Novel : Inilah Lukisan Aku 1

27 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: Hazreen Akhir

BAB 1 : DUNIA BARU

Deringan jam loceng bingit bersuara pada pagi ini. Tidak pernah melupakan tugasnya untuk memberikan suatu peringatan kepada manusia yang menggunakannya. Hampir setiap pagi deringan suaranya akan memecah sunyi di subuh hari termasuklah pada pagi ini. Fia meletakkan hujung jari ke atas jam locengnya itu sehingga terdiam. Perlahan-lahan Fia bangun dari tempat tidur yang empuk. Sesekali menjeling dengan mata yang sedikit terbuka ke arah bantal dan tilamnya. Terasa sayang pula hendak meninggalkan teman setia malamnya itu. Fia kembali melihat jam loceng di atas meja yang menunjukkan tepat pukul 6 pagi.

Lantas Fia berdiri tegak dan melakukan sedikit senaman ringan bagi merenggangkan otot-otot tubuhnya yang belum lagi bersedia untuk melakukan kerja seawal pagi ini. Tiba-tiba pula senyumannya berubah menjadi muram. Terlupa pula hari ini adalah permulaan hari persekolahan tingkatan 5 bagi dirinya. Ringkasnya, ia menandakan telah tamat cuti persekolahan akhir tahun tingkatan 4 bagi dirinya.Perlahan-lahan Fia menuju ke dalam bilik air untuk mengambil wudhuk. Selesai mengerjakan solat subuh, perlahan-lahan pula Fia mendekati jendela untuk melihat keindahan pagi yang akan mulai bingit dengan deruman bas-bas sekolah menghantar para pelajar ke sekolah.Suasana yang bingit ini tidak langsung dirasainya tatkala bergembira pada cuti musim persekolahan. Namun, mulai pada hari ini bermulalah kembali suasana yang memenatkan ini. Fia menggaru-garu kepalanya dan mengeluh panjang sambil mendagu wajah.

“Rasa macam baru sahaja cuti sekolah. Sekejap sahaja sudah mula belajar balik,” Fia merungut seorang diri.Tangannya semenjak dari tadi memegang tuala mandi dan bekas sabun. Namun, tidak juga bergerak untuk membersihkan diri. Kakinya seakan berat digari untuk melangkah ke bilik mandi yang dirasainya jauh berbatu-batu.Tiba-tiba kedengaran dentuman kuat bertalu-talu di muka pintunya. Tersentak Fia dari lamunan. Matanya lantas memandang jam loceng di atas meja. Kedengaran suara leteran dari arah luar pintu bilik tidurnya. Suara yang sudah lama tidak kedengaran semenjak cuti persekolahan bermula. Ibunya mengetuk pintu berulang kali selagi tiada sahutan daripada anak sulungnya itu.

“Ya, ibu! Fia sudah bangun,” lantas Fia bersuara menyahut panggilan ibunya walaupun tidak pasti apakah isi kandungan leteran ibunya itu asalkan tidak mendengar ketukan yang berulang kali seakan tanpa penamatnya. Perlahan-lahan kakinya melangkah menuju ke dalam bilik mandi yang bersambung dengan bilik tidurnya itu.Suasana hening pagi yang dingin disuapkan dengan kicauan burung-burung yang enak bermesra. Sinaran cahaya mentari di ufuk timur semakin mencerah menyinari bumi yang aman. Angin lembut menemani pagi yang nyaman bak tutur kata yang manis berseloka. Setelah selesai bersiap, begnya disandang ringan. Tidak banyak buku yang perlu dibawa memandangkan pada hari ini merupakan hari pertama persekolahan.Sekadar mencukupi syarat seorang pelajar tahun baru, Fia hanya memenuhkan begnya dengan alatan tulis dan sebuah buku tulis sahaja. Kakinya melangkah ke luar bilik tidur dan dilihat adik lelakinya sedang berselera bersarapan roti bakar telur yang disediakan oleh ibu mereka berdua. Adik lelakinya bernama Saif yang pada hari ini juga merupakan seorang pelajar baru sebagai tingkatan 3.

“Berselera pula Saif makan. Saif ada rasa macam malas hendak ke sekolah tak?” tegur kakaknya, sambil menarik kerusi untuk duduk bersarapan di sebelahnya.

“Relax lah. Saif sekarang 15 tahun lah. Sudah besar dan lagipun orang yang sama dalam kelas Saif. Kawan-kawan sama. Lainlah macam orang itu. Sudah lah memilih kawan, kawan seorang sahaja pula itu. Itu pun kelas lain. Haha..,” Usik adiknya, Saif sambil ketawa kecil.

“Diamlah, akak sumbat roti bakar ini baru tahu,” balas Fia sambil menghulurkan sekeping roti bakar ke arah mulut Saif.

“Pagi-pagi pun hendak bergaduh. Haih.., sudah! Makan cepat, selepas ini pergi ke sekolah,” sampuk ibu mereka sambil menyiapkan sarapan untuk ayah mereka pula. Fia dan adiknya hanya mengangguk layu sambil meneguk secawan teh susu.Deruman bas dan van sekolah mulai berbunyi bersaing-saing seolah seperti suatu suara gergasi sedang bergaduh di pagi hari. Kelihatan dua beradik sedang berjalan kaki di bahu jalan untuk menuju ke perhentian bas awam. Bagi kedua beradik ini, menggunakan perkhidmatan awam lebih menjimatkan dan cepat berbanding menggunakan khidmat bas dan van sekolah yang kosnya lebih tinggi malah terpaksa menunggu lama. Walaupun terpaksa berjalan kaki menuju ke perhentian bas yang jaraknya lebih kurang 5 minit perjalanan, mereka lebih rela, tambahan pula lebih selesa begitu.Fia berjalan kaki bersebelahan adik lelakinya yang kini sudah menjulang tinggi lebih dari ketinggiannya. Kadang-kala Fia terpaksa mendongak memandang adik lelakinya ketika ingin bercakap. Bagi sesiapa yang tidak mengenali mereka berdua, sudah pasti akan ada yang tersalah anggap kedudukan mereka. Memandangkan wajah dan ketinggian adik lelakinya lebih matang berbanding remaja sebayanya, pasti ramai akan menganggapnya sebagai abang. Fia pula mempunyai wajah yang cerah dan keanak-anakan, membuatnya seolah-olah seperti seorang adik bongsu yang comel. Tidak hairanlah dia menjadi antara anak gadis yang menjadi perhatian ramai, bukan sahaja di kampungnya, malah di sekolahnya juga.

“Lupa hendak cakap semalam. Semasa Saif main futsal semalam petang, ada seorang abang ini. Dia kirim salam pada akak,” tiba-tiba suara Saif kedengaran memecah sunyi pagi.

“Wa’alaikumussalam…,” Ringkas sahaja Fia membalas tanpa ada respon yang lain.

“Amboi, mentang-mentanglah ramai peminat! Macam itu sahaja balas?” ketawa kecil Saif. Saif sudah lali dengan situasi sebegitu. Seringkali menjadi orang tengah antara kakaknya dengan peminat kakaknya.

“Lain kali tidak perlu layanlah. Akak tidak ada masa hendak melayan mamat-mamat pelik macam itu,” tegas Fia yang sememangnya sangat memilih kawan dan kurang berminat dengan perkara-perkara yang berkaitan dengan cinta. Saif hanya mengangguk laju sebaik mendengar jawapan dari kakaknya. Sememangnya Saif sangat mengenali kakaknya itu yang terkenal dengan sifat tegas. Setiap kali Fia menyuarakan ketegasannya, Saif hanya mampu akur kerana takutkan kakaknya. Namun, walaupun di luarnya tampak tegas, tetapi hati gadis yang bernama Fia ini sebenarnya sangat lembut dan seorang yang sangat penyayang.

Perlahan-lahan kakinya melangkah masuk melepasi pagar utama sekolah menengah yang terletak di atas bukit. Matanya membulat mencari-cari kelibat seseorang di celah-celah gerombolan pelajar yang juga sepertinya baru tiba ke sekolah.
Saif pula sudah lama terpisah dengannya dan berada dalam kelompok rakan-rakan sekelas. Fia masih lagi menunggu seseorang dan hanya berdiri berdekatan dengan pintu pagar sekolah, takut-takut orang yang ditunggu-tunggunya itu dalam perjalan ke pintu pagar.
Sesekali matanya melilau ke sekeliling dataran perhimpunan yang betul-betul berdekatan dengan pintu pagar utama sekolah. Walaupun penuh sesak dengan para pelajar sesi pagi, matanya tetap bersungguh-sungguh mencari seseorang yang dinanti-nanti.

“Woi, cari aku kah?!” seorang gadis berkaca mata menyapanya dari arah belakang sambil menepuk bahunya. Terperanjat Fia, lalu menoleh kebelakang.

“Farah! Aku ingat kau di mana tadi?” lantas Fia memeluk satu-satunya rakannya yang paling rapat dan dipercayai di sekolah itu.

“Alahai, macamlah lama tidak jumpa. Bukankah baru semalam kita keluar pergi ke pekan?” Usik Farah sambil membetulkan begnya. Fia tersenyum manis mendengar kata-kata rakannya. Belum sempat masing-masing membuka cerita, pengumuman dilakukan di atas pentas bagi memastikan setiap pelajar beratur mengikut kelas masing-masing sepertimana yang telah ditetapkan.

“Okay lah Farah, nanti rehat kita jumpa di kantin ya!” Ujar Fia, lalu berjalan lemah meninggalkan rakannya yang berlainan kelas. Matanya mencari-cari papan tanda di hadapan barisan pelajar yang tertulis nama setiap kelas. Satu per satu diteliti sehinggalah matanya terhenti pada papan tanda yang tertulis 5 Amanah. Nafasnya dihembus lemah. Sememangnya sejak dari rumahnya lagi dia sudah kehilangan semangat untuk menghadapi saat-saat seperti ini. Pada pendapatnya, perkara-perkara seperti berkenalan dan perkenalkan diri adalah perkara yang membosankan dan membuang masa. Dilihatnya dalam barisan pelajar kelasnya sudah mulai penuh. Perlahan-lahan dia berdiri dan beratur dalam barisan pelajar perempuan kelasnya yang paling belakang sekali. Sebaik sahaja dia menyusul diri, pelajar di hadapannya menoleh kebelakang dan melemparkan senyuman ke arahnya untuk menyapa, lalu dibalasnya dengan senyuman manis.

Pada masa yang sama, hatinya berdetik supaya pelajar perempuan itu tidak akan memulakan perbualan. Perasaan hatinya seakan tidak kena pada pagi ini. Seboleh-boleh dia mahu berada di dalam sebuah kelas yang hanya dirinya sahaja pelajar di dalam kelas itu. Nafasnya ditarik lega sebaik sahaja rakan kelasnya itu menoleh kembali ke hadapan. Ingatannya berputar-putar seakan mencari-cari sesuatu untuk difikir. Telinganya tidak langsung dipasang untuk mendengar ucapan pengetua di atas pentas. Fikirannya mengelamun jauh bagaikan tiada penghujung. Tanpa disedari, ucapan pengetua telah lama tamat dan para pelajar mulai melangkah berjalan menuju ke kelas masing-masing dalam keadaan beratur.

Fia hanya mengekori lemah seakan tidak bermaya. Jantungnya tiba-tiba berdegup kencang, mungkin kerana terlalu gementar memikirkan suasana baru yang bakal dihadapinya kelak di dalam kelas untuk tempoh satu tahun lamanya. Digigit bibirnya sambil berjalan, matanya mencari-cari sesuatu tanpa disedari tingkah lakunya itu berlaku secara tiba-tiba akibat terlalu gementar.Suasana berubah menjadi sedikit bingit di dalam kelas 5 Amanah. Saling bertegur sapa setelah sekian lama terpisah. Bermacam-macam karenah yang muncul, ada yang semakin berisi badannya, ada yang semakin cerah kulitnya dan ada juga yang tiada di dalam kelas akibat mendapat keputusan yang kurang cemerlang dan diturunkan kelas. Fia pula, hatinya semenjak tadi tidak tenteram. Segala yang berlaku disekeliling bagaikan tidak senang baginya. Tambahan pula, kelas 5 Amanah ini merupakan kelas baru baginya. Fia mendapat keputusan yang cemerlang dalam peperiksaan akhir tahun tingkatan 4 dan dia berjaya mendapat tempat dalam kelas pertama pada tahun ini meninggalkan rakannya, Farah yang masih berada di kelas kelima.

Perlahan-lahan dia melabuhkan punggungnya di tempat duduk paling belakang sekali berhampiran dengan pintu belakang kelas. Setiap bahagian tempat di dalam kelas dibahagikan secara berpasangan. Setiap meja disusun berpasangan secara teratur dan dipisahkan setiap dua meja dengan lorong-lorong kecil yang cukup untuk seorang pelajar melaluinya. Diperhatikan pasangan meja disebelahnya tidak diduduki sesiapa. Hatinya sedikit lega dan gembira. Matanya menjeling seorang demi seorang pelajar yang berada di dalam kelasnya itu. Keningnya berkerut setiap kali memandang seorang demi seorang rakan kelasnya. Hampir kesemuanya tidak berkenan di matanya. Tiba-tiba matanya terhenti pada seorang pelajar lelaki yang berada baris kedua bersebelahan dengannya. Pelajar lelaki itu duduk berpasangan dengan seorang pelajar lelaki yang bertubuh gempal dan berambut kerinting.

Pelajar lelaki yang ditenungnya itu berkaca mata berbingkai tebal, rambutya kemas disikat tepi dan berkilat disapu minyak rambut, kulitnya cerah dan ketawanya agak aneh serta menjengkelkan. Seolah-olah enjin kereta yang susah dihidupkan pada waktu pagi. Fia menahan ketawa sambil menahan mulutnya menggunakan telapak tangan. Pandangannya beralih pula kepada seorang pelajar perempuan yang berada di bahagian hadapan bertentangan dengan meja guru. Wajahnya boleh dikategorikan sebagai cantik. Berkulit putih, keningnya cantik terbentuk dan apabila ketawa jelas terpampang pendakap giginya, tetapi ia langsung tidak mencacatkan wajahnya yang cantik itu. Namun, dirinya tetap tidak berasa senang dengan perangai pelajar perempuan itu yang seakan gedik dan seolah-olah cuba menarik perhatian orang terutamanya pelajar lelaki. Tanpa segan silu bertepuk tampar dengan pelajar lelaki berdekatan. Fia menggeleng-geleng kepalanya, lalu mengalihkan perhatiannya kepada buku tulis yang dibawa dari rumah. Sebatang pen dipegang dengan niat untuk menulis namanya di atas kulit buku tersebut.

“Assalamua’laikum.., sebelah ini kosong kah?” tiba-tiba Fia ditegur seorang pelajar lelaki yang bertubuh kurus berkulit agak gelap dengan berpakaian pengawas. Fia mendongak ke sebelah kanannya.

“Err.., kosong. Tapi awak betul kah hendak duduk di sebelah saya?” Ujar Fia kehairanan. Matanya sesekali mencari-cari kalau-kalau terdapat tempat kosong lain di dalam kelas itu. Hatinya sedikit berat untuk menjawab pertanyaan pelajar lelaki tersebut.

“Sudah tidak ada tempat kosong. Saya tengok di sini sahaja yang ada kosong. Boleh kah?” lelaki itu semacam takut-takut sahaja untuk duduk disebelah Fia.

“Hm.., duduk sahajalah. Saya tidak kisah,” senyum Fia sambil memperbetulkan alas meja disebelahnya. Walaupun sedikit keberatan, terpaksa juga dia menerima keadaan ini.

“Terima kasih. Err.., nama saya Azfar. Zahis Azfar,” lelaki bernama Azfar ini tersenyum sambil meletakkan bukunya di atas meja bersebelahan Fia.

“Oh, saya Fia! Sofia Umaira. Lagipun, saya kenal awak,” Fia tidak lokek untuk membalas senyuman dan teguran walaupun dalam keadaan hatinya yang kurang selesa.

“Bagaimana awak kenal saya?” sedikit kehairanan Azfar sebaik sahaja mendapat reaksi sebegitu daripada Fia yang baru sahaja dikenalnya.

“Haih, awak ini! Awak bukankah pengawas? Setiap minggu muka awak yang kena baca doa di atas pentas masa perhimpunan pagi. Muka awak jugalah yang saya selalu nampak masa latihan kawad kaki di dataran perhimpunan setiap petang,” balas Fia sepanjang lebar yang boleh.

“Oh.., betul juga? Hehe,” ketawa kecil Azfar mendengar jawapan dari Fia sambil tangannya meraba-raba ke dalam begnya, mencari bekas alat tulis.

“Jadi.., awak ini memang pelajar dari kelas ini kah?” soal Fia sambil memandang telatah Azfar yang sedikit kelam-kabut itu. Tiba-tiba dia semakin selesa pula sebaik sahaja melihat perangai rakan barunya itu.

“Saya? Eh, tidaklah! Saya dari kelas kedua. Peperiksaan tahun lepas saya okay sedikit, jadi saya dapat naik ke kelas pertama ini. Rezeki saya. Kalau hendak diikutkan sejak dari sekolah rendah tidak pernah dapat kelas nombor satu,” tersengih Azfar membalas soalan Fia.

“Kiranya awak ini budak pandailah? At least awak dari kelas kedua,” Fia sedikit cemburu dalam nada suaranya. Mimik mukanya juga tidak seperti mula-mula perkenalan tadi.

“Tidaklah.., ini semua rezeki. Awak tanya saya ini, awak dari kelas mana sebelum ini?” Azfar merendah diri. Matanya memandang ke wajah Fia.

“Saya tidak secerdik awak. Saya dari kelas kelima. Betul lah cakap awak, ini rezeki. Saya pun tidak pernah masuk kelas pertama sejak sekolah rendah lagi. Paling hebat pun kelas keempat, itupun sekali sahaja masa darjah satu. Haih..,” Mengeluh Fia sambil menggeleng kepala. Tangannya perlahan-lahan menyuapkan sosej goreng ke dalam mulutnya yang sempat dibeli ketika menunggu bas awam pagi tadi.

“Eh, jemput makan! Mahu sedikit?” Fia mempelawa rakan barunya itu sebaik sahaja tersedar perlakuannya itu kurang sopan.

“Oh.., tidak mengapa! Saya sudah makan,” Azfar menolak pelawaan Fia dengan senyuman.

“Awak tidak perlulah fikir sangat tentang masa lalu. Apa yang penting kita berada di mana pada hari ini. Jadi, kita go on. Jangan lagi pandang belakang dan ulang kisah lama yang suram,” Ujar Azfar lagi. Kali ini dengan kata-kata yang penuh hikmah dan tauladan.

“Amboi, mamat ini! Berfalsafah pula dengan aku,” Fia tersentak sebentar. Matanya memandang bulat ke arah Azfar dengan pandangan yang kagum bercampur aneh.

“Betul lah. Kenapa awak pandang saya macam itu?” Ujar Azfar kehairanan.

“Ya lah, betul lah itu! Saya tidak cakap apa-apa pun,” tersengih segan Fia. Lalu memandang ke luar tingkap kelas sambil menyuap lebihan sosej ke dalam mulut. Jantungnya yang berdegup kencang gementar semenjak tadi, tiba-tiba sahaja kembali reda. Perasaan selesa mulai muncul disekelilingnya setelah kehadiran Azfar disebelah. Bibirnya secara tidak langsung mengukir senyuman, tetapi cepat-cepat dilindungnya dengan buku tulis agar tidak disedari Azfar. Walaupun jejaka disebelahnya itu tidaklah mempunyai perwatakan yang menarik, malah tidak ada langsung daya tarikan pada dirinya, namun keselesaanlah yang paling penting buat diri Fia untuk menempuh setahun perjalanan hidup di dalam kelas ini. Matanya tertutup sebentar sambil tersenyum, hatinya terdetik ucapan bersyukur pada Ilahi.

“Alhamdulillah…, ada seorang kawan macam ini sudah cukup bagi aku dalam kelas ini,” Fia bersyukur di dalam hatinya.Fia menjeling sedikit ke arah Azfar yang sibuk menulis sesuatu pada buku kecil. Berkerut keningnya sebaik melihat nama-nama dan tarikh yang kelihatan pada buku itu. Fia mengagak ianya adalah buku catatan pengawas bagi mencatat kesalahan-kesalahan pelajar. Dia mengangguk-ngangguk setiap kali melihat nama-nama yang tercatat.

“Apa yang awak anggukkan?” tiba-tiba Azfar menegurnya. Tersentak Fia sebaik melihat Azfar memandangnya dengan muka yang kehairanan. Rupa-rupanya dia tidak menyedari bahawa Azfar memandangnya sejak dia mulai menjeling buku catitan Azfar.

“Hehe…, tidak ada apa. Banyaknya nama? Ramai kah yang buat salah tadi?” tersengih segan Fia sambil mengajukan soalan bagi menutup malunya.

“Ramai juga. Kesalahan yang paling banyak pelajar-pelajar ini buat ialah, berambut panjang. Mentang-mentanglah cuti panjang. Rambut pun malas gunting,” Merungut Azfar sambil menyambung catatannya. Fia hanya mengangguk-ngangguk sebaik mendengar rungutan Azfar itu.

“Awak ini lawa juga ya? Mesti ramai peminat,” tiba-tiba sahaja terpancul pujian sebegitu dari mulut Azfar.Fia tergamam sebentar sebaik diberi pujian sebegitu. Matanya membulat memandang Azfar. Riak wajahnya jelas menunjukkan kehairanan akibat dipuji secara tiba-tiba.

“Haha.., maaflah! Saya memang direct sahaja cakap. Saya rasa awak cantik, jadi saya pujilah awak. Jangan marah ya? Err…,” Azfar tidak berani memandang mata si Fia. Cepat-cepat dilarikan anak matanya dari pandangan Fia sebaik sahaja memberikan komen tersebut.

“Eh, saya tidak marah! Tapi, saya cuma hairan sahaja. Tiba-tiba pula awak mengarut,” Fia tersengih, lalu menyambung menulis namanya di atas buku yang tidak sempat ditulis tadi. Azfar hanya mampu tersenyum kelat. Dia tahu, memuji perempuan yang baru dikenal sebegitu, seolah-olah taktik buaya darat yang ingin menangkap mangsanya. Menyesal pula diucapkan pujian sebegitu pada Fia. Fikirannya mulai membeku, gerak tubuhnya turut berasa janggal. Hampir setiap pergerakan dirasanya tidak kena.Hatinya berasa selamat seketika sebaik sahaja guru kelas melangkah masuk. Kesemua pelajar di dalam kelas berdiri hormat dan memberi salam kepada guru lelaki tersebut. Guru tersebut memperkenalkan dirinya sebagai guru matematik memerangkap guru kelas mereka. Cikgu Farid, seorang guru yang kelakar dan mesra pelajar. Tubuhnya gempal dan mukanya sentiasa tersenyum mesra serta kelakuannya disukai pelajar-pelajar kelas 5 Amanah ini.

“Baiklah, saya dapati di dalam kelas ini ada 4 orang pelajar dari kelas lain yang dapat keputusan cemerlang dan berjaya melangkah naik ke kelas Amanah. Betul kah? Boleh berdiri sesiapa yang berkenaan dan perkenalkan diri?” Ujar Cikgu Farid tersenyum sambil tangannya memegang senarai nama pelajar kelas dibawah kendaliannya. Matanya mencari-cari pelajar-pelajar berkenaan. Lalu, keempat-empat pelajar berkenaan berdiri perlahan-lahan sambil mata mereka memandang satu sama lain, termasuklah Fia dan Azfar. Turut serta mata setiap pelajar asal kelas Amanah memandang pendatang baru di dalam kelas mereka itu.

“Ha, bagus! Baik, sila perkenalkan diri masing-masing,” tersenyum Cikgu Farid sambil tangannya mempersilakan seorang pelajar lelaki di bahagian tengah kelas untuk perkenalkan diri. Bertubuh kecil dan kurus serta berambut nipis. Pelajar lelaki ini bernama Jamal dan suaranya begitu serak seperti bintang rock terkenal, Ramli Sarip. Tertawa sebentar rakan-rakan sekelas kerana tidak menyangka suaranya yang begitu unik. Selesai pelajar-pelajar baru itu memperkenalkan diri masing-masing, tiba pula giliran Fia. Mata setiap pelajar lelaki di kelasnya tiba-tiba sahaja semakin berminat untuk memandangnya. Keadaan menjadi sunyi sebentar seperti baru sahaja dilanda tsunami.

“Assalamua’laikum.., nama saya Sofia Umaira Binti Karim. Boleh panggil Fia sahaja. Saya dulu kelas 4 Kekwa. Err.., hobi saya melukis. Hm, itu sahajalah. Hee..,” tersenyum Fia keseganan. Kata-katanya tidak sepetah biasa pada ketika itu memandangkan mata pelajar-pelajar di dalam kelas tertumpu padanya. Kesemua pelajar lelaki turut tersenyum sebagai tanda membalas senyumannya. Mulut masing-masing sengaja menyebut-nyebut namanya berulang kali sebagai tanda mengusik. Fia hanya tergelak kecil mendengarnya.

“Sofia Umaira. Sedap nama itu dan sesuai dengan awak. Tadi awak cakap awak suka melukis ya? Sangat menarik. Jarang saya dengar perempuan suka melukis. Awak pandai lukis apa?” Cikgu Farid cuba untuk beramah mesra dengannya. Fia terdiam sebentar. Digigit bibirnya sambil matanya memandang ke sana-sini.

“Saya boleh lukis benda-benda realistik sahaja. Saya tidak pandai melukis benda-benda macam kartun, anime atau hantu. Contoh, saya boleh lukis macam lukis pokok atau pemandangan,” Ujar Fia tersenyum. Masing-masing menunjukkan rasa kagum mereka. Ada yang segelintir pelajar yang nakal sengaja menepuk tangan sebagai tanda kekaguman. Tergelak kecil Fia sambil mukanya kemerah-merahan menahan malu diusik. Tampak jelas kemerahannya memandangkan kulitnya putih kecerahan. Cikgu Farid hanya tersengih melihat telatah pelajar-pelajarnya itu.

“Hm, kalau macam itu, bolehlah kita lantik dia jadi ketua kebersihan dan keceriaan kelas kita memandangkan dia pandai melukis. Sebab setahu saya, orang yang pandai melukis ni kreatif dan inovasi,” cadang Cikgu Farid kepada pelajar-pelajarnya. Tanpa berlengah, setiap pelajar terus bersetuju dengan cadangan guru kelas mereka itu. Menggeleng-geleng kepala Cikgu Farid sambil tertawa kecil melihat telatah mereka semua. Bagi tuan empunya diri pula, muncul sedikit kerisauan. Resah kembali berpaut di wajahnya sebaik diumumkan sebagai ketua keceriaan secara rasmi pada hari pertama persekolahan. Perlahan-lahan dia melabuhkan punggung ke tempat duduknya sambil tersenyum kelat.

“Tahniah..! hehe.., tapi, tidak sangka awak pandai melukis, ya? Saya pernah ada seorang kawan baik yang pandai melukis macam awak,” Azfar tersenyum mengusik Fia sebaik Fia kembali duduk di tempatnya. Fia menjeling dengan matanya yang redup sambil mencebik bibir.

“Kenapa pula buat muka sedih itu? Tidak happy kah dapat jawatan?” kehairanan Azfar sebaik melihat riak wajah Fia sebegitu. Fia menggeleng-geleng tanpa sepatah ungkapan, lalu merebahkan mukanya ke atas meja. Timbul rasa simpati kepada Fia walaupun perkara itu bukanlah suatu masalah besar. Tetapi riak wajahnya yang sedih yang dipamerkan Fia itu tadi, betul-betul meninggalkan kesan simpati di hati Azfar.

“Sedang sedih pun, muka dia nampak comel. Alahai.., kasihan pula aku tengok,” Azfar sempat berbisik sendirian melihat kelakuan Fia sebegitu. Selang beberapa ketika Fia kembali ke posisi asal. Dilihatnya di hadapan kelas, tiada lagi kelihatan kelibat Cikgu Farid dan kelibat Azfar juga tiada disebelahnya. Matanya mencari-cari tubuh Azfar di dalam kelas, namun tidak ketemu juga. Tiba-tiba, berdiri seorang pelajar lelaki bertubuh tegap dan berambut kemas di hadapan kelas. Setiap mata memandangnya dan keadaan kelas menjadi sunyi sepi. Karakternya menarik minat Fia untuk melihat lebih lama.

“Baiklah, dengar sini semua. Walaupun semua sudah kenal aku, aku tetap akan perkenalkan diri juga. Aku, Ghafar Bin Abu. Seperti yang sedia maklum, tahun ini aku sekali lagi menjadi ketua kelas, jadi aku harap selepas habis kelas tengah hari nanti, setiap orang yang ada jawatan diharap dapat tunggu sebentar, sebab ada perkara hendak dibincangkan. Okay?” Ghafar yang bersuara kuat itu memberi sedikit ucapan dihadapan kelas. Setiap pelajar tersenyum ketawa melihat gelagatnya yang tak berubah sejak dari tingkatan 3 lagi.

“Aku sudah agak. Ini yang aku malas ada jawatan ini. Mesti banyak kerja, balik lambat, itu lah, ini lah,” Fia membebel sendirian.Sebaik sahaja ucapan Ghafar tamat di hadapan kelas, loceng sekolah pun berbunyi menandakan waktu rehat telah bermula. Serentak para pelajar kelas 5 Amanah berdiri dan bergerak keluar kelas tanpa menunggu arahan daripada sesiapa. Fia bersandar kebelakang sambil termenung keluar pintu kelasnya. Jelas terlihat berpusu-pusu para pelajar setiap tingkatan begerak menuju ke kantin dan kawasan-kawasan sekolah.

“Tidak keluar rehat kah?” tegur seorang rakan kelasnya. Fia menoleh ke arah kanannya untuk melihat tuan empunya badan yang menegur.
Berdiri dua orang pelajar lelaki kelasnya. Matanya melihat tag nama pada baju setiap seorang yang jelas terpampang nama Razif dan seorang lagi Hafiz. Fia membalas dengan senyuman manis.

“Sekejap lagi saya keluar rehat. Ramai ini, takut sesak,” balas Fia dengan ramah tanpa segan silu. Kedua-dua rakan kelasnya itu berpuas hati dengan reaksi diberi Fia. Lalu membalasnya dengan senyuman sebelum melangkah keluar kelas.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.