Novel : Cintaku Milik Siapa 23

25 June 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

“ABANG Hakim… bila balik sini? Kenapa tak datang jumpa Nurish pun?” rengekan manja dari suara insan yang tidak disenanginya itu menjengah telinga. Dengusan kasar dilepaskan.

Menyesal pula dia pulang ke Melaka. Menyesal pula dia pulang seorang diri. Patutnya ditarik sekali Diana untuk mengikutinya. Biar saja semua ahli keluarga Puan Melina tahu tentang cinta hati Hakim yang satu itu. Biarpun seribu Nurish datang di depan mata, hanya Diana saja yang menjadi idamannya. Janji telah diberi, dia pasti akan mengotakannya. Diana akan diambil sebagai suri hidupnya.

Setelah hampir berapa tahun, kini Hakim berhadapan semula dengan Nurish Hanna. Orangnya begitu cantik, secantik namanya. Dari dulu hingga sekarang, nyata kecantikan Nurish tidak pernah pudar ditelan masa. Malah kelihatan makin terserlah keanggunan dengan gaya moden yang dibawanya. Namun semua itu tidak mampu untuk menggoyahkan hati Hakim yang telah terpaut pada insan istimewa bernama Diana.

“Abang Hakim… Aunty Mel dah setuju nak kahwinkan kita. Abang suka?” Hakim menjeling sekilas. Datangnya bertanya khabar pun tidak, terus saja menyoal perihal perkahwinan. Nampak sangat gelojoh perwatakan kamu wahai Nurish Hanna.

“Aku tak suka langsung dan kau tak payah nak berangan lebih-lebih sebab aku akan berkahwin dengan perempuan yang aku cinta saja. So reliefing that, the women who I in love with is not you,” ucap Hakim dengan senyuman menyindir di bibir.

Dia memang berasa lega di saat ini. Takdir telah menemukan dia dan Diana. Jika tidak, pasti saja dia tidak punya alasan untuk menolak rancangan perkahwinan tidak masuk akal yang sedang dirancang oleh mamanya, Puan Melina.

Berubah terus riak wajah Nurish Hanna. Tidak sangka Hakim akan begitu tega menolak dirinya. Nak juga dengan perempuan dari Pulau Pinang itu. Huh! Bukannya lawa mana pun. Beribu kali lawa lagi dia. Macam mana dia tahu? Segala perihal tentang Hakim akan dipastikan berada dalam koceknya. Sebab itu juga dia bertindak segera sebelum Hakim mengajak perempuan itu ke sini, baik dia terlebih dahulu menguasai hati Aunty Mel yang sememangnya mudah kalah dengan pujuk rayu dari bibirnya.

“Abang Hakim tak boleh kahwin dengan dia!” bentak Nurish Hanna. Senyuman sinis di bibir Hakim yang kacak itu benar-benar membakar hatinya. Hakim hanya layak berganding dengannya. Bukan dengan perempuan yang bertudung berlagak sopan itu!

“Oh ya?” soal Hakim sinis. “Dan kenapa aku tak boleh kahwin dengan dia? Sekalipun aku tak kahwin dengan dia, aku pun takkan kebulur nak kahwin dengan kau! Ingat tu.” Hakim bingkas bangkit dari kerusi yang didudukinya. Ingatkan duduk di taman mini ini akan dapat menenangkan jiwanya yang resah, tapi makin menjadi sesak pula dengan kehadiran perempuan mental ini.

Baru saja dia hendak melangkah, lengannya direntap kuat. Jelas terpapar riak tidak puas hati di wajah Nurish Hanna. Bibir Hakim pula, tak sudah-sudah dengan senyuman sinisnya. Ah! Rasakan kau perempuan. Dia fikir aku main-main. Dia fikir cinta aku semurah cinta dia. Dulu dia kata apa dan sekarang apa yang dia tergila-gilakan pula.

Masih terngiang-ngiang lagi di telinga Hakim ayat yang cukup angkuh diucapkan oleh Nurish Hanna.

“You can’t even spend a night with me, how can you think I’ll spend my whole life with you.”

Sesungguhnya dia bodoh pada ketika itu. Bodoh ditenggelami kecantikan perempuan bertuhankan nafsu seperti Nurish Hanna. Bodoh kerana memberikan cintanya yang suci kepada wanita yang tidak pernah menghargai. Malah kesucian cinta itu diperkotak-katik dengan permintaan di luar batasan. Bila mana manusia mulai jauh dari Allah, maka nafsu dan syaitan akan menguasai dirinya.

“Aku bukan lelaki bodoh untuk memperjudikan nasib dengan mengambil kau sebagai isteri aku!” ucap Hakim kasar sambil merentap tangannya dari genggaman Nurish Hanna.

“Abang Hakim… you will regret this.”

“Oh ya… regret. What kind of regret you have in your mind? Aku yang patut rasa menyesal sebab pernah memberikan cinta aku pada perempuan macam kau yang tak tahu apa erti cinta.”

“But know I realize that… Nurish tahu abang Hakim sayangkan Nurish,” ucap Nurish Hanna dengan suara yang dilunakkan. Kenapa susah benar lelaki ini hendak akur pada dirinya.

Sememangnya dari dulu dia inginkan Hakim. Seorang lelaki yang sangat sempurna di pandangan matanya. Namun, dia juga yang terlalu gopoh melayan Hakim seperti lelaki-lelaki lain sehinggakan lelaki itu membuang dirinya jauh. Hendak menjeling pun seakan tidak sudi lagi.

“Kau hanya nakkan tubuh aku untuk memuaskan nafsu manusia kau tu. Kau tak cintakan aku. Tak ada cinta yang aku dapat tengok dalam renungan mata kau.” Ucapan Hakim membuatkan Nurish Hanna tersentak. Wajahnya kembali merah menahan marah. Geram diperlakukan sebegini rupa. Geram bila dia pula yang kena merayu dengan lelaki untuk menagih cinta. Sedangkan dia bukanlah seorang gadis yang tidak punya apa-apa. Dia memiliki segalanya. Tetapi kenapa Hakim tidak sedar. Huh! Buta dengan cinta.

“Pergi baliklah… aku dah naik menyampah tengok muka kau yang berlagak baik depan mama aku. Jangan harap kau dapat menangi hati mama sama macam kau dapat cinta aku. That’ll never happen. Don’t you even dream about it!” Nurish mendengus kasar mendengar ucapan angkuh Hakim. Giginya berlaga-laga menahan amarah. Baru saja dia hendak membuka mulut untuk menghamburkan rasa marah, tersentak dirinya di situ apabila ada suara wanita yang menyapa mereka.

Pantas saja dia beralih wajah. Sekali lagi dia mendengus. Huh! Perempuan ini! Wajah Hakim yang sudah tersenyum sambil mendapatkan orang itu hanya menambahkan sakit di hatinya.

“How are you my grandson?” Hakim sudah mendapatkan wanita itu ke dalam pelukannya. Lama sudah dia tidak pulang untuk menjenguk wanita ini, nani ma (gelaran untuk nenek belah emak).

“Doing great.” Hakim sudah tersenyum bila Nani ma meleraikan pelukan.

“Apa yang budak perempuan tak cukup kain tu buat dekat sini?” sinis saja soalan dari bibir nani ma membuatkan Hakim tertawa. Dia tahu, nani ma akan sentiasa di pihaknya. Sememangnya nani ma lebih mengetahui akan perasaannya berbanding mama.

“Nak mengeratkan hubungan dengan bakal mak mentua tak jadi.” Dengan ketawa saja Hakim menjawab. Sengaja juga dia menguatkan nada suaranya supaya sampai dengan jelas pada pendengaran perempuan tak tahu malu itu. Huh! Sudah kita tak hendak, lagi mahu dipaksa. Dia ingat cinta aku serupa barang dagangan, kalau dia nak… dia boleh datang ambil. Kalau dia tak nak… dia boleh campak jauh.

“Suka sangat mama kamu tu dengan perempuan ni… hisy! Nani ma tak berkenan langsung. Kamu jangan nak mengada-ngada kahwin dengan dia pulak! Macam dah tak ada perempuan lain saja dalam dunia ni. Yang gedik macam itu juga yang mama kamu nak pilih.” Bebelan nani ma hanya membuahkan senyuman di wajah Hakim. Tak perlu nani ma risaukan akan hal itu kerana sudah ada bidadari lain yang menjadi pilihannya. Calon menantu keluarga mereka.

“Don’t worry la nani ma… takkan lah Hakim nak pilih perempuan macam tu buat isteri. Isteri cucu nani ma mestilah kena tip top. Serba serbi elok. Bukan jenis sarung kain tak cukup macam orang tu.” Sekali lagi suara Hakim ditekan dengan kuat.

Nurish Hanna menghentakkan kakinya geram. Bila sudah muncul si tua itu, makin bertambahlah sakit dalam hatinya. Bergabung kedua nenek dan cucu itu untuk menyindir-nyindir dirinya dengan sesuka hati. Lantas, dengan hati yang penuh amarah dia melangkah juga meninggalkan ruang itu. Sesak pula rasanya bila menerima renungan tajam dari si tua tak sedar diri!

“Marah nampak calon menantu pilihan Puan Melina,” usik nani ma. Hakim ketawa. Berbual dengan nani ma boleh menerbangkan segala resah dalam jiwanya. Mujur saja dia punya seorang nenek yang begitu memahami. Syukur Alhamdulillah.

***

KEPALA nani ma terangguk-angguk mendengar butir bicara dari bibir Hakim. Seketika dia diam saja mendengar setiap patah kata yang lahir dari bibir anak muda itu. Sempat juga dia menangkap wajah Hakim yang bersinar tatkala bibir itu dibasahi dengan sebaris nama. Diana Ahmad. Nani ma tersenyum sendiri. Lantas bahu Hakim ditepuk perlahan.

“Bila nak ajak nani ma jumpa bidadari tu?” usikan nani ma disambut dengan tawa Hakim. Dia benar-benar gembira di saat ini. Nani ma langsung tidak membantah apabila dikhabarkan tentang rasa hatinya terhadap Diana.

“Sekarang pun boleh!” balas Hakim dengan perasaan yang cukup teruja.

“Orangnya macam mana?”

Hakim tersenyum. Orangnya… “Macam tulah nani ma… dia tak secantik mama, tak secantik Maria dan tak juga secantik Nurish Hanna yang mama tergila-gilakan tu…” Hakim ketawa. Nani ma juga. “Tapi dia sangat manis orangnya… manis lagi dari semua nama yang Hakim sebut tadi.”

“Amboi! Manis lagi dari nani ma ya?” untuk usikan itu, Hakim hanya tertawa manja. Kepalanya sudah direbahkan di peha nani ma. Tangan nani ma ringan sekali membelai rambutnya membuatkan dia rindu pada belaian mama. Ah! Sukar sungguh nak memahami mama bila dia jarang menghabiskan masa bersama wanita itu. Bukan apa, kalau dengan Maria mungkin mudah sedikit perhubungan mereka. Tapi kalau dia seorang saja, seakan tidak betah pula berlama-lama dengan renungan mama yang kadangkala seperti memaksa dirinya.

“Mama kamu cakap apa?” soal nani ma membuatkan Hakim mengeluh.

“Nani ma pun tahu kan, mama tu macam mana…” Hakim membiarkan ayatnya tergantung. Tidak perlulah diulas lebih-lebih, kerana pasti saja nani ma lebih memahami akan sikap anaknya yang bernama Melina itu.

“Nani ma kan ada… kamu jangan risau, nani ma akan uruskan semua. Bagitahu bila boleh masuk meminang, yang lain semua ditanggung beres.” Ucapan nani ma membuatkan Hakim bingkas duduk menatap wajah tua itu. Senyuman di bibir itu hanya membungakan rasa bahagia di dalam hatinya.

“Betul nani ma?” soal Hakim seakan tidak percaya. Nani ma mengangguk yakin. Serentak itu Hakim menyeringai gembira. Kalau dah nani ma kata okey, maka segalanya akan okey. Mama pasti tidak akan dapat membantah keputusan nani ma. Hakim yakin akan itu.

“Kalau macam tu… masuk meminang minggu depan. Kesian buah hati Hakim, lama dia kena tunggu,” ucap Hakim seakan tidak sabar.

“Amboi!!! Tak menyabar sungguh cucu nani ma ni.” Cubitan sudah dihadiahkan pada lengan Hakim yang nampak sangat gelojoh gayanya. Hakim lepas ketawa. Dia benar-benar gembira. Tidak tahu bagaimana hendak lampiaskan rasa gembira itu, lantas dia ketawa saja.

“Nani ma kalau jumpa orang tu… mesti nani ma pun dah tak sabar nak ajak dia tinggal sini.”

“Kamu nak tinggal sini ke lepas kahwin?” soalan nani ma membuatkan Hakim terdiam sejenak. Nak ajak tinggal sini? Itulah patah kata yang meluncur dari bibirnya sekejap tadi.

“Err… Hakim kena fikir dulu.” Lambat-lambat saja Hakim menjawab. Dia bukan tak suka tinggal di sini. Sini merupakan tempat kenangan zaman kecilnya dengan Maria. Mereka lebih banyak menghabiskan masa berdua dengan nani ma di sini. Tapi sekarang ini, bukan nani ma seorang berada di sini, mama juga turut tinggal di sini.

“Tak apalah… lama-lama akan okeylah.” Nani ma sudah mengusap rambutnya seakan memahami kegusaran dalam jiwa. Dia tidak begitu rapat dengan mama. Itulah hakikatnya. Kalau di depan Maria, dia boleh beraksi senang. Tapi kalau kembarnya itu tiada, dia seakan kaku dan beku.

“Maria macam mana? Langsung tak nak datang sini ke?” Hakim mengeluh.

“Tak tahulah dengan dia nani ma.”

“Mama kamu tu sebenarnya marah lagi dengan Hakim sebab nikahkan Maria dekat UK. Kamu pun tahukan, mama memang nak sangat Maria tu berkahwin dengan abang Nurish.” Hakim mengangguk kecil. Tahulah dia sebab apa hari demi hari mama makin dingin dengannya. Semuanya sebab dia menikahkan Maria dengan Fariz. Dan Maria pun, sesudah kahwin langsung tidak berani nak menjenguk mama di sini. Kenapa hidup harus serumit ini?

“Suruhlah Maria datang jumpa mama… mana tahu, sejuk sikit hati mama kamu tu,” sambung nani ma lagi.

Hakim diam saja, tidak mampu memberi sebarang jaminan akan perkara itu. Entah bagaimana keadaan adiknya itu sekarang. Sudahlah mama Fariz marah benar dengan perkahwinan rahsia itu dan kini Maria sudah diajak masuk ke dalam mahligai mama Fariz. Entah bagaimana layanan yang diterima oleh adiknya itu. Dia risau, namun hendak bertanya dia tidak sampai hati. Takut jika hati itu terluka.

“Maria dah pernah tengok Diana?” nani ma mengalihkan topik bicara apabila Hakim diam tidak membalas kata. Hakim tersenyum nipis dengan pertanyaan itu. Bayangan Diana kembali menari di ruang mata. Dia mengangguk kecil.

“Dah kenal pun.”

“Oh… tunjuk dengan bakal adik ipar dulu. Kiranya nani ma orang yang paling last tahu.” Nani ma seakan merajuk. Hakim sudah mula mencuit hidung nani ma. Wajah yang dimamah usia itu begitu menenangkan jiwanya.

“Mana ada… nani ma orang yang second last tau,” selamba saja Hakim mengusik. Membulat mata nani ma. Disangkanya Hakim hendak memujuk, rupanya diusik lagi. Bertuah punya budak!

***

BANTAL di atas katil sudah ditepuk beberapa kali. Pandangan menjalar pada ruang bilik yang masih sama seperti dulu. Biliknya di rumah nani ma. Dulu-dulu, setiap kali cuti sekolah dia dan Maria akan berjumpa di sini. Papa akan menghantar ke sini, begitu juga dengan mama. Hanya itu saja alternatif yang mengukuhkan hubungan mereka. Jika tidak, pasti saja dia dan Maria tidak akan seakrab ini.

Teringat pula kata-kata mama siang tadi. Cinta? Mungkin mama tidak percayakan cintanya pada Diana kerana cinta mama juga kecundang kerana jodoh mama dan papa setakat itu saja. Namun, itu tidak memberi jawapan bahawa hubungan dia dan Diana juga akan begitu. Bukankah jodoh itu telah ditetapkan oleh Allah kepada semua hambaNYA. Apakah mama sudah lupa akan hakikat itu. Jadi untuk apa dipersoalkan tentang cinta? DIA lebih mengetahui segalanya.

“Jangan lupa Mel, kamu pun dulu berkahwin campur juga. Jadi apa masalah pula kalau Hakim nak berkahwin dengan Diana? Mama tak pernah halang percintaan Mel dulu. Kenapa sekarang Mel nak halang Hakim? Apa hak Mel?” suara nani ma bergema semula dalam telinga. Dia tidak menyangka secepat itu nani ma akan bertindak untuk berbincang dengan mama. Jelas sekali matanya menangkap wajah mama yang terdiam tanpa kata. Pasti saja mama tidak punya hujah yang kukuh untuk menolak hasrat murninya itu.

“Mel tetap tak suka! Tak boleh ke dia kahwin dari keturunan kita saja. Nurish tu apa kurangnya. Sudahlah Maria berkahwin ikut suka dia. Sekarang ni Hakim pun nak buat macam tu jugak. Habis… Mel langsung tak ada hak nak tentukan kehidupan anak-anak Mel.”

“Melina!” suara nani ma naik. “Dalam hidup ni kita kena selalu bertolak ansur dengan kehendak anak-anak. Macam dulu, mama pun nak Mel menikah dengan lelaki pilihan mama. Tapi Mel kata apa dengan mama… this is my life, I’ll decide it! Mel mungkin dah lupa… tapi mama takkan lupa.” Pada ketika wajah mama seakan tergamam.

“Mama dengan arwah papa terima pilihan Mel seadanya. We were lucky to have Jalaluddin as our son-in-law. You were lucky to have him as your husband. Dan Mel bercerai… itu pun Mel yang minta cerai. Mama tahu tu.” Sekali lagi wajah mama tergamam. Dia pun ikut tergamam. Benarkah mama yang minta untuk diceraikan, tapi kenapa? Persoalan itu sepi setakat di situ.

“But did we questioned you? No Mel… Mel hidup dengan cara Mel sendiri. Mama dengan arwah papa langsung tak pernah kongkong Mel dengan kehendak kami. Tapi sekarang… Mel nak halang anak Mel dari berkahwin dengan pilihan dia, mana keadilannya Mel? Mana? Kalau sekalipun Mel tak suka dengan pilihan Hakim… mama takkan setuju untuk nikahkan Nurish dengan Hakim. Budak perempuan tu langsung tak sesuai dengan Hakim. Liarnya tak ingat hukum agama. Perempuan macam tu yang Mel nak pilih untuk jadi isteri Hakim? Mama takkan setuju!”

Ucapan nani ma yang begitu padat hanya membuatkan mama terkaku tanpa kata. Dalam hati, dia sempat berdoa, semoga mama akan berubah rasa hatinya. Semoga mama akan termakan pujukan Nani ma. Semoga perkahwinannya dengan Diana akan berlangsung dengan restu semua orang. Itu yang penting. Restu mama yang akan membawa bahagia dalam hidupnya.

Kepalanya sudah direbahkan atas bantal. Namun matanya tidak boleh dipejamkan. Terasa ada sesuatu yang terkurang. Apa dia? Lantas, dia bangun dan duduk bersila di atas katil. Matanya menjalar ke sekeliling bilik. Sunyi dan sepi. Sunyi?

Bingkas dia bangun dari katil. Beg bimbit yang diusung ke mari diselongkar. Rasanya dia sudah tahu apa yang kurang itu. Sebaik saja matanya menangkap objek itu, pantas saja dicapai. Gelap gelita skrin. Aduh! Berapa hari dia sudah abaikan telefon ini. Disebabkan sibuk dengan urusan pejabat, diabaikan terus telefon keduanya. Charger yang sememangnya sedia ada dalam poket kecil beg dikeluarkan dan dipasang.

Sebaik saja telefon bimbit dihidupkan, dia terpana. Mesej masuk tanpa henti. Dadanya berdebar. Apakah ini, penangan cinta?

Nama yang tertera di skrin itu membuatkan dia tersenyum dan berdebar dalam masa yang sama. Ditambah dengan mesej yang dikirimkan oleh orang itu, membuatkan rasa bersalah sekali mencengkam jiwa. Dikerling pada jam di dinding, sudah pukul dua belas malam. Agaknya sudah tidurkah dia di sana? Tanpa berlengah juga, nombor itu sudah didail.

“Hakim.” Tidak lama dia menunggu talian sudah bersambut. Nada suara yang kedengaran risau itu membuatkan kasihnya melimpah ruah. Sayangnya… sayangnya dia dengan insan bernama Diana itu.

“Awak ke mana? Kenapa tak boleh nak call langsung? Mesej pun not delivered.” Hakim tersenyum kecil mendengar nada itu. Dia suka sangat. Berbaloi-baloi rasanya termatikan telefon ini. Ada orang sudah didera dengan rasa rindu yang tak sudah. Walaupun rasa bersalah tapi lebih dari itu dia rasa bahagia.

“Saya kat rumah mama… di Melaka. Miss me?” soalnya tak sabar. Terdiam sudah gadis itu. Malu mungkin. Diana kan cepat saja bab-bab nak termalu dengan sebarang ucapan darinya.

“Kenapa tak cakap langsung?” Hakim tersenyum lagi. Pandai betul orang itu mengelak soalan itu. Tak apa… Judges boleh bersabar nak dengar ucapan rindu dari bibir Diana Ahmad.

“Tak sempat… sibuk dengan hal kerja lagi. Sorry ya Diana. Tak berniat pun nak buat awak risau.” Gadis itu diam tidak membalas.

“Nak tahu something?” Hakim cuba memancing respon Diana dengan nadanya yang teruja itu. Dia hendak kongsikan rasa bahagia ini dengan Diana.

“Apa?” Acuh tak acuh saja nada di sebelah sana. Hai… merajuk? Dia senyum lagi. Murahnya senyuman di bibir ini sejak mengenali si manis Diana Ahmad.

“Merajuk ke?”

“Bukan merajuklah… saya risau tau!”

“Nak merajuk pun tak apa… abang boleh pujuk.” Hakim tersenyum nakal seakan Diana boleh melihat saja senyuman itu. Kalaulah dia boleh melihat reaksi gadis itu bila dirinya dibahasakan sebagai abang.

“A… a…abang ke?” tergagap saja gadis itu menyoal. Tak dapat nak menahan rasa lucu dengan kegugupan orang sana, Hakim terus melepaskan tawa galak. Dia ketawa dan terus ketawa sehingga Diana mendengus geram. Marah!

“Nanti saya nak ajak rombongan datang Pulau Pinang.” Ucapnya setelah tawanya dihentikan. Cuma senyuman masih tersungging di bibir.

“Rombongan apa pulak dah? Rombongan lawatan sambil belajar ke?” Dia ketawa dengan soalan itu. Ada pula rombongan lawatan sambil belajar. Mentanglah orang di sana itu cikgu, asal rombongan saja, kena lawatan sambil belajarlah ya?

“Ini rombongan lawatan sambil meminang anak dara Encik Ahmad dan Puan Laila.” Buat sekian kalinya, dia terus tersenyum. Diana terdiam, hanya hela nafas gadis itu jelas kedengaran di corong telefon. Nafas yang turun naik itu jelas menunjukkan paluan jantung gadis itu sudah tidak teratur. Sama seperti apa yang dia rasakan pada saat ini. Kan saya dah cakap, awak rasa apa yang saya rasa Diana.
_______________
Komen daripada pembaca sangat dialu-alukan dan amat dihargai. Terima kasih semua. :)


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

8 ulasan untuk “Novel : Cintaku Milik Siapa 23”
  1. rieda says:

    so sweet…best..best..tak sabar nak tunggu yg akan dtg!

  2. fatim says:

    sweet jer dorang ni,,sukalah,,smbung lg yer umi

  3. Siti Soleha Yahaya says:

    mintak2 mama Hakim x buat hal lg…

  4. kak zar says:

    umi…keep it up…waiting for ur next entry…:)

  5. dewdrop says:

    sy rase..sy pun rase ape yg hakim n diana rse..cik writer rase x ape yg mereke rase??rse kn2??hehehe..rse bahgie ^_^

    akhirnye..berakhir jgk penntian diana..suke la tu..siap dpt berita de rombongan smbil meminang nk dtg lg tu..

    best2..tp mcm mne dgn fariz n maria kt rumah mama fariz tu erk??tertnye2..

    pape pun..akn truz menunggu nxt n3 :)

  6. aida sherry says:

    ermmm.. “awak rasa apa yg saya rasa”…… so sweet….

  7. erica71 says:

    jgn la Diana wat kesian kat mama fariz dan terima anak dia pula…..hakim camna???speku jer.hehehe…….

  8. jiao xiu says:

    wah bagus nani ma. hahaha sokong!!!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.