Novel : Opps! Pintu Hatiku! 21, 22

29 June 2010  
Kategori: Novel

Oleh : Noraz Ikha

Bab 21

DUG! DAG….! DUG! DAG….!

Jantung Eika berdegup kencang. Setia menanti giliran namanya dipanggil. Hatinya berasa sedikit resah. Entah kenapa, dia merasakan temuduga pada kali ini agak lain sedikit daripada yang lepas-lepas. Sebelum ini, dia tidak pernah berasa risau.

Apakah ini hanya mainan perasaannya sahaja? Tetapi untuk apa pula dia risau? Untuk menghilangkan perasaan resahnya itu, sekejap dia bangun, sekejap dia duduk kembali. Kelakuannya itu mendapat perhatian calon lain. Eika melihat mereka yang lain hanya duduk tenang di atas kerusi. Tidak seperti dirinya. Ah! Jangan pedulikan orang lainlah!

“Nur Elliya Shafeika!” Tiba-tiba terdengar panggilan Haikal yang bertanggungjawab untuk memanggil calon masuk ke bilik temuduga.

Eika terperanjat buat seketika. Panggilan itu seolah-olah menambah debar di dadanya. Tenang… bertenang Eika. Pantas dia menarik beg tangan dan failnya di kerusi sebelah. Ketika dia melalui sebelah Haikal, dia dapat melihat pemuda itu memberi isyarat ‘bagus’ kepadanya. Eika hanya membalasnya dengan sebuah senyuman hambar. Tak ada mood nak senyum.

Perlahan-lahan Eika memusingkan tombol pintu. Sedikit demi sedikit pintu yang berukir unik itu terbuka. Okey! Dia sudah bersedia. Pantas dia melolos masuk ke dalam bilik temuduga. Dilihatnya penemuduga yang merupakan seorang lelaki muda itu sedang khusyuk menulis sesuatu.

“Assalamualaikum….. Tuan!” Terdengar suara Eika memberi salam. Dia hanya berdiri tegak di belakang kerusi yang berhadapan dengan meja penemuduga tersebut.

“Waalaikumussalam. Sila duduk!” Balas pemuda itu tanpa melihat wajah Eika.

Nampaknya penemuduga itu masih lagi menulis. Seolah-olah kehadiran Eika di situ tidak diperlukan. Sombong! Dalam keadaan begitupun Eika masih sempat mengutuk. Kemudian dia duduk dengan penuh berhati-hati. Dia tidak mahu ada sebarang bunyi yang boleh mengganggu konsentrasinya pada hari ini. Tidak lama kemudian, kelihatan penemuduga itu mula meletakkan pen yang digunakan sebentar tadi ke sisi meja.

Kemudian barulah penemuduga itu mendongakkan kepala. Spontan riak wajahnya berubah. Keningnya berkerut. Matanya pula tidak berkelip-kelip. Seperti pernah aku lihat wajah gadis ini. Tapi siapa ya? Ohh…. Tak mungkin! Sejarah lama berulang kembali. Aku akan menggunakan kesempatan ini sebaik-baiknya. Rancangan yang aku buat lima tahun yang lepas harus berjaya. Akan aku pastikan motifku tercapai. Azam Hakimi bersungguh-sungguh.

Eika pula hampir tersembul biji mata. Berubah air mukanya sebaik sahaja memandang wajah penemuduga di hadapannya itu. Terkejut yang teramat sangat. Segala pergerakannya terus kaku. Tidak!!! Terasa mahu menjerit sekuat hati waktu itu juga.

“Ah! Maaf Tuan!!” Luah Eika lantas mengangkat punggungnya dari kerusi yang baru hendak dinikmati keempukannya itu.

Dia terus meluru keluar. Hakimi selaku penemuduga terus tergamam. Mungkin tidak menduga dengan tindakan Eika yang sedemikian rupa. Tak sangka…. memang tak sangka! Eika mengenali siapakah penemuduga tersebut. Sungguh dia tidak menduga bahawa penemuduga di syarikat besar itu ialah orang yang pernah mencuri hatinya suatu ketika dahulu. Ya… Pasti. Dan hatinya kini masih lagi milik lelaki itu. Jarak dan waktu tidak sedikit pun menjejaskan perasaan yang wujud sejak lima tahun lalu.

Patutlah perasaannya rasa lain macam sahaja. Terutama ketika menunggu gilirannya tadi. Habislah aku kali ini! Hati Eika terus berbisik-bisik sendiri.

“Eh! Nur Elliya Shafeika! Kenapa kau lari keluar?” Tegur Haikal. Cemas.

Laju sahaja tangannya menahan Eika. Serta merta langkah gadis itu terhenti. Haikal memandang wajah Eika. Penuh dengan perasaan tanda tanya. Eika membalas pandangan Haikal itu tanpa kata-kata. Cuma bibirnya sahaja yang bergerak-gerak seperti mahu menyatakan sesuatu. Hissy! Apa aku nak buat ni? Aku nak balik. Aku tidak mahu masuk bilik temuduga itu lagi.

Perlahan-lahan pandangan Eika beralih arah kepada beberapa orang pekerja dan calon lain yang sedang menunggu giliran untuk diinterview. Memang sejak dia meluru keluar dari bilik temuduga itu lagi, mereka sudah mengalihkan tumpuan kepadanya. Yalah… tak fasal-fasal dia keluar. Macam ada hantu saja di dalam bilik itu. Cuma, Eika sahaja yang tidak sedar dirinya menjadi perhatian orang ramai. Ahh! Malunya!

“Oh… sorry! tak ada apa-apa sebenarnya, Haikal. Aku…aku masuk sekarang!” Dalih Eika seraya memusingkan kembali badannya. Kakinya mula melangkah ke arah bilik temuduga itu semula. Tidak mahu semua orang yang ada di situ membuat anggapan yang bukan-bukan. Terpaksalah Eika berpatah balik.

Haikal menggaru-garu kepala. Dia yang sememangnya tidak faham dengan situasi yang dihadapi oleh Eika itu terus dihantui perasaan hairan dan ingin tahu. Sebelum ini, tidak pernah pula dia menemui calon pekerja yang seperti Eika. Seorang gadis pula tu. Perangainya pula sungguh pelik dan unik. Itulah telahan yang terbit di dalam hati Haikal.

Dia akui, memang sejak pandangan pertama lagi….. perangai Eika yang lain dari yang lain itulah yang menggamit hatinya untuk terus mendekati gadis bertudung tersebut. Tunggulah… suatu hari nanti, aku pasti… kau akan menjadi milikku. Haikal tersedar daripada lamunannya tatkala Eika hampir habis memulas tombol pintu pejabat berkenaan.

“Eh! Kenapa kau nak masuk balik? Tadi kan kau dah keluar? Ada masalah ke? Kalau ada, cakap aje dengan aku!” Bertalu-talu soalan keluar dari mulut Haikal.

Sekali lagi pergerakan Eika terbantut. Dia menoleh ke arah Haikal di belakangnya. Hampir saja ketawanya meledak melihat wajah Haikal ketika itu. Riak wajah lelaki itu tidak ubah seperti kucing melihat tikus naik kereta.

“Kau ni kan, kenapa sibuk-sibuk sangat pasal aku ni? Aku taulah apa aku buat!” Tegur Eika separuh berbisik kepada Haikal.

“Hah??” Haikal tidak tahu bagaimana untuk membalas kata-kata Eika itu.

“Dahlah…. dahlah!” Ujar Eika lantas membuka pintu.

“Nanti! Biar aku kenalkan kau!” Jerit Haikal sambil meluru ke arah Eika.

*****************************

“TUAN, kenalkan… ini Nur Elliya Shafeika!” Haikal terus memperkenalkan Eika kepada si penemuduga.

‘Issy, Haikal ni! Tapi… bagus jugak kau cakapkan!” Ujar Eika di dalam hati.

Haikal pelik apabila melihat Eika menutup hampir keseluruhan wajahnya dengan menggunakan fail yang dipegang. Ahh! Eika tidak peduli. Janji penemuduga itu tidak dapat melihat wajahnya. Gila. Eika mengata dirinya sendiri. Haikal yang duduk di sebelahnya menyiku lengan Eika. Eika faham. Namun dia tetap tidak mengalihkan kedudukan failnya.

“Oh! Tapi… kenapa…”

“Oh ya, Tuan! Ini dia punya sijil-sijil. Tengoklah!” Potong Haikal seraya menyambar fail di tangan Eika.

Eika tersentak. ‘Ciss! Kurang asam kau, Haikal!’ Sumpah Eika di dalam hati. Kini, dia tidak dapat menyembunyikan wajahnya lagi. Untuk menghilangkan rasa tidak kenanya itu, Eika berlagak seperti biasa. Seakan-akan tiada apa yang berlaku.

“Assalamualaikum…. Kimi!” Sapa Eika.

“Saya… saya keluar dulu Tuan Hakimi!” Ujar Haikal sambil bangun.

“Nanti! Duduk dulu, Kal!” Halang Hakimi. Haikal duduk semula.

“Waalaikumussalam. Ini… Eika kan??” Tanya Hakimi.

Hakimi masih ragu-ragu. Tangannya asyik memusing-musingkan ball-pen. Eika memerhatikan kelakuan Hakimi. Memang itu tabiat Hakimi sejak di bangku sekolah lagi.

“Aii, dah tak kenal aku.. err.. saya ke?” Tegur Eika. Sudah tidak biasa lagi menggunakan perkataan ‘aku’ dan ‘kau’. Ya ALLAH! Apa akan jadi seterusnya?

“Bukan tak kenal. Wajah macam Eika ni, macam manalah saya boleh lupa. Kan sejak dari dulu lagi…. ermm.. Eika pun tahu kan? Tapi saya tengok, wajah Eika dah banyak berubah,” Hakimi meluahkan apa yang terlintas di dalam fikirannya.

Nampaknya, Hakimi juga sudah tidak biasa membahasakan dirinya ‘aku’ lagi. Dia juga lebih senang membahasakan diri Eika dengan panggilan nama. Bukan ‘kau’, ‘awak’, atau ‘kamu’. Macam ini barulah romantik. Issy, kenapa pula aku ni? Melalut sampai ke situ pulak. Fikir Eika.

“Berubah?” Eika kembali ke alam realiti. Dahinya dikerutkan. Konon-konon tidak faham dengan kenyataan Hakimi sebentar tadi.

“Yalah…. semakin…”

“Ehemm… ehhemm!! Amboi-amboi, dah tak ingat ada pak guard dekat sini ke? Syok sakan. Lupa dunia. Eh, kau orang ni, dah lama kenal ya?” Tiba-tiba Haikal menyampuk.

Perbualan di antara Hakimi dan Eika terputus serta merta. Serentak itu juga mereka berdua memandang wajah Haikal. Ternyata kewujudan Haikal di situ memang tidak disedari oleh merpati dua sejoli tersebut. Haikal terus dilupakan apabila Hakimi dan Eika saling berbalas kata-kata.

“Ohh… Maafkan saya. Kenalkan, ini Mohd Haikal. Sahabat karib saya dan dia juga bekerja di sini!” Ujar Hakimi kepada Eika.

Eika sekadar tersenyum sambil menganggukkan kepalanya. “Dah kenal dah,” suara Eika lalu menoleh ke arah Haikal.

“Dah kenal? Patutlah saya tengok mesra semacam je tadi,” Hakimi menjeling Haikal. Seperti ada maksud pula Haikal melihat jelingan Hakimi itu.

“Eh… eh, awak jangan salah faham pulak. Kita orang ini baru sahaja berkenalan. Kawan awak ni jahat!” Tegas Eika. Namun kedengaran manja.
Hakimi memandang tepat ke arah wajah Eika di hadapannya. Buat seketika, Eika tidak tahu ke manakah harus dia menghalakan pandangan matanya. Duduknya juga sudah tidak senang. Semakin tidak keruan pula dia jadinya. Apakah ini kerana penangan aura mata Hakimi yang begitu menusuk kalbunya?

Selamba sahaja Haikal mendengar kata-kata Eika itu. Masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sementara itu Hakimi terus tersenyum. Lega rasa hati. Sangkanya Eika dan Haikal sudah lama berkenalan dan mungkin juga sedang bercinta. Ternyata sangkaannya itu meleset sama sekali. Sesungguhnya dia amat bersyukur dan gembira kerana dipertemukan kembali dengan gadis yang amat dirinduinya selama ini.

Perasaan Hakimi masih seperti dahulu. Namun, apakah hati Eika juga masih seperti dahulu? Masih membencinya? Ohh…! Apakah perdamaian yang berlangsung di kantin sekolah lima tahun dahulu benar-benar lahir dari hati yang ikhlas? Aku harap kau benar-benar ikhlas semasa mengisytiharkan perdamaian itu, Eika. Hakimi bermonolog sendiri di dalam hati.

“Ehem….. saya rasa elok saya keluar dahulu,” Haikal berkeras mahu keluar dari bilik itu. Tidak mahu menjadi pengganggu di dalam sesi temuduga itu. Pelik pula sikap Hakimi kali ini. Mana ada orang temuduga duduk sekali dengan orang yang tiada kena mengena? Eika seorang yang mahu ditemuduga. Bukannya Haikal. Kimi..kimi…mamai ke?

“Oh ya! Macam mana dengan permohonan saya, Tuan?” Eika berpura-pura formal. Cara dan karakternya berubah sama sekali.

“Eh, tak payahlah bertuan-tuan dengan saya. Panggil saja Kimi. Macam dulu. Oh ya, tentang permohonan Eika ni… saya… mintak maaflah…” Ujar Hakimi tiba-tiba.

Hampir tersedak Eika dibuatnya. Takkan tak dapat kot? Dia mempunyai kelayakan apa. Pemegang ijazah sarjana muda. Kelayakan apa lagikah yang Hakimi mahukan? Gila punya bos. Sempat pula Eika mengutuk di dalam hati.

“Kenapa saya tak diterima di sini?” Sengaja dia bertanya. Sekadar berbasa-basi. Semangatnya luntur sedikit demi sedikit.

“Sebab pendidikan Eika terlalu tinggi. Saya tak mampu nak bayar gaji,” balas Hakimi. Nada suaranya masih tegas. Keseriusan Hakimi itu jelas terkesan di dalam diri Eika.

“Terlalu tinggi? Tapi, saya belum ada Master lagi. PHD jauh sekali!” Eika cuba menyangkal dakwaan yang telah dibuat oleh Hakimi. Sungguh Eika tidak berpuas hati dengan alasan yang baru diterimanya itu.

Kali ini Hakimi hanya membiarkan sahaja segala kenyataan yang meluncur keluar dari mulut Eika. Bengang juga Eika dibuatnya. Puas Eika mengharap kata-kata balasan daripada mulut Hakimi. Namun lelaki di hadapannya itu cuma diam seribu bahasa. Hanya mata Hakimi sahaja yang membalas segala sangkalan Eika itu. Sekali lagi Eika berasa tidak senang duduk. Ternyata dia tidak kuat melawan panahan mata Hakimi. Kenapa baru kini dia berasa begitu? Dahulu boleh sahaja dia melawan tenungan yang dilemparkan oleh Hakimi kepadanya.

“Kalau macam tu…. Tak apalah…” Eika mahu bangkit dari tempat duduknya. Mujur juga Haikal sudah lama keluar dari bilik tersebut. Kalau tidak… Issy malunya tak dapat kerja.

“Eh.. eh, nanti dulu Cik Nur Elliya Shafeika!” Tegur Hakimi pantas.

Memang sudah lama dia berhajat untuk memanggil nama penuh Eika di hadapan pemiliknya. Tercapai juga akhirnya. Pergerakan Eika menjadi kaku. Lembutnya suara dia panggil nama penuh aku. Ada perasaan bahagia yang tiba-tiba menjalar di seluruh tangkai hatinya. Ya ALLAH, kenapa mudah betul aku berkhayal? Mengarut sahaja tak habis-habis. Eika memarahi hatinya sendiri. Hatinya yang tidak pernah sunyi dari berkata-kata. Dan kata-kata itu memang tidak pernah menipunya.

“Ada apa lagi Encik Hakimi?”

“Sebenarnya saya cuma main-main saja tadi. Perangai Eika ni sama jugak macam dulu kan? Cepat sangat bertindak. Jangan ikutkan sangat hati itu. Orang kata, ikut rasa binasa, ikut hati mati,” ujar Hakimi berbaur nasihat.

Hampir tergelak Hakimi melihat kelakuan Eika. Hakimi yang duduk di hadapan Eika kini bukanlah Hakimi yang dahulu. Hakimi kini telah berubah menjadi seorang yang lebih matang. Cuma Eika yang tidak pernah berubah sejak dahulu. Masih tetap keanak-anakan sahaja lagaknya.

“So what??” Bengang, marah dan geram pula Eika diperlakukan demikian. Hakimi seperti sedang bermain tarik tali pula dengannya.

“Okeylah. Dengan ini, saya mengumumkan bahawa pemohon yang bernama Nur Elliya Shafeika telah diterima untuk bekerja di Syarikat S.I Sdn Bhd. Anda boleh memulakan kerja pada bila-bila masa bermula dari saat ini. Harap maklum! Terima kasih!” Umum Hakimi panjang lebar. Seperti pengumuman di lapangan terbang pula.

Main-main ya? Mentang-mentanglah dia bos kat sini. Sukalah itu main-mainkan aku. Marah hati Eika. Itulah Eika, hatinya memang tidak pernah senyap. Ada sahaja komen yang entah apa-apa terbit di dalam hatinya.

“Betul? Arigato gozaimas!” Ucap Eika dengan senyuman yang makin melebar. ‘Sayang kau!’ Hati Eika bersuara nakal. Opps….. Eika menutup mulut sendiri walaupun suara hatinya itu tidak keluar ke alam realiti.

Bab 22

SUASANA di Syarikat Wisma Sakti Sdn Bhd agak hingar-bingar. Para pekerja dilihat begitu sibuk mengemas itu dan ini. Hamparan baldu merah yang lembut sudah terbentang indah dari muka pintu utama hingga ke dewan besar. Sheila yang baru tiba di situ terpinga-pinga. Dia benar-benar tidak faham mengapa mereka yang lain bertungkus lumus menyediakan persiapan sedemikian rupa. Susunan meja dan kerusi juga sudah berubah. Lebih artistik.

“Apa yang dia orang buat ni??”

Sheila tertanya-tanya sendiri. Hairan. Andai kata mahu membuat sebarang majlis pun, mengapa dia tidak diberitahu? Boleh juga dia menolong serba sedikit. Ini, hampeh…! Terkontang-kanting dia tidak tahu hujung pangkal. Apa yang mampu dia lakukan saat itu hanyalah berdiri tegak, kaku seperti patung cendana.

“Ha, Sheila! Dah sampai pun kau. Kenapa lambat?” Tegur Mohd Faiz.

“Lambat? Lambat kepala otak kau. Ni, ni apa benda semua ni?” Sheila geram. Semakin kuat dia mengetap bibir. Riak wajahnya kelihatan sedikit bengis. Hilang sudah kemanisan pada air mukanya.

“Ya ALLAH! Sorry… sorry, aku lupa nak cakap kat kau semalam. Tak apa, semua persiapan kita orang dah siapkan, cepat berbaris kat tepi hamparan baldu merah ni. Bos dah sampai kat luar tu!” Arah Mohd Faiz sambil memaut tangan Sheila yang masih berdiri kaku dan tidak tahu apa-apa itu. Seperti di dalam penggambaran drama pula rasanya.

“Eh, ada apa sebenarnya ni? Faiz? Cuba cakap kat aku!” Pinta Sheila penuh mengharap. Semakin bingung kepala Sheila memikirkannya.

Namun permintaan Sheila itu tidak diendahkan oleh Mohd Faiz. Lelaki itu terus leka membetulkan barisan para pekerja syarikat. Setelah semuanya kelihatan elok dan teratur, dia kembali semula ke sisi Sheila. Geramnya Sheila melihat tingkah laku Mohd Faiz itu.

“Eh Faiz, nak kata kau ni bisu, aku rasa kau ni boleh bercakap. Kalau aku kata kau tak bisu, lagaknya macam orang bisu! Langsung tak nak jawab soalan aku! Tak apa!” Jerit Sheila separuh merajuk. Spontan dia memalingkan wajahnya jauh dari pandangan Mohd Faiz.

“Sorry! Really.. really sorry! Aku betul-betul lupa nak beritahu kau. Sebenarnya hari ni bos syarikat kita akan pulang. Ingat tak syarikat yang selalu bekerjasama dengan kita tu? Ha, bos syarikat tu pun akan berkunjung ke sini,” jelas Mohd Faiz . Tangannya pantas memaut kedua-dua bahu Sheila supaya berhadapan dengannya.

“Teruklah kau! Aku tak sedia apa-apa pun. Kenapa tak cakap kat aku awal-awal wahai cik abang sayang??” Sheila masih merungut.
Marah benar Sheila nampaknya. Memang dia sedang menahan kemarahan. Untung sahaja tidak keluar asap dari kedua-dua belah telinganya yang dilindungi dengan tudung berwarna merah jambu. Hari ini dia sengaja mengenakan tudung Siti Nurhaliza yang menjadi trend dunia fesyen masa kini.

“Faiz! Ada apa-apa masalah ke?” Tegur seseorang secara tiba-tiba. Pantas mereka berpaling serentak ke arah dari mana datangnya suara tersebut.

Alangkah terkejutnya mereka tatkala menyedari orang yang menegur itu ialah bos mereka. Bila pula dia orang mula masuk? Tak perasan langsung! Hati Sheila dan Mohd Faiz saling berkata-kata sendiri. Kedua-dua bos itu sedang merenung tajam ke arah Sheila dan Mohd Faiz. Sheila bertambah-tambah terkejut apabila tersedar wajah lelaki di hadapannya itu adalah milik Hakimi dan Shahirul Hazami. Rakan-rakan sekolahnya sendiri. Biar betul! Dia orang dah jadi bos? Bos syarikat tempat dia bekerja kini? Oh No!!

“Eh, tak ada apa-apalah, bos. Maaf kerana mengganggu perjalanan bos!” Ujar Mohd Faiz membaiki keadaan. Mereka kalut seketika.

Kelihatan Shahirul Hazami mengangguk. Sesekali jelingan matanya singgah ke wajah milik Sheila. Dan tika itu juga Sheila akan cepat-cepat melarikan pandangannya ke arah lain. Mereka kembali meneruskan perjalanan. Pertemuan yang tidak diduga itu mengundang debar di dada Sheila. Sudah pasti Shahirul Hazami berjaya mengecaminya. Mengapalah aku ditemukan lagi dengan dia? Keluh Sheila sendirian.

Meskipun dahulu dia telah menolak hasrat Shahirul Hazami untuk menjadi pasangannya, namun dia tidak berupaya untuk menolak kehendak hatinya sendiri. Justeru, dia berusaha melupakan Shahirul Hazami dalam masa lima tahun ini. Dan dia hampir berjaya. Tapi kini? Apa sudah jadi? Sejarah lama mula tersingkap kembali. Walaupun kehadiran pemuda itu baru sahaja beberapa minit, dirinya kini seolah-olah telah kembali ke lima tahun lepas. Inikah takdirku….?!

Kadangkala, Sheila tertanya-tanya sendiri. Mengapa dirinya begitu lemah di dalam soal cinta? Tidak seperti sahabat karibnya. Memang Eika tidak mudah menerima lelaki. Tidak mudah menerima sesiapa untuk dijadikan teman istimewa di dalam hidupnya. Kenapa dia tidak seperti Eika? Sesungguhnya, manusia memang dilahirkan dengan pelbagai citarasa dan sikap. Tidak mungkin citarasa dan sikapnya sama seperti Eika. Sedangkan pasangan kembar juga berbeza. Apatah lagi dia dan Eika yang dilahirkan di dalam keluarga yang berbeza.

Sheila tidak sedar bahawa sejak tadi dirinya telah diperhatikan oleh Mohd Faiz. Mohd Faiz hairan melihat reaksi Sheila. Mohd Faiz dapat menangkap perubahan yang ketara pada riak wajah Sheila sebaik sahaja mereka ditegur oleh bos sendiri. Dia melambai-lambaikan tangannya di hadapan wajah Sheila. Namun Sheila masih tetap membatu. Nampaknya Sheila telah hanyut di bawa arus khayalan. Melancong ke bulan barangkali.

“Hello Sheila! How are you? Are you here?” Tegur Mohd Faiz sambil menggoncang bahu Sheila. Kena sampuk hantu ke dia ni? Teka Mohd Faiz.

“Ah! Hah..?” Sheila agak terkejut. Bulat mata Mohd Faiz melihatnya.

“Sorry! I’m fine. Errr… tadi tu… siapa??” Sambung Sheila.

“Laa… budak ni! Tak tahu lagi ke? Dia tu lah bos kita,” jawab Mohd Faiz penuh semangat.

“Aku tahulah bos kita. Tapi yang mana satu? Shahirul Hazami ke Hakimi?” Sheila meminta kepastian. Serta merta Mohd Faiz mengerutkan keningnya.

“Mana kau tahu nama dia orang? Kau kenal ke?” Laju sahaja Mohd Faiz melontarkan soalan tersebut.

Pantas sahaja Sheila menekup mulutnya sendiri. Tidak menyangka bahawa dia telah menyebut nama mereka. Tidak boleh jadi ini. Mohd Faiz tidak boleh tahu tentang ini. Tiada sesiapa pun di sini yang harus tahu mengenai hubungannya dengan Shahirul Hazami atau pun Hakimi.

“Dulu… Eh, tak adalah! Forget it! Kau belum jawab soalan aku.” Sheila sengaja menukar topik perbualan.

“OK. Tak nak bagi tau tak apa. Actually, Shahirul Hazami tu lah bos syarikat ini. Yang lagi seorang tu bos Syarikat S.I. Kita orang selalu bekerjasama dalam perniagaan.” Mohd Faiz memberi penerangan.

Sheila menganggukkan kepalanya tanda faham. Tak sangka, sudah jadi bos rupanya budak dua ekor tu. Bisik hati Sheila. Kalau aku cakap dengan Eika, mesti dia suka. Eika…. aku ada berita gembira. Jerit Sheila di dalam hatinya yang girang.

***************************

KRRIINGG! KRRIINGG….!!

Eika yang sedang duduk bersebelahan telefon terkejut mendengar deringan alat komunikasi tersebut. Maklumlah, tengah khusyuk menulis sesuatu. Tangannya laju menyambar gagang telefon.

“Helo S.I Sdn. Bhd!” Eika bersuara sopan.

“Helo. Assalamulaikum! Boleh saya bercakap dengan Nur Elliya Shafeika?” Terdengar suara seseorang. Perempuan.

“Waalaikumussalam. Ya, Nur Elliya Shafeika bercakap!” Jawab Eika jujur.

“Ha, Eika! Sheila ni. Kau kerja lagi ke?” Jerit Sheila agak kurang sabar.

“Ya ALLAH! Aku ingatkan siapalah. Tetiba je menjerit. Apasal kau telefon aku kat pejabat ni?” Soal Eika ingin tahu.

“Aku nak ajak kau keluarlah. Ada story panas yang aku nak cakap kat kau ni,” ajak Sheila.

“Ha… elok sangatlah tu. Yang sebenarnya aku pun ada story gak. Dah lama aku nak cakap tapi tak sempat. Bila masanya?” Kali ini Eika pula yang kurang sabar.

“Hmm… petang ni gaklah. Lepas habis waktu pejabat. Boleh?”

“Okey!”

Klik. Gagang telefon diletakkan kembali. Dia tersenyum sendiri. Tidak sabar mahu bertemu Sheilalah tu. Dia mengerling ke arah Haikal yang sedang asyik menghadap skrin komputer. Bukannya buat kerja. Chatting saja kerjanya. Mentang-mentanglah syarikat ini kawan dia yang punya. Kalau syarikat ini bapa dia yang punya…. alamat lingkup la gamaknya. Omel Eika di dalam hati.

Dia meneruskan kerjanya yang terbengkalai sebentar tadi. Kerjanya di sini tidaklah terlalu banyak jika mahu dibandingkan ketika bekerja di Syarikat Mas Ehsan milik Fadzil dahulu. Dia gembira di sini. Para pekerja dan kakitangan syarikat juga menerima kehadirannya dengan baik sekali.

Kali ini, dia melayan Hakimi dengan baik. Tidak seperti layanan yang diberikannya semasa di zaman persekolahan. Mungkin kerana jarak dan masa yang telah berubah. Hakimi belajar di luar negara. Malah sudah lima tahun masa berlalu. Dan di dalam tempoh itu, mereka tidak pernah bersua atau berhubung walau melalui apa cara sekalipun.

“Huh! Siap pun!” Dia meregangkan kedua-dua belah tangannya dan menekan-nekan jari jemarinya yang berasa agak lenguh.

Dijeling sekilas jam di tangan. Sudah hampir habis waktu pejabat. Inilah masa yang dinanti-nantikan. Pantas dia mencapai beg tangannya. Dikemas mejanya apa yang patut. Otaknya sudah merangka cerita yang mahu diluahkan kepada Sheila. Panas… panas…

“Amboi, bukan main ceria lagi Cik Puteri kita petang ni ya. Berkemas nampak. Sudah ada yang menunggu ke?” Usik Dahlia sambil berjalan ke arahnya.

Eika menoleh. Sudah acapkali dia menegah pekerja di situ supaya tidak memanggilnya dengan gelaran tersebut. Dia sendiri tidak mengerti mengapa mereka suka memanggilnya dengan nama itu. Apalah istimewanya dengan gelaran ‘Cik Puteri’ itu?

“Dah berapa kali aku cakap hah? Jangan panggil aku dengan nama tu lagi. Ni semua Haikal punya pasallah,” dia berpura-pura merajuk. Dahlia hanya tersenyum.

“Laa… apa salahnya. Takkan itu pun nak merajuk kot? Tak apa, ha… di sini, terdapat sejambak bunga yang sungguh harum lagi cantik yang akan bertindak sebagai pemujuk sang puteri. Nah, ambiklah!” Suara Dahlia sambil menghulurkan sejambak bunga yang sejak tadi disorok di belakang badannya. Eika terperanjat. Surprise apa pulaklah si Dahlia ini?

“Bermadah-madah pulak kau ni Dahlia. Dahlah… dahlah, tak payah kau nak main-mainkan aku lagi. Entah bunga manalah yang kau curi tu!” Balas Eika. Sengaja.

“Apa kau kata? Curi? Hei, tolong sikit ya. Muka aku ni, ada muka pencuri ke?” Ujar Dahlia sambil menuding jari telunjuk ke wajahnya sendiri.

Jambangan bunga tersebut diletakkan di atas meja. Eika hanya memandang sepi jambangan bunga itu tanpa menyentuhnya. Dia tergelak melihat gaya Dahlia.

“Macam muka pencuri tu tak adalah. Tapi, muka penipu ada!” Balas Eika selamba.

“Sampai hati kau cakap macam tu. Okeylah, aku ada hal lainlah. Pergi dulu, Cik Puteri,” akhirnya Dahlia kembali meminta diri. Sempat juga menyakat Eika.

Eika merenung jambangan bunga di hadapannya itu. Pelik. Siapa pula yang memberinya? Dibelek-belek seketika bunga tersebut. Manalah tahu, kot-kot ada kad terselit. Tetapi hampa.

“Aii, Cik Puteri! Bunga dari siapa tu?” Sengaja Haikal menegur.

“Entah!” Jawab Eika ringkas.

Tiba-tiba telefon bimbit Eika berbunyi. Disambar beg tangannya dengan rakus. Sebaik sahaja terlihat nombor yang tertera di skrin handphonenya itu, dia tersenyum sendiri. Sudah tahu siapakah gerangan manusia yang menghubunginya itu.

Tanpa disedari, Haikal memerhatikan segala gerak geri Eika dengan pandangan yang amat sukar untuk ditafsirkan maksudnya. Apakah yang bermain di benak fikiran pemuda itu? Setelah memutuskan talian, Eika segera bangkit lalu terus keluar meninggalkan Haikal yang masih asyik memandangnya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

10 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 21, 22”
  1. vampire95 says:

    nmpknya haikal mcm suka ngn eika je
    heheh
    tp nak hakimi la jd hero 😮 :mrgreen:

  2. anum93 says:

    nk hakimi jd hero…. n biar shiela ngan kembar kimi

  3. eqa says:

    eika byk peminat la…
    hehehehehe…

  4. Noraz Ikha says:

    nantikan bab seterusnya hehe

  5. nurul says:

    😉 😉 😉
    bez3…
    penulis ad blog x??

  6. Noraz Ikha says:

    huhu…sory…sebab x ada blog, boleh baca kat penulisan2u

  7. Siti Soleha Yahaya says:

    akhirnya….
    bertemu gak Eika ngan Kimi….
    masih de perasaan syg lg kah dlm diri masing2…
    x sabar nak tggu bab seterusnya… 😉 😉 😉

  8. soffi says:

    cepat2 smbung.. da x sabar nk tau crite selanjutnya ^_^

  9. sofieya says:

    akhirnya jmpa jgak eika ngn kimi…hehehehehe…best2… :smile:

  10. yuri says:

    ta sabar nk bace yg seterusnye! 😀

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.