Novel : Lelaki Eksklusif 4

27 February 2013  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Wan Awliya Rayqal

Bab 4

WAN MUKRIZ mengenakan T-shirt putih dan seluar jean. Tampak santai. Sambil menyikat rambut, dia menyanyi kecil. Gembira benar hatinya. Entahlah, tiba-tiba sahaja rasa seronok. Semangat sudah berkobar-kobar. Berkali-kali dia menyikat rambut yang sudah sedia kemas. Setelah benar-benar berpuas hati, Wan Mukriz segera keluar dari bilik.

“Riz nak ke mana pulak ni?” soal Encik Wan Amran sebaik sahaja melihat anaknya sudah bersiap untuk keluar, sedang mereka sudah sedia untuk menikmati makan malam.

“Budak-budak tempat kerja ajak makan sempena Riz masuk kerja. Nak tolak, takut apa pulak kata mereka nanti. Jadi kenalah ikutkan jugak,” jelas Wan Mukriz, ceria. Terasa berbaloi pula kepulangannya kali ini. Setidak-tidaknya jumpa seseorang.

“Oh begitu. Jadi Riz tak makan di rumah?” Haji Wan Mohsin pula bertanya. Tumpang sama gembira melihat Wan Mukriz ceria begitu.

“Taklah atuk. Saya makan dengan dia orang saja. Sesekali keluar dengan mereka,” balas Wan Mukriz.

“Hmmm, bergaullah dengan orang baik-baik, Riz. Ambil hati mereka. Tak ada bezanya ketua dengan kuli. Sama saja.” Tidak tahulah Encik Wan Amran sebenarnya sedang memberi nasihat atau sedang menyindir seseorang.

Tetapi Wan Ariff mula rasa tidak senang hati. Sedikit terasa. Yalah, di dalam syarikat itu siapa yang tidak kenal dengan Wan Ariff. Jarang bergaul dengan orang bawahan, bahkan memang terkenal dengan sikap sombong.

“Saya pergi dulu.” Wan Mukriz tidak menunggu lama lagi. Harus beredar segera kerana bimbang pekerja lain sudah menunggu.

“Hati-hati memandu,” pesan Encik Wan Amran perlahan.

“Baik, ayah.” Terus sahaja Wan Mukriz mengatur langkah.
Wan Ariff hanya menjeling tajam. Kurang senang juga kalau-kalau Wan Mukriz lebih disenangi pekerja nanti. Apa pun, dia perlu lebih berhati-hati.

WAN MUKRIZ tercari-cari restoran yang telah menjadi pilihan anak buahnya. Melihatkan deretan motosikal yang menjadi milik syarikatnya, Wan Mukriz tahu mereka ada di tempat berhampiran. Kawasan gerai makanan yang terletak di Kelana Jaya itu dipenuhi dengan pelanggan yang turut menjamu selera. Nampak meriah dan suasana hingar bingar.

“Bos!” jerit dua tiga orang daripada mereka.
Wan Mukriz menoleh. Kelihatan beberapa orang sedang melambai ke arahnya. Wan Mukriz segera mengatur langkah menghampiri mereka.

“Maaf, saya sesat tadi.” Wan Mukriz memberi alasan di atas kelewatannya dan mengambil tempat bersebelahan Nora. Sengaja dia pilih situ walau tempat lain masih ada yang kosong. Mahu ambil kesempatan.

“Maklumlah, bertahun merantau… mestilah sesat,” kata Abang Rosli selaku pekerja paling berusia di situ. Faham dengan keadaan Wan Mukriz.

“Jalan banyak yang berubah. Saya sendiri pun jadi keliru. Mujur ada GPS,” kata Wan Mukriz lagi. Wajah Nora dijeling sekilas.

‘Diam pulak dia ni. Kenapa? Sebab duduk dekat? Takkan takut duduk dekat dengan bos. Mengadalah budak ni. Macam tak biasa pulak!’

“Emmm, dah pesan makanan?” soal Wan Mukriz.

“Bos jangan bimbang, semua kami sudah uruskan,” jawab Nurul.

Nora rasa kurang selesa bila Wan Mukriz duduk bersebelahan dengannya. Seperti menghalang kebebasan untuk bersuara. Jadinya Nora pilih untuk berdiam diri sahaja,
sedangkan teman-teman lain galak bergurau senda.

“Hmmm, kenapa senyap saja? Tak biasa?” soal Wan Mukriz perlahan. Rasa pelik juga bila Nora langsung tidak bersuara.

“Sakit tekak,” Nora beri alasan.

“Jangan cakap macam tu. Karang betul sakit tekak baru padan muka,” balas Wan Mukriz pula. Rasa lain betul Nora malam ini. Diamnya buat Wan Mukriz mahu ketawa. Rasa pelik betul kalau budak ni senyap.

Nora rasa Wan Mukriz tidak percaya dengan alasan yang diberikan. Tetapi memang tekak Nora rasa perit sedikit. Mungkin perubahan cuaca yang tidak menentu.
Masing-masing berbual sesama sendiri sementara menantikan makanan dihidangkan. Nora yang masih berdiam diri membuatkan Wan Mukriz rasa sedikit bosan.

“Tak nak tanya saya apa-apa ke?” soal Wan Mukriz perlahan seperti berbisik. Sengaja mahu mencuri perhatian Nora ketika pekerja lain seakan tidak menghiraukan mereka berdua.

“Nak tanya apa?” soal Nora, juga seakan berbisik. Dia memandang wajah Wan Mukriz yang nampak ceria malam itu. Penampilannya sederhana, tidak nampak gaya seorang bos
langsung.

“Tanyalah, saya dah kahwin ke belum.”
Nora tergelak perlahan. ‘Lawak betul! Boleh lagi suruh orang tanya dia dah kahwin ke belum. Suruhlah tanya soalan lain?’

“Kenapa gelak pulak?” soal Wan Mukriz. Dia tumpang sama tersenyum melihat ketawa Nora. ‘Hmmm, boleh pun ketawa. Ingat nak diam sampai balik!’

“Bos dah kahwin ke belum?” Nora tanya soalan tak berapa cerdik itu.

“Belum, borang permohonan calon sedang diedarkan. Tak nak cuba-cuba isi?” seloroh Wan Mukriz. Suka hati dapat berbual begitu dengan Nora.

“Nora tak layak. Rasanya peringkat saringan pun dah kena tendang.”

“Tak cuba tak tahu,” makin galak Wan Mukriz berseloroh.

“Tak apalah, Nora tak sanggup nak ambil risiko.”

“Sebenarnya tak ada siapa yang sudi isi borang.”

“Oh ya? Kesiannya.” Nora pandang lagi wajah Wan Mukriz.

“Kan? Kesian sangat!” Wan Mukriz buat muka sedih pula.

Nora sudah tidak tahu untuk berkata apa, sudahnya dia senyum sahaja. Mujurlah waktu itu makanan yang mereka pesan sampai. Masing-masing bersedia untuk menjamu selera.
Wan Mukriz ambilkan lauk ikan siakap lalu diletakkan atas pinggan Nora.

“Amboi Nora! Mengadanya,” tegur Abang Rosli.
Nora malu sendiri. Anehnya perasaan malam ini. Tidak pernah dia rasa begini sebelum ini. Siap rasa malu lagi. ‘Huhu… akukah ini?’

“Hmmm, sesekali Nora nak manja dengan saya apa salahnya, bukan orang lain pun. Bos dia jugakkan,” ujar Wan Mukriz sambil senyum.

“Mana ada nak manja dengan bos, bos yang nak ambilkan,” bantah Nora.

“Tak nak manja dengan saya pun tak apa. Saya sedar siapalah saya ni. Nak suruh isi borang tak nak, nak suruh tumpang manja pun susah,” Wan Mukriz buat nada merajuk.

“Bos, kita sedang cakap apa ni?” soal Nora.

‘Melalut pulak dia ni, sampai nak isi borang bagai. Muka tu nampak macam serius saja, tapi tak sangka pulak boleh cakap benda-benda macam tu.’

“Kita sedang cakap ada jualan murah kat Sogo,” perli Wan Mukriz. Sudahnya Nora gelak juga hingga menarik perhatian teman-teman lain.

“Kenapa?” soal Nurul sambil angkat kepala. Hairan kenapa Nora ketawa tiba-tiba. Tadinya diam macam orang hilang mulut sahaja lagaknya.

“Bos buat lawak bodoh.” Selamba sahaja Nora bercakap. Kemudian dia toleh memandang wajah Wan Mukriz.

“Sumbat dengan tulang ikan tu karang, baru tau…” kata Wan Mukriz pula. Suka dia melihat Nora ketawa begitu.
Selesai acara makan-makan itu, Wan Mukriz terus pulang ke rumah. Dia menyanyi kecil ketika menaiki anak tangga. Tiba di ruang tamu tingkat atas itu, Wan Mukriz terpandang ahli keluarga lain sedang menonton TV. Yang tidak kelihatan hanya Hajah Zakiah sahaja. Mungkin sudah masuk tidur.

“Assalamualaikum,” sapa Wan Mukriz. Senyuman masih kekal terukir di bibir.

“Waalaikumussalam. Gembira saja anak ayah ni,” jawab Encik Wan Amran.

“Biasa saja, ayah,” jawab Wan Mukriz. Sempat juga dia memerhatikan Wan Ariff dan Puan Marina yang langsung tidak menoleh. Masing-masing masih terpaku memandang skrin TV. Tetapi dia tahu, masing-masing tidak mahu ambil tahu tentang dirinya.

“Saya masuk bilik dulu ayah, selamat malam.” Wan Mukriz fikir elok dia cepat beredar meninggalkan ruang tamu. Nanti disindir dengan kata-kata yang menyakitkan, buat hilang mood sahaja.

“Selamat malam,” balas Encik Wan Amran.

Wan Mukriz menjejaki bilik yang telah banyak menyaksikan suka dukanya selama ini. Dia lantas memutuskan untuk menunaikan solat isyak dahulu, takut kalau sudah tergolek atas katil, mahu terbabas. Subuh esok baru sedar.

Malam terasa cukup hening dan damai dari balkoni biliknya. Langit malam juga sangat cerah menampakkan bintang yang bertaburan. Suasana damai itu membawa ingatan Wan Mukriz kepada Nora. Ah! Gembiranya tadi. Ringan sahaja tangannya menekan nombor telefon milik Nora. Sempat lagi saling bertukar nombor telefon masa makan tadi.

“Assalamualaikum.” Lembut suara Wan Mukriz memberi salam. Mula membayangkan wajah Nora yang comel. Membayangkan juga gelak tawa serta sikap nakalnya. Ah, semuanya cukup menyenangkan Wan Mukriz.

“Waalaikumussalam, bos tak tidur lagi ke?”

“Kalau saya tidur, macam mana saya call Nora?”

“Hesy, klise punya jawapan.”

“Habis Nora nak saya jawab macam mana?”

“Jawab ajelah bos tengah panjat pokok pisang ke…”
Jawapan Nora buat Wan Mukriz ketawa besar. Terus sahaja lampu dari bilik Wan Ariff menyala. Mungkin ketawa Wan Mukriz sudah sampai ke bilik Wan Ariff.

“Saya terlupa tadi, kalau saya cakap saya sedang panjat pokok tauge pun kira okey jugakkan?”
Giliran Nora pula ketawa di sebelah sana. “Tau tak apa,” jawab Nora selepas itu.

“Nora ni nakallah. Mampu buat saya ketawa.”

“Apa bos ingat Nora badut?”
Sekali lagi ketawa Wan Mukriz berderai.

“Tengok tu, cakap macam tu pun bos nak gelak. Malaslah nak cakap dengan bos lagi.” Nora buat gaya merajuk.

“Okey, okey. Saya serius. Emmm, esok pergi kerja naik apa?”

“Kereta kebal!” jawab Nora laju dan laju sama ketawa Wan Mukriz terburai. Sudah tidak boleh dikawal lagi.

“Dahlah bos, menyampah cakap dengan bos. Asyik nak gelak. Okey bos, jumpa esok. Selamat malam.”

“Selamat malam, Nora. Mimpi indah nanti.”

“Okey bos, assalamualaikum.”

“Waalaikumussalam….”

Suara Nora hilang dan yang tinggal hanya ketawa yang masih berbaki. Lamanya dia tidak ketawa begitu. Alhamdulillah, rupanya dia masih boleh ketawa. Dan harap-harap dia akan selalu ketawa nanti.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Lelaki Eksklusif 4”
  1. Renn says:

    suka citer ni! ada blog tak? :)

  2. manggis says:

    hehe..best sgt! ade blog? :)

  3. ixora says:

    Best la cerita ni.. tajuk pun menarik. Tak sabar tunggu next entry..huhu

  4. Norliza Yusop says:

    dah jatuh suka dgn citer ni!

  5. bumihija says:

    memang eksklusif …saya suka ..

  6. fiona najwa says:

    best sangat cerita ni…..

  7. madi says:

    nice….sy pun suka cerita ni…..ekslusif…..

  8. LeeyaAsyikin says:

    sweetlah citer ne..enjoy je bila baca..x sbr tunggu next n3

  9. AliahMohdSalleh. says:

    Ceriter ni tetap best ,kelakar ,santai dan menarik.best sangat.

  10. Aina Shukri says:

    haaa.. bahagia betul hati mukhriz bila dgn nora ya? comel diorang berdua ni..

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.