Novel : Nur Di Hati Tuah 1

27 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: Kynn Latif

ANN duduk sambil menongkat dagu dengan kedua-dua belah tangannya. Sesekali kepalanya dianggukan perlahan-lahan. Seolah-olah dia faham dan mengerti apa yang telah diperkatakan dan diterangkan oleh sahabatnya itu. Hakikatnya, tiada satu pun perkara itu menerobos masuk ke dalam otaknya untuk diproses.

Kelopak matanya tiba-tiba sahaja terasa begitu berat sekali. Seperti luahan hati sahabatnya itu adalah hikayat dongeng 1001 malam agar boleh dia melelapkan matanya barang seketika. Fuh, dapat tidur best jugak ni! omel hati kecilnya. Tanpa sedar terukir sekuntum senyuman kecil di seulas bibirnya.

Sudah beberapa hari dia tidak cukup tidur akibat menyiapkan tugasan yang telah diberikan oleh pensyarahnya. Tugas sebagai seorang pelajar kadangkala membuatkan dia terasa begitu penat sekali, tetapi demi segulung ijazah yang perlu diraih, maka dia harus berkorban. Hanya tinggal beberapa semester sahaja lagi untuk dia menamatkan pengajiannya. Itu adalah cita-cita dan impiannya sedari kecil. Selepas itu, dia akan menempuh alam pekerjaan pula. Dia berharap agar alam pekerjaannya tidaklah teruk seperti yang dibayangkannya.

Dia tersentak kecil apabila sahabatnya itu tiba-tiba menjerit nyaring berserta dengan tepukan berbisa di lengan. Terkebil-kebil anak matanya memandang wajah gadis tersebut. Lengan yang sedikit pijar, digosoknya beberapa kali agar dapat meredakan kesakitan yang melanda. Terkejut aku dibuatnya! gumamnya dalam hati.

“Kau dengar tak apa yang aku cakapkan tadi?” Sahabatnya menyoal tegas.

“Dengar… Dengar…” Tergagap-gagap dia menjawab pertanyaan sahabatnya itu. Sesekali dia menelan liurnya. Gulp! Jangan dia angin sudahlah. Mati aku nak menjawabnya, doa hati kecilnya.

“Tolonglah aku! Pleasee…” rayu sahabatnya lembut.

Lengan Ann yang menjadi mangsa pukulannya tadi, disentuh lembut. Berharap agar rayuannya itu akan dipertimbangkan dan Ann dapat membantunya. Bukannya dia tidak boleh mencari orang lain, tetapi dia lebih gemar menggunakan khidmat Ann. Andainya dia tidak merayu sedemikian rupa, pasti sahaja sahabatnya itu tidak mahu membantu. Bukan dia tidak kenal perangai pelik sahabatnya itu. Merayulah macam mana sekalipun, jika dia tidak mahu membantu akan diberikan pelbagai alasan. Mereka bukannya baru kenal. Mereka telah lama bersahabat baik. Disebabkan itulah, dia terlalu arif sangat dengan perangai Ann.Baginya, Ann seorang gadis yang pelik. Pelik dalam soal apa? Ann bukannya seperti gadis-gadis yang ada di luar sana. Dia seolah-olah hidup dalam dunianya sendiri walaupun dia bercampur dengan orang lain.

“Erk! Tolong apa ek?” soal Ann selamba.

“Ya Allah, Ann! Dah hampir dua jam aku duk bercerita kat kau, tapi satu hapa pun kau tak pay attention,” keluh gadis itu geram sambil menggelengkan kepalanya. Menghabiskan air liur aku aje, gerutunya dalam hati. Sakit sungguh hatinya melihatkan tingkah sahabatnya itu. Jika diturutkan hatinya yang marah saat ini, mahu sahaja dia mencekik-cekik leher Ann. Wajahnya telah merah padam, bagaikan udang dibakar.Ann tersengih kecil dengan wajah tidak bersalah mendengarkan bebelan gadis itu. Bukan niatnya untuk buat endah dan tidak sahaja, tetapi cerita sahabatnya itu terlalu panjang untuk dianalisis. Sehinggakan sukar untuk otak kecilnya mencerna yang mana satu patut diambil serius dan yang mana satu pula harus dinyahkan terus.

“Kau ke mana masa aku bercerita?” Gadis itu cuba menahan marahnya.

“La… Aku kan ada kat sini. Mana pulak aku pergi mana-mana.” Ann jawab tanpa perasaan.

“Kalau kau ada kat sini… takkanlah kau tak pay attention langsung apa yang aku bagitau kau?” bentak gadis itu sedikit kuat. Geram dan sakit hati mula bercampur menjadi satu.

“Adoyai! Masalah problemnya sekarang ni, Cik Nur Chinta Dato’ Ahmad Umran Lathif… cerita kau tu boleh jadi satu buku novel tau tak?” jelas Ann jujur.

“Apsal pulak?” Dahi Nur Chinta sudah berkerut seribu. Sesekali kepala yang tidak gatal, digarunya. Timbul rasa hairan difikirannya mendengarkan jawapan yang diberikan oleh Ann itu.

“Punyalah panjang berjela-jela. Cubalah kau ringkaskan aje. Jadikan synopsis ke, kan? Senang sikit otak aku nak reload segala cerita kau tu. Ini tak, sampai naik jammed otak aku dibuatnya,” ujar Ann tenang. Tak adalah aku mengantuk macam tadi, sambung Ann dalam hati. Bimbang pula Nur Chinta akan terasa hati andainya kata-kata itu diluahkan.

“Eii, kau ni! Ada-ada ajelah,” rengus Nur Chinta. “Aku nak minta tolong daripada kau untuk jadi photographer aku. Bulan ni model-model aku ada photo shoot,” jelas Nur Chinta sekali lagi dengan panjang lebar.

“Apsal aku pulak? Budak-budak kau kan ada. Suruh ajelah mereka.”

“Masalahnya, aku kekurangan tenaga kerja. Yang aku nampak sekarang ni, kau seorang aje yang free. Disebabkan itulah aku offer kerja ni kepada engkau.” Ann menggaru dahinya yang tidak gatal. Pening dia dengan tingkah sahabatnya itu. Semacam tiada orang lain lagi yang dia boleh cari. Malah, gadis itu boleh sahaja mencari jurugambar sambilan yang lain untuk membantunya. Dia yakin sama sekali pasti sahaja ada jurugambar sambilan yang berminat. Mana mungkin mereka tidak berminat seandainya upah yang diberikan oleh syarikat gadis itu agak lumayan berbanding dengan tempat lain.

“Kau nak tolong atau tak?” Nur Chinta menumpukan perhatiannya kepada Ann apabila Ann tidak memberikan sebarang tindak balas.

“Susah sikitlah, Chinta,” keluh Ann perlahan. Serba salah pula dia ingin menolaknya.

“Kenapa pulak?”

“Aku bukannya tak mahu tolong kau.”

“Dah tu, apa masalahnya?”

“Masalah problemnya sekarang ni, aku bukannya pandai sangat dalam bidang ni. Untuk suka-suka tu, bolehlah lagi. Kalau macam yang kau minta ni, aku tak beranilah. Takut lain pulak jadinya. Aku bukannya pro pun, baru amatur aje. Lainlah aku ni pro. Kau tak payah offer lagi, aku dah tawarkan diri.

“Lagi satu, aku ni belajar lagi. Bila cuti aje aku akan merayau serata ceruk dunia. Mencari bahan-bahan yang boleh menarik minat aku. Paling kuat pun, Gee akan call aku minta tolong kat tempat dia. Kau bukannya tak tahu aktiviti aku yang agak padat tu. Dapat pulak sekarang ni, aku nak kena cari tempat praktikal aku. Huish! Serabut tau tak kepala aku ni?” jelas Ann dengan panjang lebarnya.

“Aku bukan minta tolong suka-suka kut. Aku bayarlah, Ann. Lagipun, ni bukannya kali pertama kau tolong aku. Dah banyak kali. Aku tengok gambar-gambar yang kau ambil, semuanya okey aje. Tak ada yang tak okeynya. Kan? Aku berpuas hati. Cantik-cantik pulak tu. Kalah mereka yang pro di luar sana.” Nur Chinta menguatkan lagi hujahnya. Dia akui, Ann memang seorang amatur. Walaupun begitu setiap gambar yang diambil oleh Ann seperti professional. Dia amat kagum sama sekali dengan kebolehan yang dimiliki oleh Ann. Bukan sahaja dia, malah Gee juga begitu. Disebabkan itulah, dia berani menawarkan Ann kerja part time di syarikat modelingnya yang baru sahaja mula bertapak ini. Yang menjadi masalahnya, Ann seolah-olah liat untuk membantunya. Ada sahaja alasan yang akan diberikannya.

“Ini bukan soal bayaranlah, babe,” keluh Ann. Kenapalah sahabatnya ini tidak langsung memahami masalah yang dihadapi?Jika ingin diceritakan soal bayaran, Nur Chinta memang akan memberikannya pulangan yang besar. Lebih besar daripada Gee. Seakan-akan tidak berbaloi langsung dengan kerjanya. Apa yang sering ditekankan di sini adalah kepuasan. Dia ingin merasa puas sewaktu bekerja. Apabila dia terasa akan kepuasannya, maka hasilnya pasti sahaja akan membuat dia tersenyum lebar.

Dia boleh bekerja dengan sesiapa sahaja. Sama ada Nur Chinta mahupun Gee. Andainya diberi pilihan untuk memilih, dia lebih gemar bekerja dengan Gee berbanding Nur Chinta. Walaupun dia suka mengambil gambar bagi mengisi masa lapangnya, tetapi dia lebih gemar mengambil gambar-gambar alam semulajadi daripada gambar-gambar model yang berpakaian tidak pernah cukup dengan kain dan benang. Untuk meluahkan rasa hatinya kepada Nur Chinta, dia tidak sampai hati pula. Dia tidak mahu mengecilkan hati sahabatnya itu. Lagipun, Nur Chinta, Koko dan Gee telah banyak membantunya di kala dia dalam kesusahan.Akhirnya, dia mengambil pendekatan yang sewajarnya. Mungkin minat Nur Chinta lebih kepada bidang tersebut dan rezekinya daripada sumber yang begitu. Jadi, tidak adil untuk dia mempertikaikannya. Rezeki masing-masing. Yang penting ikhlas dan halal.

“Kalau bukan pasal bayaran, pasal apa? Cuba kau beritahu aku terus terang supaya senang aku nak faham.” Nur Chinta masih tidak puas hati dengan penolakan Ann itu. Ada saja alasan yang diberikan oleh Ann.

“Kau kena faham tugas seorang pelajar, Chinta. Belajar, belajar dan belajar. Bila ada assignment pulak, kena buat. Kalau ada presentation dan kuiz, kena prepare. Aku takut yang aku tak boleh nak hadap semua tu. Mahunya mereng pulak otak aku yang kecil ni nanti.”

“Hoi, setan! Apa yang kau dok merepek ni?!” Nur Chinta menjengilkan matanya ke arah Ann.Sakit pula hatinya mendengarkan alasan-alasan yang tidak munasabah daripada Ann itu. Bukannya dia tidak pernah menjejakkan kaki ke kolej. Dia pernah merasa semua itu. Malah, dia tahu situasi yang Ann bicarakan.

“Aku pun tak tahu apa yang aku duk mengarutkan.” Ann tertawa besar. Sah, otaknya sudah tidak boleh nak berfikir dengan betul lagi! Nur Chinta menggelengkan kepalanya. Bertambah berdenyut-denyut kepalanya melihatkan gelagat Ann itu.

“Aku tahulah kau tu student.” Nur Chinta menekankan suaranya agar Ann mengerti apa yang cuba disampaikan kepada gadis itu.Bukan dia tidak tahu mengapa Ann tidak gemar untuk membantunya. Walaupun Ann tidak pernah sekali untuk meluahkannya.

“Macam ini ajelah, Chinta. Aku akan tolong kau bila aku free aje. Macam mana?” Akhirnya, Ann mengalah juga. Kasihan pulak aku dengan minah ni, keluh Ann.

“Maksud kau?”

“Hujung minggu ataupun bila aku tak ada kelas. Setuju?”

“Okey. Gee pulak macam mana?” Nur Chinta menyoal kembali. Apa pula kata minah tu nanti? Dia tidak mahu ada antara mereka yang berkecil hati pula nanti. Sebolehnya, itulah yang cuba mereka elakkan dalam persahabatan mereka ini.

“Dia tu tak tentu. Kalau dia perlukan aku, dia akan cari aku. Kalau tak tu, aku dengan kerja-kerja aku ajelah. Lagipun, selalunya aku tolong dia bila cuti semester aje. Dia jarang ganggu aku sebelum tu,” jelas Ann dengan panjang lebar.Chinta menganggukkan kepala beberapa kali sambil menghela nafas kelegaan. Dalam soal ini, Gee tidaklah berkecil hati andai Ann membantunya di Chinta Agency nanti.

“Tentang bayaran tu pulak, terpulanglah pada kau nak bayar macam mana. Aku tak kisah,” sambung Ann bila dilihatnya Nur Chinta tidak langsung menjawab kata-katanya seketika tadi.

“Ermm… aku bayar kau macam selalulah. Ikut jam. Boleh?”Giliran Ann pula menganggukkan kepalanya. Dengan bayaran seperti yang telah dicadangkan oleh Nur Chinta itu, sudah agak lumayan baginya. Tidak perlulah dia berunding harganya lagi.Kali ini, Nur Chinta sudah boleh tersenyum manis. Dia tahu, dia boleh harapkan Ann. Ann seorang yang ringan tulang dalam membantu teman-temannya. Malah, dia juga sanggup membantu andainya dia tidak mendapat upah.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.