Novel : My First Love 1

29 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: The Lotus

PROLOG

‘DILWALE’.

Karya hebat tanpa photoshop.

Itulah yang mampu aku katakan setelah menonton cerita ini buat kali pertama di panggung wayang. Gandingan mantap Shah Rukh Khan dan Kajol memang betul-betul berkesan buat hati aku yang tak berapa nak kering ini. Wajah mereka langsung tidak berubah walaupun sudah hampir dua dekad aku mengikuti lakonan mereka di kaca televisyen. Pendek kata, makin tua, makin hotlah diorang. Aku harap aku pun sama juga macam diorang nanti. Hehe..

Habis sahaja aku menonton ‘Dilwale’ buat kali ke sepuluh, tiba-tiba sahaja otak aku teringat dia. Dia yang pertama singgah dalam hati aku semasa aku di tingkatan satu. Orang kata itulah ‘first love’. Dan aku pula terikut kata-kata orang, hanya mengiakan sahaja. Aku tidak pernah tahu bila dan bagaimana aku dan dia boleh tersuka tanpa sengaja. Semuanya tiba-tiba. Mungkin itulah yang dinamakan cinta. Macam klise pula.

Aku terbayangkan watak Mohd Iqbal Aqeef, cinta pertama aku atau mugkin boleh dilabel sebagai bekas cinta pertama aku buat masa sekarang dalam diri Shah Rukh Khan yang tampan, baik hati dan penyayang. Berbeza sekali dengan diri aku yang keras kepala, sukar untuk meminta maaf walaupun aku sedar yang aku bersalah dan aku juga setia macam Kajol biarpun sedikit kejam. Cuma bezanya aku dan Iqbal tidak termasuk di dalam kategori bercinta. Bagi mereka yang tidak cuba memahami situasi kami, mereka menganggap kami adalah pasangan yang paling sweet di sekolah. Mana tak sweet, first date pun di masjid Al-Rahman, masjid kebanggaan di sekolah kami dulu. Islamik, kan. Tapi, semua itu dah berakhir. Dan aku berfikir sepuluh kali dahulu sebelum aku menangis apabila teringat akan kisah kami.

“Ee, ada orang kirim salam,” ujar ketua kelas aku, Afzan sambil berlalu. Mukanya serius sekali. Aku sekadar mencebik. Bukan sekali dua orang berkirim salam padaku. Apalah sangat yang ada padaku sehingga ramai sekali peminat aku di sekolah ini. Aku sekadar menggeleng kepala. Banyak pula masalah negara yang timbul sejak aku menjejakkan kaki di sekolah ini.

“Ee, ada senior nak jumpa kau petang ni di masjid Al-Rahman,” bulat mataku memandang muka Amirul, rakan sekelasku yang datang sekadar untuk menyampaikan pesan. Dia terpinga-pinga melihat reaksiku.

“Gila ke apa nak jumpa aku di masjid,” bentakku sambil membelek buku teks Sejarah dengan kasar sekali. Tiba-tiba aku bengang dengan diri sendiri. Rasa macam nak tukar sekolah pun ada.

“Kau pergi je lah nanti. Kalau tak, rugi tau,” ujarnya sambil ketawa kecil.

“Apa yang rugi?”

“Kaulah.”

“Asal pulak rugi?”

“Banyak pula soalan kau. Apa kata petang ni lepas waktu prep, kau pergi masjid Al-Rahman. Kau tunggu je dia di situ. Nanti kau tahu sebab apa aku cakap kau rugi kalau kau tak pergi,” ujar Amirul sambil berlalu. Keningku berkerut. Sungguh confuse kata-katamu, Amirul. Okaylah kalau macam tu. Petang ini, in shaa Allah. Tuntas hati kecilku.

USAI menunaikan solat Asar di Masjid Al-Rahman, otakku kembali ligat dengan kata-kata Amirul sebentar tadi. Aku melilau mencari seseorang. Tiba-tiba ada satu suara menyapaku dari belakang. Terasa degup jantungku berhenti seketika. Tanganku sedikit menggeletar. Seluruh tubuhku menggigil kesejukan. Mataku terpaku pada sekujur tubuh yang sedang memandangku dengan senyuman manis. Aku terkebil-kebil memandangnya. Allah, indahnya ciptaan-Mu. Hatiku bersuara.

“Awak Nur Ilya Amna, kan?” Aku sekadar mengangguk tanpa bersuara. Suaranya agak serak-serak basah. Seksinya suara dia. Boleh pulak hatiku bertingkah kata. Terkebil-kebil mataku memandangnya. Dia senyum sahaja.Nama penuhku ditutur dengan senyuman yang tak pernah lekang dari bibirnya yang agak kemerah-merahan itu. Hatiku berdegup kencang sekali.Duhai hati, tolonglah beri kerjasama. Kali ini sahaja. Pintaku. Aku mengerling Mohd Iqbal Aqeef dengan ekor mata. Putih orangnya, sama macam aku. Tinggi orangnya, jauh beza dengan aku yang terpaksa mendongak sedikit apabila berada di sebelahnya. Tanpa sedar aku ralit memandangnya. Dan tanpa sedar dia tersenyum lagi.

“Awak sihat?” soalnya setelah kami menyepi seketika. Aku mengangguk lagi. Sungguh, aku tidak mampu bersuara saat bersamanya. Lidahku kelu. Dia hanya tenang melihat reaksiku. Setenang wajahnya.

“Awak okay tak? Kalau awak malu dengan saya, saya faham. Saya tak paksa pun awak datang jumpa saya petang ni. Saya sekadar nak berkenalan dengan awak. Saya nak kenal awak dengan lebih rapat. Itu maksud saya. Awak sudi tak?” ujarnya bersungguh-sungguh. Aku menggigit bibir.

“Bukan ke awak ramai peminat?” tanyaku tanpa berfikir panjang. Dia ketawa dengan reaksiku. Isy, kelakar sangat ke soalan aku tadi. Atau aku tersilap tanya. Alahai, malunya.

“Tapi saya minat awak. Saya suka awak sejak kali pertama saya nampak awak. Jatuh cinta pandang pertama. Mungkin,” ujarnya dengan senyuman. Aku kaget dengan jawapannya yang bagiku agak tiba-tiba. Mana boleh main-main soal hati dan perasaan ni. Marahku dalam hati.

“Are you serious? Saya tak suka orang main-mainkan saya. Kita berjumpa baru pertama kali. Takkan semudah itu awak cakap yang awak sukakan saya,” aku memandangnya dengan wajah mencuka. Berani betul lelaki ini meluahkan perasaannya padaku.Entah kenapa aku terasa seperti dipermainkan. Hilang segala darah gemuruh yang berkumpul dalam diriku sebentar tadi. Dia kulihat membetulkan songkok hitam yang dipakainya. Wajahnya berkerut. Mungkin dia sedang berfikir jawapan apakah yang perlu diberi bagi menyelesaikan persoalan yang menghenyak fikiranku secara tiba-tiba.

“Apa kata kita ambil dulu tempoh percubaan dalam sebulan dua,” aku menahan ketawa. Macam nak ambil lessen memandu pula.

“Maksud awak?”

“Kita berkawan dulu. Awak ambil masa awak untuk kenal saya dengan lebih rapat dan saya juga sama. Saya minta maaf kalau saya seperti memaksa awak untuk suka saya. Saya ikhlas sukakan awak. Kerana Allah,” ujarnya sambil memandang tepat wajahku.Aku melarikan pandanganku ke arah padang bola sepak yang sedang riuh dengan sorakan pemain dan penonton. Hatiku sedikit tersentuh dengan keikhlasan kata-katanya. Dia mencintaiku ikhlas semata-mata kerana Allah. Aku tersenyum. Dia juga sama.Baru aku mengerti akan makna tersirat di sebalik kata-kata Amirul tadi. Sungguh rugi aku melepaskan seseorang yang mencintaiku kerana Allah. Aku berdoa moga-moga hati ini terpelihara dari segala kekecewaan yang kadangkala muncul tanpa diduga. Tak sangka pula dalam diam-diam aku ada ‘secret admire’ yang berani macam dia. Sanggup berterus-terang secara berdepan pula tu. Kalau akulah, tong sampah besar di tepi masjid itu mungkin menjadi tempat sasaran utama aku untuk menyorok. Malu, beb. Tanpa sedar aku tersengih sendiri. Isy, malulah aku.

“EE, kau dah solat Asar ke belum?” aku segera bangkit. Terpinga-pinga aku mencari jam.

“Masjid Al-Rahman dah azan ke?” soalku.

“Sejak bila kau bina Masjid Al-Rahman di kampus ni?” soal Annis sambil ketawa mengekek. Aku menutup muka dengan tapak tangan. Malu. Lupa pulak yang aku sudah berada di tahun 2016.

“Sorry la wei. Aku mimpi aku tengah dating di Masjid Al-Rahman tadi,”

“Patutlah kau sengih je masa kau tidur tadi. Nasib baik aku tak tuang Clorox dalam mulut kau tu. Menyampah pulak aku,” bebelnya sambil melipat kain bajunya yang bersepah di atas katil. Aku meraup wajah. Memori indah itu bagaikan masih menari-nari di ruangan mata. Manis.

“Aku mimpi dia,”

“Iqbal, ke?”

“Dah tu, siapa lagi?” aku bangun mencapai tuala yang tersangkut. Terasa seperti ingin bertapa di dalam bilik air selama beberapa hari.

“Kau belum boleh lupakan dia?” soal Annis. Aku mengeluh berat. Bertahun-tahun aku cuba melupakannya. Namun masih dia yang menghantui mimpi.

“Aku dah cuba, Annis. Nanti aku cuba balik, ek. Aku mandi jap. Nanti nak solat Asar,” ujarku lemah. Annis sekadar diam. Hanya dia yang paling banyak tahu mengenai kisah silamku. Hanya dia yang paling memahamiku.

“Kat Masjid Al-Rahman, ke?” soalnya sambil ketawa. Aku juga sama sebelum tuala kecilku melayang tepat ke wajahnya.

BAB 1

“Janam Janam Janam..
Sath Chalna yunhi…
Qasam Tumhe Qasam…
Aake milna yahin…
Ek Jaan Hai Bhale…
Do Badan Hon Juda…
Meri Hoke Humesha Hi Rehna…
Kabhi na Kehna alvida…”

DEMAM Dilwale nampaknya masih belum kebah-kebah. Housemateku, Fatiha, yang merupakan ratu karaoke di rumah ini tidak habis-habis menyanyikan lagu Janam Janam yang menjadi lagu tema cerita tersebut. Aku fahamlah lagu itu agak famous sejak kebelakangan ini namun apabila ia dinyanyikan secara berulang-ulang tanpa mengikut rentak alunan irama yang sebenar, kadangkala boleh meningkatkan paras gula dalam darah.

“Teha, boleh tak kau tukar channel lain pulak? Nyanyilah lagu korea pulak ke. Ini dah sepuluh kali kau asyik ulang lagu yang sama. Bergetar tahi telinga aku ni, tahu tak?” ujarku sambil menuang air panas ke dalam cawan.Makan malamku pada malam itu hanyalah secawan milo dan tiga keping biskut kering. Itu pun sudah bersamaan dengan sepinggan nasi. Bukan niat untuk menjaga badan pun, tapi duit makin hari makin kurang. Terpaksalah ikat perut walaupun hati tidak merelakan.

“Hey, Ramlal!” balasnya tanpa menghiraukanku. Aku diRamlalkannya pulak.Lantak kaulah. Malas nak layan. Kalau aku Ramlal, kau pulak Pogo. Omelku perlahan sambil berlalu ke dalam bilik.Bilik aku special sedikit berbanding orang lain. Jika housemateku yang lain mengulangkaji pelajaran di meja study di ruang tamu, aku pula belajar, makan dan tidur di dalam bilik. Three in one. Hebatkan aku. Hehe…Nota kuliah untuk subjek Separation Engineering kubaca dengan perasaan yang bercampur-baur. Antara faham dan tidak. Ada sesuatu bermain-main di benakku sejak akhir-akhir ini. Khabar angin yang menyentuh gegendang telingaku dua hari yang lalu bagai membawaku ke alam lain. Alam yang penuh keserabutan.

“Ee, kau dah ada someone?” soal Fifi, classmateku merangkap sahabat baik aku di universiti. Aku sekadar menggeleng. Malas pula aku bertanya kenapa. Mesti ada udang di sebalik KFC ni. Fikirku.

“Kau dah makan?” tanyaku sekadar berbasa-basi. Perutku berbunyi tanda ingin nasi.

“Ee, tolong jangan ubah topik boleh tak? Aku ada masalah negara nak bincang dengan kau ni,” ujarnya dengan wajah yang agak serius.Aku mengeluh. Kulihat semua classmateku yang lain beransur-ansur keluar dari dewan kuliah. Tinggal kami berdua sahaja di situ. Aku memandang papan putih di hadapan dengan pandangan kosong.

“Kali ini negara mana pula yang bermasalah?” Fifi ketawa kecil dengan reaksiku.

“Ee, aku nak beritahu kau something. Tapi, kau mesti janji dengan aku yang kau takkan terkejut bila dengar benda ni, okay?” ujarnya sambil mengait jari kelingkingku.Such a childish.

“Cepatlah beritahu aku. Tak sabar nak dengar ni,” tanpa perasaan aku bersuara. Fifi kulihat tersengih lebar.

“Janji tau,” isy, aku lempang jugak perempuan ni.

“Okay, aku janji. Cepat sikit. Aku lapar ni,”

“Soufwan suka kau,” aku pura-pura terkejut dengan perkhabarannya. Bagiku itu merupakan perkara biasa. Dia belum tahu kehidupanku semasa di sekolah menengah dahulu. Budak hotlah katakan.

“So?” Fifi menjengil mata tanda tidak suka dengan responku.

“Tanyalah aku sejak bila dia suka kau,”

“Okay, fine. Since when?”

“Since semester satu,” aku memandang wajahnya yang teruja dengan perasaan kurang percaya.Seriously? Habis tu, selama ni, I’m being watched!

“Kau tipu aku, kan?”

“Ini betullah. Aku confirm,” ujarnya bersungguh-sungguh.Aku mengangkat kening. Sukar rasanya untuk menerima kenyataan ini. Soufwan merupakan salah seorang sahabat baik aku selain Fifi. Kami bersahabat sejak dari semester satu lagi memandangkan kami datang dari negeri yang sama. Negeri Cik Siti Wan Kembang. Aku tertanya-tanya juga bila dan bagaimana dia boleh tersuka aku yang blur ini.

“Dia sendiri ke yang beritahu kau tentang hal ni?” soalku serius.

“Kalau ya, kau nak buat apa? Jumpa dia lepas tu bagi dia penembuk seketul? Macam tu?” soal Fifi pula sambil memandangku. Aku tersenyum.

“Nampak sangat yang aku ni kejam, kan?” Fifi ketawa.

“Bukan kejam. Kau tu lembut sebenarnya. Tapi mulut kau tu je yang asyik cakap nak tumbuk oranglah, nak side-kick oranglah. Padahal kau
suka, kan? Siapa tak suka Soufwan tu. Dahlah baik, pandai pulak tu,” aku perhatikan sahaja minah ni. Mulalah tu nak mengampu aku.

“Kalau macam tu, apa kata kau je yang pergi mengorat si Soufwan tu. Settle masalah,” ujarku sambil berlalu ke pintu utama. Bau nasi lemak Pak Cik Mat bagaikan menarik aku untuk segera ke kafe. Kalau lambat, habislah nasi lemak aku tu. Fifi mengikutiku dari belakang sambil
ketawa.

“Masalahnya, Soufwan tu suka kau,” aku sekadar mengerlingnya dengan ekor mata.

“Dia tak bagitahu aku pun. Macam mana aku nak percaya perkara karut-marut ni,” aku mengaduh kesakitan.Isy, minah ni pun. Kalau nak cubit sekalipun, bagilah signal. Sakit, tahu tak.

“Sedap?” soalnya dengan geram. Aku mengosok lenganku yang dicubitnya.

“Fi, Soufwan dan aku hanya kawan semata-mata. Tiada yang lebih dari itu. Lagipun aku masih belum boleh move on lagi ni. Kau pun tahu, kan?” tajam sekali Fifi merenungku. Aku melarikan pandanganku ke arah warung Pak Cik Mat. Ramai sekali pelajar yang sedang beratur. Perut yang berbunyi sedari tadi dibiarkan sahaja.

“Kau masih terikat dengan ‘first love’ kau tu?” soalnya separuh menjerit. Aku menjegilkan mata tanda terkejut. Beberapa orang pelajar yang sedang lalu-lalang menoleh ke arah kami.

“Woi, slowlah sikit. Kau nak satu universiti ni tahu ke?” marahku.

“Ee, aku tak fahamlah dengan kau punya thinking. Kau sedar tak yang kau dan dia dah tiga kali break. Last time kau break up dengan dia, ada dia contact kau balik? Ada dia pujuk kau untuk get back? Tiada, kan?” soalannya yang bertubi-tubi membuatkan aku terasa pusing. Pening.

“Bagi aku masa, boleh? Aku pun teringin sangat nak lupakan semua benda yang dah lepas,” ujarku perlahan. Suaraku bagaikan beransur-ansur hilang. Terasa perit.

“Berapa lama lagi masa yang kau perlu? Cuba kau kira dari semester satu hinggalah sekarang. Sudah berapa orang yang kau reject dengan alasan masih belum boleh lupakan ‘first love’ kau tu. Wake up, Ilya Amna. Ramai lagi yang lebih handsome, lebih kaya, lebih pandai untuk kau,” makin lama makin lebar pula ayat-ayatnya. Aku sekadar tersenyum pahit. Makin pening pula aku dibuatnya.

“Tapi dia yang pertama…,” balasku sambil berjalan menuju ke warung nasi lemak Pak Cik Mat. Berhujah dengan Nur Fifi Ilani maksudnya sampai esok pun tiada kesudahan. Fifi mengikutiku dari belakang sambil berleter panjang. Apa yang dibebelkannya langsung tidak kuendahkan. Ibarat masuk telinga kanan, keluar telinga kiri. Sungguh, hari itu berlalu dengan lambat sekali.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.