Novel : Lelaki Versi Dia 9,10

19 October 2012  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Aireen Aryana

TENGAH HARI itu aku dikejutkan sesuatu. Seseorang lebih tepat kut sebab aku dah serupa macam Bulma terkejut jumpa Bezita dalam cerita Dragon Ball. Aku tak terkelip bila terpandang wajah Wan Aakif muncul di depan mataku tengah hari itu. Satu pejabat mula kecoh. Siap ada yang mengintai dari tepi-tepi dinding. Aku pandang wajah Wan Aakif tajam tapi dia hanya buat muka selanga dia je kat depan aku.

“Lunch…” Sepatah.

Aku kawal wajah aku yang betul-betul dah berubah daripada yang selalunya.

“I told you before… Jangan datang pejabat saya!” Aku keraskan suara. Geram menjadi-jadi bila aku ternampak orang sekeliling mula berbisik-bisik. Wan Aakif kerut kening. Dia nampak terluka bila aku naikkan suara begitu.

“Awak tak suka saya ke?”

Tersirap darahku mendengar pertanyaannya. “Bukan tak suka tapi saya dah kasi tau awal-awal jangan muncul depan saya lagi!” Geram betul aku dengan orang yang tak reti bahasa ni. Berapa puluh kali aku terangkan pun masih lagi buat kerja sia-sia. Tak pernah lagi aku jumpa mamat sesengal Wan Aakif.

“Awak malu?” soalnya setelah diam beberapa detik.

Aku kerut dahi. “Malu apa?” Agak sedikit berapi. Lebih-lebih lagi bila aku lihat muka dia yang dah tak serupa macam orang. Lebih kurang aku ni kucing, dia tu tikus.

“Malu ada tunang seperti saya… Ya lah awak cantik, saya ni selekeh…”

Ya Rabbi… Apa benda yang dia merepek ni?

“Saya dah cakap kat awak jangan datang sini…” Aku mula beremosi. Dan saat itu juga aku lihat wajah dia ikut berubah kecewa.

“Awak kata jangan datang petang, bukan tengah hari…”

“Are you nuts?” tempelakku kasar. Sah otak Wan Aakif tak centre.

“Saya nak ajak awak makan aje pun…” Suara dia mula tenggelam timbul.

“Awak memang tak suka saya kan? Dari hari pertama kita berjumpa memang awak tak suka saya. Sampai hati…” Aku dengar suara dia mula bergetar. Aku serba-salah tiba-tiba. Rasa terlebih kejam pula kat dia.

Bila bilik bos terbuka tiba-tiba, rupa aku dah berubah pucat tak bermaya. Encik Hisyam pandang aku hairan. Aduh… Matilah aku…

Ni dah kira kes dilemma wanita… “Err… Tak la…” Aku lembutkan suara cuba memujuk Wan Aakif. Kalau Wan Aakif tiba-tiba mengamuk buat kacau kat sini masa Encik Hisyam tengah tengok ni, alamatnya naya aku kena bagi resign letter notis 24 hours…

“Saya tunang awak tapi awak malu ada tunang macam saya…” Suara Wan Aakif mengendur dan membuat aku terkedu seribu.

“Jom keluar…” Aku bisik pada dia pelan. Wan Aakif sekadar memanandang wajahku tajam tanpa kata-kata. Aku toleh kiri kanan semua orang pandang aku semacam. Lagi kecut perutku bila Encik Hisyam dah mula bersandar pada dinding seolah-olah dia nak tengok drama Hindustan yang dilakonkan oleh setiausaha syarikat dia ni. Habisla aku…

“Err… Maaf, kejap eh.” Aku tunduk-tunduk meminta maaf pada orang lain.

Aku berjalan menuju ke arah Wan Aakif dan tarik tangan Aakif kuat tapi dia tepis tanganku tiba-tiba. Aku pandang wajah dia dengan muka hairan.

“Tak perlu berpura-pura Win…” Ucapnya sinis. Pedasnya sampai ke liang jantungku. Cara dia bercakap tu seolah-olah aku yang bersalah. Aku nampak wajah dia seperti terluka sebab aku menafikan dia sebagai tunang aku. Dah dia serbu pejabat aku tiba-tiba aku nak buat apa?

“Dah la.” Dia terus melangkah pergi. Alamak, dia merajuk ke? Tak pernah la pula ada lelaki tarik muka merajuk padaku. Tapi rasa serba-salah aku bertukar jadi takut bila terkenang encik singa menonton wayang percuma. Aku garu kening sambil menoleh ke arah Encik Hisyam. Aku tersenyum tapi aku rasa senyuman aku dah senget sebelah.

“Arwin, masuk bilik saya sekarang.”

“Ta-Tapi encik…”

“Tak ada tapi-tapi. Masuk bilik saya sekarang!”

Aku toleh ke arah Jane dengan pandangan, tolong aku… Tapi Jane buat muka blurr. Aku hela nafas panjang baca Bismillah menapak kat depan pintu bilik bos aku.

Cis! Tak pasal-pasal aku jadi mangsa! Geramnya aku!! Wan Aakif sengal gila! Belajar kat luar negara tapi otak letak kat lutut… Suweeii!!

Rasa nak menangis je masa buka pintu bilik Encik Hisyam.

PETANG aku balik guna bas. Nasib baik Wan Aakif tak muncul. Dah merajuk agaknya tapi bagus juga sebab tak perlulah aku nak minta maaf pada dia. Tapi aku tak sedap hati la pula sebab buat dia begitu tadi. Aku tak pernah tinggikan suara pada sesiapa. Pernah tu pernah tapi jarang…

Ah, aku tak nak fikir lagi! Buat serabut otak aje… Nasib baik jugalah Encik Hisyam cool tak cakap apa-apa pasal Wan Aakif. Cuma dia pesan lain kali jangan buat perangai kat pejabat dan kali ini dia maafkan.

Masa aku tengah rileks tunggu bas kat perhentian bas, tiba-tiba kereta honda city warna silver berhenti di depan mataku. Aku buat tak peduli je sampailah aku teringat mamat rambut panjang punya kereta sebiji macam kereta kat depan aku ni. Aku harap-harap bukan dia la… Tapi bila dia dah bunyikan hon kereta, aku positif memang dia. Tak putus asa nampak? Nasib baik aku sedar yang dia ni hilang ingatan. Kalau tak sah-sah aku perasan diri sendiri hot sampai dia terkejar ke sana ke mari.

Aku buka langkah malas menuju ke arah kereta. Aku ketuk cermin kereta dia tapi still dia tak turunkan cermin kereta. Akhirnya aku terpaksa buka pintu kereta Wan Aakif dan menjengah untuk memandang wajah lelaki itu. Lepas tu aku rasa macam kena renjatan elektrik. Terkejut sikit melihat penampilan baru Wan Aakif. Rambut dia!

“Masuk.” Sepatah.

Tapi sepatah itu dah buat aku macam kena pukau. Aku masuk dan duduk senyap-senyap kat tepi dia. Sekali-sekala aku jeling untuk melihat wajahnya. Rambut dah potong, guna seluar jeans biru dan t-shirt merah. Darahku merona ke pipi bila terbuai dengan perasaan sendiri. Dia memang sebiji macam Wan Aakif sebelum-sebelum ini.

“Saya dah potong rambut…” Ucapnya agak lembut masuk ke deria telingaku. Aku tahan nafas kerana dadaku mula bergetar.

“Awak potong semata-mata kerana saya ke?” soalku tanpa memandang wajahnya.

“Hmm…”

Boleh tak aku pengsan sekejap? Terharu sangat sebab dia sanggup buat perkara yang sia-sia macam tu demi aku. Rasa bersalahpun ada juga. Tapi terharu lebih lagilah… Aku pandang wajah dia yang sedang tersenyum senang hati.

“Kenapa awak buat macam tu?” soalku lagi.

“Saya nak tengok awak tersenyum…”

Zappp!! Hatiku terjatuh dari tempatnya. Aku tersentak. Jantungku berdegup tak sekata. Senyuman aku ni penting sangat ke buat dia? Aduhai Wan Aakif, tahu tak saya memang dah lama sayangkan awak? Jangan la buat saya jatuh cinta sekali lagi…

Aku tak cakap apa lagi sampailah kereta dia memasuki perkarangan rumahku.

“Sampai dah…” Dia kata. Ayat ni dah dua kali masuk ke dalam halwa telingaku. Aku pandang wajah dia sekilas sebelum membuka pintu kereta.

“Wan, jangan cari saya kat pejabat saya lagi… Saya tak nak bos cop saya pekerja bermasalah…” Aku terangkan pada dia. Dia angguk sambil tersenyum. Melihat dia tersenyum hatiku jadi terumbang-ambing. Oh, rajuk dia dah terubat sendiri la ya? Kasihannya dia…

“Saya minta maaf pasal tadi, tapi kalau awak buang tattoo awak tu sekali, saya lagi suka.” Aku hulur senyumanku padanya sebelum menutup pintu kereta.

Aku masuk ke dalam rumah tapi otak aku masih bersama-sama dengan Wan Aakif Akmani. Aku rasa aku nak tolong dia pulihkan ingatan dia balik. Lagi cepat dia ingat lagi bagus sebab aku tak nak dituduh ambil kesempatan ke atas kelemahan Wan Aakif Akmani dikemudian hari.

Tapi bagaimana caranya?

*****

HUJUNG MINGGU macam biasala aku menghadap laptop 12 jam. Update status facebook, update blog, update emel. Blog ni aku buat untuk aku release tension. Sekadar bercerita hari ini aku buat apa, esok aku buat apa dan segala-galanya private untuk diriku sendiri. Kiranya aku buat blog seperti diari aku la kan? Esok lusa aku boleh baca balik… Nak tulis guna buku macam zaman kuno-kuno dulu tak rajin la pula. Dah la kena beli buku dan pen bukankah membazir?

Pukul 9 pagi aku dah mula bosan tergolek depan laptop. Kalau Izz Harraz tak outstation ke Sarawak, gerenti-gerenti aku buli dia dan bawa dia jalan-jalan kat mana-mana aje. Nafisa pula dah balik ke kampung jadi tinggallah aku keseorangan di dalam rumah.

Teringat masa mula-mula aku kenal Nafisa, dia jenis yang workholic sampaikan waktu makanpun dia sibuk cari laptop untuk buat tugas-tugas dia. Aku ingatkan kerja accountant memang tak ada masa nak berehat langsung. Sedangkan Nafisa yang tip top boleh tahan glamour dengan kepandaian dia buat exam ACCA macam buat soalan budak darjah 3 sesenang kacang jadi member MIA pun bekerja siang dan malam memerah otak dan tenaga, aku agak aku nanti boleh jadi zombie kalau ikut jejak langkah dia jadi accountant.

Sekadar account executive tu mampulah agaknya kan? Tu pun kalau mampu la… Aku jenis tak tahan kalau tengok nombor. Diskalkulia sikit. Pening dia macam tengah tengok nombor-nombor tu menari-nari depan aku lepas tu tergolek-golek gelakkan aku. Tahap kronik bencikan nombor tapi kalau angka dalam bank aku meningkat, tak pe… Aku suka! Lagi beriban ada kat sana, aku lompat-lompat gembira.

Aku tengok sekarang ni Nafisa mula rileks. Balik rumah terus terpacak kat depan tv mungkin terpengaruh aku la kut sebab aku ni jenis spesies yang layan televisyen terutamanya kartun-kartun seperti Dragon Ball ataupun Detective Conan.

Tengah aku layan movie depan televisyen, telefon aku berbunyi. Laju tanganku mengambil handphone. Mana la tau ada orang nak ajak aku keluar jalan-jalan, lumayan seh…

Nama yang terpapar adalah Auntie Zita dan mood aku jadi terbalik. Malaslah nak jawab… Apa kata aku pura-pura tak dengar ringtone phone berbunyi? Telefon cikai itu aku campak kat tepi sofa.

Tapi bila masuk kali ketiga berbunyi, aku rasa tak manis pula kalau tak angkat. Mak aku kata kalau Auntie Zita call jawab jangan tak jawab sebab dia mak aku nombor dua. Memandai aje mak kata macam tu walhal mak aku sorang je dalam dunia ni.

“Hello auntie…” Aku memaniskan suara.

“Kenapa lambat angkat, Win?”

Dah agak dah Auntie Zita mesti tanya soalan begitu.

“Mandi tadi…” Aku belasah je kasi alasan walhal aku dah mandi pukul 7 pagi tadi.

“Amboi… Anak dara mandi lambat-lambat busuk tau.”

Aku gelak kecil dengar kata-kata Auntie Zita. Mandi lewatpun boleh jadi busuk eh? Bukan semakin wangi ke?

“Win ada keluar jalan-jalan dengan Wan ke? Dia kata dia nak ambil Win…”

Erk! Hampir tercekik bila terdengar nama keramat itu lagi. Dah dekat seminggu aku tak dengar khabar dia. Aku agak ingatan dia dah pulih jadi dia tak teringin nak jumpa aku lagi…

“Tak de pun…” Aku jawab jujur.

“Baru 15 minit dia bertolak. Win siap la awal takut dia lama tunggu. Wan baru aje kebah demam terus dia nak jumpa Win. Mama tak bagi dia keluar rumah tapi dia berkeras juga nak jumpa Win.”

Jantungku berdegup laju. Dia demam ke? Aku ingatkan dia sihat. Buruk sangat perangai aku sampaikan dia sakitpun aku tak bertanya khabar.

“Ye la… Win siap dulu. Terima kasih auntie…” Aku meminta diri.

“Win, panggil mama je… Lagipun tak lama lagi Win dan Wan nak kahwinkan?”

“Ha?” Aku terkejut nada panda.

“A-Apa auntie?”

“Mama…” Auntie Zita berbaur amaran. Aku telan air liur sendiri. “Err.. Mama..”

“Wan cakap dia nak kahwin dengan Win dalam masa terdekat ni.”

Aku ternganga. Suka-suka mak datuk mereka je nak aku kahwin dengan Wan Aakif. Gila! Serius gila!

“Tapi kan kita tengah buat lakonan olok-olok? Win tak nak la kahwin!” Aku melatah. Auntie Zita kedengaran menghela nafas panjang.

“Win, Wan betul-betul sayang pada Win. Kalau tak, dia tak akan potong rambut dia…”

Itu aje alasannya? Aku mula mencongkak sendiri. Kalau aku tak nak kahwin dengan Wan, aku kena tolong dia ingat balik sejarah hidup dia. Kalau nak kahwin pun sekurang-kurangnya tunggu Wan Aakif dapat kembali ingatan dia supaya dia boleh decide keputusan berdasarkan fikiran waras yang dia pegang selama ini. Aku tak nak la macam ni! Dia belum betul-betul ingat kisah dulu-dulu terus kahwin dengan aku. Kang kalau ingatan dia pulih lepas kita orang kahwin dan tiba-tiba dia bencikan aku semula apa aku nak buat? Merayu-rayu melutut-lutut supaya kami kekal jadi sepasang suami isteri? So sorry kerja tu orang gila je nak buat. Aku tak akan.

“Tapi auntie…”

“Mama…” Kali ini suara Auntie Zita lebih tegas.

“Win rasa awal sangat kalau nak kahwin…” ucapku lembut mengharap pengertian Auntie Zita.

“Mama dan call mak Win, mak Win okey je…”

Lagi sekali aku terkejut. Auntie Zita dah cakap pada mak ke? Nafas aku jadi sesak. Kenapa aku kena jadi mangsa dia orang ni? Apa salah aku pada mereka? Geramku membuak-buak tiba-tiba.

Aku ketap bibir tahan perasaan. Nak marah pada Auntie Zita pun tak guna. Aku dididik untuk menghormati ahli keluarga yang lebih tua daripada diriku.

“Win tak kisah kahwin tapi berilah sedikit masa lagi pada Wan untuk ingat semula apa yang dia dah lupa…”

“Kalau begitu, Win la yang kena tolong Wan… Mama tak boleh kata apa sebab Wan beria-ia nak kahwin dengan Win. Dia kata kalau dia tak kahwin dengan Win, dia nak balik ke US semula.” Suara Auntie Zita jadi pelan.

Aku tutupkan talian bila Auntie Zita kata dia ada benda nak buat. Tapi aku cukup faham yang Auntie Zita berkecil hati padaku. Dia kecil hati boleh aku tak boleh pula? Manusia memang begitu kan?

Bila aku dengar hon dari luar rumah, aku bergegas masuk ke bilik dan bersiap. Tudung kelabu aku lilitkan di kepala sebelum keluar dari rumah. Aku lihat Wan Aakif tersenyum senang menunggu kehadiranku di dalam kereta. Aku masuk ke dalam kereta dia dengan muka yang masam.

“Win…” serunya sepatah. Aku pura-pura sibuk mengatur seat belt tanpa memandang wajahnya.

“Mama telefon ke tadi?” Dia tanya. Aku angguk kecil. Aku ingat hari ini juga aku kena buat perhitungan bersama Wan Aakif. Aku nak kasi tau benda-benda yang dia ingat selama ini benar adalah tipu semata-mata termasuklah pertunangan aku dan dia.

“Mama kata apa?” soalnya lagi. Aku tersenyum sinis. Dia tanya tapi dia sendiri tau apa yang mama dia katakan padaku. Geramnya…

“Win, awak marah saya ke? Saya ada buat salah ke?”

“Awak nak duduk sini sampai bila? Tak nak jalan ke?” soalku tanpa mempedulikan pertanyaannya. Dia gosok tangan dia pelan sebelum mengerut kening.

“Saya tak tahu nak pergi mana…”

“Awak ambil saya tapi awak tak tahu nak pergi mana?”

“Awak marah ke?” Lagi dia soal benda yang sama. Aku jadi berapi sekejap.

“Kalau awak tak tau nak pergi mana, kita pergi ke sekolah lama ajelah!” Aku terus buat keputusan.

Lagi lama dia tanya benda pelik-pelik pada aku, lagi berapi hatiku nanti. Aku sengaja pilih sekolah lama mana tau rezeki tiba-tiba dia teringat yang dulu dia benci kat aku sebab kat sekolah tu juga dia mula tunjuk yang dia tak suka aku. Kalau dia ingat semua sekali lagi bagus… Terus tak jadi kahwin lagi bagus…

“Jangan la marah saya…” Suara dia seperti budak kecil meminta sesuatu padaku. Aku pandang wajah dia tajam-tajam. Kalau boleh nak tembus jantung dia aku tembusi jugak supaya dia tahu aku tengah marah.

“Awak cakap kat mak awak yang awak nak kahwin dengan saya kan?” soalku tegas. Dia pandang wajahku penuh tanda tanya.

“Awak tak suka?”

“Berapa kali saya nak kata yang saya tak pernah suka awak? Awakpun tak pernah suka kat saya!” Aku naik angin. Ingat nak marah lagi tapi bila tengok muka dia yang innocent tu maraku jadi reda. Tak sampai hati nak marah dia. Renungan mata dia lembut menikam anak mataku.

“Saya suka awak…”

Aku kerut dahi. Susah bercakap dengan orang yang tak reti bahasa ni. Sepuluh kali ulang belum tentu dia nak hadam.

“Wan, kita jangan kahwin dulu ek?” Aku pinta pengertian dari dia.

“Kenapa? Kita dah bertunang lama sangat dah…”

Aku hela nafas. Otak berfikir ligat cari alasan selogik yang mungkin.

“Betul ke masa dekat US dulu awak tak ada buat hubungan intim dengan sesiapa? Mana la tau awak buat seks bebas lepas tu…”

“Apa awak cakap?” Matanya yang tadi merenung wajahku lembut kini jadi tajam menikam. Aku tahu aku dah melampau tuduh dia yang bukan-bukan tapi aku kena juga cari alasan.

“Tak ade la… Dulukan… Mama awak sendiri ada cakap yang awak rapat dengan seorang perempuan…”

“Saya tak pernah buat benda tu kalau awak nak tahu sangat. Saya just sentuh arak dan benda-benda ringan aje.”

“Kalau awak mabuk macam la awak boleh ingat!” Sampukku laju-laju. Dia tunjuk muka bengang dia padaku.

“Saya tahu apa yang saya lakukan, Win. Awak tak perlu risau sangat!” Suara dia mula meninggi. Aku tersentuh hati bila dia tinggikan suara seperti itu. Okey… Aku dah malas nak bertekak. Buat sakit hati aje.

“Kita nak ke mana ni? Cepatlah!” Aku masih lagi bersuara dengan nada yang sama. Aku lihat Wan Aakif meraup wajah pelan sebelum kembali menatapku.

“Sekolah lama.” Balasnya pelan.

“Jalanlah! Takkan nak tunggu kat sini sampai petang? Sekolah tu tak boleh jalan ke sinipun.” Marahku. Dia sekadar diam tanpa bersuara. Tak tahu kenapa hati aku jadi sedih tiba-tiba. Tak tahu kenapa…

Aku hanya diam sepanjang perjalanan. Sekali-sekala aje aku tunjukkan jalan padanya. Sekolah lama? Sekolah yang menyimpan seribu satu cerita. Aku dan dia tak pernah rapat tapi aku selalu kejar dia ke mana-mana aje. Sebenarnya mak suruh aku bersekolah menengah di kampung aje tapi oleh kerana aku nak ikut Wan Aakif juga, aku sanggup meminta sekolah berasrama penuh di bandar ini. Entah kenapa dulu aku terlalu naif dalam mencari cinta. Pedihnya rasa itu sampai sekarang kadang-kadang terkenang. Yelahkan, cinta bertepuk sebelah tangan tak sama seperti orang lain bertepuk dua-dua tangan dan kaki-kaki sekali kalau boleh.

“Awak masih marahkan saya?” pelan suara Wan Aakif menyusup ke dalam telingaku. Aku menghela nafas panjang. Ini dah kira marahkan nyamuk bakar kelambu. Marahkan mama dia, aku bakar dengan dia-dia sekali. Tapi kalau bukan sebab dia yang minta perkahwinan antara kami, tak mungkin Auntie Zita bertindak lebih jauh untuk menelefon mak…

“Win, cubalah senyum sikit… Saya rindu senyuman awak. Awak paling cantik bila tersenyum…”

Aku diam tanpa kata. Tak nak termakan kata-katanya… Nanti aku juga yang merana.

“I’m sorry for everything. Saya tahu saya terlalu mendesak. Tak pe la kalau awak tak sedia nak kahwin lagi, kita tunda ya?”

Boleh pakai ke apa yang dia kata ni? Aku pandang dia penuh tanda tanya. Dia tersenyum mengangguk.

“Jangan marah saya lagi ya?” Pinta Wan Aakif tampak ikhlas. Aku menghela nafas panjang sambil memejam mata sejenak.

“Belok kiri.” Aku tunjukkan jalan pada dia. Dia ikut arahan aku tanpa banyak soal.

“Awak pakai baju merah dengan tudung kelabu tu, you look so chic, Win.” Puji Wan Aakif. Senyuman akhirnya tersungging di bibirku. Marahku jadi berkurang mendadak. Tak boleh blah la kau Win. Sekejap kena puji terus cair meleleh-leleh.

“Dah sampai…” Ucapnya tenang.

Aku buka seat belt tatkala dia mencari parking. Nasib baik pak guard tu baik hati just main lambai-lambai kat kita orang. Mungkin dia ingat kita orang ada kerja kat sekolah ini sebab aku nampak ada kereta tiga empat biji tersadai di tempat letak kereta.

Dia keluar dari kereta bila tengok aku selamba keluar tanpa mengajaknya.

“Win, boleh saya jalan dengan awak?” Dia berdiri tegak di sisiku. Aku menjuih bibir.

“Takkan awak nak jalan dengan kucing?” Balasku sinis. Wan Aakif tersenyum geli hati.

“Awak marah-marah sayang eh?” tekanya. Aku mengerut kening lama.

“Tah apa-apa je awak ni. Kita ke blok kelas dulu.” Aku tarik tangan dia tanpa sedar tapi cepat-cepat aku lepaskan bila dia mengaduh.

“Tarik sikitpun dah sakit?” soalku hairan. Dia tersengih cuma.

“Terkejut, bukan sakit.” Balasnya gelak kecil. Aku terpaku sekejap melihat tawa yang terhambur di bibirnya. Bila dia berhenti gelak tiba-tiba, aku cepat-cepat melangkah ke arah blok kelas. Bahaya kalau dia perasan tentang perasaan aku pada dia. Cukup bahaya! Entah-entah esok juga dia ajak aku kahwin. Wah, tingginya imaginasi aku ni… Apa-apa aje la kau Win… Aku menghela nafas panjang sambil memeluk tubuh menyusuri bahagian tepi blok kelas.

Aku tersenyum kecil teringat cerita-cerita lama. Kat kelas 1 A aku pernah jerit pada Wan Aakif yang dia makhluk terhensem pernah aku jumpa. Masa tu aku ingat lagi muka dia yang selamba cekadak lalu kat depan aku sambil buat-buat tak dengar. Ah, kenangan… Macam jahil je dulu. Buat malu kerabat.

Kat kelas 2 A, aku pernah tulis surat cinta pada Wan Aakif. Aku hebohkan pada kawan-kawan yang aku ni makwe Wan Aakif malah kami bercinta dah lama. Kawan-kawan aku gelakkan aku cakap aku ni psiko yang bermimpi di siang hari.

Kat dewan tu pula, aku menangis tunggu Wan Aakif habiskan exam SPM dia. Masa tu aku ikut di tahan kat asrama sebab cikgu nak kita orang tingkatan dua ulang kaji untuk PMR tahun depan.

Dia keluar dengan kawan-kawan dia penuh gelak ketawa menggunakan seragam biru mudanya. Diakan head boy masa tu…

Aku terus pergi jumpa dia menangis depan dia. Dia kata pada aku, belajar betul-betul. Masuk U dan genggam segulung ijazah kemudian tunjuk pada dia. Pertama kali dia berlembut padaku sewaktu aku benar-benar nanar dengan perasaan sendiri. Ye lah kan dia nak keluar dari sekolah ni, mana tak aku frust tergolek… Pertama kali juga dia peluk tubuhku sambil menenangkan aku dan dia tak kisah orang sekeliling kami kecoh besar.

Aku belajar betul-betul sampai aku habis PMR. Dia terbang ke US tanpa khabar berita. Akhirnya aku sedar yang Wan Aakif tak pernah sayangkan aku. Terkenang zaman-zaman tu aku jadi malu sendiri.

“Win…”

Erk? Lamunan aku pecah berderai bila terpandang wajah Wan Aakif yang tegak berdiri di depanku. Aku berdehem kecil sebelum melemparkan pandangan ke arah lain.

“Awak ada ingat apa-apa?” Soalku bergetar. Nak-nak tak bergetarkan sebab aku ni tengah panik. Kalau dia ingat, aku rasa aku balik guna teksi ajelah…

“Tak ada…” Balasnya lembut. Aku menghela nafas panjang cuba mengatur bicara.

“Wan, sebenarnyakan, dulu awak bencikan saya. Awak tak suka saya…” Aku rangka ayat supaya senang dia nak faham. Wan Aakif diam menunggu aku meneruskan kata-kata.

“Sebenarnya… Awak dan saya tak ada hubu…”

“Alamak hujan! Jom naik kereta…” Wan Aakif terus berlari anak meninggalkan aku. Aku ternganga tak tahu nak cakap apa. Aik? Lelaki takut hujan?

Bila tempias air hujan jatuh ke wajahku, aku juga ikut pecut masuk ke dalam kereta.

Dia tersengih-sengih menunggu aku di dalam kereta.

“Kita tengok wayang…” Dia putarkan stereng kereta dan saat itu aku lihat tangan dia berbalut di siku dan ke atas.

“Wan, kenapa tangan awak?”

Dia diam.

“Wan?” Aku desak lagi. Dia sengih aje. “Hari tu buang tattoo.” Jawabnya ringkas. Suasana jadi sepi seketika.

“Sebab saya?” tekaku. Hati macam dipalu rasa terharu.

“Kan awak tak suka saya bertattoo?” Dia bercakap tanpa memandang wajahku, seakan-akan menyatakan bahawa sebab akulah dia buang tattoo dia tu. Aku telan air liur kelat. Sanggup pula dia korbankan tattoo dia sebab aku tak suka? Aduh, bagaimana harus aku tepis perasaan yang mula berkembang dalam hatiku ini?

“Sakit tak, Wan?” soalku pelan, sekadar menyalurkan rasa penghargaanku padanya.

“Sakit sikit je…”

“Tu yang sampai demam tak beritahu kat saya?”

Dia diam tak menjawab. “Saya minta maaf…” Desisku pelan. Dia menoleh wajahku sekilas. “Minta maaf untuk apa?” Soalnya lambat-lambat.

“Tak ada apa-apa…”

Kening Adami bertaut hairan. Tapi lepas tu dia kembali menumpukan pemanduannya apabila aku melemparkan pandangan ke arah lain. Andai kata Wan Aakif tak pernah kehilangan ingatan, aku nak sangat memanjakan dirinya…

Boleh tak agaknya aku buat-buat hilang ingatan juga yang konon-kononnya Wan Aakif Akmani adalah tunang aku? Tak acilah dia feeling sorang-sorang… Aku curi pandang wajahnya lama.

Boleh tak Abang Wan? Soalku dalam hati seolah-olah menyoal dia dalam versi Wan Aakif Akmani yang lama.

****


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Lelaki Versi Dia 9,10”
  1. Haryati Nor says:

    Best2! xsbr nk tgg next entry.. =)

  2. Haryati Nor – Insya-ALLAH akan keluar dlm bentuk buku… nantikan ya. Bulan 1 tahun depan 😀

  3. kakizz says:

    tunggu wan akif dgn tabah..huhu

  4. soka says:

    ade blog tak?

  5. kakizz- kita tnggu HHAR dngn tabah jugak .. 😀

    Soka – ada jer.. http://aireenaryana.blogspot.com/
    tq..

  6. riena says:

    Salam… Tak sabar nak tunggu next entry… I baca 10 bab semua tak sampai 3 jam…. Sambung please… Bagi panjang sikit… Tak puas la… So sweet…

  7. riena- wslm.. tq sbb sudi komen dh baca.

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.