Novel : Boss Garang? Taklah… 9

26 July 2012  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Azfeen A.G

Bab 9

Puan Sri Mardinah menarik nafas dalam-dalam sebelum bersuara. Wajah Hanima diperhatikannya, mencari ayat yang sesuai untuk diperkatakan.

Hanima pula diam dan cuba bertenang. Sejak dipanggil ke bilik CEO, Ikhwan Holdings lima minit yang lalu, dia pasti panggilan melalui interkom itu bukan berkenaan dengan tugas. Ternyata apa yang dirasakannya kini benar belaka. Kebimbangan melanda.

Sekali lagi Puan Sri Mardinah menarik nafas panjang. Sukar benar untuknya mencari perkataan untuk dijadikan ayat yang sempurna. Sopan dan sesuai.

“Bagaimana saya nak mulakan, Hanima?” Akhirnya Puan Sri Mardina bersuara, memulakan kata.

“Mulakan apa, Puan Sri?”

“Awak pasti awak tak tau kenapa saya panggil awak sebentar tadi?”

Hatinya gundah gulana. Apa sebenarnya niat isteri majikannya itu?

“Maaf, Puan Sri. Saya benar-benar tak tau. Berkenaan dengan tugas saya yang kurang memuaskan ke, Puan Sri? Saya akan cuba perbaiki.”

Jantungnya berdegup pelbagai irama. Irama gelisah, risau, serba-salah semua bergabung dalam satu.

“Saya tak pernah complain tentang tugas awak, Hanima. Saya bersyukur dan berterima kasih dengan jasa awak. Apa yang nak saya bagitau ni… Err… Bincang. Itu paling sesuai untuk situasi kita ni. Ada perkara lain.”

“Bincang? Bincang apa, Puan Sri?”

“Anak saudara awak.”

Ah! Sudah. Takkanlah… Mendengar nama Nurul Ain, pengarang jantungnya itu membuatkan Hanima cuak. Bukan cuak untuk dirinya, tapi cuak untuk satu-satunya anak saudaranya itu.

“Semalam awak nampak tak Irdina ke mari?” Tanya Puan Sri Mardinah. Wajahnya nampak tenang tapi hatinya tiada siapa yang tahu. Hati seorang ibu.

Hanima mengangguk perlahan.

“Nurul Ain tu, Ain yang awak pernah cerita kat saya tu kan? Orang yang sama?”

“Ya, Puan Sri.”

“Hmm… Awak pasti awak tak tau tentang perkara yang saya nak bincangkan ni?”

“Puan Sri, sebelum tu, saya mintak maaf banyak-banyak. Saya rasa saya tau cuma saya tak berapa pasti. Saya akan
pastikan perkara ini tak berulang. Saya mintak maaf bagi pihak anak saudara saya.”

“Mintak maaf? Berulang? Apa yang awak cakap ni, Hanima?”

“Puan Sri…”

Hanima diam tidak terkutik. Ya Allah, kuatkanlah hati hambamu ini dan lindungilah Nurul Ain, doanya dalam hati.

“Apa maksud awak, Hanima?”

“Anak Puan Sri… Anak saudara saya… Kawan… Err…”

Puan Sri Mardinah menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia merapatkan badan ke meja dan lengannya menongkat dagu. Senyuman terukir di bibirnya.

“Mereka berkawan? Tu yang awak nak bagitau?”

Sekali lagi Hanima mengambil langkah berdiam diri. Risau tersalah cakap. Selama ini tidak pernah dilihatnya Tan Sri Md Ghazali mahupun Puan Sri Mardinah marah-marah, menengking-nengking tapi dia tidak begitu pasti hari ini selepas 15 tahun bekerja di Ikhwan Holdings.

“Hanima, saya tak rasa istilah kawan tu sesuai bagi pihak anak saya, Ikhwan.”

“Puan Sri… Saya… Ain… “

“Hanima, Hanima. Saya belum lagi mulakan perbincangan. Tajuk pun belum lagi.”

“Maafkan saya, Puan Sri.”

Puan Sri Mardinah bangun daripada kerusinya lalu mengambil mengisi kekosongan kerusi di sebelah Hanima.

“Tak perlu mintak maaf banyak kali. Awak tak buat salah pun. Saya sebenarnya nak berbincang mengenai Ikhwan Iman dan Nurul Ain. Hmm… Baik saya berterus-terang, Hanima. Nurul lebih mengenali Ikhwan dengan panggilan Iman dan saya pasti Hanima tahu cuma Nurul saja masih tak tahu siapa Ikhwan dan apa situasi sekarang. Am I right?”

Hanima diam. Perkara yang sama terjadi kepadanya akan berulang pada Nurul Ain? Tidak, tidak mungkin! Apa yang diperkatakan oleh Puan Sri Mardinah sudah tidak kedengaran lagi. Sayup.

“Hmm… Macamana ye? Sepatutnya saya yang serba salah, gementar bukan awak Hanima.”

“Puan Sri?”

“Well, here we go. Saya dan Irdina rasa anak saya, Ikhwan dah berkenan pada Nurul tapi rasanya dia sendiri tidak faham apa yang dia rasa ataupun risau dengan penerimaan Nurul.”

“Maksud…”

Puan Sri Mardinah mengangkat tangan kanannya. Menghalang Hanima terus bercakap.

“Saya beri kebebasan pada anak-anak saya membentuk kehidupan masing-masing asalkan ke arah kebaikan. Saya dan suami tidak pernah menghalang kemahuan anak-anak, dengan siapa mereka berkawan, bergaul. Kalau Ikhwan berkenan, saya dan suami akan sokong. Tapi bagaimana dengan awak, Hanima?” Tanya Puan Sri Mardinah mengharap.

Hanima teringat peristiwa 15 tahun yang lepas bagaimana tentangan yang terpaksa dihadapinya sehingga dia sendiri memutuskan pertunangannya dengan Syed Asraf, anak sulung Tengku Syed Halim. Perbezaan latarbelakang, pangkat dan harta kekayaan antara punca utama perpisahan mereka. Memang indah pada mulanya, semuanya atas nama cinta tapi hakikatnya pada dunia realiti, cinta sahaja tidak mampu dijadikan sebab untuk meneruskan kehidupan.

Bukan mudah untuknya memilih jalan berpisah dan itupun atas desakan bernada ugutan daripada orang tua tunangannya itu. Tidak sanggup rasanya untuk membiarkan Syed Asraf terus mencintainya tapi akhirnya mendatangkan sengsara. Nekad dengan keputusannya, langkah berpisah diambil dengan bantuan Tan Sri Md Ghazali beserta isterinya.

“Hanima?” Panggil Puan Sri Mardinah. Hanima dilihatnya runsing.

Hanima tersentak apabila Puan Sri Mardinah menyentuh lembut lengannya.

“Saya? Tapi… Layak ke kami, Puan Sri? Puan Sri pun tahu bagai…”

“Apa yang terjadi pada awak 15 tahun dulu tidak akan terjadi pada Nurul, Hanima. Kerana awaklah, saya dan suami belajar mengenali kehidupan di luar kepompong kemewahan dan pangkat. Sebab itu saya dan suami berniat, apa-apa yang baik untuk anak-anak, itu yang baik untuk kami.”

“Saya tak tau apa lagi nak cakap, Puan Sri. Saya tak tau bagi pihak Nurul.”

“Menurut Dina, Nurul tak tau tentang Ikhwan, yang dia tau cuma Iman, kakitangan bertugas di tingkat 49.”

“Sa.. Sa.. Saya pun fikir begitu. Tapi Encik Ikhwan?”

“Ikhwan? Saya seorang ibu, Hanima. Ada sesuatu tentang anak teruna saya yang saya arif benar. Dia berfikir terlalu banyak dan merumitkan keputusan. Lambat Setiap satu perkara dianalisisnya seperti dunia perniagaan. Objektif, misi, method. Nurul Ain bukan produk perniagaan, Hanima. Dina cadangkan saya risik terus dengan awak, Hanima.”

Hanima teringat dengan kedatangan Irdina Iman membawa gift box setinggi dan sebesar kertas A4 yang mana di dalamnya penuh dengan pelbagai jenis coklat jenama Hershey’s. Hadiah untuk Kak Hanima, katanya semalam.

“Risik?”

“Kenapa? Hanima tak berkenan dengan Ikhwan ke?”

“Ya Allah. Bukan macam tu, Puan Sri. Nurul cuma ada saya selepas kematian arwah abang dan kakak ipar saya. Saya tidak pernah menyekat kehendak dan kemahuan Nurul. Kalau Nurul kata ya, saya pun ya. Siapa saya hendak judge Encik Ikhwan?”

“Jangan macam tu, Hanima. Tak payahlah merendah diri sampai macam tu sekali. Ikhwan tu mungkin pemarah di pejabat tapi kata Dina, dalam hati ada taman. Saya jamin dengan Hanima yang taman tu, taman bunga bukan taman buaya.”

“Puan Sri… Apa patut saya kata? Apa yang kita nak buat?”

“Haa… Itu saya nak dengar dari Hanima. Hanima percayakan saya tak?”

“Lima belas tahun dulu saya percayakan Puan Sri, takkan sekarang saya tak percayakan Puan Sri pula?”

“Alhamdulillah… Terima kasih banyak-banyak, Hanima. Ni yang saya rasa kita kena buat.”

Puan Sri Mardinah berbesar hati merencanakan rancangannya yang telah dirangka semalaman bersama suami dan anak bongsunya. Lancar sahaja bait dan butir bicara keluar daripada mulutnya.

Terbuntang mata Hanima seperti tidak percaya apa yang didengarnya. Agaknya bagaimana reaksi Nurul Ain, hatinya tertanya sendiri.

“Kenapa pandang saya macam tu, Hanima?”

“Bagaimana dengan Tan Sri?”

“Dia declared dia sayangkan saya seumur hidup semasa akad nikah saya tiga puluh dua tahun yang lalu. Semestinya dia sokong apa yang kita akan buat ni, Hanima. Yang terakhir tu, dia yang cadangkan. Jangan tak percaya.”

Akhirnya Hanima mengukir senyuman.

**********

Dahi Shah Fairuz berkerut seribu. Kepalanya pula mula terasa berdenyut-denyut secara tiba-tiba. Pening! Bak kata pepatah lama, menyesal dulu pendapatan, menyesal kemudian tiada gunanya. Menyesal rasanya termakan ajakan untuk berjumpa daripada Irdina Iman, gadis yang telah bertakhta di mata dan hatinya itu cuma petabalan daripada tuan empunya badan belum confirm lagi. Sorong tarik tidak sudah-sudah lagi.

Dia mengeluh kecil sebelum bersuara.

“Saya antara yang utama ke?” Shah Fairuz bertanya. Hampir enam kali dia mengutarakan pertanyaan yang sama. Jawapan daripada mulut Irdina Iman masih tidak juga berubah.

“Iye. Berapa kali nak tanya ni?” Marah Irdina Iman. Marah-marah sayang. Sayang dalam diam.

“Kita cari nahas ni, Dina. Awak bukan tak kenal dengan abang awak tu.”

“Nak tolong ke tak?” Irdina Iman mengangkat kening kirinya. Menyinga, konon.

“Kena tolong jugak ke?”

“Kalau bukan awak siapa lagi? Orang lain kang terus dikebasnya. Awak agak selamat.” Jelas Irdina Iman dengan pantas.

“Bagaimana awak tau saya selamat untuk dia? Mana tau…” Shah Fairuz berkata, sekadar mencuba nasib. Mana tahu saat-saat akhir Irdina Iman berubah fikiran.

“Berani ke?” Ugut Irdina Iman. Jelingannya tajam.

“Opps! Jangan ugut macam tu. Ni dah buat naya. Terseksa saya, Dina.” Rayu Shah Fairuz.

“Apabila kes abang selesai, saya bagi jawapan kat awak.”

Hatinya melonjak gembira dan terpapar diwajahnya. Kalau ini saja caranya untuk membuktikan yang dia ikhlas dan sanggup berkorban untuk Irdina Iman, Ikhwan Iman naik angin pun tidak menjadi masalah.

“Janji?” Pintanya pada Irdina Iman.

“Janji…”

“Itu pun kalau nyawa dikandung badan lagi.” Sempat Shah Fairuz mengeluh.

Irdina Iman ketawa. Jauh di sudut hatinya gelihati dan kasihan bercampur-baur. Haih!

“Innalillah…” Giatnya pada Fairuz.

Tangan kanan Shah Fairuz digengam dengan lembut. Lelaki itu terkedu.

“You know what? I like you. I like you too much. There’s no need for you to hesitate. You’ll be okay. We’ll be okay.”

“Awak tau saya akan buat apa saja untuk awak kan, Dina?”

“Saya tau tapi kita buat untuk abang kan? Kawan baik awak jugak.”

“Awak tak tau apa akibatnya nanti. Ikhwan tu lain benar amarahnya.”

“Itu sebab kita perlukan gadis seperti Nurul Ain untuk abang dan amarahnya.”

“We’ll wait and see. Tapi takkan out of nowhere saya approach Nurul?”

“Tu jangan risau. Kak Hanima ada.”

“Hanima? Siapa?”

“P.A Papa.”

“Haa… Kenapa pulak dengan Kak Hanima dalam cerita ni?”

“Nurul Ain tu, niece kepada Kak Hanima. Dia akan perkenalkan awak dengan Nurul. Jangan risau. Tapi jangan lebih-lebih. Bukan saya yang cemburu, bukan Kak Hanima yang marah tapi abang yang jadi ultraman nanti.”

“Itulah… Nampaknya saya yang jadi raksasa cerita ni.”

Tawa Irdina Iman meletus lagi. Kalau diikutkan hati, mahu saja dibatalkan rancangannya itu tapi mengenangkan ada back-up daripada Papa dan Mama, dia pastinya dapat menyelamatkan diri tapi Shah Fairuz yang menjadi kambing hitam dan galang gantinya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

12 ulasan untuk “Novel : Boss Garang? Taklah… 9”
  1. Green Cl0ver says:

    beznyerr .. x sbar nak tnggu smbungannya .. :)

  2. Bila nak sambung nie, bangun tidur buka PC terus on this website to check the latest update.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.