Novel : Kau Lagi!! 1

29 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

cover novel KAU LAGI !!Oleh: SHAYEINA RAHMAN

Prolog

Apa itu cinta? Ada yang kata, cinta hadir dari mata turun ke hati. Mir pantas menggelengkan kepala. Rasanya tidak, kerana gadis tomboy itu merasakan matanya rabun untuk mengenal cinta. Apatah lagi mahu turun ke hatinya yang keras tapi hanya satu pepatah melayu membuatkan Mir akui kebenarannya. Mir tersenyum memikirkan kebenaran pepatah itu. Pepatah itu adalah hati umpama kerak nasi. Sekeras-keras kerak nasi, kalau direndam dengan air lembut juga akhirnya. Adakah hatinya hanya sekeras kerak nasi selama ini? Pipi Mir merona merah menahan malu tatkala ditanya.

Shayful Arif, nama lelaki yang sering mengacau bilau hidup Mir. Di usia remaja, Shayful merasakan cinta itu umpama mimpi. Bila tertidur baru dinikmati. Tatkala jaga mimpi pergi. Segalanya syok sendiri. Bolehkah mimpi menjadi kenyataan? Shayful yang disoal ketawa sambil menggelengkan kepala bila mengenangkannya.

Selain itu, ada juga yang kata cinta hadir kerana perkenalan, bersemi kerana perhatian, bertahan kerana kesetiaan. Perasaan memang tidak bisa diungkapkan dengan kata-kata, perasaan hanya bisa di ungkapkan dari hati ke hati. Itulah ungkapan cinta yang disemat dalam hati Irman. Irman menyandarkan kepalanya ke sofa. Dia menghela nafas yang panjang dan memejamkan mataya untuk mengimbas kembali detik perkenalannya dengan si pujaan hati. Perkenalan jejaka kacak itu dengan Faziera mengubah dirinya yang sering bermain cinta. Perhatian dan kesetiaannya hanya pada gadis itu. Tanpa disedarinya air matanya mengalir menyentuh pipi.

Namun, ada pula yang kata cinta perlukan pengorbanan. Irwan laju sahaja mengangguk setuju. Setiap insan tiada sempurnanya. Irwan memandang segenap ruang pejabatnya. Besar dan mewah. Di pandangan mata orang, dirinya terlalu sempurna, bijak, kacak, kaya dan baik tapi hanya satu yang membezakannya dengan Irman. Hanya kekuatan hatinya membolehkan dia bangga bergelar anak sulung dalam menanggani masalah cinta. Irwan tersenyum puas mengenangkan perjalanan cintanya. Setiap apa yang terjadi ada hikmahnya.

Walau apa pun yang orang kata tentang cinta, perlu diingatkan bahawa jodoh dan pertemuan adalah rahsia Allah. Walaupun digemgam kuat, andai ia bukan milik kita, ia terlepas jua. Walau ditolak ke tepi, andai ia milik kita, ia mendatang jua. Itulah namanya jodoh.

BAB 1

Tahun 2002. Suasana pagi yang begitu nyaman dan damai, udara yang segar. Sang suria mula merangkak naik untuk menonjolkan diri. Sang bulan menyembunyikan dirinya setelah selesai menamatkan tugasnya. Sang awan pula sibuk berarak mengikut rentak tiupan angin. Fenomena alam yang bergitu indah. Segalanya bermula di sini, di sebuah rumah banglo yang tersergam mewah. Berbumbung biru, dinding dicat kuning bercampur coklat. Garaj yang didirikan di sisi kanannya. Dikirinya terdapat halaman rumput hijau yang dijaga rapi serta dipagari oleh pokok-pokok bunga ros yang beraneka warna. Ditengahnya juga didirikan sebuah pondok kecil dari kayu cengal sebagai tempat istirehat penghuninya. Jalan masuk ditar cantik. Pokok bunga kertas berwarna merah dan putih yang telah dikahwinkan tunasnya ditanam membentuk bulatan kecil dibina di tengah-tengah jalan masuk untuk memudahkan laluan kenderaan yang keluar masuk.

“Mama, mana stoking hitam Mir ni?” Jeritan nyaring kedengaran dari aras dua rumah banglo tersebut mampu memecah keheningan pagi. Kepalanya sahaja yang ditonjolkan ke bawah agar gema suaranya sampai ke aras satu.

“Mama ada simpan di dalam laci almari. Cuba cari betul-betul. Jangan asyik bertanya saja. Cari pakai mata bukan mulut.” Balas seorang wanita berusia lingkungan 40 tahun yang sedang menghidangkan sarapan di ruang makan. Namun wajahnya masih cantik dan menawan. Bentuk badan masih ramping dan dijaga cantik.

“ Mir, Mir, bila nak berubah.” Geleng wanita itu mengenangkan perangai anak bongsunya itu. Setiap pagi isnin, mesti kelam-kabut rumahnya ini dengan karenah anak bongsunya itu. Itulah akibatnya kalau tidak sediakan payung sebelum hujan. Semua keperluan diri masih mengharapkan ibu sendiri yang sediakan.

“Selamat pagi mama.” Wanita yang bernama Datin Jamilah itu berpaling. Dia hanya megukir senyum apabila melihat kedua-dua anak lelaki kembarnya sudah segak berpakaian rasmi sekolah menengah.

“Mana Mir, Man? Tak siap lagi ke budak bertuah tu?” Soal Irwan, anak sulung Datin Jamilah sambil menarik kerusi untuk bersarapan. Kelibat adik bongsunya masih tiada di ruang makan menjadi tanda tanya.

“Biasalah along, adik kita tu mana pernah siap on time. Betul tak mama?” Kembarnya, Irman yang mahu menceduk nasi goreng pula menjawab.

“Ada-ada saja kamu berdua ni. Dah la, makan cepat. Nanti lewat pula ke sekolah.” Faham benar dia dengan perangai Irwan yang begitu pantang kalau dia lambat ke sekolah. Datin Jamilah tersenyum sambil menuang air teh susu ke dalam cawan anak-anaknya. Kemudian dia mengambil tempat duduk di meja makan untuk turut sama bersarapan dengan anak-anaknya.

“Selamat pagi semua.”

“Selamat pagi papa.” Serentak dan seirama saudara kembar tidak seiras itu menjawab sapaan pagi papa mereka. Datin Jamilah cuma mengukir senyuman kepada si suami. Dato’ Hisham mengambil tempat di hujung sekali lagak tempat bersantap raja. Di kanannya si isteri dan di kirinya anak sulungnya. Anak keduanya duduk di sebelah ibunya. Benda pertama yang dicapainya adalah surat khabar. Helaian demi helaian diselak. Bacaan pertamanya hanyalah membaca tajuk-tajuk besar. Selesai semuanya diimbas, dia meletakkan kembali surat khabar tersebut lalu mencapai cawan miliknya yang sudah berisi air teh susu panas. Sebelum minum dia meniup sedikit air di dalam cawan bagi mengurangkan kepanasannya.

“Mir mana Milah? Dah lewat ni, dia tak nak ke sekolah ke hari ni?” Sambil mata melirik jam di dinding.

“Dia tengah bersiap abang, macamlah abang tak kenal anak bongsu abang tu. Bukannya tahu nak bangun awal. Lebih-lebih lagi hari isnin ni.” Dato’ Hisham mengelengkan kepala mendengar jawapan isterinya.

“Selamat pagi papa, mama and my brothers. Amboi, handsome betul papa pagi ni. Macam nak pergi seminar antarabangsa?”

“Papa ni memang handsome dari dulu lagi la. Kalau tak, manakan cik Jamilah kita ni terpikat gila pada papa.” Mereka sekeluarga ketawa mendengarnya balasan spontan Dato’ Hisham. Kehadiran anak bongsu pasangan ideal itu sering memeriahkan suasana. Dia bijak mencari topik bagi mengelakkan dirinya dileteri akibat kelewatannya.

“Dah dah Mir, cepat sikit makan tu. Along kena duty pagi ni”

“Ala along ni, nak duty ke nak jumpa awek. Betul tak angah? Apa kata survey…”

“Ya, tepat sekali. 100% correct untuk awak cik Mir.” Sepantas kilat Irman membalas, menyambung lawak adiknya. Sempat lagi dia berlaga buku lima dengan adiknya tanda sepakat. Irwan menarik muka empat belas. Semasam-masam cuka, masam lagi muka Irwan. Geram dimainkan adik-adiknya.

“Amboi, masamnya muka. Tak apa, nanti sampai sekolah manislah muka along tu sampai boleh kena kencing manis. Senyum sampai ke telinga bila jumpa buah hati pengarang jantung dia. Adik-adik ni langsung dilupakan. Siapalah kami ni insan yang masih single. ” Berderai ketawa seisi keluarga mendengar cerita Mir mengenai peel abang sulongnya di sekolah. Irwan yang malu, menunduk sahaja. Lebih baik dia berdiam diri, jika dilayan makin sakanlah adik-adiknya menyakatnya nanti. Perlahan-lahan dia mengunyah nasi goreng yang masih berbaki sebelum menelannya. Nasib baik, ibu bapa mereka berfikiran terbuka mengenai statusnya yang mempunyai teman wanitanya walaupun dia masih bersekolah.

“Kita yang single ni melopong saja la jawabnya. Tak lakulah katakan?”

Tiba-tiba Irman bersuara perlahan seakan berbisik serta berbau cemburu kepada Irwan. Tapi katanya-katanya masih boleh didengari oleh ibunya yang berada di sebelah. Datin Jamilah tersenyum dan sempat menepuk-nepuk lembut bahu anak lelaki keduanya itu seperti memberi semangat. Bukan dia tidak tahu, Irman adalah lelaki yang paling menjadi rebutan di sekolah. Setiap hari pasti telefon dirumahnya tidak berhenti-henti menerima panggilan dari peminat Irman. Sekali-sekala terfikir juga di mindanya perubahan perangai anak gadis zaman sekarang yang sudah tidak malu untuk memikat lelaki yang disukai mereka.

Kalau zaman dahulu, kebanyakkan anak gadis sezamannya bertemu jodoh melalui pilihan keluarga. Kini, semuanya mahu mencari pilihan sendiri. Bak kata pepatah melayu yang dipegang anak muda zaman sekarang, tak kenal maka tak cinta. Ragam di rumah Dato’ Hisham juga seperti di kebanyakkan rumah-rumah lain, selesai bersarapan masing-masing mengangkat punggung untuk keluar. Bersalam-salaman dengan ibu adalah amalan yang diamalkan sebelum anak-anak hendak melangkah keluar rumah. Manakala si ibu akan bersalam dengan si bapa. Nilai murni yang perlu dipupuk dan dikekal. Kemudian ketiga-tiga beradik menaiki kereta bersama Dato’ Hisham. Pak Hitam, pemandu yang telah berkhidmat selamat 10 tahun bersama keluarga Dato’ Hisham memulakan pemanduan dengan bacaan doa menaiki kenderaan. Tinggallah Datin Jamilah di rumah sendirian untuk menjalankan tugas hariannya sebagai suri rumah. Hanya pada hari selasa dan khamis sahaja isteri Pak Hitam,Mak Munah diupah untuk datang membantunya membersihkan rumah yang besar ini.Perjalanan ke sekolah yang hanya mengambil masa 15 minit dari rumah berjalan lancar. Setelah menurunkan anak-anak di hadapan pagar sekolah, Pak Hitam meneruskan pemanduannyamenuju ke Syarikat Pelangi Jaya milik majikannya.

Sementara itu di hadapan pintu pagar sekolah, tanpa membuang masa Irwan bergegas lari menuju ke bilik pengawas. Irman dan Mir berjalan beriringan masuk ke halaman sekolah sambil tangan kanan Irman memeluk bahu adiknya. Lagaknya setiap pagi supaya peminat-peminat fanatiknya tidak berani mendekatinya kerana adiknya memang terkenal dengan sikap yang garang di sekolah. Mereka berdua berpisah arah di hadapan tangga blok A. Irman menuju ke kelas 5 Zuhal yang berada di aras bawah. Manakala kelas bagi pelajar tingkatan 4 berada di aras 2, blok yang sama.

Sebaik sahaja kaki kanan Mir mendarat di anak tangga pertama, tiba-tiba bahunya dilanggar seseorang. Beg sandang yang digalas sebelah sahaja jatuh mencium lantai. Serta-merta darahnya mendidih seperti sedang dipanaskan di atas api. Namun begitu dia cepat-cepat memadamkan api yang memasak darahnya kerana melihat pelajar yang melanggarnya mengutip semula beg sandang merahnya.

“Sorry, saya tak sengaja.” Mata mereka bertentangan seketika. Bagai ada sedikit pancaran lazer terpancar dari pandangan itu dan berjaya membuat mereka berdua terkaku seketika. Akhirnya tanpa bersuara Mir hanya mengangguk tanda penerimaannya terhadap kata maaf pelajar tersebut. Wajahnya yang memang susah hendak senyum itu kaku tanpa sebarang reaksi. Kakinya lantas diatur menaiki anak tangga.

“Aa..aa awak, bilik guru di mana ya?” Soal pelajar tersebut agak tergagap. Perasaannya mungkin takut, mungkin cemas atau mungkin kedua-duanya sekali bercampur gaul dalam dadanya .

“Second floor block B.” Jelas dan ringkas jawapan yang diberikan oleh Mir tanpa menoleh ke belakang. Kakinya terus melangkah laju untuk cepat sampai ke kelasnya.

“Terima kasih.” Laung pelajar tersebut kuat kerana pelajar yang dilanggarnya itu sudah semakin jauh darinya. Pandangannya masih leka memandang belakang pelajar perempuan yang mengalas beg merah itu sehingga bayangan insan tersebut hilang dari pandangannya.

“Cool.” Satu ungkapan yang terdetik dalam hatinya bagi menggambarkan insan yang baru ditemuinya itu. Dia tersenyum sendirian.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.