Novel : Cinta Lolilat 1

21 November 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Ayumi Afiqah

Bab 1

Shakira menempel bedak yang agak tebal ke mukanya yang mulus. Kemudian dia mencalit gincu bewarna merah jambu, sesuai dengan baju yang dikenakannya hari ini. Setelah berpuas hati dengan penampilannya yang memang tak pernah kalah dengan mana-mana siswi, barulah dia menyimpan semua alat mekap ke dalam beg kecil dan disumbat ke dalam beg galasnya. Ketika hendak berpaling ke arah pintu, mata Shakira tertancap ke arah sesusuk tubuh yang masih enak dibuai mimpi dengan berselubung gebar tebal. Terlintas satu idea jahat di kepalanya. Dengan senyum sinis, dia mencapai bakul yang penuh berisi baju-bajunya yang kotor. Baju-baju itu dilempar tepat ke muka teman sebiliknya yang masih nenyak tidur itu.

“Bangun!” jerit Shakira kuat dengan tangan bercekak pinggang.

Isyadora tersentak dan dengan pantas bangkit dari baringannya. Rambutnya yang kusut masai dikemaskan ala kadar. Mata yang layu pula digosok-gosok. Kalut sekali aksinya.

“Aku nak pegi kelas ni. Aku nak bila aku balik nanti, semua baju tu kau dah siap basuh. Faham?” Tegas Shakira memberi arahan, seolah-olah Isyadora itu orang gaji di rumahnya. Bezanya sekarang mereka berada di asrama kolej.

Isyadora teraba-raba mencari cermin matanya yang terletak di birai katil dan cepat-cepat disarungkan ke mata. “Ttt… tapi Kira, aku ada kelas pukul 10.00 nanti. Kalau tak sempat macam mana?”

“Ada aku peduli? Yang aku nak tau, kau mesti basuh baju-baju tu semua sebelum aku balik nanti. Faham?” Mencerlung mata Shakira merenung Isyadora. Dia memang suka buli gadis lurus bendul itu. Dahlah lurus bendul, memang langsung tak reti melawan. Tak lawa pula tu! Cemuh Shakira dalam hati.

Isyadora tertunduk dijerkah begitu. “Fa… faham…” Perlahan suaranya menjawab. Akur.

Shakira tersenyum senang hati. Puas dapat mengenakan Isyadora. Lantaklah kalau gadis itu kena denda sekali pun kerana lambat menghadiri kuliah, dia langsung tidak kisah. Bersama langkah yang kasual dan penuh menggoda, Shakira melangkah keluar dari bilik.

Isyadora melangkah turun dari katil. Baju-baju kotor milik Shakira dikutip satu persatu dan dimasukkan ke dalam bakul. Kemudian dia beralih ke arah almari untuk mengambil tuala dan barang mandian miliknya. Dengan keadaan yang masih mamai, langkah diatur lambat-lambat menuju ke bilik mandi. Cecah saja kaki di lantai bilik air yang licin, Isyadora terus terperosok ke depan dan jatuh terduduk. Sebiji macam nangka busuk. Barulah dia teringat yang dia lupa memakai selipar. Lantai bilik air ini pula licin semacam pula hari ini.

Terdengar tawa keras dari Seri dan Mona. Masing-masing ketawa terbahak-bahak menonton drama sebabak itu tadi. Memang mereka sengaja menumpah air sabun di depan pintu bilik air. ‘Hadiah’ khas untuk Isyadora.

“Padan muka!” getus Seri selamba sebelum disambut dengan tepukan tangan daripada Mona.

Sementara Isyadora terus terduduk menahan sengal di pinggulnya. Sakit!

*=*=*=*=*=*=*=*=*=*

Isyadora menyarung sepasang baju kurung warna coklat berbunga kecil warna putih ke tubuhnya. Rambut lurus panjangnya ditocang satu menggunakan getah pengikat rambut juga bewarna coklat. Setelah menempek bedak nipis ke muka, Isyadora mencapai cermin mata segi empat berbingkai coklat miliknya. Sesudah itu, dia menyarungkan pula sandal putih bertali coklat ke kaki, sebelum dicapai pula beg galasnya yang juga berwarna coklat bersama beberapa buah buku. Pendek kata, hampir semua warna tema pakaiannya hari ini adalah coklat. Bukan hari ini sahaja, malah hari-hari lain pun begitu. Isyadora memang gila coklat. Atau lebih tepat lagi dikatakan obses.

Isyadora tergelak sendiri. Dia mengambil telefon bimbit yang terdampar di atas katil. Housing telefon itu juga bewarna coklat. Isyadora memandang jam yang tertera di skrin telefonnya. 9.57.

“9.57?!” Hampir terkeluar biji mata Isyadora membaca waktu jam sekarang ini. Alamak! Dia sudah lambat. Dengan langkah yang panjang sedepa, Isyadora terus bergegas keluar dari biliknya. Matilah kalau lecturer marah!

Langkah panjang Isyadora terhenti apabila sekumpulan pelajar lelaki tiba-tiba menghalang langkahnya. Isyadora kenal siapa mereka ini. Mereka inilah pelajar-pelajar lelaki yang paling terkenal di kolej ini. Senior yang paling diminati. Kata pelajar-pelajar lain, lelaki-lelaki ini sangat kacak orangnya dan tak hairanlah jika mereka digelar a handsome boy group di sini.

Cuma tidak bagi Isyadora. Hampir setiap hari dia diganggu oleh sekumpulan lelaki ini. Inilah yang paling dia tidak suka. Asal nampak sahaja mereka, Isyadora pasti akan melarikan diri. Tetapi hari ini nasibnya malang. Mungkin kerana dia terlalu mengejar masa hingga langsung tak toleh kiri kanan. Habislah aku kali ni!

“Hai, cik coklat! Nak ke mana laju sangat ni?” tegur Farid, salah seorang ahli kumpulan nakal itu.

Isyadora menjeling. Malas dia mahu melayan. Buat sakit hati saja. Tanpa mempedulikan Farid, Isyadora meneruskan langkah. Tetapi ayunan kakinya terhenti mengejut bila tiba-tiba Faris berdiri di depannya, sekali gus menghalang laluannya.

“Sombonglah cik coklat ni. Orang tanya bukan nak jawab…” Faris membuat gaya mengada-ngada. Sekali pandang memang macam pondan. Rakan-rakannya yang lain tergelak-gelak.

Isyadora malas ambil peduli. Dia betul-betul sudah lambat sekarang. Diayun lagi langkah kakinya. Bila dia ke kiri, mereka semua ke kiri. Dia ke kanan, mereka semua ikut ke kanan. Isyadora merengus geram. “Awak semua ni… boleh tak jangan ganggu saya? Saya dah lambat nak pegi kelas ni!” Isyadora terpaksa meminta. Namun begitu suaranya tetap terselit nada tegas. Jatuhlah maruahnya jika terlampau merayu.

“Alah janganlah marah. Cik coklat ni comellah kalau marah!” usik Fikri pula sambil mencuit sedikit hujung rambut Isyadora yang kemas ditocang.

Isyadora menepis garang.

“Amboi garangnya dia! Sentuh sikit pun tak boleh.” Fikri menarik muka. Konon-konon merajuk. Sengaja mengada-ngada sebenarnya. Lagi Isyadora marah, lagi mereka semua suka.

“Tepilah! Saya dah lambat ni!” Isyadora mengeraskan suara. Dia tetap cuba melangkah walaupun setiap ayunan langkahnya pasti terbantut dengan halangan daripada mereka bertiga.

“Alah tunggulah dulu, cik coklat. Kitorang bukan nak buat apa pun. Cuma nak borak-borak aje. Kejap aje…” Farid buat suara lembut, pura-pura memujuk. Faris dan Fikri masih tergelak-gelak nakal.

“Tepilah…” Isyadora terasa bagai mahu menangis. Sudahlah kelas hari ini sangat penting untuknya. Nampaknya, habis burnlah kelasnya itu. Entah apa nak jawab dengan Madam Laily nanti.

“Tunggulah dulu…” Faris terus menahan langkah Isyadora.

“Ehem!”

Dehama itu membuatkan mereka bertiga berpaling serentak ke belakang. Isyadora turut menoleh ke arah yang sama. Kelihatan seorang lelaki kacak sedang tersenyum manis ke arahnya. Di mulutnya ada tersangkut sebatang lolipop. Aduh! Datang pulak mamat lolipop ni. Masaklah aku! Hati Isyadora bermonolog cuak.

Fariel berjalan penuh gaya dengan tangannya dimasukkan ke dalam poket seluar menghampiri Isyadora. Rakan-rakannya yang lain bergerak ke tepi, seolah-olah memberi laluan pada seorang VIP untuk berjalan di tengah-tengahnya.

“Cik coklat kenapa marah-marah ni? Abang-abang ni semua buat apa kat cik coklat?” Lembut suara Fariel bertanya. Terdengar rakan-rakannya tergelak-gelak.

Isyadora menjeling tajam. Rasa mahu disepaknya muka si Amar Fariel ini. Biar tempang mukanya yang kacak itu.

“Cik coklat ni comellah bila marah,” usik Fariel sambil mencuit dagu Isyadora.

Sepantas kilat Isyadora menepis. “Tepilah!” Dia menolak tubuh Fariel dengan kasar dan terus berlari laju meninggalkan tempat itu. Sayup-sayup terdengar suara mereka semua tertawa rancak. Sukalah tu! Bencinya aku!

“Riel, apasal tak halang?” tanya Fikri yang pelik melihat Fariel hanya membiarkan Isyadora berlalu pergi. Bukan main lagi mereka menahan gadis itu tadi tapi dengan mudahnya Fariel membiarkan.

Fariel hanya menoleh sekilas pada Fikri sebelum matanya kembali menyoroti langkah laju Isyadora bersama senyuman penuh makna.

*=*=*=*=*=*=*=*=*=*

Alamak! Madam Laily dah kunci pintu!

Isyadora mengeluh panjang melihat pintu bilik kuliah itu sudah terkunci rapat dari dalam. Inilah padahnya jika datang lambat. Bukan sahaja dicop ponteng, tapi langsung tak dibenarkan masuk ke kelas. Apa punya nasiblah!

Dari cermin pintu yang kecil, Isyadora mengintai ke dalam. Kelihatan dua orang rakan baiknya, Hani dan Shaufi sedang terlambai-lambai ke arahnya. Hani bertanya dalam bahasa isyarat, ‘kenapa lambat?’

Isyadora hanya mampu menjawab dengan muka keruh. Kesal! Kesal! Kesal! Baginya, yang bersalah dalam hal ini adalah Shakira dan Fariel. Eloklah tu. Sorang perasan lawa, sorang lagi perasan hensem. Urgh! Sengal!

Tiada guna lagi menunggu di situ. Isyadora membuat keputusan untuk ke kafe sahaja. Lagipun dia belum sempat makan tadi. Tiba-tiba sahaja perut mula terasa lapar. Dia berjalan perlahan-lahan dengan kepala tertunduk. Tanpa sedar, dia terlanggar seseorang yang berjalan arah bertentangan dengannya. Terlepas lolipop dari tangan lelaki itu. Isyadora mengangkat muka. Alamak! Fariel!

Kenapa dia pulak yang aku langgar? Tak ada orang lain ke?

“Err… sorry…” ucap Isyadora dengan kepala tertunduk. Tiba-tiba dia jadi gerun seolah-olah Fariel mahu melakukan sesuatu yang tidak elok padanya.

“Alah… dah kotorlah. Hmm…” Fariel mengeluh panjang, pura-pura sebenarnya. Inilah masa terbaik untuk mengenakan Isyadora lagi. Idea nakal mula melintas di dalam fikirannya.

“Err…” Isyadora gugup. Apa nak buat ni? Nak blah aje ke… atau nak tercegat aje kat sini?

“Boleh tolong ambikkan tak?” pinta Fariel. Suaranya sengaja dilembutkan.

Isyadora mendongak perlahan-lahan. Fariel sedang tersenyum memandangnya. Kacak habis! Boleh cair hati aku kalau macam ni. Sempat lagi hatinya berkata-kata.

Isyadora mula membongkokkan badan, mahu mengambil lolipop itu. Namun belum sempat tangannya menyentuh batang lolipop itu, lolipop itu sudah bergerak ke tempat lain. Aik? Isyadora mendongak memandang Fariel. Lelaki itu hanya mempamer wajah selamba. Siap bersiul dengan kedua-dua belah tangannya masuk ke poket seluar. Isyadora tahu lelaki itu sengaja mahu mEmbulinya. Belum sempat batang lolipop itu dicapai, kaki Fariel sudah menolaknya lebih jauh.

Cis! Kurang asam! Hati Isyadora berdetik bengang. Dia cuba lagi mengambil namun tetap tidak berjaya. Mahu merayu supaya Fariel menghentikannya, dia malu. Terpaksalah juga mengikut kemahuan lelaki itu. Lagipun lebih baik begini daripada dia terus menerima ‘habuan’ dari teman-teman lelaki itu. Tak sanggup! Huh! Menyesal pula puji dia kacak tadi, detik hati Isyadora kesal.

Isyadora cuba melajukan langkahnya untuk mengambil namun secara tiba-tiba saja lolipop itu sudah masuk ke dalam longkang. Ada air pula tu! Isyadora tercengang, tidak harus berbuat apa lagi.

“Ambik,” arah Fariel. Suaranya tidak lembut dan tidak juga keras. Biasa-biasa saja. Tetapi Isyadora tetap berasa gerun.

“Err… dah kotorlah. Takkan awak nak lagi? Beli lain ajelah.” Penuh hati-hati Isyadora menuturkan ayat itu. Bila sepasang mata milik lelaki itu merenungnya tajam, automatik hilang perasaan berani yang hanya senipis kulit bawang tadi. Kecut sungguh!

Fariel menyembunyikan senyuman melihat wajah takut-takut Isyadora. Seronoknya dia, rasa macam nak gelak sambil tergolek-golek. “Ambik cepat,” arahnya lagi dengan suara yang lebih tegas.

Mahu tidak mahu, terpaksalah Isyadora menurut. Dia duduk mengcangkung di tepi longkang itu. Masih berkira-kira sama ada mahu mengambil dengan tangan atau tidak. Air dalam longkang itu kotor dan… boleh tahan busuk. Ya Allah! Kenapalah dia ni jahat sangat? Tak kesian ke kat budak junior macam aku ni? Isyadora terasa macam nak menangis di sini juga saat ini.

“Cepatlah!” gesa Fariel lagi.

Isyadora cuba mencari-cari kalau-kalau ada beg plastik yang sudah tidak digunakan di kawasan itu. Langsung tiada. Kawasan itu bersih tanpa sampah sarap. Dengan perasaan yang hina, Isyadora mencelup tangan ke dalam longkang itu. Setelah jarinya dapat menangkap batang lolipop kepunyaan Fariel, dia terus mengangkatnya dan bangun berdiri semula. Cuba sedaya upaya menahan air mata daripada gugur. Jika dia menangis, makin seronoklah nanti dia dibuli. Isyadora tak rela!

Fariel tersenyum. “Bagus. Sekarang, pegi buang dalam tong sampah tu,” arahnya pula.

What?! Isyadora betul-betul bengang. Kalaulah boleh, pasti sudah disumbatnya kepala lelaki itu dalam longkang ini, biar nasibnya sama seperti lolipop yang sudah kotor ini. Tapi apa boleh buat, dia bukan siapa-siapa. Sudahnya, arahan lelaki itu dituruti.

Fariel menepuk tangannya beberapa kali. “Baguslah cik coklat ni. Nanti jangan lupa basuh tangan ya?” Sempat dia mengenyitkan mata sebelum terus beredar meninggalkan tempat itu.

Isyadora mengetap gigi. Aku benci kau, mamat lolipop!

*=*=*=*=*=*=*=*=*=*

Isyadora menyedut minuman yang dibeli tadi dengan rakus. Sekilas, kejadian tadi kembali menerpa kotak ingatannya. Fariel dan rakan-rakannya memang teruk! Dalam ramai-ramai, ketuanyalah yang paling teruk sekali. Siapa lagi kalau bukan mamat lolipop! Tak padan dengan perangai teruk, suka makan lolipop, langsung tak sesuai! Isyadora mencebik sendiri.

Tiba-tiba terdengar suara Hani dan Shaufi saling bertikam lidah sesama sendiri. Mereka baru sahaja tiba dari kelas dan terus mencari Isyadora di kafe. Sementara itu sempat lagi bergaduh. Hani dan Shaufi memang pantang bertemu, ada saja yang hendak digaduhkan. Pernah juga Isyadora menggosipkan mereka berdua namun dengan sekeras-kerasnya mereka menafikan.

“Nak sikit!” Dengan selamba Hani mengambil minuman di depan Isyadora dan menghirupnya dengan rakus.

“Isya, kenapa lambat tadi?” tanya Shaufi sambil merenung tepat ke mata Isyadora. Di kolej ini, hanya dia satu-satunya manusia yang memanggil gadis itu dengan panggilan Isya. Rata-ratanya memanggil gadis itu dengan panggilan Dora. Mungkin dia dan Isyadora sudah bersahabat baik sejak zaman sekolah lagi dan tinggal sekampung, kerana itulah panggilan itu dikekalkan.

“Ha’ahlah Dora, aku dah panik dah tadi bila kau tak muncul-muncul jugak. Nak call, takde kredit.” Hani menyengih dengan alasan yang diberi.

“Tak ada apalah… Aku terlambat bangun,” jawab Isyadora, sengaja menyembunyikan hal yang sebenar. Dia tidak mahu Shaufi tahu. Kalau lelaki itu tahu, Isyadora yakin sekarang juga Shaufi akan pergi mencari Shakira dan Fariel. Sahabatnya itu memang sangat protektif akan dirinya ini.

“Betul ni? Kau tak sorok apa-apa daripada aku, kan?” Shaufi inginkan kepastian. Bukan dia tidak tahu sifat Isyadora yang suka sangat menyimpan masalah seorang diri. Dari zaman sekolah lagi, gadis itu selalu sangat dibuli. Dan dialah yang menjadi bodyguard tak bergaji Isyadora.

Isyadora sekadar mengangguk mengiyakan. Kepada Hani, diberi isyarat ‘nanti aku cerita’. Hani buat muka faham.

“Tak ada orang buli kau, kan?” Shaufi masih belum puas hati.

Isyadora angguk lagi. Bimbang jika bersuara, Shaufi akan dapat mengesan pembohongannya.

“Alah relakslah, Epi. Dia cakap tak ada tu, tak adalah. Kalau ada pun, biar aku yang uruskan,” jawab Hani sambil ketawa bangga.

Shaufi mencebik. “Aku takut dengan kau sekali kena buli,” balasnya selamba.

“Eh helo! Tengok oranglah! Aku cepuk kau kang!” marah Hani yang sudah mula naik angin.

Shaufi tersengih-sengih. Sementara Isyadora tergelak-gelak. Lupa seketika bayangan wajah Shakira dan Fariel dari kotak fikirannya.

*=*=*=*=*=*=*=*=*=*


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.