melingkar di leher.

“Sayang..love papa..” ujar Iffat. Tetapi Aqil langsung tidak mengendahkan kata-katanya.

“Hmm..Aqil tak sayang papa eh. Dah lah mummy dia tak sayang papa.” kata Afeef dengan nada merajuk.

Iffat menoleh ke arah Afeef yang berdiri di sisi. Hatinya sedikit terusik dengan kata-kata Afeef. Dalam diam lelaki itu menyindirnya.

“Kenapa cakap macam tu?” tanya Iffat perlahan.

“Cakap apa?” balas Afeef selamba. Haji Ramlee sudah melangkah masuk ke dalam rumah anak menantu bersalaman dengannya. Tinggal mereka bertiga mengambil tempat dibuaian itu.

“Afeef, apa lagi yang Iffat kena buktikan?” tanya Iffat lirih. Terasa Afeef seperti tidak mempercayai kesetiaannya selama ini. Belum cukupkah apa yang telah dikorbankan selama ini? Tidak bermaknakah apa yang telah dilakukan selama ini?

“Iffat tak sayang abang..” jawab Afeef perlahan. Pandangannya dihalakan ke pokok-pokok bonzai kesayangan mamanya. Cukup terasa dengan apa yang diucapkan oleh Afeef, Iffat terus berdiri dengan mendukung si kecil Aqil dan menapak ke dalam rumah.

“Iffat..” panggil Afeef lembut dan mengekori langkah Iffat. Dia menepuk dahinya sendiri kerana kelancaran mulutnya petang itu. Niat hanya ingin bergurau bertukar pula menjadi adegan merajuk. Sengaja dia ingin bergurau dengan Iffat untuk menghiburkan hatinya sendiri memandangkan emosinya hari itu terganggu gara-gara pertanyaan Atikah mengenai Damia.

“Ha.. ni kenapa pulak ni?” tanya Hajah Zubaidah apabila melihat wajah Iffat yang tidak ceria seperti selalu selepas menyambut huluran tangan Iffat untuk bersalaman. Iffat hanya tersenyum kelat apabila ibu mertuanya menegur. Cukup sensitif wanita tua itu apabila melihat sebarang perubahan di wajahnya. Pasti akan disoal siasat.

“Ni kamu la punya kerja kan..” bebel Hajah Zubaidah apabila Afeef menyalami tangannya pula. Afeef hanya tersengeh mendengar. Pasti ibunya akan membebel kalau tahu hal sebenar.

“Takda apalah ma. Iffat penat sikit hari ni. Kerja banyak kat ofis.” Jawab Iffat seraya meletakkan Aqil duduk di sofa. Dia menjeling sekilas ke wajah Afeef yang memerhatikannya.

“Ma, ada apa-apa ke malam ni ma?” tanya Iffat sengaja mengubah topik. Jelingan dihadiahkan kepada Afeef yang sudah duduk di sebelah Aqil.

“Oh, mama dengan ayah nak bincang pasal majlis Afwan dengan abang kamu tu. Ingat nak cepatkan sikit sebelum bulan puasa ni.” Jawab Hajah Zubaidah.

“Ohh..ingat nak bincang pasal Pia nak kahwin..” sampuk Afeef apabila terpandang Afia yang keluar dari dapur mendapatkan mereka.

“Hah! Apa pulak Pia. Pandai-pandai je abang ni.” Jawab Afia cepat. Dia menjelirkan lidahnya apabila Afeef sudah mengekek ketawa. Si kecil di sisinya pun turut tergelak sama apabila melihat Afeef ketawa.

“Ha..baru mama teringat. Ada kawan mama tanyakan Pia hari tu.” Tambah Hajah Zubaidah sebelum melangkah semula ke dapur untuk menyiapkan makan malam mereka.

“Ha? Ya ke ma? Baguslah tu. Senang. Kita jalankan sekali je ma dengan Kak Afwan.” Tambah Iffat pula mengekori langkah Hajah Zubaidah ke dapur. Afeef di ruang tamu makin kuat ketawanya. Afia yang tadinya ingin mendapatkan Aqil, terus berpatah semula mengekori langkah Iffat dan mamanya.

“Dapatlah mama dua menantu terus..” terdengar suara Afeef dari ruang tamu sengaja ingin mengusik Afia.

“Ma, betul ke?” tanya Afia yang mula risau dengan kata-kata mamanya tadi.

“Ye la. Betul la.” Balas Hajah Zubaidah sambil mengacau kuah kari yang sedang menggelegak di atas dapur. Iffat yang berdiri di tepi sinki untuk mencuci ulam-ulam kampung sudah ketawa kecil mendengar pengakuan dari mulut ibu mertuanya.

“Ala ma..” wajah Afia mula mencuka. Sempat dia mencubit pinggang Iffat yang mentertawakannya.

“Apa yang ala nya..Kamu pun bukan budak sekolah lagi. Dah boleh kahwin dah.” Balas Hajah Zubaidah. Semalam sahabat lamanya ada menghubunginya bertanya perihal anak perempuannya yang seorang itu sama ada sudah berpunya atau belum kerana ingin dijodohkan dengan anak terunanya yang sebaya dengan Afeef. Memang dulu dia ingat sahabatnya itu hanya bergurau. Tetapi apabila sahabatnya itu menghubunginya lagi untuk mendapatkan kepastian, dia rasa ada baiknya diutarakan kepada tuan punya badan sendiri. Dia pasti anak teruna sahabatnya itu mestilah sudah terdidik dengan ilmu agama dan bersedia untuk memikul tanggungjawab sebagai seorang suami. Jika tidak, masakan sahabatnya itu bersungguh-sungguh untuk mencari calon isteri buat anaknya.

“Batul betul betul..” Iffat mengajuk seperti kartun Upin dan Ipin. Afia yang berdiri di sisinya sudah masam mencuka.

“Mama tak setuju pun lagi. Mama dengan ayah tak kisah dengan siapa pun Afia nak kahwin. Mama tanya je kalau Afia takda siapa-siapa lagi, boleh kenal-kenal dulu dengan anak kawan mama ni.” Ujar Hajah Zubaidah.

“Ha..okeylah tu Pia. Apa lagi. Pia pun takda calon lagi kan..” tambah Iffat menyokong kata-kata ibu mertuanya.

“Erk? Okey apanya. Entah siapa entah.” Balas Afia tidak puas hati dengan cadangan Iffat.

“Ala..kenal-kenal dulu. Manalah tahu tiba-tiba suka ke.” Tambah Iffat lagi cuba meyakinkan Afia.

“Ha’ah. Kalau tak jadi takpalah. Kawan mama tu pun tak paksa.” Sokong Hajah Zubaidah pula.

“Hmm..tengoklah dulu.” Balas Afia tidak berminat seraya melangkah keluar dari dapur. Malas dia mahu melibatkan diri dalam perbincangan itu lagi. Dia kurang bersetuju dengan cadangan mamanya.

“Ma, anak kawan mama yang mana satu?” tanya Iffat dengan tangannya ligat memotong ulam timun.

“Dia pernah datang masa nikah kamu dulu. Time tu anak lelaki dia tu pun datang. Mama pun tak tahu macam mana dia boleh datang. Cuma katanya pengantin yang jemput.” Terang mama.

“Hah? Iffat dengan Afeef yang jemput ke?” tanya Iffat semula. Dia cuba mengingati tetamu-tetamu yang pernah hadir di majlis pernikahan kecil-kecilannya dulu. Namun, langsung tidak dapat memastikan siapakah gerangan yang dimaksudkan oleh ibu mertuanya itu.

“Yela. Dia kata pengantin sendiri yang jemput. Mama pun tak sangka jugak dapat jumpa dia lagi. Dia kawan mama masa sekolah asrama kat Johor dulu.” Beritahu Hajah Zubaidah selepas mematikan api dapur. Tangannya ligat pula mengeluarkan pinggan dan gelas yang akan digunakan malam nanti.

“Oh ye ke…Tak perasanlah siapa. Hmm.. tapi, okeylah tu ma. Lagi senang kalau kita dah kenal family dia.” Balas Iffat sambil tersenyum. Teringat wajah Afia yang masam mencuka tadi.

“Nanti ada masa mama kenalkan kat Iffat.. Hmm. Tu la. Mama sebenarnya tak kisah. Ayah pun tak kisah. Sekarang ni terpulang kat Pia. Kalau Pia setuju, memang mama ingat nak sekalikan je dengan Afwan nanti..” Balas Hajah Zubaidah lagi.

“Hah? Ya ke ma? Tak cepat sangat ke?” tanya Iffat semula. Kata-katanya tadi hanya gurauan tidak sangka pula diambil serius oleh Hajah Zubaidah.

“Hmm..Iffat lupa ke Pia tu. Kan dia kata nak bercinta dengan orang yang jadi suami dia je. Konon tak nak bercinta sebelum kahwin.” Terang Hajah Zubaidah tentang prinsip hidup Afia. Kalau mahu diikutkan segala kehendak anak gadisnya yang seorang itu, entah sampai bila dia akan berkahwin.

“Haha..baguslah tu ma.” Balas Iffat dalam tawanya. Dia hampir terlupa akan perkara itu. Memang Afia pernah memberitahunya sebelum ini.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 35”
  1. roza says:

    nk byak cte pasal afeef n iffat plzzzzz..x sbr nk tgu part diaorg feel

  2. rieda says:

    nak lagi…:-)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.