Novel : Biar aku jadi penunggu 38

30 March 2012  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

bab 38

“Pia…takkanlah tak suka sampai hancur ikan ni Pia kerjakan…” kejut Iffat apabila melihat Afia jauh termenung dengan tangannya meramas kuat ikan cencaru yang siap disiang dibawah pancuran air. Afia dan Afwan bermalam di rumahnya semalam kerana selepas maghrib nanti kenduri doa selamat akan diadakan sempena rumah baru Afeef dan Iffat. Pagi-pagi Sabtu itu lagi kedua buah keluarga sudah berkumpul untuk bergotong-royong memasak makanan kenduri malam nanti. Sungguhpun di kawasan perumahan, Afeef sendiri memilih tidak mahu menggunakan khidmat catering yang biasa digunakan di taman perumahan lain. Katanya biarlah lebih berkat kenduri doa selamat itu nanti. Lagipun, hanya jiran terdekat dan jemaah surau berhampiran sahaja yang dijemput.

“Eleh…nervous la tu..” sampuk Afwan yang baru muncul dengan Luthfi di pintu dapur. Afwan dan Luthfi baru pulang dari pasar membeli sayur-sayur yang akan dimasak nanti.

“Eh..mana ada. Pia cool aje ni.” Dalih Afia. Dalam hatinya hanya Allah sahaja yang tahu. Dia teringat janji Rafaal yang akan menghubunginya malam lalu. Tetapi, lelaki itu langsung tidak menghubunginya sehinggalah hari ni. Diusung ke sana ke mari telefon bimbitnya tetapi langsung tiada panggilan daripada Rafaal. Ingin bertanya dengan Iffat, dia berasa segan dengan kakak iparnya itu.

“Cool la sangat. Cool sangat yang sampai ikan tu naik hancur kan..” sindir Iffat dengan senyuman mengejeknya. Afwan dan Luthfi sudah mengekek ketawa.

“Amboi anak dara yang tak berapa nak dara…gelak sakan…kerja dah siap?” seloroh Haji Ramlee yang melangkah ke dapur diikuti Hajah Zubaidah dan Puan Hasmidah.

“Yang ni kenapa muka macam mempelam tak cukup masak pulak ni?” usik Hajah Zubaidah pula apabila melihat wajah Afia yang masam mencuka sedang mencuci ikan di sinki.

“Ma, dia nervous bakal suami nak datang nanti.” Tambah Afwan dalam sisa tawanya.

“You ni, kesian dia. Takdalah ma. Ni Afwan dengan Iffat ni sakat dia. Tu yang muka macam mangga masam tu.” Beritahu Luthfi yang tadi turut sama mentertawakan Afia. Afwan di sisi sudah menjuihkan bibir.

“Ala..gurau sikit je ma. Tak luak pun..” tambah Iffat pula.

“Dah tu…sama je kamu semua ni…bukan boleh percaya…sama je…sambung kerja tu..” balas Puan Hasmidah pula yang dari tadi diam memerhati gelagat orang muda di hadapannya.

“Ha’ah..sama je ni..” tambah Haji Ramlee sebelum melangkah ke ruang tamu mendapatkan Encik Abdul Rahim yang duduk bersama Aqil dan adik-adik Iffat lain. Luthfi juga turut mengekori langkah Haji Ramlee ke ruang hadapan.

“Pia relax je la. Nak kenal je kan. Bukan nak terus kahwin.” Ujar Iffat selepas hanya dia dan Afwan sahaja di situ.

“Ha’ah.. Bukan suruh kahwin. Kenal-kenal je dulu.” Tambah Afwan pula yang membantu Iffat menyediakan bahan-bahan untuk memasak gulai daging nanti.

Afia hanya mendiamkan diri tetapi tangannya ligat mencuci ikan-ikan yang masih belum berbasuh.

“Iffat, baju melayu abang Iffat ada gosok?” muncul pula wajah Afeef di situ.

“Baju melayu? Ada suruh Iffat gosok ke?” balas Iffat sambil mencuci tangannya.

“Aik? Kan semalam abang dah cakap dengan Iffat…yang warna krim tu..takda pun dalam almari..” balas Afeef seraya meneguk baki jus oren kepunyaan Iffat.

“Oh..yang tu Iffat ada gantung dalam bilik sebelah.” Jelas Iffat.

“Alaa..mana ada. Abang dah cari dah. Sayang carikanlah…” Rungut Afeef manja.

“Eee..geli tekak akak dengan orang tua merengek la…” ejek Afwan yang dari tadi melihat pasangan itu. Afia pula masih seperti tadi. Leka melayan perasaannya.

“Eleh..geli konon…kalau dia tu dengan abang Luth. Lagi la…” ejek Afeef pula tak nak mengalah. Iffat sudah ketawa kecil mendengar adik-beradik itu berbalas kata.

“Dah la tu kak. Dia memang macam ni kak. Tak sedar dah jadi papa budak.” Sokong Iffat pula. Afeef duduk di tempatnya tadi sudah menjuihkan bibir.

“Jom…” ajak Iffat tanpa berlengah. Afeef hanya mengekori langkah Iffat naik ke bilik.

“Iffat…hati-hati sikit dengan Afeef tu…” terdengar suara Afwan berpesan kepadanya. Dia hanya tersenyum senang. Langsung tidak menghiraukan kata-kata Afwan yang lebih kepada gurauan itu.

“Amboi sayang…bukan main lagi sokong Kak Afwan eh..bukan nak sokong abang ni..” kata Afeef ketika mereka sampai di hadapan bilik yang dimaksudkan.

“Eh, betullah Iffat kata…” balas Iffat selamba sebelum memulas tombol pintu itu dan masuk untuk mengambil baju yang dimaksudkan. Afeef yang mengekori terus mengunci rapat pintu itu. Dia bersandar di balakang pintu memerhati Iffat dari atas ke bawah. Wanita itu ringkas dengan blaus biru laut dengan corak abstrak. Lengkap pula dengan tudung di kepala.

“Ni kan ada ni. Saja je kan…” ujar Iffat sambil mengeluarkan baju melayu yang dimaksudkan daripada almari. Dia masih tidak perasan Afeef yang berdiri tegak bersandar di belakang pintu sedang memerhatikannya.

“Kenapa pulak ni?” tanya Iffat menegakkan wajahnya memandang Afeef yang tersenyum penuh makna. Berdebar pula dirasakan apabila melihat senyuman yang terukir di bibir lelaki itu. ‘Apahal pulak mamat ni? Takkanlah…’ satu persatu tanggapan negatif mengenai tindakan Afeef datang menjengah kepalanya. Dia beristighfar di dalam hati.

“Takda apa…” balas Afeef selamba. Senyumannya masih terhias di bibir. ‘Sedap mengata aku ya..’ muncul idea nakal Afeef ingin mengusik Iffat.

“Err..Afeef…jangan main-main boleh tak? Kerja banyak tak siap lagi ni…” ujar Iffat dengan suara tertahan. Dia menghulurkan baju melayu tadi kepada Afeef tetapi lelaki itu tetap dengan senyuman yang menakutkan.

“Main-main apa pulak…abang tak usik Iffat pun…” balas Afeef dengan nada yang sama.

Iffat meletakkan baju itu di atas katil dan mula menghampiri Afeef untuk membuka pintu. Risau akan tindakan Afeef yang sukar dijangka. Afeef berdiri keras di pintu tanpa menghiraukan Iffat yang sedaya upaya memulas tombol pintu.

“Afeef…please…nanti apa pulak kata orang kita berdua lama kat atas ni..” ucap Iffat lembut agar Afeef terpujuk dengan kata-katanya.

“Dia orang nak kata apa?” tanya Afeef sengaja tidak memahami.

“Afeef…tepilah..Iffat nak keluar ni. Banyak lagi kerja tak siap ni…” pujuk Iffat lagi. Afeef yang masih tetap berdiri di pintu itu tiba-tiba meraih Iffat ke dalam pelukan.

“Afeef..apa ni..Lepaslah…” kata Iffat separuh terjerit dengan tindakan drastik Afeef. Dia cuba meronta ingin melepaskan diri tapi semakin erat Afeef memeluknya. Terhidu haruman daripada badan lelaki itu.

“Syhh..nanti orang lain dengarlah…” bisik Afeef perlahan. Kembang kempis hidungnya terhidu haruman dari badan wanita itu. Iffat disandarkan rapat ke pintu. Dirasakan wajah wanita itu mula pucat tidak berdarah. ‘Tau takut..’ ejek Afeef di dalam hati. Dia menahan tawa melihat wajah Iffat yang mula memucat itu.

“Ni kalau abang…” Afeef mematikan kata-katanya seraya jemarinya menyentuh hangat setiap inci wajah Iffat. Niatnya tadi hanya ingin mengusik Iffat telah menimbulkan satu perasaan lain pula di hatinya apabila berduaan begitu.

“Afeef…” panggil Iffat dengan suara yang tertahan. Semakin hebat debar di dalam hatinya apabila Afeef bereaksi begitu. Wajah Afeef begitu rapat dengan wajahnya. Hanya tinggal beberapa inci sahaja akan bersentuhan.

“Hmm..” Terdengar perlahan lelaki itu menjawab.

“Afeef…” panggil Iffat lagi sedikit keras ingin menyedarkan Afeef yang leka menyentuh tiap inci wajahnya. Namun, Afeef tetap begitu. ‘Parah dah ni…’ desis hatinya. Ligat kepalanya mencari akal untuk menlarikan diri dari Afeef ketika itu kerana risau akan perkara yang tidak diingini pula berlaku. Dia juga risau andai dirinya juga turut terleka dengan tiap sentuhan Afeef.

“Adoi!” Afeef menyeringai sakit apabila terasa kakinya dipijak kuat dan badannya terdorong ke belakang sedikit apabila ditolak kuat oleh Iffat. Mati segala perlakuannya tadi.

“Rasakan…” kata Iffat sebelum deras mengatur langkah keluar dari bilik itu. Beristighfar dia beberapa kali untuk menenangkan hati atas apa yang berlaku tadi. Habis sejuk kaki tangannya apabila Afeef bertindak sedemikian. ‘Padan muka! Buat lagi..’ marah Iffat di dalam hati. Dia tahu Afeef memang sengaja mempermainkannya.

Afeef yang masih di bilik sudah tersenyum lebar. Ketawanya hampir terhambur melihat Iffat yang kela-kabut keluar dari bilik itu.

…….

“Su…datang jugak.. Susah cari rumah ni?” tanya Hajah Zubaidah menyambut tetamu yang dinanti. Haji Ramlee pula sibuk menyapa mesra tetamu yang lelaki.

Iffat yang terdengar suara-suara asing di ruang tamu, terus ke ruang itu untuk melihat tetamu yang datang.

“Aunty Suraya kan?” tanya Iffat teragak-agak kerana kali terakhir berjumpa dengan wanita yang sebaya ibu mertuanya itu pada hari pernikahannya dulu.

“Maknanya,..anak kawan mama yang nak kenal dengan Afia tu Rafaal la?” tanya Iffat teruja dengan apa yang dilihat. Dia nampak kelibat Rafaal di bawah khemah hadapan rumah bersama kaum lelaki lain. ‘Ni kalau Pia tau ni, boleh pengsan budak ni.’ Desisnya dalam hati. Pada masa yang sama, dia mencari-cari kelibat Afeef diluar rumah. Sejak Afeef mengenakannya di bilik tadi, langsung dia tidak nampak kelibat lelaki itu.

Datin Suraya memeluk erat Iffat kerana dia sendiri tidak sangka dapat lagi berjumpa dengan Iffat gadis yang pernah menjadi pilihan hati anak terunanya yang seorang itu.

“Aunty duduk dululah. Iffat ke dapur buat air dulu.” Ujar Iffat mengundur diri. Dengan senyuman yang masih belum hilang, dia mencari pula kelibat Afia di dapur. Gadis itu sedang sibuk mengelap pinggan mangkuk yang akan digunakan sebentar nanti.

“Pia, tetamu yang ditunggu dah sampai tu. Ni air akak dah buat. Pia pergi hantar kat depan sana. Biar akak sambung buat kerja Pia ni.” Kata Iffat dengan senyuman masih tidak lekang di bibir.

“Ala..akak je la yang hantar. Apa pulak Pia yang kena hantar.” Rungut Afia. Dia tiada mood untuk beramah mesra dengan tetamu yang dimaksudkan. Satu hari itu kepalanya memikirkan tentang Rafaal.

“Mama yang suruh. Dah, pergi hantar sana.” Suruh Iffat sebelum mengambil kain lap daripada tangan Afia. “Senyum sikit. Nak jumpa bakal mak mertua jangan muka macam mangga tak masak tu.” Bebel Iffat lagi.

Dengan wajah yang sengaja diceriakan Afia melangkah berat ke ruang tamu seperti yang diarahkan oleh Iffat.

“Siapa datang?” tanya Afeef pula yang tiba-tiba muncul di muka pintu belakang bersama Aqil. Ke mana sahaja dua beranak yang sudah lengkap berbaju melayu sedondon.

“Dari mana ni?” marah Iffat apabila Aqil yang terkedek-kedek mendapatkannya dengan peluh di dahi kecil itu. Lagak seorang ibu penyayang, Iffat mengesat lembut dahi yang berpeluh itu. Dia menjeling ke arah Afeef yang duduk di hadapannya dengan wajah tidak bersalah. Tiba-tiba peristiwa di bilik tadi menjengah di ruang matanya. Serta-merta wajahnya terasa kebas.

“Sayang, abang tanya siapa yang datang.” Tanya Afeef lembut apabila melihat Iffat leka melayan Aqil yang sudah duduk di ribanya.

“Tadi kan lalu kat depan. Tak nampak ke?” balas Iffat dengan tangannya mula menyambung kerja-kerja mengelap tadi. Dia langsung tidak memandang wajah Afeef. Aqil sudah diletakkan di kerusi kosong sebelahnya.

“Mana nampak. Abang sampai tadi tetamu dah masuk.” Jawab Afeef seraya mencapai kosong di hadapan Iffat. Dia nampak ada sisa jus oren di dalam gelas itu dan pastinya milik Iffat kerana dia tahu wanita itu obses dengan jus oren.

“Pergilah jumpa tetamu kat depan tu. Tadi pun mama cari.” Balas Iffat malas. Dia masih bengang dengan Afeef yang sengaja mempermainkannya tadi. Kalau dia tidak bertindak cepat, entah apa pula yang akan dilakukan oleh Afeef.

“Iffat…” panggil Afeef lembut.

“Hmm..” balas Iffat dalam nada yang sama.

“Tadi kan…kalau kita…” sengaja Afeef menimbulkan soal tadi di hadapan Iffat. Dia tahu wanita itu masih memarahinya.

“Afeef!” spontan Iffat membaling kain lap di tangannya kepada Afeef. Geram kerana Afeef sengaja ingin mengingatkannya semula akan hal tadi.

“Apa!” cepat Afeef menangkap kain lap itu dari terkena mukanya.

“Tadi saja je nak kenakan Iffat kan…” marah Iffat lagi dengan suara yang tertahan. Risau pula tetamu yang datang mendengar pertengakaran mereka.

“Eh. Mana ada. Iffat yang ajak abang mula-mula kan..” balas Afeef selamba. Dia meneguk perlahan jus oren yang baru dituangnya tadi. Iffat hanya menjuihkan bibir. Malas ingin berbalah akan perkara tadi.

“Pergilah jumpa tetamu tu. Kan kita tuan rumah. Nanti apa pulak orang tu kata.” Ujar Iffat seraya bangun untuk membancuh susu Aqil.

“Yela yela..abang pergilah ni.” Kata Afeef sebelum bangun meninggalkan Iffat dan Aqil di situ. Dari muka pintu dapur dia sudah nampak kelibat seorang lelaki yang dikenalinya.

“You?” Afeef menyambut huluran tangan Rafaal untuk bersalaman. Kemudian dia mendapatkan Datuk Ehsan pula untuk bersalaman. Dia tidak memahami kenapa Rafaal dan ibu bapanya boleh datang ke rumahnya itu.

Rafaal hanya tersenyum apabila melihat wajah Afeef yang jelas kebingungan akan kedatangannya di rumah itu. Dia sendiri tidak menyangka gadis yang akan diperkenalkan kepadanya adalah adik Afeef iaitu gadis pilihan hatinya kini. Dia juga perasan wajah terkejut Afia apabila ternampak dia melangkah masuk ke dalam rumah itu tadi.

“What a small world ya?” ujar Afeef dengan suara yang sengaja diceriakan. Dia yang masih tidak memahami apa sebenarnya yang berlaku, cuba berlagak tenang. Dia memandang sekilas wajah Afia yang diam menduduk di sebelah Datin Suraya yang kelihatan canggung apabila berhadapan dengan keluarga Rafaal. Dalam kepalanya sudah mengagak akan hal yang pernah dikatakan oleh mamanya mengenai anak sahabatnya yang akan dikenalkan kepada Afia. Dia langsung tidak menyangka lelaki itu adalah Rafaal. Satu-satunya lelaki yang selalu menggugat kesabaran hatinya sebelum ini. Walhal, belum pernah Rafaal mengganggu hidupnya.

“Feef, Iffat mana?” tanya Haji Ramlee tiba-tiba.

“Err..ada kat dapur dengan Aqil. Nanti Afeef pergi panggil.” Jawab Afeef sebelum berlalu ke dapur. ‘Ayah macam faham-faham je aku tak sanggup duduk kat sini lama-lama.’ Desis hatinya. Cepat sahaja kakinya melangkah ke dapur untuk mencari kelibat Iffat. Pastinya wanita itu tahu apa sebenarnya yang berlaku.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 38”
  1. rieda says:

    jeng..jeng..mesti semua panik!ye lah seblm nie iffat kan baik dgn raafal…

  2. zaida says:

    ape blog baru arsha wangi ek.. ada sape2 tau x

  3. arsha says:

    meh ler ke blog saya. arshanew.blogspot.com :)

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.