Novel : Cintaku Milik Siapa 24

2 July 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

“SAYA cemburu dengan awak, Ana.” Diana tersentak. Tidak menyangka ucapan itu akan terbit dari bibir Maria. Matanya terus merenung wajah keruh itu dengan rasa tidak percaya. Kenapa perlu Maria mencemburui dirinya. Apakah kerana Diana terlalu akrab dengan Aunty Zuby? Mungkin juga. Tapi sungguh dia tidak buat itu untuk membuatkan Maria berasa cemburu dengan diri ini.

“Kenapa awak cakap macam tu?” soal Diana tidak senang. Bimbang pula bila Maria menyuarakan rasa cemburu buat dirinya. Sudahlah mak mentua dia sukakan aku. Suami dia pun pernah sukakan aku atau lebih teruk, masih sukakan aku. Diana terkelu sendiri. Kalaulah dia di tempat Maria, apa rasanya? Pasti cemburu juga.

Maria menggeleng kecil. Pandangan terus tertala pada gelas yang berisi fresh orange itu. Tangannya mula mengacau perlahan penyedut minuman. Jasadnya berada di depan Diana, namun mindanya menerawang. Keadaan riuh kawasan sekeliling seakan tidak menganggu khayalan Maria.

Diana merenung wajah cantik itu tanpa rasa jemu. Sengaja dia mengajak Maria keluar meluangkan masa dengannya. Bukan saja nak tunjuk baik. Tapi dia rasa Maria perlukan teman untuk meluahkan rasa hatinya. Dan Diana rasa tidak salah jika dia mendengar luahan hati Maria yang pastinya ada seribu satu luka di dalamnya.

“Saya cemburu sebab semuanya indah dalam hidup awak.” Lama menanti, jawapan itu terucap dari bibir Maria yang tersenyum hambar. Mata itu sudah dapat menjelaskan betapa saratnya hati dengan kesedihan.

“Mama sukakan awak. Fariz sukakan awak. Abang saya pun sukakan awak. Dan saya dengar… nani kami pun dah setuju nak meminang awak. Awak mesti rasa happy kan?” soal Maria pada Diana. Namun pandangan mata itu menerawang ke arah lain.

“Maria…”

“Dulu masa saya kecil, mama selalu cakap… cinta bukan segalanya. Cinta tak menjanjikan bahagia. Cinta hanya buat manusia derita.” Ucap Maria dengan wajah yang seakan berkhayal jauh saja. “Saya tak faham… saya pergi tanya dengan nani pula, betul ke cinta tu hanya buat manusia derita. Tapi nani jawab, cinta adalah segala-galanya buat manusia. Manusia lahir kerana rasa cinta. Manusia membesar dengan rasa cinta. Sepanjang hidup, kita hanya dilimpahi dengan rasa cinta…” sambung Maria lagi.

Diana diam saja. Dibiarkan Maria berbicara. Mungkin dengan cara ini akan kurang tekanan dalam jiwanya.

“Dia dah jadi pendiam sekarang, langsung tak nak cakap. Mama tak payah cakaplah, memang tak ada rasa nak mulakan topik bercakap langsung. Tapi dengan abang pun dia dah kurang bercakap. Ana tolong… mungkin dia boleh bercerita dengan Ana.” Kata-kata Fariz yang bersalut rasa sedih itu membuatkan dia begitu berbesar hati untuk merapatkan diri dengan Maria. Sememangnya dia sangat mengagumi insan bernama Maria Hani dan dia sangat senang hendak mengenali Maria dengan lebih rapat.

Matanya kembali fokus pada Maria yang sedang menyambung kata.

“Mulanya saya dah percaya dengan kata-kata nani… cinta memang indah walaupun hanya saya seorang ada rasa itu. Mengintai bayangan orang tu dari jauh betul-betul membuatkan saya bahagia. Bila dia gembira dengan menceritakan segala kenangan dia dengan awak… saya tumpang bahagia sebab saya tahu, mencintai bukan bermaksud boleh memiliki.”

Diana terpana. Bila dia gembira dengan menceritakan segala kenangan dia dengan awak… Farizkah itu? Terpalit rasa bersalah di dalam jiwa Diana. Kenapa perlu wujud dirinya di antara kisah Fariz dan Maria?

“Tapi… saya rasa sekarang, lebih dari nak bersetuju dengan nani… saya lebih nak percayakan kata-kata mama, cinta hanya membuatkan manusia derita.” Dengan kata itu, menitis mutiara jernih dari mata Maria. Perlahan-lahan pipi yang bersih itu sudah dicemari oleh air mata. Kelu lidah Diana.

“Maria… you okay?”

Maria menggeleng. Kepalanya sudah tertunduk.

“Why am I telling this to you Ana?” soal Maria dengan kepalanya masih tertunduk ke bawah. Esakannya tidak kedengaran langsung.

“Awak kena luahkan apa yang awak rasa.”

Laju Maria menggeleng. Dengan pandangan yang sedikit kabur itu dia mengangkat wajahnya. Air mata yang masih mengalir tanpa segan dan silu, dikesat dengan tangan kanannya.

“Saya tak patut ambil Fariz awak kan? Kalau kami tak kahwin, takkan jadi macam ni. Semua ni salah saya! Mama benci dengan saya. Semua ni salah saya!” Maria sudah mula menyalahkan diri sendiri pula. Diana menjadi tidak betah melihat Maria berkata begitu. Dia mengajak Maria keluar untuk meringankan minda bukannya untuk mengusutkan keadaan yang sedia ada.

“Stop blaming yourself Maria!” sedikit keras nada Diana. Maria kelihatan seperti sudah alpa.

“Dari awal lagi memang salah saya. Kalau saya pandai jaga diri takkan jadi…” kata-kata Maria terhenti di situ. Dia sudah menekup muka dengan kedua belah tangannya. Bahunya terhenjut-henjut sedikit.

Diana yang melihat keadaan itu menjadi kalut. Sudah! Bingkas dia bangun dari tempat duduknya. Tangan Maria sudah dicapai, mereka harus pergi ke tempat yang lebih tenang. Keadaan sekeliling sudah makin riuh. Bimbang pula kalau orang di situ pandang lain macam dengan keadaan mereka. Tambah pula, tangisan Maria sudah tidak mampu dikawal lagi, makin memuncak.

WAJAH Maria yang sudah tenang itu ditatap lama. Pandangan wanita itu dibiarkan bertebaran di luar. Dari posisi ini kelihatan jelas pokok-pokok yang teguh berdiri sepanjang jalan bergoyang di tiup angin kencang. Dengan keadaan luar yang sedang hujan lebat membuatkan Diana memarkirkan saja keretanya di tepi jalan itu bersama deretan kereta yang lain. Dia tidak punya idea tempat yang lebih sesuai untuk berbicara dengan Maria.

“Maria… saya nak tanya sikit boleh?” Diana cuba memancing Maria untuk berbicara dengannya. Maria pusing menghadap wajahnya. Mata itu kelihatan sembab. Wajah yang cerah itu memerah.

“Apa yang awak rasa?” dengan berhati-hati Diana menyoal. Bimbang tersilap kata boleh membuatkan wanita itu kembali dihurung air mata.

Mata Maria terpaku pada wajah Diana lama. Rasa? Menyesal.

“Bukan mudah nak menerima Ana… keadaan diri yang serba kekurangan selalu buat saya rasa tidak layak untuk berdiri sama tinggi dengan semua. Saya sangka hidup ini akan sentiasa indah… berwarna-warni saja. Tapi hidup saya… seakan menjadi noktah bila dicalit satu titik hitam.” Mata itu kembali menitiskan air mata. Mata Diana ikut bergenang.

“Bunuh diri… itu saja yang saya nampak. Mungkin sebab takut dengan tohmahan masyarakat membuatkan fikiran saya menjadi singkat. Saya tak nampak cara lain… itu saja yang bermain dalam kepala. Saya cuba untuk bunuh diri… bodoh kan saya Ana?” soalan itu lebih kepada menyindir diri sendiri. Dan air mata itu tidak berhenti-henti.

“Fariz yang selamatkan saya… Fariz juga menyedarkan saya akan hakikat dosa besar yang saya sedang tempah pada masa tu. Tapi saya jadi buta hukum. Lebih daripada ingatkan hukum Allah, saya asyik fikirkan hukuman masyarakat. Apa kata orang kalau saya mengandung anak luar nikah. Masa saya nak bunuh diri, anak lelaki bangsat tu dah membesar dalam rahim saya empat minggu. Saya takut. Hakim tak ada masa tu… dia balik Malaysia sebab nak uruskan perniagaan papa. Detik pertama penyesalan dalam hidup saya… kalaulah saya ikut Hakim pulang ke Malaysia.” Air mata berjuraian dengan laju sekali tanpa esakan. Hanya sendu kedengaran sesekali.

“Bila Fariz cakap dia sanggup kahwin dengan saya, dia sanggup jaga saya… terasa macam kurang sedikit beban di bahu saya. Tapi, saya terfikirkan awak… saya tahu perasaan Fariz untuk awak. Dia cintakan awak.”

“Saya tak pernah cintakan dia… awak tak perlu risau tentang hakikat tu.” Pantas saja Diana memotong. Tidak mahu ada salah faham antara mereka.

“Mudahnya awak menolak seseorang yang sangat mencintai diri awak Ana…” Diana terkelu sendiri. “Detik kedua penyesalan dalam hidup saya… kenapa saya perlu berkahwin dengan Fariz yang mencintai orang lain.”

“Awak tak yakin yang Fariz tu jodoh awak?” soal Diana. Pandangan tepat pada sisi Maria yang setia melihat juraian hujan di luar sana. Sama seperti wajahnya yang sedang dihujani air mata.

Maria menggeleng kecil. Jujur dia mengaku, pada masa itu keyakinan dalam diri hanya senipis kulit bawang saja. Betapa dia menidakkan qadha dan qadar yang menimpa dirinya. Alpanya dia. Lalainya dia.

“Masa tu, bila Fariz ada untuk tolong saya… saya pandang dia as a warrior dalam hidup saya. Seorang yang hadir untuk menguatkan semangat saya. Dia memang seorang sahabat yang sangat prihatin. Dia pandai buatkan saya lupa dengan apa yang saya pernah alami… sekali pun dia tak pernah buka mulut nak bertanya tentang kisah hitam saya. Dia memang seorang yang sangat caring… tapi sayangnya, cinta dia bukan untuk saya.”

“He loves you Maria,” tegas Diana. Rasa bimbang dalam hatinya menjalar tanpa henti. Risau pula bila sudah beberapa kali bibir Maria menyebutkan hakikat cinta Fariz buat dirinya. Bukannya dia risau akan hatinya, dia cuma bimbangkan hati Maria. Rasanya Maria tidak patut berasa cemburu dengannya. Kan sudah jelas, siapa yang menjadi pilihan hati Diana. Hanya tuan Hakim itu.

“He loves you Diana.” Balas Maria tanpa riak.

“Kenapa awak asyik mengulang fakta tu? Awak tahu kan saya tak pernah sukakan dia. Kalau saya suka dan cintakan Fariz, saya dah bersetuju nak kahwin dengan dia… tak perlu saya berkeras menolak.”

“Saya sedih Ana… saya nak tengok suami saya bahagia. Saya tak dapat nak bahagiakan dia.”

“Kenapa?” soal Diana seakan menggesa.

“Sebab…” Maria terhenti sekali lagi. Air mata kembali melebat di wajah itu. “Saya tak punya apa-apa yang istimewa.”

“Awaklah yang paling istimewa untuk Fariz… awak kena ingat tu Maria. Fariz adalah yang terbaik untuk awak.”

Tanpa membalas kata itu, Maria terus memeluk Diana. Bahu itu terenjut-enjut melepaskan tangisnya. Dugaan. Setiap manusia pasti akan menerima dugaan. Ringan atau berat, semua itu berdasarkan kemampuan kita untuk mengatasinya. Allah lebih mengetahui kemampuan hambaNYA untuk menghadapi sesuatu dugaan. DIA Maha Mengetahui.

“Bukan mudah saya nak berkongsi cerita… saya tak pernah berkongsi cerita duka saya dengan siapa pun. Dengan Fariz sekalipun… dia cuma tahu apa yang jadi pada diri saya, tapi untuk menyelami perasaan saya, sangat sukar untuk dia… dan kenapa saya boleh bercerita semua ni dengan awak, Ana?” wajah Maria yang sudah basah itu kembali menghadap wajah Diana.

“Semua ini pun kehendak Allah juga. Awak kena ingat Maria… ujian yang Allah bagi adalah peringatan kepada diri kita. Supaya kita akan sentiasa kembali mengingati DIA. Tak kira dalam apa jua keadaan. Pada DIA saja yang kita boleh meminta dan berdoa. Apa pun yang dah jadi, yang akan jadi… awak kena redha. InsyaAllah, Allah tahu apa yang terbaik untuk hambaNYA. Saya akan sentiasa ada untuk dengar luahan awak.”

“Boleh awak jadi kawan saya, Ana?” tenang saja bibir Maria mengajukan permintaan. Diana terus saja tersenyum.

“Mestilah boleh.” Perlahan-lahan Maria pun ikut tersenyum.

“Terima kasih bakal kakak ipar.”

Diana lepas ketawa. Tak sangka pula dia akan jadi kakak ipar untuk orang yang lagi tua dari dia. Berkenalan dengan status madu tak jadi, tapi sekarang… bakal kakak ipar. Ini semua pun kerja Allah juga. Kita hanya merancang tapi Allah yang menentukan segalanya.

“Lepas ni kalau awak nak menangis, jangan menangis seorang diri…” dahi Maria berkerut. Dia tak faham. Kalau tak menangis seorang diri, takkan nak menjemput satu kerabat sekali.

“Panggil saya… saya boleh menangis dengan awak.” Terpaku mata Maria pada pandangan Diana yang kelihatan begitu tulus sekali. Kali ini air mata menitis lagi, namun bukan air mata kesedihan tetapi air mata kegembiraan. Rasa syukur mula mencengkam hati, syukur dia masih dipanjangkan usia untuk mengenali insan-insan istimewa dalam hidup ini.

****

“BUAT apa hari ni?” soal suara yang berada di hujung talian. Diana sudah berguling-guling di atas katil. Jam sudah pukul sebelas malam, sekejap lagi nak tidur. Sebelum itu, acara wajib… mendapat panggilan telefon dari judges. Diana tersenyum.

“Dating.”

“Amboi! Dengan siapa? Oh… main kayu tiga ya?” usik suara itu. Diana ketawa senang.

“Tak dapat date dengan abang, date dengan adik pun jadilah.” Seloroh Diana.

“Maria?”

“Hhmmm…”

“How is she?” Diana mengerutkan dahi. Aik? Sebenarnya Maria adik siapa sekarang ini? Dia pula yang kena maklumkan perihal Maria.

“Awak call la, berbual dengan dia.”

“Awak tak boleh bagi tahu?”

“Bukan tak nak bagi tahu… tapi lain feeling tu. Mesti dia rasa selesa kalau orang-orang yang dekat dengan dia call dan tanya khabar.”

“Awak apa khabar?” Eh, eh! Pak cik ini, langsung ubah topik.

“Alhamdulillah, saya sihat wal’afiat. Orang sana, sihat ke? Dengar kata busy sepanjang minggu. Kejar sana, kejar sini… kejar apa? Jangan kejar orang lain sudah!” serentak itu tawa galak Hakim memenuhi corong telefon. Amboi, suka!

“Cemburu ya?”

“Tak kuasa.” Diana mencebik. Huh! Tak kuasa la sangat. Nanti dia juga yang meraung tak kena gaya. Tak boleh jadi kalau Hakim kahwin dengan orang lain. Ini betul dah jatuh suka tahap… tahap tak mampu nak diekspresi dengan kata-kata.

“Iyalah… tak kuasa. Siapalah saya kan? Hidung tak mancung, pipi tersorong-sorong.”

“Perli hidung saya tak mancung?” spontan Hakim ketawa lagi mendengar soalannya.

“Sedar pun!” usik Hakim dengan tawa yang masih galak.

“Hakim!!!” geram pula dia dengan tuan Hakim ini. Boleh pula mengusik dengan fakta yang benar lagi sahih ini. Tahulah hidung dia tak mancung macam orang itu, tapi ada hidung kan? Boleh bernafas lagi kan? So, nak kisah apa mancung tak mancung. Terletak elok atas muka sudah. Tak perlu nak risau lebih tak kena gaya.

“Just joking la… janganlah ambil hati sebab awak dah ambil hati saya sebelum ni buat macam harta sendiri.” Dah mula dah sweet talker. Bila keluar ayat yang berbunga dari bibir lelaki itu, mulalah Diana rasa nak terbang tinggi saja. Menerawang, melayang-layang, mabuk kepayang, angan-angan sayang. Merapu!

“Oh ya… sebelum saya lupa,” sambung Hakim. “Nak bertanya pada saudari Diana… coming saturday, you free ke?” Diana mengerling sekilas pada kalendar di atas meja. Sabtu akan datang, free saja.

“Kenapa?” soalnya tanpa memberi jawapan.

“Macam mana nak cakap ya…” suara Hakim seakan suspen. Diana tertanya-tanya. Apa pula dah?

“Kenapa?” soalnya tidak sabar.

“Harap awak bersabar dengar perkara yang saya nak sampaikan ni.” Berkerut-kerut dahi Diana mendengar intonasi dan nada tuan Hakim yang seakan sedang mempermainkan dirinya.

“Apa ni? Cakap terus sajalah. Buat suspen pula!” marah Diana tidak sabar.

“Diana… sebenarnya…” bila Hakim meleret-leretkan suara dengan gaya ini, Diana rasa macam nak bagi penampar saja. Orang dah suspen habis dekat sini, dia boleh pula bawa gaya slow motion tak kena tempat. Hisy! Marah.

“Tak nak cakap, saya letak phone sekarang.” Ugut Diana. Malas dah nak menunggu. Entah apa yang sebenarnya itu… argh! Dalam pada tengah marah, hati rasa nak tahu juga. Ada apa yang sebenarnya???


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

13 ulasan untuk “Novel : Cintaku Milik Siapa 24”
  1. rieda says:

    mesti hakim nak masuk meminang!cpt2 sambung….

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    suspen nih

  3. eyna says:

    kepada pengarang… UMI KALSOM… xkan la xde buat promotion novel kot? mcm tunjukkan mcm mana ilurstrasi kulit buku novel utk dibeli oleh pembaca novel…
    sebab sy tatau sama ada novel anda sudah ade dipasaran atau belum

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.