Novel : Je Taime 1

21 January 2013  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Shashine

Di balik langsir putih, Ilham Faiz termenung di situ memerhatikan gerimis halus yang turun dari awan menyirami bumi Perancis. Matanya dikalih ke arah rumput-rumput hijau yang kebasahan. Niatnya ingin mengambil beberapa keping gambar menarik di kota Perancis petang itu terpaksa dibatalkan. Angin Februari bertiup perlahan. Cuaca sejuk memaksa dia memakai jaket tebal sepanjang hari itu.

Trruutt.. truutt..

Bunyi telefon bimbit di atas katil mematikan lamunannya. Ilham Faiz melangkah perlahan ke arah katil untuk mencapai telefon bimbitnya itu. Dia memeriksa terlebih dahulu gerangan si pemanggil. Nama yang tertera di skrin telefon bimbit mengundang senyuman di bibirnya. Dia menekan butang hijau seraya menekapkan telefon ke telinga.

“Assalammualaikum Mama…” Perlahan dia memberi salam sebaik mengetahui panggilan itu dari Puan Sri Tasnim, Ibunya.

“Err.. Waalaikumsalam Faiz.. apa khabar?” lembut suara balas dari pemanggil. Berkerut sedikit kening Ilham Faiz sebaik mendengar suara yang berlainan dari hujung talian. Kalau tidak silap matanya tadi, ibunya yang menelefon. Tapi kini suara itu tidak seperti suara Puan Sri Tasnim. Panggilan Faiz juga bukanlah panggilan Puan Sri Tasnim untuk dirinya.

“Tengku Nadia here. Sorry, tak sempat nak bagitahu tadi. Mama Tasnim suruh I bercakap dengan you.” Belum sempat bertanya, Tengku Nadia terlebih dahulu memperkenalkan dirinya. Ilham Faiz terdiam sejenak. Segera teringatkan perancangan orang tuanya berkenaan pertunangannya yang sudah dirancang oleh kedua belah keluarga.

“You call my mom as mama Tasnim?” Ilham Faiz sedikit hairan dengan panggilan itu. Belum rasmi ikatan pertunangan, mamanya sudah rasmi dipanggil mama. Ilham Faiz ketawa ringkas.

“Your mom asks me to do that. So what can I do?” Jawab Tengku Nadia.

“oh.. ok. This is our first time talking to each other kan?, Apa khabar, Nadia?” Ilham Faiz cuba berlagak biasa. Sedangkan jauh di sudut hatinya sedikit gementar untuk perbualan kali pertama itu. Dia belum pernah bertentang mata dengan bakal tunangnya itu. Tidak sangka pula akan bercakap di telefon terlebih dahulu. Dia senyum sendiri. Ini pasti rancangan mamanya. Kalau tidak, tak akan Tengku Nadia tahu nombor telefonnya di sini.

“Sihat Alhamdulillah. Maaf kalau mengganggu, I hanya ingin mendengar suara you sebelum buat keputusan.” Balas Tengku Nadia. Halus suaranya kedengaran di hujung talian.

“Keputusan apa?” soal Ilham Faiz dengan nada sedikit pelik. Bukankah persetujuan dan kata putus sudah dibuat oleh kedua belah pihak. Tarikh pertunangan mereka juga sudah ditetapkan. Cuma dia tidak perlu hadir. Hanya keluarganya di Malaysia yang akan pergi merisik Tengku Nadia.

“Keputusan untuk menerima lamaran you.” Jawab Tengku Nadia. Kedengaran dia ketawa ringkas di talian. Ilham Faiz semakin hairan. Telefon jauh-jauh dari Malaysia semata-mata untuk mendengar suaranya?

“Suara I boleh buat you batalkan pertunangan kita ke?” Ilham Faiz berbalas ketawa. Sedikit pelik dengan kata-kata Tengku Nadia tadi namun halus dan kelembutan suara gadis itu berbicara mengundang rasa senang di hati. Orang kata dari mata turun ke hati, tak dapat bertentang mata dapat dengar suara dulu pun jadi. Mendengar rentak bicara Tengku Nadia, Ilham Faiz dapat merasakan gadis itu gadis yang lemah lembut dalam percakapan. Lembut percakapan Insya-Allah lembut kelakuannya juga. Kalau memnang begitulah ciri-ciri Tengku Nadia bermakna dia tidak silap membuat keputusan. Dia yakin pilihan orang tuanya adalah pilihan yang terbaik. Masa silamnya harus dilupakan. Nateesha mahu pun Hanis Farhana akan dilenyapkan dari kotak ingatan.

Ilham Faiz melangkah ke arah balkoni apartment. Duduk di kerusi ukiran kayu yang terdapat di balkoni itu sambil memerhatikan gerimis yang masih tegar memilih bumi. Mereka berbual sejenak di telefon. Sedikit perkenalan ringkas hanya melalui corong telefon. Walaupun Tengku Nadia tidak pernah ditemui, tidak pernah bertemu empat mata, tapi orang kata pilihan orang tua adalah yang terbaik buat seorang anak. Dia tidak kisah jika digelar ketinggalan zaman kerana berkahwin dengan pilihan keluarga sekalipun. Dia sudah penat mengejar dan dikejar gadis-gadis kota. Asalkan mendapat restu keluarga, suatu hari nanti dia pasti bahagia.

Nun jauh beribu batu, Di Malaysia tanah air tercinta, Tengku Nadia tersenyum gembira. Dia senang melihat foto bakal tunangnya itu untuk pertama kalinya. Tidak hairanlah jika itu anak Tan Sri Syawal. Melihat rupa paras ibu dan ayahnya sahaja, Tengku Nadia sudah dapat meneka wajah Ilham Faiz. Malah apa yang dilihat dari foto itu lebih dari apa yang ada dalam bayangannya. Ilham Faiz memang lelaki tampan yang memiliki segala-galanya. Dia bangga kerana bakal bersuamikan lelaki seperti Ilham Faiz. Melalui cerita yang didengari dari orang tuanya juga, Tengku Nadia yakin Ilham Faiz seorang yang berpelajaran tinggi dan berperwatakan baik dan menarik. Dia tidak sabar untuk bertemu Ilham Faiz suatu hari nanti. Dia tidak sabar untuk menunggu kepulangan Ilham Faiz ke tanah air. Dalam diam, perasaan halus itu mula hadir dalam dirinya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

3 ulasan untuk “Novel : Je Taime 1”
  1. lily says:

    Ade blog x .. ???

  2. Sha Hashim says:

    menarik..waiting for next chapter..

  3. lyka says:

    je taime ni bukan ke bahasa perancis yang bermaksud i love you ? good job writer .. jalan cerita menarik …

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.