Novel : Hakmilik Tetap Hatiku 1

29 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: Aishara

I’ve been alone with you, inside my mind…

BUNYI kicauan burung menenangkan hati yang tidak tenang. Gundah-gulana. Pandangan dilemparkan ke arah tasik menghadap taman. Tempat kebiasaan untuk dia menenangkan fikiran. Pokok yang kehijauan merimbun, menampakkan lagi kesegaran taman itu. Bunyi unggas hutan juga tidak ketinggalan. Jika boleh, ingin sahaja dibuat khemah dan tidur disitu. Biarlah dijadikan taman itu rumah keduanya. Dipejamkan mata. Menghirup kesegaran angin yang berhembus damai. Alangkah indah jika hidupnya sedamai itu. Tiada yang dapat melukakan hatinya. Tiada yang dapat menyuruh dia membuat itu dan ini. Telefon bimbit berbunyi nyaring membingitkan telinga. Mematikan segala anganan yang baru sahaja menerjah masuk. Dengusan demi dengusan keluar dari hidung. Otaknya berpusing memikirkan sebanyak 2 tugasan yang harus disiapkan sebelum tarikh tamat untuk menghantar tugasan. Mengetap gigi.

Geram mendengar lagu Call Me Baby nyanyian EXO, bingit. Segera membuka beg galas dan mencari telefon bimbit yang terbenam jauh ke dasarnya. Satu lagi dengusan dilepaskan. Nama yang tertera di skrin, menyakitkan hati sahaja. Sudahlah orang banyak tugasan hendak disiapkan. Dia ini, tidak habis-habis hendak menelefon. Lambat-lambat di slide butang hijau.

“Assalamualaikum.” dia menjawab malas.

“Mana Qi pergi? Im cari satu kampus, tau.” Terjah si pemanggil tanpa menjawab salam yang diberi. Keluh lelaki si pemanggil di hujung talian. Digaru kepala yang tidak gatal. Tidak faham lagikah bahawa dia tidak mahu berjumpa dengan lelaki itu. Buat sakit hati sahaja.

“Kot iya pun, jawablah salam dulu.” Sindir si gadis. Lelaki itu terdiam.

“Sorry…sorry. Waalaikumussalam.” Terkulat-kulat dia menjawab.

“Mana Qiqi pergi tadi? Lepas kuliah, Im ingat nak ajak Qi makan. Tengok-tengok aje Qi dah hilang.” Si pemanggil mula merendahkan intonasi suaranya. Tidak seperti mula tadi yang bagaikan orang kerasukan.

“Encik Asrul Imran, penting ke untuk aku beritahu kau ke mana je aku nak pergi?” bidas si perempuan pula. Terdengar keluhan kecil dari Asrul.

“Cik Aqila Mastura. Kau tu kawan aku. Penting lah untuk aku tahu ke mana kau pergi.” Balas Asrul. Hanya Qiqi sahaja yang memanggil Asrul dengan panggilan Im. Qiqi terdiam. Teringat kembali kata-kata Asrul membuatkan dia sakit hati. Terluka, berdarah, bernanah. Entah bermacam jenis lagilah luka yang menghiris tangkai hatinya.

“Larra mana? Puas Im cari dia. Dia tak datang kelas ke hari ni?” Qiqi tidak menjawab soalan Asrul itu.

Hatinya tiba-tiba terasa sebal. Asyik-asyik nama Larra sahaja yang menjadi sebutan Asrul. Terasa ingin dicampak sahaja telefon itu sambil membayangkan wajah Asrul yang dicampaknya. Biar puas hati. Tetapi tidak mungkin dia sanggup membuang Galaxy S6 Edge kesayangannya itu. Puas dia memujuk abang sepupunya, Kamal Mazrin untuk membelikan ‘smart phone’ tersebut pada hari jadinya yang baru sahaja lepas.

“Entah. Aku bukannya ‘jaga’ dia pun yang nak kena tahu mana je dia pergi. Kau telefonlah dia.” Qiqi menjawab malas. Dipegang dada yang terasa seperti hendak meletup. Sekali lagi Asrul melepaskan keluhan.

“Qi, dia kan sepupu kau. Mestilah kau tahu mana dia pergi.” Paksa Asrul lagi.

“Walaupun dia sepupu aku, tak semestinya aku kena ambil tahu kemana dia pergi.” Sedikit tinggi suara yang dilontarkan oleh Qiqi. Qiqi mula naik bosan. Qiqi dan Larra adalah sepupu yang paling rapat dan mereka sudah dianggap seperti kembar yang kemana sahaja pasti bersama. Qiqi dijaga oleh keluarga Larra sejak dari kecil selepas kedua ibubapa Qiqi bercerai. Asrul bingung memikirkan tentang ‘kehilangan’ Larra yang sudah berminggu dia tidak berjumpa. Apabila dia menelefon sahaja, pasti panggilannya masuk ke pesanan peti suara. Perlukah Qiqi memberitahu perkara sebenar kepada Asrul?

“Cuba kau beritahu aku. Kemana Larra pergi? Tak mungkinlah Larra tak beritahu apa-apa kat kau.” Bidas Asrul. Qiqi mengeluh bosan.

“Aku betul-betul tak tahulah, Im. Cubalah kau tanya dengan bestfriend dia tu. Dia kan selalu tahu mana Larra pergi. Okaylah. Aku banyak lagi assignment nak siapkan. Bye. Assalamualaikum.” Sela Qiqi. Salam Qiqi hanya dijawab dalam hati. Merenung kosong ke arah telefon bimbit apabila talian dimatikan. Sejak Qiqi dan Larra memilih untuk pergi ke jurusan dan haluan yang berbeza, Larra sudah tidak banyak masa untuk diluangkan bersama Qiqi. Dia lebih seronok berkawan dengan Asmida, anak gadis Datuk Irfan yang sangat berlagak itu. Qiqi dan Larra mempunyai perwatakan dan penampilan yang sangat berbeza.

Larra atau nama penuhnya Larra Marlisa, orangnya tinggi lampai persis seorang model. Kulit putih kemerah-merahan, sentiasa dijaga kecantikan kulitnya itu. Baju yang disarungkan di badan, selalunya ‘up to date’. Tidak pernah ketinggalan zaman jika dia berfesyen. Wajahnya selalu dirias setiap kali hendak menghadiri kuliah atau pun bersantai bersama teman-teman rapat. Larra sememangnya gadis paling popular tidak kiralah samada di sekolah atau pun kolej. Setiap lelaki pasti mahu mendampingi Larra Marlisa. Cakapnya lemah-lembut, sopan. Dan senyuman Larra pasti membuatkan ramai lelaki cair melihatnya. Berlesung pipit sebelah kanan.

Berbeza dengan Aqila Mastura atau nama manjanya, Qiqi. Rambut yang dahulunya panjang melepasi bahu, dipotong pendek. Jenis boycut. Tindakan Qiqi itu menimbulkan kemarahan ibu saudaranya, Hajjah Normah. Sudahlah berperwatakan seperti lelaki. Jika disimpan rambut panjang, adalah sedikit ciri-ciri keperempuanan. Berkulit sawo matang. Lebih suka memakai jeans dan juga T-shirt. Senang baginya untuk melakukan sebarang pergerakan atau aktiviti. Tidak suka menyolek wajah yang tersedia dengan kecantikan semulajadi. Qiqi seorang yang simple. Mempunyai tahi lalat dibawah bibir sebelah kanan, memaniskan wajahnya walaupun dia berperawakan seperti lelaki. Jika lesung pipit Larra di sebelah kanan, lesung pipit Qiqi di sebelah kiri. Setiap kali dia tersenyum, manis sahaja kelihatannya. Memang Qiqi akui, dia tidak terkenal seperti Larra.

“Hey, noks. Berangan kau kat sini kan.” Seseorang menegur Qiqi yang sedang termenung jauh. Qiqi mengangkat wajah dan memandang sekujur tubuh dihadapannya. Tersenyum sumbing.

“Seorang je kau, Ferra? Mana Misya?” soal Qiqi apabila tidak kelihatan bayangan Damisya dimana-mana. Selalunya Ferra atau nama sebenarnya Farid Azmi akan berkepit dengan Damisya kemana sahaja. Jika Ferra tidak berkelakuan seperti sotong tidak ada pinggang ini, pasti orang sangkakan bahawa Ferra dan Damisya adalah pasangan kekasih. Ferra melabuhkan punggung dihadapan Qiqi.

“Belum habis kelas lagi. Kejap lagi dia join, katanya. Apa yang kau berangankan tadi tu? Cuba story kat ‘mak’. Manalah tahu ‘mak’ boleh tolong.” Tukas Ferra. Dia memang suka menggelarkan dirinya ‘mak’. Qiqi dan Damisya sudah biasa dengan keadaan Ferra itu. Satu keluhan dilepaskan.

“Tak ada apa-apalah, Ferra. Aku okay je.” Qiqi melarikan pandangan apabila Ferra cuba menentang matanya. Bukan boleh dipercayai si Ferra ini. Suka sangat membaca reaksi orang melalui pandangan mata. Almaklumlah baru sahaja mengambil subjek Psychology untuk semester ini.

“Apa yang kau tenungkan?” soal Qiqi tidak selesa. Membetulkan duduknya. Ferra tersenyum sinis.

“Storylah kat ‘mak’. Jangan sembunyi-sembunyi lah. Dah berapa tahun ‘mak’ kenal kau? Dari sekolah, okay.” Ferra masih cuba mengorek rahsia hati Qiqi. Gadis dihadapannya itu menundukkan wajah. Sememangnya dia tidak dapat menyembunyikan rahsia hati dari Ferra.

“Ini mesti pasal si…Asrul Imran tu lagi kan?” meninggi suara Ferra. Pantas Qiqi mengangkat wajah. Menekup mulut Ferra. Matanya dijegilkan. Ferra menepis tangan Qiqi. Dilap mulutnya bersungguh-sungguh.

“Wei, busuklah tangan kau tu. Makan sambal belacan tak cuci betul-betul ke?” Ferra menyindir geram. Qiqi mencium kedua-dua belah tangannya. Memang ada bau sambal belacan.Qiqi tersengih kerang.

“Pakailah sudu garfu lain kali kalau tak reti nak cuci betul-betul.” Sekali lagi Ferra menyindir. Qiqi mencebik.

“Aku orang melayulah. Mestilah makan pakai tangan. Bukan macam kau tu. Makan ayam goreng Mak Cik Dilah kat cafe pun nak pakai sudu garfu. Konon orang putihlah sangat. Tak sedar rambut hitam jugak.” Pedas sekali Qiqi menyindir kembali. Ferra menyengih.

“Cepatlah story.” Gesa Ferra. Qiqi mendengus kuat. Sudah seperti seekor seladang, gayanya.

“Tak ada apa-apalah. Kenapa kau nak tahu sangat ni?” Qiqi mula tidak selesa.

“Kau ni perangai je gagah perkasa, tapi baru je orang bolayan sikit dah nangis.” Perli

Ferra. Dikeluarkan komputer riba dari beg galas yang dibawanya.

“Gagah perkasa aku ni pun, tetap dalam hati ada taman tau.” Qiqi memegang dadanya. Ferra tergelak kecil. Kalau berlawan kata dengan Qiqi, jangan haraplah hendak menang.

“Motif dalam hati ada taman? Kenapa? Si Asrul tu cari Larra lagi ke?” Ferra menebak. Tersentak Qiqi dengan soalan Ferra itu.

“Tak adalah. Dia cari aku je.” Selindung Qiqi. Dari ekor matanya, kelihatan Ferra sedang tersenyum sinis.

“Qi…kau nak tipu orang lain bolehlah. Ini Ferra tau. Aku kenal kau dari sekolah menengah lagi. Dari tingkatan 1. Aku tahu kalau kau tengah susah hati pasal si Asrul tu.” Sakit jiwa Ferra dengan Qiqi. Gadis itu memang pandai menyimpan rahsia. Buatlah bermacam cara sekalipun, jika Qiqi tidak mahu menceritakan apa-apa, usahlah berharap mulutnya akan terbuka.

“Aku okaylah, Fer. Kau tak payah risau pasal aku.” Dalih Qiqi masih tetap utuh. Ferra melepaskan keluhan kasar.

“Kenapalah kau ni asyik nak bela si Asrul tu?” Ferra menghamburkan kemarahan. Sudah tidak tahan melihat sikap Qiqi yang tidak habis asyik membela Asrul.

“Aku tak bela dialah.” Qiqi mengeluh bosan.

“Habis?” suara Ferra mula meninggi. Orang ramai yang lalu-lalang di kawasan tersebut, memandang ke arah mereka berdua. Ferra terdiam apabila melihat wajah cemberut Qiqi.

“Qi…kau tentu ingat kisah 3 tahun dulu, kan. Asrul dah luahkan segala-galanya. Dalam hati dia, tak ada tertulis pun nama kau tau. Yang diingatnya, hanya Larra saja.” Ferra tidak mahu mengecilkan hati Qiqi tetapi itulah hakikatnya. Fikiran Qiqi terlayang mengimbas kembali peristiwa 3 tahun lalu.

3 tahun sebelum….

“QI…aku dengar Asrul nak buat confession hari ni.” Ujar Damisya semasa mereka sudah melabuhkan punggung di kantin untuk menjamu selera tengah hari. Tersentak dengan kata-kata Damisya itu. Kening Damisya terjungkit-jungkit sambil mengukirkan sebuah senyuman yang sukar dimengertikan. Berkerut seribu dahi Qiqi.

“Iya? Mana kau tahu?” terpinga Qiqi tidak mengerti.

“Pasal apa?” soal Qiqi lagi dengan mata yang bersinar. Perasaan ingin tahu apakah yang ingin disampaikan oleh Asrul.

“Entahlah. Aku pun tak tahu.” Damisya menyambung kata.

“Tapi aku dengar kata dia nak luahkan perasaan dia hari ni.” Damisya berkata lagi. Sekali lagi Qiqi tersentak. Luah perasaan? Memandang wajah Damisya mengharapkan penjelasan dengan lebih lagi. Memahami apa yang cuba disampaikan oleh Damisya, membahang wajah Qiqi dibuatnya.

“Mana kau tahu?” bertambah teruja Qiqi bertanya.

“Hezlin…dia kan girlfriend kawan baik Asrul tu…apa ke namanya?” Damisya cuba mengingati nama sahabat baik Asrul itu.

“Ariff?”

“Hah…yang tu lah. Asrul cerita kat Ariff. Lepas tu, Ariff terlepas kata kat Hezlin.” Damisya menceritakan kembali apa yang diceritakan oleh Hezlin kepadanya.

“Eh, okaylah Qi. Aku kena masuk kelas dulu ni.” Damisya berkata sambil melihat jam di tangan.

“Aaa…aaa…okay.” tergagap Qiqi mengia. Sempat Damisya memberi isyarat mata ke arah Qiqi apabila terperasan akan kelibat Asrul mendekati Qiqi. Tersipu Qiqi menahan malu.

“Qi…Im nak cakap sikit dengan Qi ni.” Ujar Asrul lembut. Qiqi mendongak memandang Asrul.

“Apa…apa…dia? Cakaplah.” Qiqi menahan getar dihati.

“Kita cakap kat tempat lain. Tak sesuai nak bercakap kat sini.” Pinta Asrul bersungguh. Menarik lengan Qiqi untuk membuntutinya.

“Kita nak kemana ni, Im?” tergesa Qiqi mengikut rentak langkah Asrul. Tanpa sebarang kata, Asrul menuju ke arah taman berdekatan. Melepaskan genggaman lengan Qiqi. Gadis itu mengusap lengannya perlahan apabila terasa cengkaman kuat dari Asrul.

“Apa yang Im nak cakapkan ni? Kelam kabut je.” Terjuih bibir Qiqi berkata-kata.

“Im….Im…” Asrul tidak jadi meneruskan kata. Peluh jantan memercik di dahi. Hati Qiqi berdebar-debar menanti setiap bicara yang ingin diluahkan oleh Asrul.

“Cakap jelah. Apa dia?” Qiqi menggigit bibir. Asrul menarik dan melepaskan nafasnya perlahan. Harus juga diluahkan apa yang membelenggu perasaannya.

“Pelik kan perasaan sayang ni?” ujar Asrul memulakan bicara sepi diantara mereka. Pandangan Qiqi tunduk menekur lantai. Terasa malu untuk menatap wajah Asrul.

“Kenapa tiba-tiba Im bicara tentang soal sayang ni?” lembut sahaja Qiqi bertanya.

“Entahlah, Qi. Hati Im dah mula sayangkan seseorang.” Akhirnya terluah jua apa yang ada di fikiran Asrul. Hati Qiqi berbunga bahagia. Bibirnya mengukirkan senyuman kecil. Wajah memerah serasanya tidak dapat disembunyikan lagi. Tersipu Qiqi menundukkan wajah.

“Im rasa Im tak dapat hidup tanpa kehadiran orang itu, senyuman dia, gelak ketawanya. Tiap malam Im ingatkan dia.” Asrul mula merapatkan badannya kepada Qiqi. Detakan jantung Qiqi bertambah kuat. Terasa mahu melompat keluar jantungnya ketika itu.

“Im rasa Im dah jatuh cinta pada….” ayat Asrul sekali lagi tergantung. Tidak sabar Qiqi hendak mendengar ayat seterusnya daripada Asrul.

“Pada siapa?” ujar Qiqi teruja sambil mengangkat wajah memandang wajah kacak disebelahnya itu. Dirasakan lama sekali setiap patah perkataan yang ingin keluar dari mulut Asrul.

“…Larra.” sambung Asrul. Terus mati senyuman yang makin melebar di wajah Qiqi. Kenapa nama Larra harus disebutnya?

“Larra?” sekali lagi Qiqi bertanya.

“Yes, Larra. I think I’ve falling in love with her.” Luah Asrul tanpa segan. Tanpa mengetahui perasaan yang terguris pada gadis disebelahnya itu. Qiqi terasa mahu angkat kaki dan beredar saja dari situ. Sudah tidak sanggup mendengar kata-kata seterusnya dari Asrul.

“Dulu, Im takut nak mengaku sebab Im tahu Larra dah ada boyfriend. Tapi bila Im tahu Larra dah putus dengan Ali, perasaan Im…perasaan Im kembang semacam.” Jujur Asrul meluahkan perasaan yang selama ini terbuku di hati.

“Sejak bila….Im cintakan Larra?” soal Qiqi luluh. Tidak tahu hendak menggambarkan perasaannya ketika itu.

“Sejak dari sekolah. Pertama kali Im pandang Larra kat kantin. Masa tu, dia dengan Qiqi. Masa dia senyum tu, yang buatkan Im terus jatuh cinta pada dia.” Asrul berterus-terang akan perasan yang sudah disimpan sekian lama. Qiqi menarik nafas panjang.

“Jadi, Im nak beritahu dengan Larra perasaan Im?” Qiqi menyoal lagi. Dilihatnya Asrul mengangguk perlahan sambil tersenyum sipu.

“Good luck.” Hanya itu sahaja ayat yang mampu diluahkan. Dia khuatir, jika cakap lebih nanti airmatanya pula yang tumpah. Selepas itu, Qiqi terus berlalu pergi tanpa sempat Asrul menyambung kata. Sejak dari hari itu, Qiqi bertekad akan melupakan Asrul.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.