Novel : Opps! Pintu Hatiku! 23

7 July 2010  
Kategori: Novel

Oleh : Noraz Ikha

Bab 23

SHEILA dan Eika berjalan sambil menceritakan hal masing-masing. Rancak sungguh perbualan mereka. Sesekali mereka ketawa terbahak-bahak hinggakan terlanggar orang lain yang sibuk lalu lalang di pusat membeli belah tersebut. Begitulah mereka apabila sudah bersua. Lupa dunia. Masih kebudak-budakan. Namun bila time matang, terlebih matanglah pula.

“Tak sangka nasib kita sama ya?” Kata Eika setelah mendengar berita dari mulut Sheila sendiri.

“Yalah! Aku jumpa Shahirul Hazami. Kau pula jumpa Hakimi. Inilah namanya takdir yang mahukan kita bertemu kembali. Ha, kali ni jangan pula kau lepaskan si buah hati kesayangan kau tu. Nanti kang pisang berbuah dua kali. Meranalah kau jawabnya!” Usik Sheila.

Wajah Eika merona merah dengan usikan tersebut. Namun bibirnya masih sempat mencebik. Dia tidak mahu menjadi perigi yang tidak tahu malu mencari timbanya sendiri. Dia belum cukup berani untuk bertindak seperti itu. Kalau hendak pun, biarlah Hakimi yang memulakannya dahulu.

“Heee…! Cantiknya baju tu, Eika! Jom kita pergi butik tu nak?” Jerit Sheila secara tiba-tiba sambil menarik tangan Eika.

Mahu tidak mahu, Eika terpaksa menurut. Seperti lipas kudung, Sheila terus menuju ke arah pakaian yang telah berjaya memikat hatinya itu. Eika hanya menggeleng-gelengkan kepala. Tanpa mereka sedari, seorang wanita ‘moden’ sedang melangkah pantas ke arah mereka.

“Hei budak! Tepi sikitlah!” Jerit wanita tersebut.

Sheila amat terkejut apabila dirinya tiba-tiba sahaja ditolak ke tepi. Dilihatnya, wanita yang berpakaian agak seksi itu sudah tercegat di hadapan matanya. Eika yang berdiri di sisi Sheila merenung tajam ke arah wanita tersebut. Tak bersopan punya orang! Kutuk Eika di dalam hati.

“Apa pandang-pandang? Ada hutang?” Tengking wanita itu. Serta merta darah amarah Eika menyirap. Menjulang tinggi seperti disiram minyak petrol.

“Eh, awak! Suka hati sayalah saya nak pandang awak ke? Jeling awak ke? Mata saya, saya punya sukalah. Yang awak tu tiba-tiba je nak tolak kawan saya kenapa? Awak ingat kawan saya ini sampah ke nak main tolak-tolak hah?!” Meledak perasaan marah di hati Eika.

“Hei, suka hati akulah! Aku nak tolak ke? Aku nak tarik ke? Aku peduli hapa! Tepilah, aku nak tengok baju ni!” Balas wanita itu meniru gaya percakapan Eika. Angkuh benar sikap dan nada suaranya.

Satu yang menjadi prinsip hidup Eika, dia tidak akan tunduk kepada kekerasan. Jika dilihat berdasarkan gaya pakaian dan perwatakan wanita itu, Eika dapat mengagak bahawa dia tentu anak seorang hartawan. Biasalah, orang yang terlalu kaya memang macam tu! Eika prejudis.

Eika menyedari bahawa dia juga anak kepada seorang Dato’. Anak orang kaya juga. Tetapi dia benci melihat sikap anak orang kaya yang sombong. Sombong kerana tidak menyedari bahawa diri itu cuma menumpang kekayaan ibu bapa sahaja. Bukannya diri sendiri yang berhempas pulas mencipta kekayaan itu. Tetapi ada hati mahu berlagak pula.

“Kalau ya pun, tak boleh ke bersopan sikit? Kita ni orang Melayu ada adab sopannya!” Nasihat Sheila. Malas dia mahu bertikam lidah. Tetapi dia juga berasa geram kerana diperlakukan seperti itu. Wanita ‘moden’ tersebut mengalihkan pandangannya ke arah Sheila pula.

“Eh, helo! Kau ni siapa nak ajar-ajar aku? Pergi sekolah la kalau nak mengajar orang!” Cukup pedas sindiran yang dihamburkannya kepada Sheila.

Panas telinga. Merah padam wajah Sheila mendengarkan sindiran tersebut. Pergi sekolah dia kata? Ini sudah kurang ajar. Perasaan marah dan malu bercampur-baur.

“Cik, ada apa-apa masalah ke di sini?” Datang seorang wanita. Mungkin salah seorang pekerja di situ. Lembut saja suaranya bertanyakan mereka.

“Kau jangan sibuklah!” Herdik wanita ‘moden’ tersebut tanpa segan silu.

“Cik tak bolehlah macam ni. Dia orang juga ialah pelanggan di butik ni,” nasihat pekerja itu lagi. Bersabar.

“Apa cik-cik? Ini Tengku Anis tau!” Tengku Anis bersuara angkuh.
Oh… anak kerabat raja rupanya. Hati Eika berdetik. Ah.. anak raja ke… bukan anak raja ke…. kalau perangai sudah teruk macam itu memang kena ajar juga. Eika terus mengomel di dalam hati kecilnya.

“Kenapa bising-bising ni?” Tegur seseorang secara tiba-tiba. Entah dari mana munculnya tidak pula mereka sedari.

“Eh, bos! Maafkan saya,” ujar pekerja wanita itu agak kalut.

“Haisshy! Tak kuasalah aku nak beli barang kat butik ni. Tak hormat aku langsung!” Rungut Tengku Anis lalu pergi dari situ.

“Dipersilakan Tuan Puteri berangkat!” Sempat Eika menyindir sambil menunduk hormat yang sengaja dibuat-buat. Pantas Tengku Anis menjeling tajam.

‘Dia tak hormat kita, macam mana orang nak hormat dia! Bodoh!” Sumpah Eika di dalam hati.

“Maaf ya, cik. Pelanggan yang seorang tu memang macam tu perangainya. Jangan ambil hatilah ya!” Bos butik tersebut meminta maaf.

“Tak apa. Eh, kalau tak silap… awak ni Nor Fatin Aleeza kan?” Sheila bersuara sambil mengerutkan dahi.

“You all ni… Eika dengan Sheila ke? Laa… dah lain muka kau orang. Macam mana boleh sesat sampai kat butik aku ni?” Langsung berubah riak wajah Atin. Berseri-seri. Maklumlah, jumpa kawan lama. Terus dibawanya Sheila dan Eika masuk ke dalam pejabatnya.

Eika dan Sheila tersenyum gembira. Tidak sangka akan terserempak dengan Atin. Mereka bersalaman dan berpeluk-pelukan seketika. Nasib baik tiada yang menangis. Kalau tidak, ‘tenggelamlah’ butik ini. Bukan tidak tahu, si Eika tu kalau sudah menangis payah nak berhenti. Serupalah juga kalau sudah ketawa terkekeh-kekeh, susah mahu berhenti sampai berair-air mata.

“Eh, Atin! Siapa perempuan yang tak tahu malu tadi tu? Sombong betullah aku tengok. Meluat. Rasa macam nak pijak-pijak aje kepala dia tadi tau!” Adu Eika melepaskan geram di hati.

Sheila mengangguk-anggukkan kepala tanda menyokong kata-kata Eika. Atin hanya tersengih sambil mempersilakan mereka duduk di atas kerusi.

“Kau orang ingat aku suka tengok dia? Bukan pelanggan lain je yang dia tengking, kadang-kadang aku sendiri ni pun ditengkingnya jugak. Sudah tu, mulutnya pula tak usah cakap nak berhenti. Asyik mengomen aje. Itu tak kena, ini tak kena. Tapi nak buat macam mana kan, dia tu pelanggan aku. Terpaksalah jugak aku layan dia, walaupun adakalanya menyakitkan hati aku,” luah Atin panjang lebar. Sheila dan Eika mengangguk. Barulah mereka faham akan situasi sebenar.

“Wah, ada gayalah kau bercakap ni, Atin. Aku percaya, lepas ni kau mesti lebih berjaya lagi!” Puji Sheila.

“Terima kasihlah kerana sudi doakan aku berjaya. Oh ya Eika, hari tu aku ada nampak Kimi dengan Hazami tau! Kau tak nak jumpa dia orang ke? Hai… takkan tak rindu kot? Lama dah masa berlalu,” usik Atin tiba-tiba.

Hampir tersedak Eika mendengarkan nama Kimi. Hakikatnya setiap hari dia menghadap wajah lelaki itu. Dia membetulkan duduknya. Pandangannya ditumpu ke wajah Atin. Manakala, Atin pula tidak sabar mahu mendengar kata-kata yang bakal lahir dari mulut Eika.

“Kau tahu tak? Hari-hari aku menghadap muka dia. Naik muak aku jadinya!” Balas Eika.

“Apa? Hari-hari kau menghadap muka budak tu? Ha… ini mesti ada apa-apa ni!”

“Ada apa-apa apa? Tolong sikit. Jangan nak memandai-mandai pulak ya. Aku kerja kat syarikat dialah,” laju sahaja Eika memotong percakapan Atin.

“Ha? Syarikat Kimi? Hisshy, dah berjaya rupanya budak tu,” ujar Atin.

“Eh, yang kau ni apasal pulak suka bahasakan diri dia ‘budak’? Kau tu dah besar sangat ke?” Protes Eika.

“Amboi, marah nampak! Ala… aku gurau jelah. Takkan tak boleh? Eh, ya tak ya jugak, kau tak kerja kat syarikat ayah kau ke? Yang kau pergi syarikat Kimi tu kenapa?” Soal Atin ingin tahu.

“Untuk pengetahuan kau, kawan kita yang seorang ni, memang degil sikit perangainya. Kononnya nak berdikari. Tak nak tumpang senang keluarga lagi. Tapi yang sebenarnya, dia mahu sentiasa di sisi buah hati kesayangannya. Apa kata orang tu…. takut dikebas dek orang lain?” Usik Sheila. Panjang berjela pula.

Bulat mata Eika mendengarnya. Disikunya lengan Sheila sekuat hati. Atin hanya ketawa melihat kelakuan mereka. Muka Eika seperti udang galah kena bakar. Merah padam menahan malu.

Setelah kira-kira dua puluh minit, mereka pun beredar dari butik milik Atin. Gelak tawa Eika ketika bersama Atin sebentar tadi memang mengasyikkan. Namun, benak fikiran Eika masih mengingati wanita ‘moden’ yang mengaku dirinya sebagai Tengku Anis.

‘Kalau aku jumpa kau lagi, tahulah apa aku nak buat! Tengku konon. Boleh blah!!’ Getus hati Eika. Geram.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

9 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 23”
  1. Siti Soleha Yahaya says:

    Noraz…makin best…
    mesti nnt de konflik yg timbul kan…
    antara Eika n Kimi…
    puncanya Tengku Anis….
    hehehe…ramalan jer 2…

  2. Noraz Ikha says:

    wait n see….hehehe

  3. soffi says:

    noraz.. x nk bukukn k crite ni..??? x sbar nk bc smpai habis..

  4. Noraz Ikha says:

    soffi, masih dalam penilaian penerbit…doakanlah ya!

  5. anum93 says:

    konfem ada konflik diantara mereka bertiga… xpun, diantara shiela,shahirul…..
    lau dibukukan, konfem saya bli…
    n buat panjang skit yew…
    xpuas bace 😛 😛 😛

  6. zo says:

    Dear, novel ni menarik tapi rasa confuse sikit kerana sebelum ni mereka dah buat reunion “Group Pengusik” pada hari Eika berhenti kerja. Time line dia macam tak berapa jelas.

  7. Noraz Ikha says:

    Zo: Pertemuan di butik milik Atin adalah pertemuan kedua selepas reunion. Dan hanya melibatkan Eika, Sheila dan Atin. Sy akan m’perbaiki manuskrip untuk menggambarkan jarak waktu yg ditinggalkan selepas reunion supaya lebih jelas. Terima kasih.

  8. miya says:

    emm cite ni best.tp..ade kekeliruan sket..emm xkan la sheila gn eika blh xknl atin?pd hal dwg tu kawan yg plg rapat..mm just asking

  9. Noraz Ikha says:

    dah lama x jumpa atin…. sekali pandang tidak perasan itu ialah atin

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.