Novel : Biar aku jadi penunggu 5

11 May 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

“Hamani, kamu betul ke setuju dengan apa yang dah dirancang ni? Kalau tak setuju, nanti mak bincang dengan abah semula. Lagi pun, kita tak jadi buat majlis besar, majlis nikah aja. Jemput sedara dekat-dekat aja.” Tanya Puan Hasmidah di suatu petang, seminggu sebelum majlis pernikahan dijalankan.

“Boleh ke mak, kalau Hamani batalkan?” tanya Iffat lurus. ‘Kalau tau budak Afeef ni, mahu putus kawan aku ni.’ Katanya sendirian.

“Kamu betul nak batalkan ke?” soal Puan Hasmidah terkejut.

“Dah mak tanya macam tu, Hamani ingat betullah boleh” terang Iffat sambil tersenyum kelat. Dia tahu Puan Hasmidah hanya bertanya kerana sejak keputusan untuk bernikah yang dibuat, dia tidak lagi ceria seperti selalu. Ibu mana yang tidak risau lihat anaknya tak ceria. Lebih-lebih anak tunggal perempuan yang seorang ni.

“Sebenarnya, mak risau tengok kamu ni. Monyok je memanjang muka tu. Tu yang mak tanya kalau kamu tak setuju dengan pernikahan ni.” Jawab Puan Hasmidah.

“Hamani janganlah risaukan mak tengok Hamani tak happy macam ni. Mak risau kalau pernikahan ni nanti tak datangkan kebahagiaan kamu berdua. Lagi susah macam tu.” Lembut si ibu memujuk.

“Mak janganlah cakap macam tu. Walaupun kami tak menyintai satu sama lain, cukuplah mak abah dan keluarga Afeef sayangkan Hamani. Lagi-lagi keluarga Afeef dapat menerima baik Hamani seadanya. Tu yang lagi penting sekarang ni mak. Masalah antara kami nanti, lepas Afeef balik sini kami akan bincang semula. Itu mak jangan risau. Tahulah nanti kami buat macam mana. Mak jangan risau okey?” Iffat menenangkan Puan Hasmidah yang kelihatan risau akan masa depan Iffat dan Afeef. Sungguhpun payah untuk dilalui, Iffat sentiasa berdoa supaya akan terbit rasa cinta antara dia dan Afeef pada masa depannya nanti. Itu tekadnya di dalam hati. Dia tidak putus berdoa.

Puan Hasmidah memeluk anak tunggal perempuannya erat tanda memberi semangat kepada Iffat. Segala ilmu untuk menjadi seorang isteri yang baik telah diperturunkan kepada Iffat. Katanya untuk menjamin keharmonian rumahtangga agar kekal bahagia. Iffat ikutkan sahaja kerana dia tahu mak dan abah lebih dahulu makan garam. Bukan Puan Hasmidah sahaja perturunkan ilmu, Puan Zubaidah juga dengan rela hati memberi ilmu tambahan kepada Iffat.

Selepas Puan Hasmidah meninggalkan Iffat keseorangan di ruang tamu, telefon bimbitnya berbunyi tanda mesej masuk. Dilihat Afeef apabila tertera nama Hubby di skrin telefonnya. Siapa lagi kalau bukan Afeef yang memandai tukar namanya sendiri kepada ‘Hubby’ di telefon Iffat. Katanya biar nampak mesra. Agaknya apa pulak nama Iffat yang Afeef tukar kat telefon bimbitnya ya? Iffat sendiri malas bertanya.

++ Dah siap ke belum Mrs. Afeef Adwan?

“Siap? Siap nak pergi mana pulak mamat ni? Soalnya sendirian. Ouch! Baru dia teringat, dia dah berjanji dengan Afeef untuk mengambil pakaian untuk majlis nikah mereka pada minggu depan. Sepantas kilat dia menukar pakaian sebab dia tahu Afeef memang paling tidak suka menunggu. Lagi pula, jarak rumah mereka bukannya jauh. Hanya 20 minit perjalanan sahaja.

Belum sempat dia memakai tudung, Puan Hasmidah sudah memanggil namanya. “Hamani, Afeef dah tunggu kat luar ni.”

“Iya iya. Dah siaplah ni” Balas Hamani. Padahal dia baru sahaja ingin memakai tudung. ‘Tunggulah kau Afeef. Hehe..’ gelaknya di dalam hati. Faham-faham ajalah kalau perempuan dah bersiap. Sebelum melangkah keluar, sempat lagi Iffat membelek wajahnya di cermin dengan mengoles sedikit pelembap bibir kerana bibirnya itu alah dengan pemerah bibir. Pasti kering selepas memakainya.

Afeef yang duduk di sebuah pangkin buruk di bawah pokok jambu air depan rumahnya, merenung Iffat tajam. “Kau ni, lambat betul siap.” Marah Afeef. Dalam hati sempat lagi memuji penampilan ringkas Iffat yang serba hitam kecuali tudungnya sahaja yang berwarna biru muda mengikut warna bunga sulam di kedua hujung lengannya. Nasib kau comel Fat! Desis dalam hatinya.

Iffat hanya tersyum melihat muka marah Afeef sebelum mereka sama-sama masuk ke dalam kereta. ‘Padan muka kau Afeef haha..’ Kutuk Iffat di dalam hati kemudian cepat-cepat dia beristighfar kerana orang yang dia umpat tu bakal suaminya. Maaf bakal suamiku!

…………………………………………………………….

“Fat, kau tak nak try dulu ke baju ni? Manalah tahu kalau kau tak selesa pakai, sempat lagi nak betulkan.” Tanya Afeef apabila melihat Iffat seakan edah tak endah aja dengan baju yang telah ditempah sebulan lalu ditunjukkan oleh pembantu butik itu kepada mereka berdua.

“Hmm.. tak payahlah. Lagi pun aku pakai sekali aja kan. Okeylah ni kot.” Balas Iffat sambil menyentuh sikit baju pengantin indah itu. Dalam hati, dia dah memuji-muji baju itu kerana bertepatan seperti yang diinginkan. Pada awalnya, Afeef memang tak setuju apabila Iffat memilih warna coklat gelap untuk dijadikan baju nikah kerana Afeef lebih meminati warna putih. Katanya lebih sesuai dengan kulit aku tak berapa cerah tak berapa gelap tu. Tapi peduli apa Iffat, dia tetap juga bertegas nakkan warna coklat kegemarannya. Biarlah sungguhpun bukan majlis besar, tapi dia inginkan kepuasan dalam majlis itu nanti. Jika rancangan awalnya mereka ingin melakukan majlis pernikahan di sebuah dewan, Iffat tiba-tiba mengubah fikiran pada sebulan yang lalu. Dia tidak menginginkan majlis sebesar itu sebaliknya cukup dengan majlis pernikahan di kediaman kedua orang tuanya dan menjemput rakan-rakan keluarga terdekat sahaja.

“Ikut kaulah. Kalau kau berungut-rungut minggu depan, kau jangan salahkan aku.” Bidas Afeef membalas.

“Yela. Kau tak payah risaulah. Baju aku, aku yang pakai. Hmm.. Afeef, kita ambil barang-barang ni aja kan? Lepas ni dah takda apa-apa lagi kan? Kalau takda apa-apa jomlah kita balik. Aku dah janji dengan mak aku nak masak makan malam hari ni. Jom.” Iffat mengajak dan selepas membuat pembayaran penuh atas semua barang-barang perkahwinan yang telah ditempah, dan mereka bergerak meninggalkan butik tersebut.

Afeef berjalan mendahului Iffat kerana ingin membuka boot kereta, Iffat yang sedang leka membelek telefon bimbitnya sambil melangkah ke pintu keluar butik tidak perasan akan seseorang pada masa yang sama turut melangkah masuk menyebabkan berlaku perlanggaran kecil dan jatuh berderai telefon Nokia c3nya ke lantai kerana tidak sempat mengelak memandangkan sebelah lagi tangannya membawa baju pengantinnya.

“Alamak! Tak pasal-pasal kena beli telefon baru. Adoi!” marah Iffat sendirian tapi masih didengari lelaki tadi. Dengan wajah masam mencuka, cepat-cepat Iffat memgutip komponen telefonnya yang terburai. Lelaki tadi hanya memandang pelik gadis dihadapannya kerana seakan-akan mengenalinya.

Belum sempat Iffat melihat siapa yang melanggarnya tadi, lelaki itu terlebih dahulu menegurnya. “Iffat Hamani? Tegur lelaki itu. Spontan Iffat berdiri melihat si empunya diri.

“Ya. Kita kenal ke?” Tanya Iffat cuba mengingati wajah lelaki di hadapannya. ‘Eh, pantang betul aku orang cakap dengan aku pakai cermin mata hitam. Bukaklah cermin mata tu mamat oi!’. Rungutnya dalam hati.

“Fat, kau tak kenal aku ke? Rafaal lah” terang Rafaal apabila melihat Iffat tak perasan akan dirinya. Lantas dia membuka cermin mata hitamnya.

“Haa. Barulah aku nampak.” Kata Iffat spontan apabila melihat Rafaal membuka cermin matanya.

“Apa yang kau nampak” Tanya Rafaal pelik.

“Eh..eh.. takda apa-apalah. Maksud aku baru perasan kau.” Kata Iffat tergagap. “Kau apa khabar? Sorry aku tak nampak tadi kau. Tu yang sampai terlanggar.” Iffat menghadiahkan senyuman kepada Rafaal. Afeef yang melihat babak berlanggar tadi hanya merenung Iffat dari tempat letak keretanya kerana dia perasan akan lelaki yang sedang berbual mesra dengan bakal isterinya itu.

“Oh..Hmm..Fat, aku mintak maaf jugak. Aku pun tadi pakai jalan aja sampai tak perasan kau nak keluar. Telefon kau tu nanti aku ganti yang baru.” Jawab Rafaal. Sebenarnya dia terkejut berjumpa dengan Iffat di situ. Selepas sahaja menamatkan pengajian seminggu yang lepas, dia dah tak berjumpa dan berhubung dengan Iffat. Malah selepas dia mendapat tahu yang Iffat akan berkahwin, dia sendiri cuba mengelakkan diri dari berjumpa mahupun bertembung dengan Iffat walaupun mereka sekuliah. Kalau sebelum ini mereka sering bertegur sapa apabila berjumpa di dalam kelas, terus dia menjauhkan diri dan kebetulan juga dia sering sibuk dengan jadual latihan rugbynya menyebabkan dia pun jarang menghadiri kuliah kerana mendapat pelepasan. Dan hari ini, dia berjumpa dengan Iffat secara tidak sengaja.

“Hmm.. Eh takpalah, kau jangan susah-susah. Aku pun salah jugak. Kau sebenarnya buat apa kat sini Rafaal?” Tanya Iffat menyedarkan lamunan Rafaal yang dari tadi memandangnya pelik.

“Hah? Hmm,..ohh.. aku datang nak ambik baju yang ummi aku tempah. Lagipun, ni butik Aunty aku.” Terang Rafaal. Dalam pada itu, sempat lagi pandangannya jatuh pada baju pengantin yang dipegang oleh Iffat dan dia faham, sudah tentulah baju pengantinnya.

“Oh yeke.” Balas Iffat ringkas. Sekarang tahulah apa tujuan Rafaal ke butik itu. Ingatnya Rafaal pun akan menamatkan zaman bujang sepertinya. ‘Nasiblah kau Iffat, belum pun keputusan peperiksaan keluar, kau dah nak kena kahwin’. Keluh Iffat pada dirinya apabila mengenangkan nasibnya tidak seperti sahabat yang lain. Mesti mereka akan bekerja dahulu barulah memikirkan soal kahwin.

Afeef yang dari tadi semakin panas hati apabila Iffat seakan-akan terlupa dengan dirinya yang sedang menunggu dengan hati yang semakin panas, lekas-lekas dia bergegas mendapatkan Iffat.

“Tak boleh jadi ni!”. Bisik Afeef sambil menghayun langkah ke arah Iffat dan Rafaal. Pada masa yang sama dia melihat ada seorang wanita berumur menghampiri mereka berdua juga.

“Abang! Lamanya. Penat ummi tunggu dalam kereta sorang-sorang.” Tegur Datin Suraya dibelakang Rafaal. Panggilan abang memang dari kecil digunakan untuk memanggil Rafaal kerana Rafaal hanya dua beradik sahaja dan adik perempuannya, Riyana Alia dipanggil adik. Pada waktu itu juga, Affef sudah berada di situ.

“Oh ummi. Sorry sorry. Berbual dengan kawan Uni ni, terlupa pulak kat ummi. Hehe,..” Jawab Rafaal sambil memperkenalkan Iffat.

“Fat, kenapa lambat sangat?” tanya Afeef tiba-tiba dengan pandangan yang tajam kepada Iffat dan Rafaal macam orang tak makan. Tapi memang pun dia belum makan sebelum keluar rumah tadi.

“Ops! Sorry Afeef. Afeef, kenalkan ni siapa. Kau dah jumpa masa kat café dulu.” Jelas Iffat tergagap-gagap apabila melihat Afeef muncul dengan tiba-tiba. “Aunty, kenalkan, ni bakal suami Fat.” Perkenal Iffat kepada Datin Suraya kepada Afeef. Afeef hanya tunduk sedikit tanda hormat dan melemparkan senyuman kepada perempuan berusia itu.

“Apa khabar Aunty? Saya Afeef Adwan, bakal suami Iffat”. Sapa Afeef mesra menunjukkan yang dia memang menghormati orang yang lebih berusia daripadanya lebih-lebih lagi Datin Suraya yang hampir sebaya dengan mamanya. Iffat dan Rafaal hanya memerhati. Tanpa berlengah lagi, Afeef meminta diri apabila merasakan mata Rafaal dari tadi hanya melihat Iffat. Sakit dia memandangnya.

“Aunty, Rafaal, kami beransur dululah ya. Dah lambat ni. Ada lagi hal lain nak kena buat. Jemputlah datang minggu depan majlis kami. Buat majlis kecil-kecil aja.” Ajak Afeef kepada dua beranak tu seraya menghulurkan tangan untuk bersalaman dengan Rafaal. Iffat pula yang dari tadi hanya diam apabila melihat Afeef yang begitu mesra pula menyapa dua beranak tu. Padahal tadi muka macam orang tak makan sebulan aja.

“Kami balik dulu ya Aunty” kata Iffat sambil bersalaman dengan Datin Suraya.

“Iyalah iyalah. InsyaAllah. Kalau takda aral melintang, kami datang. Hati-hati jalan.” Balas Datin Suraya. Rafaal hanya tersenyum melihat umminya begitu menyenangi pasangan itu. Dalam hati, hanya Allah sahaja yang tahu betapa tersentap hatinya melihat pasangan itu bergandingan. Memang jelas sepadan.

Pada mulanya Datin Suraya ingat, anak terunanya itu berjumpa dengan calon isteri seperti yang dijanjikan Rafaal untuk dibawa berjumpa dengannya. Meleset sama sekali apabila melihat gadis tersebut bakal berkahwin.

“Abang, ummi ingat tu calon menantu ummi. Suka ummi tengok. Lembut aja walaupun tak macam model kat luar tu. Sopan je ummi tengok. Ingat tadi dah boleh jadi menantu ummi.” Senyum Datin Suraya kepada Rafaal apabila melihat anak terunanya itu tadi begitu teruja memandang Iffat. ‘Mesti ada sesuatu dia sembunyi dari aku ni.’ Bisik hati Datin Suraya. Naluri ibu, jangan ditipu. Biasanya segala telahan seorang ibu, selalu tepat mengena.

“Apalah ummi ni. Tu dah nak jadi isteri orang dah tu ummi. Anak ummi ni yang melepas.” Kata Rafaal tetapi ayat yang hujung tu seperti dengar tak dengar sahaja dituturkan untuk elak dari umminya ketahui perkara yang sebenar.

“Yelah. Ummi tahu. Bilalah agaknya anak bujang ummi ni nak bawa calon suri hatinya datang jumpa ummi. Kalau tak, takdalah susah-susah nak buat appointment dengan anak sendiri.” Perli Datin Suraya apabila memikirkan perihal Rafaal. Selepas sahaja menamatkan pengajiannya seminggu yang lalu, Rafaal terus pula bergiat aktif dalam bidang modeling kerana semasa dalam pengajian pun dia buat kerja sambilan itu. Ni apabila telah tamat berlajar, semakin mudah untuk dia menerima tawaran. Katanya hanya sementara sahaja sebelum mendapat kerja tetap. Lagipun dia juga baru sahaja menamatkan pengajiannya. Belum pun ada sebulan lagi. Pada masa yang sama juga, Rafaal telah dirisik oleh pihak universitinya dahulu untuk melantik Rafaal sebagai penolong jurulatih bagi bekas pasukan rugbinya memandangan Rafaal merupakan salah seorang pemainnya dahulu. Kebetulan pula, jurulatih pasukan tersebut memang kenal baik dengan Rafaal. Cuma dia belum memberi kata putus lagi.

Walidnya, Datuk Ehsan bukan tidak membantunya untuk mendapatkan kerja tetap dan lebih menjamin. Kalau tidak, sia-sialah anak terunanya itu mempunyai segulung ijazah dalam bidang pengurusan. Datuk Ehsan orang yang berpengaruh, malah mempunyai syarikat kontraktor sendiri yang telah diusahakan selepas beliau bersara sebagai ketua pengarah di salah sebuah badan berkanun di Malaysia ni. Takkan dia susah untuk dapatkan satu posisi bagi anaknya sendiri memandangkan Datuk Ehsan mempunyai ramai kenalan. Tetapi, Rafaal yang menolak. Katanya, biarlah dia mendapat kerja dengan usahanya sendiri. Datuk Ehsan akui satu sifat anaknya yang itu. Rafaal lebih suka untuk berusaha sendiri bagi mendapatkan sesuatu yang diingininya malah dia sangat bertuah mempunyai anak-anak yang tidak pernah mengambil kesempatan dan mudah lupa diri terhadap kemewahan yang dilimpahkan kepada mereka sejak kecil lagi. Cuma yang bongsu itu sedikit manja.

“Nantilah dulu ummi. Abang tak sedia lagilah. Tunggulah setahun dua lagi bila Abang dah dapat kerja tetap. Abang janji, bila dah dapat aja kerja nanti, Abang terus cari calon isteri bawak jumpa ummi. Nanti, takdalah susah-susah ummi buat appointment lagi kan. Boleh teman ummi jalan-jalan, pergi shopping. Lepas tu, terus lupakan aja anak teruna ummi yang sorang ni.” Usik Rafaal apabila Datin Suraya menimbulkan soal calon isteri dan merungut dengan kesibukan dirinya itu yang sedang galak menerima tawaran menjadi model iklan dan produk penjagaan diri.

“Yela tu. Malaslah ummi layan kamu ni. Susah-susah sangat, biar aja ummi yang carikan. Hari tu, ummi nak kenalkan dengan anak kawan ummi, Abang tak mahu.” Jeling Datin Suraya kepada Rafaal yang sengaja mengusiknya tadi. Tersenyum pembantu butik itu apabila mendengar perbualan dua beranak itu seraya menyerahkan baju yang telah ditempah minggu lepas.

“Ala..ummi ni. Entah siapa entah yang ummi nak kenalkan. Ummi pun belum lagi tengokkan macam mana rupa anak kawan ummi tu?” balas Rafaal.

“Memanglah ummi belum tengok. Tapi kalau dah ibunya cantik, mestilah anaknya pun cantik juga. Kamu tu aja yang banyak sangat alasan. Anak kawan ummi tu pun dah nak kahwin dah. Abang banyak sangat alasan. Dah la, cakap dengan Abang ni memang selalu aja banyak hal. Ummi nak jumpa Aunty Suri kat dalam kejap. Abang tunggu aja kat sini.” Lantas Datin Suraya meninggalkan anaknya di ruangan menunggu itu keseorangan kerana malas berlawan cakap dengan anak terunanya yang seorang tu. Banyak sangat songehnya kalau cerita bab kahwin.

………………………………………………………………………..

Di dalam perjalanan pulang, Afeef hanya mendiamkan diri dan sebenarnya dia cukup terasa hati dengan Iffat yang berbual dengan Rafaal tadi sehingga terlupa akan dirinya yang menanti di kereta. Iffat pula dah buat muka pelik apabila melihat Afeef hanya mendiamkan diri tidak seperti selalu. Pasti ada sahaja yang hendak dia celotehkan. Lagi pula, dia memandu dalam keadaan yang sedikit laju daripada biasa. Iffat faham apabila Afeef memandu laju, mesti ada benda yang dimarahkannya. Tetapi, apa pula yang dimarahkannya kali ini sampai memandu laju macam tu.

“Ni yang kenapa drive laju-laju pulak ni? Dah tak sayang nyawa ke?” tanya Iffat malas apabila dia mula berasa bosan akan perangai Afeef yang satu ni. Bila marah, mulalah tunjuk protes.

“Kan kau kata tadi nak balik rumah cepat nak masak.” Balas Afeef dingin.

“Kau berhenti sekarang. Biar aku balik aja naik teksi. Aku belum lagi nak kena soal dalam kubur tu. Amal aku tak cukup lagi nak hadap semua tu!” balas Iffat pedas. Afeef memandang wajah Iffat yang mula marah tu dan sepantas tu jugak dia menyalakan lampu sisi untuk berhenti seperti yang dipinta oleh Iffat.

‘Ahh..sudah..betul-betul ke dia nak tinggalkan aku kat sini.’ Desis hati Iffat apabila Afeef betul-betul berhentikan keretanya di tepi jalan. Awalnya tadi dia sengaja ingin menakutkan Afeef sahaja sebab Afeef buat endah tak endah aja apabila dia menegur cara dia memandu tadi.

Afeef memandang wajah Iffat dengan mata yang merah menyala tanda dia menahan marah dan tinggal untuk dihambur saja dengan apa yang dilakukan oleh Iffat tadi. Walhal, perkara kecil sahaja. Rasa sakit hati dia saja yang lebih apabila melihat Iffat berbual mesra dengan lelaki lain. Dengan dia tak pula mesra macam tu. Terutamanya lelaki yang bernama Rafaal, yang dia tahu pernah menaruh perasaan terhadap Iffat. Itupun selepas adiknya terlepas cakap apabila dia bertanya akan perihal Rafaal sebulan yang lalu. Ingatnya, dia tidak akan berjumpa lagi dengan Rafaal. Jangkaannya meleset sama sekali dan bertambah sakit hatinya apabila melihat wajah Rafaal tadi. Jika sebulan lalu dia berasa cukup yakin yang Iffat juga tidak menaruh perasaan yang sama terhadap Rafaal, tetapi hari ini keraguan itu mula menjentik tangkai hatinya.

Afeef mencapai telefon bimbitnya lantas mendail nombor seseorang. “Assalamualaikum Makcik. Afeef ni. Makcik, hari ini saya nak bawa Iffat makan kat luarlah makcik. Lupa tadi nak cakap kat makcik. Iffat tak dapat nak masak makan malam ni. Maaf ye makcik. Tapi nanti saya janji hantar Iffat balik awal.” Lembut tutur Afeef tidak seperti wajahnya yang masam mencuka. Afeef memang seorang yang sangat menghormati orang yang lebih tua darinya. Tiap tutur katanya sentiasa dijaga. Itu salah satu sifat Afeef yang memang tidak boleh disangkal.

“Erk?” Iffat semakin pelik dengan Afeef. Muka masam macam mangga tak cukup masak, tapi cara cakap baik lah pulak. Tahulah dia yang Afeef menelefon maknya di rumah dan membatalkan rancangannya ingin memasak makan malam hari ini. ‘Kesian mak dapat menantu pelik macam ni. Dia dah berhutang janji dengan maknya ni. Ni semua menantu kesayangan mak punya pasal.’ Kata Iffat dalam hatinya.

Selepas beberapa minit berbual dengan Puan Hasmidah, Afeef mula merenung Iffat dengan rasa tidak puas hatinya yang tadi. Ingin sahaja dia memekik di telinga Iffat sekuat hati supaya jauhkan diri dari Rafaal biar puas hatinya. Tapi dia tahu, kalau dia berbuat sedemikian, silap haribulan, Iffat membatalkan rancangan untuk bernikah dengannya. Punahlah harapannya untuk menyambung pelajaran ke oversea sekaligus satu lagi rahsia besar yang tidak diketahui sesiapa pun termasuk ahli keluarganya.

“Dah, ni kenapa pulak tenung aku macam nak telan ni. Kau betul nak suruh aku turun kat sini ke?” Kata Iffat takut-takut apabila melihat keadaan Afeef sebegitu. Seingatnya, belum pernah Afeef berkeadaan seperti itu sepanjang mereka bersahabat.

“Haha..” tiba-tiba Afeef gelak kuat. “Tahu takut. Tadi bukan memang kau nak turun sangat ke?” Perli Afeef lagi. ‘Baru kau tahu takut. Tadi bukan main lagi kau takut kena soal segala. Sekarang takut pulak kalau aku suruh turun.’ Senyum jahat Afeef dalam hatinya melihat Iffat terkulat-kulat melihat luar tingkap kereta.

Iffat dah semakin pelik dengan lelaki bernama Afeef Adwan ni. Tadi marah, sekarang gelak pulak. ‘Apalah nasib aku lepas nikah dengan dia ni.’ Rungut Iffat dalam hatinya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 5”
  1. i is me says:

    Feef..kata n0 l0ve..2 jeles apasal?

  2. y@tt says:

    suka tp x nk nganku…
    ego btl si feef nie..hehehe

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.