Novel : Opps! Pintu Hatiku! 24, 25

17 July 2010  
Kategori: Novel

Oleh : Noraz Ikha

Bab 24

PEJAM celik…. Pejam celik…! Enam bulan sudah Eika bekerja di Syarikat S.I Sdn. Bhd. Di dalam tempoh itu juga, hati kata lain, mulut cakap lain. Aduhai… susahnya mahu menjadi diri sendiri. Keluh Eika. Ahh… bukan susah sebenarnya. Cuma dia yang enggan mengaku perasaan sendiri. Ego.

Meskipun dia meminati Hakimi, namun masanya lebih banyak dihabiskan bersama Haikal. Tanpa disedari, persahabatan antara Eika dan Haikal menjadi bertambah erat. Dia sendiri amat menyenangi sikap Haikal yang ‘slumber’.

‘Selamba pappaa… Selamba wawwaa… uuu…!’ Spontan hati kecilnya menyanyi lagu dendangan kumpulan OAG. Alamak, dah mulalah ni. Melalut tak sudah-sudah. Stop it! Tak pasal-pasal menyanyi pulak. Eika menegur dirinya sendiri.

Eika berasa relax apabila bersama Haikal walaupun kadang-kadang perangai Haikal menyakitkan hati. Meskipun begitu, tidak sama sekali dia menganggap Haikal sebagai teman lelaki istemewanya. Hanya kawan. Tidak lebih dan tidak kurang.

Dahulu, Hakimi jarang berada di dalam syarikat. Dia lebih senang menguruskan syarikatnya itu dari jauh. Kini segalanya seakan berubah. Sejak Eika berkhidmat di situ, dia kerap menguruskan syarikat di dalam pejabatnya sendiri. Dia sedar, cintanya kepada gadis itu mula berputik kembali setelah lima tahun masa memisahkannya.

Namun kali ini dia tidak berani untuk meluahkan perasaan itu. Takut akan ditolak semula seperti dahulu.

“Haikal, macam mana dengan pekerja baru yang akan masuk tu? Kata orang, dia tu sombong orangnya. Betul ke?” Soal Eika meminta kepastian.

Dia merenung wajah Haikal yang sedang enak menikmati sarapan pagi di cafe. Tidak semena-mena Haikal meletakkan kembali kuih pau yang telah dipegangnya. Pandangannya dilontar tepat ke wajah Eika yang duduk di hadapannya.

“Eh! Kenapa kau nak tahu sangat ni?” Soal Haikal kembali.

“Laa… orang tanya dia, dia tanya kita pulak. Malaslah macam ni! Orang seriuslah!” Marah Eika separuh merajuk.

“Hai, nak merajuk pulak wahai Cik Puteri? Aku nak bagi nasihat sikitlah. Jangan cepat sangat merajuk. Nanti cepat tua. Siapa kena jaga? Aku jugak! Siapa susah? Aku jugak!” Balas Haikal. Masih tidak puas-puas lagi mahu menyakat Eika.

“Eh, Haikal! Boleh tak kalau kau tak usik aku? Sehari pun cukuplah! Letih tahu tak?” Luah Eika tidak tahan lagi. Hari-hari terpaksa tebalkan telinga. Apa tidaknya, asyik mengarut benda yang entah apa-apa sahaja si Haikal itu.

“Hisshy, boleh…. Boleh Cik Puteri. Esok aku tak usik. Esoknya, aku usiklah balik. Sehari aje kan?”

“Isshy! Kau…!” Tidak terkata lagi Eika dibuatnya.

Sepanjang usia perkenalannya dengan Haikal, dia mendapati lelaki itu adalah seorang yang kuat mengusik. Ada-ada sahaja. Kini, Eika sudah tidak peduli lagi. Biarlah rakan-rakannya mahu memanggilnya dengan gelaran ‘Cik Puteri’. Dia pun sudah lali. Malah terbiasa pulak.

Satu-satunya insan yang tidak pernah memanggilnya dengan gelaran itu ialah…. Hakimi. Adakah Kimi masih menyukaiku seperti dahulu? Atau dia sudah ada yang punya? Melepas…. aik? Melepaskah? Hmm…..

“Hoi! Mengelamun ke?”

Haikal menepuk meja dengan kuat. Eika tersentak. Langsung hilang ingatannya terhadap Hakimi. Haikal pula terkebil-kebil memandang kelakuan Eika.

“Opps, sorrylah. Bukan apa, teringat kat kampung halaman je!” Eika cuba berdalih.

“Ha’ah…. yalah tu! Entah-entah, teringat kat boyfriend. Cik Puteri…. dah ada boyfriend ke?” Tiba-tiba Haikal bertanya.

Spontan Eika menjegilkan matanya. Haikal hanya ketawa. Geli hati melihat riak wajah Eika. Sesungguhnya, Haikal memang tidak tahu langsung tentang kehidupan Eika sebelum ini. Eika tidak pernah dan tidak ingin menceritakan hal-hal yang dialaminya sewaktu di alam persekolahan. Alah… cinta monyet je. Malah, Haikal juga tidak pernah tahu bahawa Eika dan sahabat baiknya iaitu Hakimi, pernah saling cinta mencintai suatu ketika dahulu.

“Ha, dah mulalah tu! Jangan nak tukar topik. Kau belum jawab soalan aku tadi!” Eika mengingatkan Haikal.

“Soalan apa?” Soal Haikal berpura-pura tidak faham.

“Eleh, buat-buat lupa pulak dia ni. Pasal pekerja baru tulah!” Eika mula berang. Haikal tersenyum. Senyum kambing.

“Okey. Kalau kau nak tau sangat, biar aku cakap sekarang. Beliau merupakan seorang wanita yang agak berpangkat di dalam masyarakat kita. Dia okey, cantiklah jugak. Tapi, aku rasa… cantik lagi kau hehehe…!”

“Be serious, okey!” Eika menepuk meja. Haikal terus menyeringai ketawa.

“Okey… okey. Tapi ada satu perangai dia yang cukup aku tak berkenan. Dia tu, berlagak lah sesangat. Macam syarikat S.I ni, bapak dia yang punya. Dah tu, buat kerja tak tentu masa. Main suka hati dia aje!” Rungut Haikal. Penumbuknya ditumbuk ke tapak tangannya sendiri.

Kelihatan Eika mendengarnya dengan penuh minat. Hairan. Bagaimana Haikal boleh tahu mengenai pekerja wanita baru itu dengan terperinci? Dia tidak menyangka dalam lucu-lucu Haikal itu, rupa-rupanya dia suka juga merungut. Pada pandangan Eika, sikap Haikal itu pelik dan unik. Seunik namanya, Mohd. Haikal Shakwan. Eika dapat merasakan sesuatu yang misteri di sebalik keceriaan Haikal. Sesuatu yang menimbulkan perasaan syahdu dan sayu. Seakan ada daya tarikan daripada hati ke hati dengan pemuda itu.

“Amboi, marah nampaknya? Eh, macam mana kau boleh tahu perangai dia ha? Oo… kau pernah bercinta dengan dia yea??” Kini giliran Eika pula mengusik Haikal.

“Apa kau kata? Aku? Pernah bercinta dengan perempuan tu? Heii… tolong. Mintaklah dijauhkan beribu-ribu batu. Tak sanggup aku! Perangai macam perempuan ‘tua’. Tapi yang aku pelikkan, macam manalah dia boleh syok sangat kat si Kimi tu? Memanglah kimi tu handsome. Tapi janganlah gedik melampau. Kesian aku tengok Kimi!” Luah Haikal lagi.

Berdesing telinga Eika mendengarkan nama Hakimi. ‘Dia boleh syok sangat kat si Kimi tu!!’ Kata-kata Haikal itu terngiang-ngiang di cuping telinganya. Nampaknya perempuan itu bakal menjadi sainganku. Serta merta riak wajah Eika berubah. Namun dia cuba berlagak seperti biasa. Dia tidak mahu Haikal mengesan akan perubahan pada wajah dirinya saat ini. Lantas baki air milo ais di dalam gelas diteguk hingga habis.

“Jomlah masuk pejabat. Dah pukul berapa dah ni!” Ajak Eika sambil tangannya mencapai beg tangan di atas meja.

Haikal tidak membantah. Terus sahaja dia bingkas bangun dan mengekori langkah Eika yang semakin laju. Sebenarnya Eika terpaksa berbuat begitu. Dia tidak mahu Haikal terus bercerita akan hal-hal yang berkaitan dengan Hakimi. Setiap kali nama itu disebut, jantungnya akan berdegup kencang. Dia tidak suka begitu.

Mujur Eika dapat mengawal perasaan. Terutamanya tatkala berhadapan dengan Hakimi. Mahu tidak mahu, dia terpaksa mempamerkan sedikit egonya agar tidak berasa janggal. Memang begitulah cara perhubungan mereka sejak dari sekolah menengah lagi. Baginya, jika Hakimi setia mencintainya seperti dahulu, Hakimi tidak akan berubah hati walaupun digoda oleh pekerja baru yang akan tiba nanti.

‘Aku akan tetap setia mencintai kau!’ Tergiang-giang ucapan azimat itu di cuping telinga Eika. Itulah semangatnya selama ini. Itulah juga ungkapan terakhir yang diluahkan oleh Hakimi sewaktu pertemuan terakhir mereka di kantin sekolah menengah. Sungguh Eika tidak akan lupa.

“Ahh!!” Malas Eika mahu memikirkannya lagi.

Tolonglah biarkan hidup Eika tenang buat masa sekarang. Namun kata-kata Haikal sebentar tadi benar-benar memberi kesan di dalam hatinya. Apakah Eika cemburu? Sah! Memang Eika mencintai Hakimi…! Tidak perlu berdolak dalih lagi. Mengaku sahajalah akan perasaan itu wahai cik Nur Elliya Shafeika. Jika tidak mahu Hakimi terlepas ke tangan orang lain, lebih baik kau jumpa Hakimi sekarang. Bagitahu dia mengenai perasaan kau itu. Habis cerita. Mudah bukan? Hati kecil Eika terus berbisik nakal. Argh…. shut up! Hmm…kelihatannya ego Eika masih menguasai.

Bab 25

“ADA apa yang kau nak sangat jumpa dengan aku ini, Sheila?? Eh, Hazami pun ada?!”

Sheila tidak bersuara. Sebaliknya Sheila hanya tersenyum simpul. Manakala Shahirul Hazami pula duduk selamba di samping Sheila. Eika tidak sabar mahu mengetahui apakah yang bakal diperkatakan oleh kedua-dua sahabatnya itu. Minuman yang sedia terhidang di hadapan mata pun langsung tidak dipandang. Tumpuannya kini hanya kepada mereka berdua.

Spontan kening Eika berkerut. Hairan apabila riak wajah Sheila tiba-tiba berubah. Tiada lagi senyuman manis seperti tadi. Perlakuan mereka yang pelik membuatkan hati Eika semakin dilanda tanda tanya yang teramat besar. ‘Aku ada buat salah ke?’ Fikir Eika. Dia tercari-cari kesalahan itu. Namun, setahunya dia tidak berbuat apa-apa kesalahan. Malah dia berasa gembira kerana salah seorang daripada sahabatnya akan melangsungkan majlis perkahwinan. Ya, tidak berapa lama lagi.

Eika kini sedang sibuk memikirkan apakah hadiah yang akan diberikan kepada pasangan tersebut. Memang dia tidak menyangka, pasangan yang selalu digosipkan bersama akan benar-benar menjalin ikatan yang sah lagi murni itu. Tanpa sedar dia tersenyum lebar.

“Eika, sebenarnya Sue…”

“Sue? Kenapa?? Kan dia dah nak kahwin kan? Hee… seronoknya dia!” Potong Eika sambil tersenyum.

Namun perlahan-lahan senyumannya menjadi hambar. ‘Kenapa mereka tak gembira? Takkan aku seorang je yang gembira kot?’ Sekali lagi dia mengerutkan kening. Pelik. Tiba-tiba jantungnya berdebar-debar. Risau. Adakah terjadi apa-apa kepada Sue?

“Kenapa ni? Cuba cakap kat aku! Kau orang ni, macam orang tak betul pulak aku tengok. Sekejap senyum sekejap muram,” ujar Eika kemudian.

Sheila dan Shahirul Hazami dilihat saling berpandangan. Dilontarkan kembali pandangan masing-masing ke wajah Eika. Hai… dah jadi macam sesi pandang memandang pulak! Keluh Eika di dalam hati. Eika menganggukkan kepala. Seolah-olah memberi kebenaran kepada mereka untuk bersuara.

“Berat aku nak cakap. Sebenarnya, Sue tak jadi kahwin!” Akhirnya Sheila meluahkannya juga.

Terbeliak biji mata Eika mendengarkan kata-kata Sheila itu. Hampir tersedak dia dibuatnya. Setahunya, hubungan di antara Sue dan Reza elok-elok sahaja. Jika ada pun, mungkin hanyalah sedikit salah faham. Alah, biasalah tu. Gaduh-gaduh manja.

“Tak jadi? Kenapa pulak? Eh, kau orang jangan nak main-main dengan aku tau…” Balas Eika seakan tidak percaya.

“Eh, siapa kata kita orang main-main? We are serious okay! Kita kena tolong Sue sekarang ni!” Sheila pantas menyangkal anggapan Eika itu. Pandangannya tepat menikam anak mata jernih milik Eika.

“Si Reza tu, sebenarnya dah kahwin. Dah ada isteri. Kau faham tak?” Shahirul Hazami yang sejak tadi cuma membisu mula mengeluarkan suaranya.

Sekali lagi air muka Eika berubah. Masih terkejut, namun tetap sukar untuk dia menerima hakikat yang baru didengarinya itu. ‘Tak mungkinlah. Tadi ada jugak aku terserempak dengan Reza. Tak pulak dia cakap apa-apa. Tak jadi kahwin ke apa ke. Okey aje!’ Hati Eika terus berdetik sendirian. Eika amat mengenali Reza. Kekasih kepada Sue itu tidak akan berbuat demikian. Dia adalah seorang lelaki yang baik. Namun, hati manusia siapalah yang tahu… tepuk dada tanya selera.

“Ya ke macam tu? Dah ada isteri? Eh, kau orang tak salah maklumat ke ni? Sure?”

Sheila dan Shahirul Hazami mengeluh serentak. Mereka amat faham akan sikap Eika yang satu itu. Eika memang tidak mudah menerima kata-kata orang lain jika tiada bukti yang kukuh di hadapan matanya. Tidak kira siapa, walhal dengan sahabat karib sendiri pun belum tentu lagi dia mahu percaya.

‘Susah betul nak bercakap dengan dia nilah. Nak kena tunjuk bukti dululah ni. Macam polis pulak. Macam-macam!’ Rungut hati kecil Sheila.

Sheila menoleh ke arah Shahirul Hazami. Nampaknya pemuda itu faham akan pandangan tersebut. Dia terus membetulkan duduknya seraya berdehem.

“Hmm…. kalau kau nak buktinya, esok petang kau pergi ikut kita orang jumpa perempuan itu. Kita orang pun nak tengok jugak macam mana rupanya. Cantik sangat ke?” Ajak Shahirul Hazami penuh semangat persahabatan.

“Kalau macam tu…. okey! Tapi menurut firasat akulah, tak mungkin Reza buat macam tu.”

“Banyaklah kau punya firasat. Terpulanglah. Aku pun… tak yakin sangat sebenarnya dengan apa yang Sue cakap tu,” Shahirul Hazami mengaku.

Reza adalah salah seorang daripada sahabat karibnya. Tambahan pula, mereka sama-sama menuntut di universiti yang sama sebelum ini. Pada masa itu, Reza sudah pun menjadi kekasih Sue yang juga sama-sama belajar di Institut Pengajian Tinggi.

“Eh, siapa perempuan itu?” Pantas Eika bertanya.

“Manalah kita orang tau. Tapi, perempuan itu mengaku yang dia memang isteri Reza. Bayangkanlah, macam mana perasaan Sue masa tu. Dahlah tak lama lagi dah nak kahwin. Sue kata, perempuan tu seksi. Tak ada langsung ciri-ciri seorang isteri. Tak padan langsung dengan si Reza!” Sheila seakan-akan berleter.

Tiba-tiba Eika tersenyum. Dia punya satu rancangan yang ‘baik’ punya. Dilihatnya Sheila dan Shahirul Hazami sedang merenung wajahnya tanpa jemu. Tidak berkelip mata masing-masing. Eika tahu, mereka tentu hairan dengan sikapnya kini. Pasti mereka tertanya-tanya, bagaimana Eika boleh tersenyum disaat rakan sendiri sedang dilanda masalah.

“Hoi, janganlah pandang aku macam tak makan setahun! Kau orang ingat aku ni dah mereng ke? Aku waras lagilah. Tak payah risau. Cuma aku rasa, perempuan tu tentu ada tujuan lain. Kita just tunggu dan lihat okey!” Ujar Eika penuh dengan makna tersirat yang hanya diketahui oleh dirinya sendiri sahaja. Eika terpaksa berkata begitu kerana Sheila dan Shahirul Hazami terus sahaja merenung wajahnya dengan mulut yang melopong.

Ring! Ring! Ring…!

Tiba-tiba handphone Eika menjerit di dalam beg minta dijawab. Laju sahaja tangan Eika menyelongkar beg tangannya.

“Helo!”

“Helo…. Eika! Sayang, kat mana sekarang ni? Tadi kata dah nak balik rumah. Tunggu punya tunggu…. batang hidung pun tak nampak! Tak sampai-sampai. Risau mama tau!” Leter Datin Sarina di hujung talian.

Eika hanya tersenyum mendengar leteran mamanya yang satu itu. Memang telah diduganya.

“Alah… sorrylah, mama. Eika lupalah nak cakap tadi. Eika pergi jumpa kawan kejap ni,” Eika terus mengutarakan alasannya.

“Yalah tu. Habis, bila Eika nak balik ni? Dah malam!” Soal Datin Sarina lagi. Agak tegas.

“Yalah, Eika nak baliklah sekarang ni. Mama jangan risau ya. Bye…. I miss you!” ucap Eika.

Pantas talian telefon diputuskan. Tangannya ligat mengemas barang kepunyaannya di atas meja. Sheila dan Shahirul Hazami hanya mampu memerhatikan segala tindak tanduknya itu.

“Kau nak balik sekarang ke?” Tanya Sheila kemudian. Pantas Eika menoleh.

“Taklah.. nak balik esok pagi,” balas Eika selamba.

“Dia buat hal lagi…. sengal..” terdengar keluhan dari mulut Sheila tatkala menerima jawapan Eika itu.

“He he he…. nak balik sekaranglah. Buat-buat tanya pulak kau ini. Pasal kes tadi itu, kau orang jangan risau. Biar aku aje yang uruskan esok. Tahulah aku macam mana nak buat! Bye….!” Ucap Eika sambil tersenyum. Dia sengaja membiarkan Sheila dan Shahirul Hazami berteka teki akan apa yang sedang berada di dalam kotak fikirannya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

7 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 24, 25”
  1. Siti Soleha Yahaya says:

    bila ler Eika dpt bersama ngna Hakimi yer…
    x sabar menunggu detiknya…. 😉 😉

  2. Adit says:

    bestnya olahan citer ikha….

  3. Ilya says:

    Tak tahu nak komen apa…dah bomm!!!! dah best dah :mrgreen: 😆

  4. Noraz Ikha says:

    Siti soleha: surprise ehehe
    Adit: terima kasih…masih belajar mengolah

  5. Noraz Ikha says:

    Ilya Abdullah: dah komen secara automatiklah tu walaupun x tau nk komen apa ehehe tq..tq..

  6. vampire95 says:

    besttt

  7. sufi says:

    perh..
    lyn jgk cter ni..
    best2 ..
    huhuhuhu,,

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.