Novel : Bicara Rindu Arissa 1

27 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: Ryn Maya

PROLOG

Hujan mencurah laju. Kesejukan telah menggigit segala tulang yang ada padaku. Maklum saja, mana mungkin sebatang tubuh kecil lagi kurus mampu menahan simbahan hujan selebat ini.

“Arisa! Apa lagi yang kau khayalkan tu? Dah la kamu tu jarang hadir ke sekolah. Masih nak berangan dalam kelas saya?” marah cikgu Qilah sambil menjengkilkan mata sepetnya.

Seraya itu aku terkejut. Malunya ! Seluruh isi kelas sedang memerhatikan aku. Mata masing-masing tertancap padaku yang semakin kelu dek panahan marah cikgu Qilah sebentar tadi. Melihat adegan lagak ibu tiri Cinderella sedang marah pastinya mencuit perhatian rakan-rakanku.

“Er…saya…saya…,” aku bingkas bangun sambil tergaru-garu kepala walhal tiada rasa gatal pun. Aku sempat melihat muka simpati yang dipamerkan oleh seluruh isi kelas.

“Alamak! Apa aku nak jawab ni. Ni bukan amarah yang pertama, tetapi sudah acap kali aku ditegur begini,” aku mula mengumam dalam hati.

“Duduk! Siapa suruh kau berdiri? Jumpa saya di bilik guru sebelum balik,” sambung cikgu Qilah sebelum kembali menulis soalan matematik di papan hitam.

“Hai, masaklah kau kali ni arisa. Itulah lain kali jangan rindukan aku. Aku ni kat sebelah kau aje. Ha, tak pasal dah kena marah dengan cikgu,” sampuk Hanif yang sememangnya duduk di sebelah aku. Ikutkan hati memang tak nak pun duduk sebelah mamat ni. Tapi, memandangkan dia budak baru masuk dan sebelah aku memang kosong, maka guru kelas telah minta dia duduk di sebelah aku.

BAB 1

“Dummmm!!” bunyi guruh mengejutkan aku. Aku berjalan pantas. Lagi beberapa buah rumah sahaja yang perlu aku lewati sebelum sampai ke rumah.

“Ya Allah, Arisa ni. Sambil berjalan pun masih sempat berangan,” bisik hatiku. Setibanya di rumah, aku lihat ada sepasang sepatu lelaki. “Abah,” detak hatiku.

“Imah dah cakap Imah tak ada duit, bang. Jangan siksa Imah lagi. Tolong…,” Fatimah meronta agar lelaki tersebut melepaskan cengkaman di lehernya.

Kelam-kabut aku berlari memanjat anak tangga itu. Daun pintu ditolak sekuat hatiku. Aku pasti abah datang lagi menagih duit ibu. “Lelaki tak guna !” bentak hatiku.

“Abah ! Lepaskan ibu !” aku segera menerpa pada abah yang semakin gagah mencengkam ibu. Terasa melayang badanku apabila ditolak oleh abah sekuat hati. Hantukan di lantai langsung tidak memberi sakit padaku. Sakit amarah pada abah lagi menggunung daripada sakit hentakan tadi. Aku bingkas bangun. Mencapai sebatang kayu yang sememangnya disandar pada dinding untuk menjadi pelindung kala terjadi hal begini.

“Gedebuk!!” aku memukul belakang abah dengan kayu tersebut. Abah memandang padaku dengan wajah penuh kebengisan.

“Kau ingat kau siapa nak pukul aku sesuka hati ?” abah cuba merapati aku. Kayu masih digenggam erat pada tanganku. Aku mengangkat kayu tersebut sebagai tanda bahawa aku akan bertindak apa sahaja sekiranya abah cuba melakukan yang bukan-bukan.

“Keluar dari rumah ni! Arisa benci abah! Jangan ganggu ibu lagi! Sebelum Arisa hentak abah, lebih baik abah keluar !!” aku menjerit berani.

Abah menghentikan langkahnya sambil mengangkat tangan sebagai tanda amaran padaku. Dia berlalu keluar dari pintu. Aku segera mendapatkan ibu yang semakin lemah. Tangisan ibu mengesak. Aku turut merasai keperitan ibu.

“Ibu, ibu tak apa-apa? Arisa dah halau dia. Ibu, kuat ibu. Ibu masih ada Arisa. Arisa perlu ibu,” aku memeluk erat ibu. Tak sanggup andai ibu disakiti lagi oleh abah. Ibu memelukku erat. Hanya air mata ibu yang menjadi bicara tentang sarat di hati lara ibu.

Malam bertamu dengan kepekatan. Aku sengaja membiarkan jendela terbuka kerana ingin dibuai angin malam. Aku mencapai pena beserta kertas terselit di buku. Mencoret, meluah rasa hati. Selalu itulah ingin aku. Meluah pada kertas sambil bicara sama hati.

“Malam ini aku menangis.
Ada air di dalam mata .
Cuba keluar membersih diri.

Malam ini aku menangis.
Apakah salah aku meluah rasa dalam diri ?
Aku cuba menggagah
Merangkak payah
Tapi

Malam ini aku menangis
Meminta-minta pada Ilahi
Melihat aku sebagai gadis
Tidak tumbang ditiup angin

Malam ini aku menangis….”

-Arisa-

“Arisa, kenapa masih berjaga ? Esok kamu ke sekolah ya ? Ibu tahu abah takkan datang esok. Jangan risau pada ibu. Ibu kuat,” ibu mengelus lembut rambutku. Aku lantas memeluk ibu. Ah, bau ibu sungguh wangi. Sewangi kekuatan hati ibu. Sewangi perwatakan ibu. Ibu memang tabah. Tak pernah mengalah walau jatuh dari atas.

“Ibu, Arisa teman ibu ya? Lagipun Arisa tak mahu ibu ke kebun seorang diri. Biar Arisa tolong ibu. Siapa lagi yang boleh bersama ibu selain Arisa? Hm..” aku masih tidak mampu untuk melepaskan pelukan dari ibu. Sungguh rindu pada ibu. Rindu pada kebahagiaan ibu. Rindu pada wajah ceria ibu. Allah, Engkau Maha Mengetahui. Betapa ibu kuat mendayung kehidupan seorang diri. Sungguh, aku pasti jatuh tak terbangun andai aku di tempat ibu. Teruskan memberi kekuatan pada ibu, ya Allah. Cukupkan hati ibu dengan sejuta ketabahan. Tak semena air mataku gugur.

“Arisa, jangan menangis. Allah ada. Ini hadiah Allah untuk kita. Senyum sayang. Ujian itu hanya untuk hamba yang disayangi Allah,” ya, betapa ibu reda dalam tiap kata-katanya. Malu aku pada ibu. Aku insan muda harus lebih tabah dan berani. Malam berlalu sambil aku berbual mesra dengan ibu. Kami terlena bersama. Damai, itu tafsiran untuk hati aku.

Azan subuh telah mengejutkan aku dari lena. Alhamdulillah, tiada mimpi malam yang menemani tidur. Usai solat subuh dan bersarapan, aku dan ibu terus ke kebun untuk menoreh. Memang ini aktiviti lazim apabila aku tidak ke sekolah.

“Pasti cikgu Qilah tercari-cari aku. Semalam aku tidak ke bilik guru sebelum pulang. Nasib baik aku tak ke bilik guru. Kalau tak, entah apa jadi pada ibu. Ya Allah, lindungi ibuku dan berilah petunjuk pada ayahku,”omelku sambil menoreh getah pada pokok.

Matahari semakin garang memancarkan sinar. Sungguh. Panas ini sangat berbahang. Disebabkan bahang ini kulit aku juga semakin hitam dan kusam. Itu belum termasuk jerawat yang setia melekat di pipi dan dahi.

“Macam mana nak jadi pramugari kalau jerawat beterabur di muka? Arisa..Arisa..tanam impian ajelah nampaknya,” bisikku pada diri. Aku tertawa kecil. Tinggi sungguh angan-angan. Sekolah pun jarang pergi, ada hati nak jadi pramugari. Kirim salam ajelah.

Tepat pukul tiga petang aku dan ibu pulang ke rumah. Dari jauh aku nampak sebuah kereta Persona parkir di hadapan rumah.

“Ibu, bila masa ibu beli kereta ni? Tak bagitahu Arisa pun. Ibu nak buat kejutan ya?” aku mengusik ibu. Ibu memberi reaksi pelik. Aku ketawa mengekek melihat reaksi ibu.

“Apa yang kamu merepek ni. Banyak pula duit ibu nak beli kereta,” ibu mencubit perutku.

“Aduh. Ibu ni, Arisa berguraulah. Itu, kita ada tetamu nampaknya,” aku menunjukkan ke arah kereta Persona.

“Eh, kejap kejap. Macam aku cam je perempuan yang sedang duduk di pangkin rumah. Eh, alamak! Alamakk !! Itu cikgu Qilah. Hai, nasib nasib. Kenapa perlu datang ke rumah. Kot ya pun rindu nak jumpa aku, jumpalah kat sekolah bila aku pergi esok lusa. Sekolahkan sampai bulan November. Ini tidak, sampai ke rumah pula. Ini mesti aku kena bebel sebab tak jumpa dia semalam. Mana nak sembunyi ni…….” aku cepat-cepat menyorok di belakang ibu.

“Assalamualaikum puan. Maaf, puan cari siapa ya?” ibu menghulur tangan bersalaman dengan cikgu. Sementara aku pula telah berjaya melarikan diri dan masuk ke rumah melalui pintu dapur. Otak haruslah geliga untuk lepaskan diri wahai Arisa. Hihi.

Aku segera ke bilik air untuk mandi dan solat zuhur. Aku intai di luar jendela.

“Eh, lamanya. Ada lagi cikgu ni. Tapi kenapa ibu tak panggil aku pun ? Apalah isu yang nak dibincangkan tu. Ah, perempuan. Memang banyak bicara. Sehari kenal macam bertahun dah jumpa.” Aku pantas merebahkan badan di katil.

“Tidur sambil mimpikan putera katak pun seronok juga ni,” aku terus melelapkan mata dek kerana penat masih lagi menghimpit diri.

Malam itu, setelah selesai solat isyak, aku terus mengambil buku untuk menelaah. Ya, aku memang jarang ke sekolah. Tapi, aku masih tidak lupa untuk belajar. Tambahan pula aku bakal menduduki peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) pada tahun ini. Mungkin disebabkan hal ini cikgu Qilah terlalu risaukan aku. Maklum sahajalah, dia merupakan guru kelas aku. Dalam diam, aku cukup mengkagumi cikgu Qilah. Beliau sangat prihatin. Contoh macam tadilah. Tup tupp ada depan rumah. Belum ada cikgu yang datang ke rumah aku. Beliau yang pertama. Mungkin kerana dia guru baharu. Jadi, dia pasti punyai rasa ingin tahu yang menebal.

“Arisa, esok kamu ke sekolah ya?” ibu memulakan bicara.

“Hm…baiklah ibu. Ibu, apa hajat cikgu Qilah tadi? Lama betul dia bersembang dengan ibu,“ aku cuba mencungkil rahsia dari ibu.

“Pandai pula kamu bertanya. Tadi, masa cikgu datang, kamu sedap-sedap lenakan diri.” Ibu mencebik sambil tersenyum.

Aku tersenyum kelat. Aku tahu itu salah aku. Tapi, aku takut untuk berhadapan dengan cikgu Qilah. Meskipun dia prihatin, namun dia sangat tegas. Tak mampu aku nak memandang wajahnya bila dia marah.

“Arisa, kamu bakal menduduki SPM. Tentunya cikgu Qilah sangat risaukan prestasi kamu. Sebagai ibu, ibu berasa sangat bersalah pada kamu. Dek kerana masalah ibu dan abah, kamu turut terkena tempiasnya. Ibu harap Arisa berjaya. Berjaya menjadi anak yang solehah dan berjaya sebagai pelajar. Ibu mahu kamu merubah nasib kita berdua dengan kejayaan kamu. Usia ibu hanya pinjaman. Selagi Allah izin selagi itu ibu ada di sisi kamu. Tapi, andai suatu hari nanti, ibu pergi sebelum kamu, ibu tak mahu melihat kamu seorang diri menjalani kehidupan yang susah. Kejayaan itu penting, nak. Masa depan kamu ukiran kamu. Baik yang kamu ukir, cantiklah hasilnya nanti. Maafkan ibu kerana membawa kamu menghadapi kesusahan bersama ibu,” kata-kata ibu sangat meruntun hati aku. Aku peluk ibu erat. Menangis semahunya di bahu ibu.

Malam itu sebelum tidur, aku mencoret lagi.

Bulan mulai menyelimuti malam
Ada bau angin membawa bayu
Aku masih di sini mendongak pada langit
Aku bertanya pada diri
“Hey, kenapa kau masih belum mengerti?”

Aku bermain dengan jari
Berkira-kira sendiri tentang hari
Ada perkara yang perlu aku cari
Bukan pada siapa tapi pada diri

Keluarga itu apa?
Sayang itu di mana?
Kasih itu siapa?
Perhatian itu bagaimana?

Bulan mulai menyelimuti malam
Ada bau angin membawa bayu
Aku masih di sini mendongak pada langit
Aku bertanya pada diri
“Hey, kenapa kau masih belum mengerti?”

-Arisa-

Pagi ini memberi kesegaran pada aku. Nikmat segar hanya dapat dicium pada waktu pagi tatkala udara masih belum tercemar dengan saki-baki duniawi. Seperti biasa aku ke sekolah dengan berjalan kaki. Meskipun jarak agak jauh tapi aku sudah biasa begitu.

Loceng rehat berbunyi. Perut aku agak lapar kerana pagi tadi hanya sempat minum air kosong sebagai sarapan pagi.

“Arisa, boleh cikgu ambil masa kamu sebentar?” cikgu Qilah tiba-tiba muncul di pintu kelas tingkatan 5 Ibnu Sina.

“Er…saya lapar la cikgu..” aku cuba mengelak.

“Ni, ada nasi goreng untuk kamu. Duduk, makan. Sambil tu kita sembang-sembang, ya?” cikgu Qilah menghulurkan bungkusan nasi goreng padaku.

“Ini rezeki namanya. Bagai orang mengantuk disorong bantal. Hihi,” aku menerima bungkusan tersebut sambil tersenyum.

“Cikgu nak tanya, selalu ke ayah kamu mengunggut ibu kamu?” cikgu Qilah mulakan bicara.

“Ya, ayah kejam. Kalah judi, cari ibu. Ibu bukan isteri ayah lagi. Kenapa ayah perlu kejam pada ibu? Ayah pukul ibu. Dari saya kecil hingga sekarang, ibu selalu menjadi mangsa. Ayah kenapa tak sayang kami? Apa salah ibu pada ayah? Apa salah saya sebagai anak? “ aku terus meluah tanpa dipinta.

“Kamu makan sampai kenyang dulu. Nanti balik, cikgu hantarkan kamu, ya?” cikgu Qilah berlalu pergi.

Jam menunjukkan pukul 2.30 petang. Aku ke kereta cikgu Qilah seperti dijanjikan. Aku rasa dilindungi bila ada guru seperti ini. Mengambil tahu akan hal keluarga pelajar. Berbincang sebelum dimarah melulu. Bukankah itu sifat yang perlu ada pada guru?

“Terima kasih,cikgu. Maaf sebab saya kerap tidak hadir ke sekolah. Saya risau akan ibu. Saya tahu peperiksaan semakin hampir. Tapi, saya lebih risau akan ibu,” aku jujur pada cikgu Qilah.

“Saya faham. Tapi kamu tetap tidak boleh mengabaikan tanggungjawab kamu sebagai pelajar. Tanggungjawab itu amanah Allah. Amanah Allah wajib kita lakukan. Belajar mencari ilmu itu fardhu ain, Arisa. Saya harap kamu fikirkan tawaran saya. Lagipun kelas tambahan yang akan saya adakan pada hujung minggu itu percuma. Saya mahu kamu berjaya,” sempat cikgu Qilah berpesan tentang tawarannya.

“Baik cikgu. Cikgu, jemput naik. Boleh saya bagitahu ibu tentang kelas tambahan tu,” aku mempelawa cikgu Qilah.

“Ibu kamu dah tahu. Cikgu dah beritahu pada ibu kamu tapi ibu nak cikgu sampaikan sendiri cadangan ini kepada kamu. Eh, Arisa, kenapa pintu rumah kamu terbuka? Atau memang biasanya begini?” tanya cikgu Qilah. Aku segera menoleh.

“Ya, ada sepatu lelaki. Pasti abah!” bisik hatiku. Aku segera keluar dari kereta menuju laju ke dalam rumah. Dalam hati dan fikiranku cuma ada ibu.

“Ibuuuu!!” aku pantas mendapatkan ibu yang terbujur kaku di hadapan pintu bilik. Darah berlumuran dari perut ibu. Aku nampak abah duduk terpaku sambil menangis memegang pisau di hadapan pintu bilik. Gaya seperti sang kurang siuman menyesali diri.

“Kau bunuh ibu aku! Kau jahat! Kau bukan ayah aku. Dasar lelaki tak guna!!”aku memukul ayah sekuat hati sepenuh kudrat perempuanku. Tapi ayah tidak melawan. Malah diam membatu dan terus menangis begitu.

“Arisa! Bawa mengucap. Bawa mengucap. Itu ayah kamu,” cikgu Qilah cuba meleraikan tindakanku.

“Lelaki ni bukan ayah aku! Dia cuma ayah tiri yang tak sedar dek untung!” amarahku terhambur keluar. Ada riak terkejut dari wajah cikgu Qilah.

Beberapa minit kemudian, penduduk kampung membanjiri rumahku. Polis mengambil keterangan daripada cikgu Qilah. Aku masih setia di sisi ibu sementara ayah di bawa pergi bersama gari di tangan. Aku nampak bayang ibu tersenyum di sudut tengah ruang tamu. Aku tahu penderitaan ibu telah berakhir. Senyum ibu tanda bahagia. Moga ibu tenang abadi di sana.

“Bonda disayangi,
Cukup istimewa saat kita berdua
Berkongsi resah duka dan lara
Menyulam bahagia kita bersama

Bonda disayangi,
Ada cinta dalam hati kita
Ada jiwa dalam rasa kita

Aku tidak tahu bonda di mana
Di atas, di bawah
Kiri atau kananku
Depan atau belakangku

Namun bonda
jika kau nampak anakandamu ini
pintaku cuma satu
sayangi anakmu seperti selalu”
–Arisa-


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.