Novel : Biar aku jadi penunggu 8

2 June 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : arsha wangi

Buk! “Adoi!” Terduduk Iffat ke pasir dengan tak semena-mena apabila terasa ada objek melantun ke kepalanya tadi.

“Aunty Fat!” Terdengar suara kanak-kanak lelaki yang berlari ke arahnya lantas mengusap-usap kepala Iffat tanda perihatin akan kesalahan yang telah dilakukan. “Sakit ke Aunty? Sorry, sorry. A’an ingat Aunty sempat elak. Aunty okey ke tak ni?” Kata kanak-kanak itu lagi bila melihat Iffat masih memegang kepalanya.

“Fat! Kau okey ke tak ni? Kau ni biar betul sampai tak perasan bola tu tadi. Jauh sangat kau menung sampai tak sempat nak elak. Haha..” Gelak satu suara pula.

“Hah, gelak! Gelaklah banyak-banyak biar baby dalam perut kau tu pun gelak sama!” Marah Iffat apabila melihat dua beranak tu sama-sama gelakkannya kerana tak sempat nak elak dari terkena bola yang dibaling oleh Farhan.

Farhan Ikmal anak sulong Hayati dan Luqman yang berkahwin selepas Afeef berangkat ke UK pada 3 tahun lalu. Kini Hayati bakal menambah seorang lagi cahaya mata kedua yang baru berusia 5 bulan. Bahagia sungguh pasangan itu sekarang. Seringkali juga dia cemburu melihat kebahagian anak-beranak itu.

“Okey okey. Tak gelak dah.” Balas Hayati seraya memegang perutnya yang mula senak itu kerana terlebih gelak melihat Iffat yang terduduk itu.

“Fat, apa yang kau fikir sampai macam tu sekali aku tengok kau termenung?” tanya Hayati sambil membantu Iffat berdiri semula.

“Hah? Err.. takda apalah. Saja imbas memori lama.” Balas Iffat pendek untuk mengelak daripada Hayati bertanya lanjut.

“Eleh. Yela tu. Macamlah aku tak tahu. Kau memang sibuk fikir pasal Afeef kan? Mengaku ajalah Fat.” Serkap jarang Hayati apabila Iffat tergagap menjawab pertanyaannya tadi.

“Erk? Fikir pasal dia? Buat apa? Buang masa aku ajalah.” Iffat duduk di kerusi rehat yang disediakan di tepi pantai itu. Hayati hanya mengekori. Farhan pula terus mendapatkan Luqman yang berdiri tak jauh dari mereka.

“Yela kau. Macamlah aku tak tahu kau tu. Manalah tahu kalau tiba-tiba dia dah ada kat KL masa ni. Mesti kau tak sabar-sabar nak jumpa dia lepas kita balik KL nanti. Hehe..” Balas Hayati pula sengaja memancing Iffat supaya bercerita lebih lanjut.

“Erk? Sikit pun tak. Entah-entah dia dah lupa nak balik Malaysia dah. Syok sangat duduk sana. Kan minah saleh banyak. Lagi cantik, lagi seksi dari aku. Agaknya dia dah lupa kat aku ni..” Jawab Iffat lirih apabila memikirkan soal Afeef yang langsung tidak menghubunginya selepas berangkat dahulu. Hanya sekali sahaja Afeef menghubunginya. Itupun hanya sekadar memberitahu sampainya dia di sana. Lepas tu, langsung tak dengar khabar berita. ‘Kejam kau Afeef! Penipu!’ Marah Iffat dalam hati. Jangan kata dia, ahli keluarganya yang lain pun sering tertanya-tanya kenapa Afeef berbuat demikian. Mana janji-janjinya dulu sebelum meninggalkan bumi Malaysia ini, Iffat sendiri tidak tahu. Jika dia tidak dihubungi, Iffat boleh bersabar lagi. Tetapi ibuayahnya sendiri turut dilupakan. Itu yang menambah kekecewaan Iffat kepada Afeef. Jauh berubah Afeef yang dikenali dulu berbanding sekarang. Dia tidak menyangka sungguh tega Afeef berbuat demikian kepada orang tuanya yang begitu menyayanginya. ‘Sampai hati kau Afeef!’

Sungguhpun Iffat tidak tinggal bersama keluarga mertuanya itu, dia tidak lupa untuk menjenguk keadaan mereka. Setiap hujung minggu pasti Iffat akan datang menziarahi dan sesekali akan tidur semalam dua. Selain itu, Iffat juga tidak lupa menghulurkan wang kepada mertuanya itu walaupun seringkali Hajah Zubaidah menolak. Iffat juga tahu yang keluarga mereka lebih dari mampu dan tidak perlu menerima sebarang wang tambahan daripada Iffat. Alasannya hanya satu iaitu dengan menyatakan wang itu daripada kiriman Afeef setiap bulan kepadanya. Jika tidak, Hajah Zubaidah dan Haji Ramlee pasti akan menolak. Padahal, wang itu daripada titik peluhnya sendiri. Walaupun ianya bukanlah dalam jumlah yang besar tetapi sama-rata dengan jumlah yang diberikan kepada Puan Hasmidah dan Encik Abdul Rahim. Telah dianggap keluarga mertuanya itu seperti keluarganya sendiri. Lagi pula, keluarga mertuanya itu terlalu baik dengannya sepanjang ketiadaan Afeef. Hubungan mereka terlalu baik. Mak dan abahnya juga tidak pernah menghalang Iffat berbuat demikian. Cuma, kebenaran tentang wang itu tidak pernah diceritakan kepada sesiapa. Biarlah menjadi rahsia peribadinya.

“Hmm..” terzahir keluhan di bibir comel itu apabila teringat kembali semua peristiwa yang menyebabkan dia terikat dalam keadaan macam ni. Kalau berdasarkan undang-undang, Iffat sudah boleh menuntut cerai daripada Afeef. Tapi, dia sendiri tidak tahu kenapa dia tidak berbuat demikian. Cinta. Ya, sebab cintanya terhadap Afeef tidak pernah luntur walaupun bibirnya sentiasa menyatakan benci di atas perlakuan Afeef terhadapnya.

Ada satu perkara yang Afeef tidak lupa lakukan hingga sekarang selepas bergelar suami kepada Iffat Hamani. Nafkah. Setiap bulan akaun Iffat akan terisi dengan sejumlah wang dan pastinya memang dari Afeef. Itu satu-satunya janji yang ditunaikan oleh Afeef sebelum dia berangkat. Tetapi, belum pernah satu sen pun yang Iffat gunakan untuk perbelanjaan hariannya sepanjang bergelar isteri. Sebelum bekerja dulu pun, abahnya yang sering memberikan wang perbelanjaan walaupun Iffat tidak pernah meminta kerana dia masih mempunyai wang simpanannya sendiri. Abah juga melarang menggunakan duit pemberian Afeef. Katanya biar sebagai simpanan untuk perbelanjaan dia dan selepas Afeef balik nanti. Begitu besar harapan keluarga Iffat kepada Afeef kerana sanggup menanggung makan pakai Iffat walaupun dia telah berkahwin. Tetapi tidak selepas Iffat bekerja. Dia sendiri tidak mahu membebani Encik Abdul Rahim dan Puan Hasmidah menanggung perbelanjaan keperluannya. Kerana dia tahu, manalah banyak hasil kebun kelapa sawit yang diusahakan oleh abahnya selepas bersara itu.

Hayati turut bersimpati dengan nasib yang menimpa sahabatnya itu. Segala masalah yang dihadapi antara Iffat dan Afeef, dia dan Luqman tahu. Luqman memang berkawan baik dengan Afeef. Begitu juga dengan dirinya yang begitu akrab dengan Iffat. Cuma sejak pemergian Afeef, sahabatnya itu sentiasa memendam rasa mengenangkan apa yang berlaku dalam hidupnya kini tidak seperti pasangan lain.

“Hmm.. Tak baik kau cakap macam tu Fat. Dia still husband kau kan. Sabarlah Fat. Apa lagi yang aku boleh kata. Itu aja yang kita mampu buat. Berdoa kepadaNya supaya dipermudahkan segala urusan kau dengan Afeef. Aku dengan Luqman pun selalu doakan kebahagiaan kau orang berdua. InsyaAllah.” Pujuk Hayati apabila melihat Iffat hanya tertunduk memandang pasir. Dia jelas melihat ada air jernih yang bertakung di kedua mata itu.

“Thanks Yat. Kau selalu bagi aku semangat.” Balas Iffat seraya memeluk erat sahabatnya yang sedang berbadan dua itu.

“Most welcome beb. InsyaAllah. Aku dengan Luqman akan tolong kau mana yang mampu. Sabarlah..” Kata Hayati membalas pelukan Iffat. Pada waktu itu, Luqman datang menghampiri dengan Farhan yang dalam dukungan ayahnya itu.

“Sayang, dah la tu. Dekat maghrib ni. Jom kita mandi, solat dulu. Then, nanti boleh sambung sesi peluk-peluk ni. Majliskan mula lepas maghrib. Nanti terlambat pulak. Dah la kau orang berdua ni kalau bersiap, boleh sempat masak lemang.” Gurau Luqman sekadar untuk meredakan keadaan Iffat yang kelihatan sedih sejak tiba di Teluk Batik tengah hari tadi. Farhan sudah mengekek ketawa apabila pantas saja tangan Hayati mencubit perut suaminya itu.

“Amboi abang. Bukan main lagi nak mengutuk orang ya” balas Hayati geram. Iffat sudah tersenyum melihat gelagat keluarga bahagia itu. Farhan pula juga turut mendapat habuan cubitan manja dari ibunya di kedua pipi gebu tu.

“Ibu ni. Sikit-sikit cubit pipi A’an. Sakitlah bu!”Celoteh mulut anak kecil itu memarahi ibunya. Sungguhpun usianya baru nak masuk 3 tahun, tapi tiap patah perkataanya tidak lagi pelat seperti kanak-kanak seusia dengannya.

“Sayang ni. Tangan tu kalau tak jalan tak boleh ke. Habis lebam-lebam badan abang sayang cubit.” Adu Luqman pula akan perangai isterinya yang satu itu.

“Lain kali buatlah lagi!” Balas Hayati pula sambil mencubit lagi pipi anak terunanya itu.

“Dah la Yat. Merah pipi budak tu. Dah dah. Jomlah balik bilik. Nanti lambat pulak.” Kata Iffat seraya memulakan langkah pulang ke bilik chalet masing-masing yang telah ditempah oleh pengarah program reunion mereka. Kebetulan pula pada waktu cuti sekolah, 3 hari 2 malam mereka menginap di situ.

Ini kali kedua mereka mengadakan reunion bersama rakan-rakan sekolah dan yang seronoknya, ia dilakukan di tempat yang sama. Kali pertama selepas mereka tamat di tingkatan 5 dan masing-masing masih belum berkeluarga. Afeef juga pada waktu itu turut serta. Sekarang masing-masing datang dengan keluarga. Riuh-rendah jadinya dengan hilai ketawa dan tangisan kanak-kanak. Hanya Iffat sahaja yang datang bersendirian tanpa ditemani sesiapa. Kalau dulu mereka hanya bercamping sahaja. Tapi kali ini, pantai tersebut telah banyak berubah. Banyak kemudahan lain yang telah disediakan untuk pelancong yang datang. Termasuklah beberapa chalet yang baru dibuka.

Pada awalnya, Iffat menolak untuk menyertai reunion tersebut. Tetapi didesak oleh Luqman dan Hayati supaya turut serta. Katanya bukan selalu program macam itu diadakan. Lagi pula, dia pun sudah lama tidak bercuti dan peluang ini diambil untuk merehatkan kepala dan hatinya yang sentiasa tidak tenang apabila teringat akan peristiwa lalu.

Program mereka pada malam itu hanya sebagai sesi pertemuan semula rakan-rakan sekelas yang sudah lama tidak berjumpa. Sedikit briefing tentang tentatif program sepanjang mereka di situ juga disampaikan. Iffat hanya melihat telatah anak-anak kecil yang berlari ke sana-sini apabila ibubapa masing-masing sibuk bercerita itu ini dengan rakan yang telah lama tidak berjumpa. Iffat bukan tidak berminat untuk menyertai mereka, tetapi telatah anak-anak kecil yang lebih menarik perhatiannya.

Menerawang lagi Iffat apabila membayangkan dirinya yang mempunyai anak-anak kecil seperti itu. Kalau dikirakan usianya, dia bukan muda lagi. Kata orang, sedang elok untuk mempunyai anak. Dari usia perkahwinannya juga, kalau diikutkan sudah boleh mempunyai anak sekurang-kurangnya seorang seperti Hayati dan Luqman. Tetapi, apa yang boleh dia katakan. Perkahwinannya bukan seperti orang pasangan lain.

Hatinya semakin kerap rasa tidak tenang apabila teringatkan Afeef. Berkali-kali juga dia beristighfar di dalam hati bagi meredakan keresahan hati itu. Dia tahu yang lelaki itu akan pulang ke Malaysia dalam waktu terdekat ini. Itupun Afia yang memberitahunya selepas abang kesayangannya itu menghantar email beberapa minggu lalu.

Bercerita tentang email. Bukan sekali dua Iffat menghantar email kepada Afeef untuk bertanya khabar. Boleh dikatakan setiap hari dia menghantar email kepada Afeef. Cuma Iffat menghentikan kerja tak berfaedah itu selepas setahun Afeef berada di sana dan tiada satu pun yang berbalas. Sejak itu, Iffat belajar untuk melupakan kewujudan Afeef dalam hidupnya. Dia tahu yang dia hanya bertepuk sebelah tangan dan hampir berputus asa meletak harapan dan menjadi penunggu setia Afeef. Tapi apa yang dia dapat. Harapan tinggal harapan, janji tinggal janji. Segalanya bercampur-aduk dalam fikiran Iffat. Perkara itu yang selalu menyesakkan kepalanya. Nasib baik juga dia telah bekerja. Masalahnya itu dapat dilupakan seketika dengan menyibukkan diri melakukan tugasan harian yang menuntut untuk Iffat bergerak ke sana ke mari berurusan dengan orang.

“Fat! telefon kau bunyi tu. Kau tak dengar ke? Berangan aja kau ni dari tadi. Tak habis lagi ke oi.” Sergah Hayati seraya menepuk sedikit bahu Iffat yang duduk bersebelahan dengannya sekaligus menyedarkannya kembali ke alam realiti. ‘Huh! Malampau sungguh betul kau ni Fat asyik nak berangan aja!’ Marah Iffat pada dirinya sendiri bila ditegur Hayati.

Iffat melihat nama pemanggil di skrin kecil itu. “Mama?” Kata Iffat sendiri. Dia buat muka pelik apabila melihat nama si pemanggil. Setahunya, mama jarang menelefonnya pada waktu malam. Kalau ada hal pun, Afia yang selalu menghubunginya. Dengan pantas dia menekan juga butang hijau.

“Waalaikumussalam mama” jawab Iffat mesra membalas salam mamanya. “Mama okey ke?” tanya Iffat segera apabila merasakan seperti ada suatu perkara yang berlaku dalam keluarga mertuanya itu. “Alhamdulillah. Ingat ada apahal tadi sampai mama call Iffat” balas Iffat lega bila mengetahui keadaan mak mertuanya itu. Tiba-tiba wajah Iffat pucat tak berdarah dan spontan tanggan kirinya menggenggam tangan kanan Hayati di sebelah. Hayati memandangnya pelik. “InsyaAllah ma. Assalamualaikum.” Kata Iffat lemah seraya memutuskan panggilan. Hayati yang melihat, sudah merasa ada yang tidak kena pada sahabatnya itu.

“Fat, kau okey ke?” tanya Hayati perihatin apabila dia nampak mata Iffat mula berair.

“Yat..Afeef” jawab Iffat pendek.

“Kenapa dengan Afeef pulak? Tadi bukan ke mama kau yang call?” tanya Afeef lagi.

“Hmm..Afeef dah balik..” jawab Iffat dalam suara antara dengar tak dengar. Razi yang sedang menyampaikan briefing untuk aktiviti program mereka esok di atas pentas kecil di café resort itu sudah tidak dihiraukan lagi.

“Hah! Kau biar betul Fat?” balas Hayati terkejut kerana tidak menyangka yang Afeef akan balik pada malam itu. Tak sangka gurauannya pada petang tadi menjadi kenyataan. Iffat hanya menganggukkan kepalanya mengiyakan pertanyaan Hayati.

“Sayang, Iffat!” panggil Luqman pula yang muncul entah dari mana dengan anak terunanya sambil memegang sebatang aiskrim. Kedua mereka berpaling ke arah Luqman yang sedikit termengah kerana laju berjalan balik daripada membelikan Farhan aiskrim dari kedai berhampiran.

“You alls okey ke tak ni? Apsal pucat semacam aja ni?” tanya Luqman bila melihat kedua wajah dihadapannya. Farhan pula dibiarkan menyertai kanak-kanak lain berkejaran sana sini.

“Err..abang, Afeef dah balik” jawab Hayati apabila Iffat hanya mendiamkan diri.

“Hah! Abang baru nak cakap benda yang sama” balas Luqman yang sama-sama dah tayang muka pelik.

“Hah!” spontan Iffat memandang muka Luqman. “Mana kau tau Man?” tanya Iffat pula kerana pelik bagaimana Luqman juga tahu akan perkara yang sama.

“Hmm.. Afeef baru aja call aku. Tu yang aku cepat-cepat datang sini nak bagitahu kau” terang Luqman.

“Hah!” kali ni, kedua-dua wanita dihadapannya bereaksi hampir serentak. Luqman hanya menganggukkan kepalanya.

“Fat, lagi satu hal aku nak cakap ni. Afeef kata dia nak datang sini” Kata Luqman perlahan kerana dia tahu Iffat pasti terkejut dengan perkhabaran yang satu itu.

“Hah!” Kali ini hampir terjerit Iffat dengan kata-kata Luqman. Nasib baik rakan-rakan lain tidak perasan akan suaranya kerana suasana café itu bising dengan gelak ketawa dan berpadu pula dengan suara anak-anak kecil yang bermain dan menangis. Memang sungguh meriah gamaknya.

“Macam mana dia tahu kita ada reunion kat sini?” Tanya Hayati kepada suaminya itu.

“Dia kata dia dapat surat jemputan dari email siapa entah.” Jelas Luqman apabila melihat wajah Iffat yang sudah berkerut tu.

“Err..Yat, Man… aku rasa aku tak sedia nak jumpa dia..” balas Iffat lemah.

“Erk..Fat, bukan ke kau memang tunggu dia balik selama ni? Kenapa pulak kau tak nak jumpa dia?” tanya Hayati pula apabila melihat wajah Iffat yang keruh itu.

“Err..aku..aku..” Iffat tak tahu alasan apa yang harus diberikan. Cuma apa yang dia rasakan saat itu, dia memang tidak mahu berjumpa dengan Afeef. Lebih-lebih lagi di hadapan rakan-rakan sekolah lama mereka.

“Fat, aku rasa, ada baiknya kau jumpa dia Fat. Sampai bila kau tak nak jumpa dia. Kan dia dah ada kat sini. Aku rasa memang eloknya kau bincang pasal hubungan kau orang berdua ni. Sampai bila nak macam ni aja. Manalah tahu kalau dia pun sebenarnya tunggu kau. Kau jumpalah dengan dia dulu.” Pujuk Hayati lagi.

Luqman hanya diam membisu kerana tidak tahu apa yang harus dikatakan untuk menenangkan Iffat. Dia hanya membiarkan Hayati sahaja yang mententeramkan Iffat. Farhan yang penat bermain dengan kanak-kanak lain pun telah kembali ke dalam dukungan ayahnya. Letih benar lihatnya.

“Sayang, abang masuk bilik dulu ya. Tukar baju A’an ni lepas tu tidurkan dia dulu. Sayang nanti balik dengan Iffat aja ya.” Luqman meminta diri untuk memberi ruang kepada kedua wanita itu berbual. Mungkin Iffat lebih selesa dan tenang bersama Hayati. Sempat juga Luqman menghadiahkan kucupan ke kepala Hayati. Sungguh bahagia keluarga itu. Iffat yang tersipu dengan perlakuan mesra pasangan dihadannya itu. Manis dilihatnya. Dalam hatinya, timbul sedikit rasa cemburu kerana dia juga inginkan kemesraan yang sebegitu.

“Okey abang. Kejap lagi sayang balik.” Balas Hayati ringkas dengan menghadiahkan ciuman sayang ke pipi Farhan pula.

“A’an, say good night kat Aunty Fat.” suruh Luqman kepada anaknya.

“Aunty Fat, Good night” comel mulut itu berkata-kata seraya menghadiahkan ciuman kedua belah pipi Iffat dan mamanya.

“Good night sayang!” balas Iffat mesra. ‘Bahagianya jadi kanak-kanak macam Farhan. Tak faham akan masalah yang berlaku.’ Desis hati Iffat bila memikirkan masalah yang sedang dihadapinya. Sempat juga Iffat dan Hayati berbalas lambaian kepada Farhan dan Luqman yang mula menjauh.

“Fat, kau fikirlah betul-betul dulu. Jangan buat keputusan melulu.” Sambung Hayati.

“Hmm.. aku tak tahu la Yat..aku takut nak jumpa dia Yat. Masa dia kat sana, kenapa tak sekali pun dia cari aku? Langsung takda khabar berita. Ni tiba-tiba balik macam ni. Aku tak sedia langsung nak jumpa dia dalam keadaan macam ni Yat.” Balas Iffat perlahan. Dia rungsing memikirkan Afeef yang ingin datang berjumpa dengannya di situ.

“Habis tu, kau nak lari ke mana Fat?” tanya Hayati lagi yang kurang bersetuju dengan keputusan Iffat.

Sekali lagi telefon bimbitnya menyanyi riang minta diangkat. Jantung Iffat berdenyut laju apabila memikirkan yang pemanggil itu mungkin Afeef. Dia masih tidak melihat nama si pemanggil kerana membayangkan mesti Afeef yang menghubunginya.

“Fat, angkatlah phone tu.” Tegur Hayati apabila Iffat teragak-agak untuk melihat nama yang muncul di skrin kecil itu. Dilihat tiada tanda-tanda Iffat ingin mengangkat, lantas tangan Hayati mencapai telefon bimbit di dalam beg tangan Iffat. Terus dia menayangkan telefon itu dihadapan mata Iffat. Iffat menarik nafas lega apabila melihat nama si pemanggil. Terus dia menekan butang hijau. Hayati member sedikit ruang kepada Iffat untuk berbual dengan si pemanggil. Rafaal Haziq!

“Waalaikumussalam.” Jawab Iffat tenang.

“Hmm.. program mula esok. Dah lewat ni, lambat you tidur Rafaal?” tanya Iffat pula sengaja berbasi-basi. Tangannya turut melirik ke jam tangan yang dipakainya. Hampir 12 malam.

Hubungan dia dan Rafaal semakin akrab sejak Afeef ke luar negara. Dia juga pernah terserempak dengan Rafaal masa menghantar Afeef dulu di lapangan terbang. Rafaal yang melanggarnya masa di dalam kedai coklat. Sejak itu, mereka terus berhubung atas nama kawan. Iffat yahu di mana batasnya. Kebetulan juga Rafaal dan Iffat bekerja di dalam satu bangunan yang sama. Tetapi mereka masih lagi menjaga batas-batas perhubungan memandangkan Iffat masih bergelar isteri Afeef. Rafaal pula amat menghormati Iffat akan status yang disandangnya kini. Tiada salahnya di situ. Cuma, Rafaal memang kerap menghubungi Iffat sejak akhir-akhir ini dan Iffat tidak pula mengesyaki apa-apa walaupun Hayati selalu mengingatkannya yang Rafaal mungkin ada hati lagi dengannya. Kalau tidak, masakan lelaki itu masih belum berkahwin sehingga kini.

“Hah!” Iffat buat muka pelik dan terus membalas pandang dengan Hayati yang duduk selang beberapa kerusi dengannya.

“Err.. up to you la Raff” kata Iffat lagi. Matanya masih tidak terlepas memandang Hayati yang mula duduk semula di sebelahnya.

“Assalamualaikum” balas Iffat lagi seraya memutuskan panggilan. Hayati yang melihat sudah mengerutkan dahinya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Biar aku jadi penunggu 8”
  1. rieda says:

    best…bila nak sambung?

  2. impirika_08 says:

    best..
    sambung cpt2…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.