Novel : Opps! Pintu Hatiku! 28, 29

31 July 2010  
Kategori: Novel

Oleh : Noraz Ikha

Bab 28

“APA yang bising-bising sangat kat dalam tu?” Eika tertanya-tanya sendiri. Masih awal. Kebiasaannya tidaklah seriuh ini.

Pantas dia mempercepatkan langkahan kakinya. Tanpa membuang masa dia terus menolak daun pintu pejabat. Ya Allah….! Kenapa ni?? Segala kertas-kertas kerja, alat tulis dan bunga berselerakan di atas meja dan lantai. Tetapi yang dia hairan, mengapa hanya mejanya yang berkeadaan demikian? Dipandangnya pekerja-pekerja lain yang turut berada di situ. Masing-masing diam seribu bahasa.

“Hei! Cepatlah alihkan barang-barang atas meja itu! Lembab betullah kau orang ini!” Tiba-tiba muncul seorang wanita dengan suara yang sungguh lantang. Tak sedap langsung bunyinya. Macam suara ahli sihir dalam siri lagenda Mayang Mengurai yang pernah ditayangkan oleh tv3. Spontan pandangan Eika terarah kepada wanita tersebut. Ohh! Hampir tersembul biji matanya melihatkan wajah Tengku Anis. Serta merta darah mudanya mendidih.

“Eh! Apa kau buat dekat sini hah?? Ini meja aku tahu tak?” Tengking Eika tanpa teragak-agak lagi.

“Ooo… kau kerja kat sini rupa-rupanya ya? Aku tak peduli! Aku nak duduk kat meja ni jugak!!” Ujar Tengku Anis sambil tersenyum sinis.

Hatinya melonjak riang kerana bertemu musuh ketatnya di situ. Peristiwa di dalam butik dan Suehaila Syakilla Restaurant terbayang-bayang di dalam kotak ingatannya. Inilah masanya untuk dia membalas dendam.

‘Perempuan ni memang nak cari pasal dengan aku agaknya. Kenapalah aku asyik terserempak dengan dia ini? Pembawa malang betul!’ Rungut Eika di dalam hati.

“Oh, Eika. Dah sampai? Inilah pekerja baru yang aku cakap hari itu,” tiba-tiba Haikal mencelah. Tidak berapa lama kemudian Eika menganggukkan-anggukkan kepalanya.

“Oh! Pekerja baru? Apa tunggu lagi? Pergilah cari tempat duduk kau! Ini meja aku. Jangan nak menyibuk dan buat hal pulak dekat sini. Pergilah!” Sengaja Eika berkata begitu. Dia menghampiri mejanya.

“Eh! Kau jangan nak berlagak sombong dengan aku! Tahulah balasan kau nanti!” Balas Tengku Anis dengan hati yang panas membara. Dengan langkah yang keras Tengku Anis berlalu dari situ.

Melihatkan reaksi Tengku Anis itu, Eika mencebikkan bibir. Ah! Peduli apa dengan Tengku Anis. Balasan konon. Akhirnya dia mengukir senyum kepuasan.

**********

“EIKA, kau suka tak kerja kat sini?” Tiba-tiba Haikal bertanya.

Eika mengerutkan keningnya. Tidak faham mengapa tiba-tiba Haikal menanyakan soalan itu.

“Kenapa dengan kau ini Haikal? Lain macam saja. Dah enam bulan lebih aku bekerja kat sini. Kalau aku tak suka, dah lama aku blah tau! Cuma…” Eika tidak sempat menghabiskan kata-katanya.

“Cuma apa??” Potong Haikal pantas.

“Kau ni, cuba tunggu aku habis cakap dulu! Cuma… dulu aku memang gembira sangat kerja kat sini. Tapi sekarang, seri itu dah kurang sikitlah. Sebab…. sejak kehadiran ‘nenek kebayan’ tu!” Ujar Eika.

“Nenek kebayan?” Haikal tidak faham.

“Tengku Anislah!”

“Ooh. Kau panggil dia ‘nenek kebayan’?”

“Tak adalah depan dia. Tapi memang betul apa. Mulut dia tu kalau membebel kalah nenek kebayan,” kata Eika lagi. Haikal tersenyum.

“Emm… selama kau kawan dengan aku ni…. ada tak perangai aku yang kau tak suka?” Soal Haikal setelah masing-masing membisu seketika.

“Memang ada!” Laju sahaja perkataan itu meluncur keluar daripada mulut Eika.

“Apa dia??” Haikal tidak sabar.

“Kau ni suka sangat usik aku,” jawab Eika.

Haikal menepuk dahi. Eika bertambah hairan. Sudahlah bertanya soalan yang bukan-bukan. Kelakuan Haikal pun pelik semacam.

“Kenapa? Kau sakit kepala ke?” Tanya Eika kemudian.

“Eh! Tak ada lah! Cuma… itu ke perangai aku yang kau tak suka. Lain…. tak ada?”

Eika menongkat dagu seolah-olah sedang berfikir. Ditenungnya wajah Haikal dalam-dalam. Haikal menunduk. Tidak sanggup melawan renungan Eika.

“Emmm… ya, itu aje! Eh, hari ni aku tengok kau ni pelik betullah! Ada apa-apa yang tak kena ke?” Eika bertanya ingin tahu.

Kini Haikal tidak seperti tadi. Dia merenung Eika yang duduk di hadapannya. Makanan tidak dijamah. Minuman tidak diusik. Dia terus menyaksikan Eika yang sedang makan dengan enaknya. Sesungguhnya ada sesuatu yang ingin dia beritahu kepada Eika. Namun dia masih teragak-agak untuk meluahkannya.

“Kau suka aku tak Eika?” Tanpa disangka-sangka soalan itu terpacul daripada mulut Haikal.

Serta merta suapan Eika terhenti. Perlahan-lahan dia mengangkat kepala. Dipandangnya lagi wajah Haikal itu dalam-dalam. Sementara itu, Tuhan sahaja yang tahu apakah perasaan Haikal saat itu. Jantungnya berdegup dengan amat kencang.

“Apa kau cakap tadi?” Soal Eika kembali. Sememangnya dia tidak mendengar dengan jelas kerana sedang asyik merasai kelazatan makanannya.

Sekali lagi Haikal menepuk dahi. Patutkah aku mengulanginya?

“Hai! Assalamualaikum!” Tiba-tiba Hakimi muncul dari belakang Haikal.

Sungguh Haikal terkejut dengan kehadiran sahabat karibnya itu. Rupa-rupanya Hakimi duduk di belakang Haikal sejak dari tadi lagi. Cuma tidak disedari oleh Haikal mahu pun Eika.

“Waalaikumussalam!” Sambut Haikal dan Eika hampir serentak.

“Seronok bercerita? Ha Eika, nanti saya nak jumpa Eika kat pejabat saya,” ucap Hakimi.

“Baik, bos!” Balas Eika.

“Tak payahlah panggil saya bos. Panggil macam biasa dahlah,” tegur Hakimi tidak senang dengan panggilan yang diucapkan oleh Eika.

“Baiklah Kimi!” Kata Eika sambil tersenyum.

Hakimi senyum dan terus berlalu. ‘Bertambah handsomelah kau Kimi,’ detik Eika di dalam hati. Tanpa disedari, Eika telah meninggalkan Haikal bersama khayalannya. Hanyut dalam arus memori yang membuai perasaan. Kenangan manis ketika bersama Hakimi muncul satu per satu.

Manakala Haikal pula sedang menggaru-garu kepalanya yang tidak gatal. ‘Aku tengok, Kimi tu macam suka kat Eika aje! Ah, jangan mengarutlah!’ Haikal mahu membuang jauh-jauh anggapan tersebut.

“Eika! Eika!” Panggil Haikal bertalu-talu.

“Oh sorry. Kenapa kau tak makan?” Tanya Eika setelah tersedar. Dilihatnya makanan Haikal masih tidak luak.

“Ah! Nantilah! Kau makanlah dulu!” Jawab Haikal agak terkejut dengan soalan itu.

“Hah? Nak suruh aku makan lagi? Wahai Encik Haikal yang baik hati, tak nampak ke pinggan Puteri Gunung Ledang ini sudah kosong?” Nada suaranya ditinggikan sedikit. Sengaja dia membahasakan diri dengan gelaran Puteri Gunung Ledang.

“Eh, cepatnya! Tak perasan. Tambahlah lagi, aku belanja!” Pancing Haikal. Mahu terus Eika berada di situ.

“Hmm… tak apalah. Aku dah kenyang pun. Terima kasih sebab nak belanja. Eh, lupa pulak! Tadi Kimi panggil aku. Nanti tertunggu-tunggu pulak dia. Tak elok buat bos kita macam tu. Dah… dah… makan sarapan tu. Nanti sakit perut padan muka. Okeylah, aku pergi dulu,” tanpa membuang masa Eika terus bangkit dari tempat duduknya.

Kenapa agaknya Kimi nak jumpa aku ya? Nak naikkan gaji aku? Nak naikkan pangkat aku? Atau… tentang si ‘nenek kebayan’ tu? Menyampah pulak bila teringatkan si ‘nenek kebayan’. Dari sudut pandangannya, Tengku Anis itu terlalu sombong dan amat membosankan. Tidak hairanlah jika Haikal juga tidak menyukai Tengku Anis.

Pelik juga. Dahulu Haikal pernah berkata bahawa Tengku Anis pernah bekerja di sini. Dan perangainya memang teruk. Kenapa pula Tengku Anis diterima masuk ke sini kembali?? Eika terus berteka-teki.

Tanpa disangka Eika terlihat kelibat Tengku Anis sedang berjalan lenggang-lenggok di koridor yang sama. Tengku Anis menjelingnya tajam. Eika buat tidak tahu sahaja. Buat apa melayan orang ‘gila’.

Pantas Eika mengetuk pintu pejabat Hakimi. Pelahan-lahan dibukanya pintu tersebut.

“Assalamualaikum!!”

“Waalaikumussalam! Ha Eika, duduklah dulu,” pelawa Hakimi.

Tanpa membuang masa Eika terus melangkah masuk lalu melabuhkan punggungnya di kerusi empuk di hadapan meja Hakimi. Hakimi tersenyum. Eika tidak tahu apakah makna senyuman yang terukir di bibir milik Hakimi itu.

“Ada apa?” Soal Eika pendek.

“Sebentar tadi abang saya baru telefon. Dia dan Sheila kirim salam kat Eika.”

Eika menganggukkan kepalanya. Dijawabnya salam tersebut hanya di dalam hati. Eika membuang pandangannya jauh ke luar jendela yang tertutup rapat. Ternyata dia sedang cuba mengelak daripada bertentang mata dengan lelaki itu. Dia perasan Hakimi sentiasa memandang wajahnya.

“Eika, kau ingat lagi tak masa kita sekolah menengah dulu?” Tanya Hakimi secara tiba-tiba. Eika tersentak. Tidak menyangka soalan serupa itu akan diutarakan oleh Hakimi.

“Ya. Takkan lupa,” ringkas jawapan Eika.

“Waktu bila yang paling Eika ingat?” Tanyanya lagi.

Hampir tergelak Eika mendengarnya. Serta merta imbasan peristiwa lalu terbayang-bayang di ruang ingatannya. Hakimi pula memandangnya dengan penuh minat.

“Kimi nak tahu ya? Tapi… kalau saya cakap Kimi jangan marah pulak!”

“Buat apa saya nak marah. Cakap sahajalah!” Desak Hakimi kurang sabar nampaknya.

“Peristiwa yang paling saya ingat ialah…. ketika saya ternampak Kimi sedang menyorok kat belakang tiang. Ha.. ha.. ha…!” Ucap Eika lalu terus ketawa sepuas hatinya.

Hakimi turut ketawa sambil menepuk dahinya. Tidak sangka peristiwa itu yang paling diingati oleh Eika. Jika difikir-fikirkan kembali, dia berasa amat malu dengan kelakuannya pada ketika itu. Seperti budak-budak kecil sahaja.

“Awak tahu tak Eika?”

“Awak tak cakap macam mana saya nak tahu,” balas Eika.

“Saya masih seperti dahulu,” suara Hakimi lagi.

“Laa… memanglah awak sama macam dulu. Takkan sekarang dah tukar jadi perempuan pulak!” Eika ketawa lagi.

“Ya ALLAH. Ke situ pulak dia. Bukan itu maksud sayalah!”

“Habis tu?” Tanya Eika sambil mengerutkan dahinya.

“Eh! Tak ada apa-apalah! Saya kata, Saya masih seperti dulu…. seorang lelaki yang… sejati!”

“Sejati? Awak ingat selama ini saya anggap awak pondan ke? Kelakarlah awak ni… tadi tak nak mengaku. Sekarang mengaku lelaki pulak.” Potong Eika. ‘Cakaplah kau masih menyukai aku seperti dahulu,’ tiba-tiba ucapan itu terlintas di dalam fikiran Eika. Ahh…. nyah kau dari sini. Eika cuba mengusir suara-suara nakal yang suka bermain di dalam mindanya.

Sekali lagi Hakimi menepuk dahinya. ‘Perangai kau sama macam Haikal, suka tepuk dahi,’ masih sempat Eika membuat perbandingan.

“Oh ya! Sejak kebelakangan ni, awak rapat dengan Haikal,” ujar Hakimi mula menyoal selidik.

“Apa salahnya? Dia rakan sekerja saya. Takkan saya nak bermusuh dengan dia pulak. Nanti… tak bergerak syarikat awak ni,” balas Eika.

Hakimi mengangguk-anggukkan kepalanya. Entah apa tujuannya bertanya yang bukan-bukan kepada Eika..

“Dah lama saya hendak cakap benda ni. Awak tahu tak Eika, sebenarnya saya masih sukakan awak macam dulu.”

Eika menggosok-gosok mata. Apakah aku bermimpi? ‘Aku pun macam kau jugak Kimi!’ Suara hati Eika tiba-tiba. Namun ucapan itu tidak terluah ke alam realiti. Kata-kata azimat itu sekadar menjadi mainan di dalam hati sendiri.

“Hai, dah terlalu lama Kimi. Takkan tak ada yang lain kot?”

Alamak! Ayat lain pulak yang terkeluar. Gila betul aku ni. Eika memarahi dirinya sendiri. Ah, bagus jugak. Boleh aku uji dia. Fikir Eika kemudian.

“Betul, tak ada Eika. Percayalah cakap saya!” Pinta Hakimi penuh mengharap. Eika ketawa di dalam hati.

“Eika…..”

“Dah…. dah…. tak payah cakap lagi!” Potong Eika pantas.

“Kenapa??” Hakimi kaget.

“Saya percaya. Puas hati?” Akhirnya Eika mengaku juga. Bukan apa, Eika tidak mahu mendengar lagi rayuan-rayuan Hakimi yang sama sahaja macam dahulu. Dia sudah bosan.

“Jadi Eika….” Hakimi tersenyum lebar.

Eika turut tersenyum. Senyuman itu sudah cukup memberi jawapan yang pasti buat Hakimi. Oleh kerana diselubungi rasa malu yang datang secara tiba-tiba, Eika cepat-cepat meminta diri untuk keluar. Hakimi yang seperti berada di awang-awangan tidak memberi sebarang reaksi atau pun jawapan. Kesempatan ini diambil oleh Eika untuk cepat-cepat berlalu. Dalam keasyikan itu Hakimi tidak menyedari akan kepergian Eika dari dalam biliknya.

Eika amat terkejut apabila mendapati Haikal sedang berdiri benar-benar di hadapan pintu pejabat Hakimi. Hampir sahaja dia terlanggarkan lelaki itu. Apakah haikal mendengar setiap butir bicara yang muncul di dalam bilik Hakimi? Dan mungkinkah sewaktu di cafe tadi Hakimi juga telah terdengar akan soalan Haikal yang menjurus kepada perasaan Eika? Lantas Hakimi terus bertekad untuk berterus terang akan perasaan hatinya? Hanya diri Hakimi dan Haikal sahaja yang mempunyai jawapan kepada semua persoalan tersebut.

Eika terus berlalu meninggalkan Haikal dengan riak wajah yang tidak berperasaan. Sememangnya Eika tidak mendengar soalan Haikal yang satu itu. Hmm.. nasib kaulah Haikal.

Bab 29

“KIMI, apa pendapat kau tentang Eika?” Tanya Haikal penuh minat.
Hampir tersedak Hakimi mendengarkan nama Eika disebut. Shahirul Hazami yang turut berada di situ hanya memerhatikan gelagat Hakimi. Tanpa di sangka telefon bimbit Shahirul Hazami yang diletakkan di atas meja berdering secara tiba-tiba. Pantas sahaja Hakimi menyambarnya. Ternganga mulut Shahirul Hazami. Itu bukan telefon bimbit Hakimi. Apakah Hakimi telah tersilap dengan menyangka bahawa telefon bimbit kepunyaan Shahirul Hazami itu adalah miliknya?

“Helo! Ha… Sheila. Ya, sekejap ya! Nah bang, makwe telefon!” Kata Hakimi lalu menghulurkan telefon bimbit itu kepada pemiliknya.

Tanpa membuang masa, Shahirul Hazami terus menyambutnya dan beredar dari situ. Mahu lebih privacy agaknya. Tanpa sedar, Haikal sedang memandang tepat ke arah Hakimi. Dan dia juga pelik melihat perangai Hakimi itu.

“Oh…. sorrylah Haikal! Apa tadi kau tanya? Tentang….. Eika ya?”

“Yalah. Kenapa dengan kau ini? Mamai ke? Ha… apa pendapat kau tentang dia?” Tanya Haikal sekali lagi.

Hakimi menongkat dagu. Tidak terus memberikan pendapatnya. Oh No!!! Eika hanya milik aku!

“Actually dia…. dia baik… kelakar… peramah… dan… dan rajin!” Jawab Hakimi seberapa ringkas yang boleh. Itu pun satu-satu perkataan demi perkataan terlontar daripada mulutnya.

“Aku suka kat dialah! Macam mana aku nak buat ya?” Ucap Haikal tanpa disangka-sangka.

Hakimi amat terkejut dengan pengakuan sahabat karibnya itu. Namun cuba disembunyikan perasaan sebenar itu jauh di sudut kalbu. Memang selama ini dia mengesyaki bahawa terdapat sesuatu yang tidak kena pada Haikal. Oh Tuhan…. mengapakah aku diuji dengan sahabat baikku sendiri?

“Oii Kimi! Kau dengar tak apa aku cakap ni??”

“Ya… ya… aku dengar. Itu aku tak tahu. Kau… betul-betul suka kat dia ke?” Soal Hakimi ingin tahu.

“Yalah! Aku betul-betul suka kat dia!” Jawab Haikal penuh bersemangat. Hakimi hanya mampu menelan air liur sendiri melihatkan kesungguhan Haikal.

“Kalau macam tu, aku rasa… elok kalau kau berterus terang dengan dia. Biarlah dia tahu. Kalau kau terus macam ni, tak bagi tahu isi hati kau tu, sampai bila-bila pun dia takkan tahu apa-apa,” balas Hakimi. Opps!!

Hakimi sendiri tidak pasti mengapakah dia tergamak memberikan cadangan sedemikian rupa. Bagaimana pula dengan dirinya sendiri nanti? Maafkan aku Eika. Aku tidak bermaksud untuk mempermain-mainkan perasaan kau. Tapi Haikal adalah sahabat baik aku. Dia juga baik. Ikatan persahabatan kami begitu erat. Aku tak sanggup melihat dia kecewa. Tapi…. sesungguhnya aku juga tidak sanggup melepaskan kau Eika. Argh….!

**********

‘KALI ni aku takkan gagal lagi. Aku akan cuba sedaya upaya!’ Tekad Tengku Anis di dalam hati. Laju dia melangkah ke arah pejabat Hakimi.

Sudah sekian lama dia memikat lelaki itu. Namun hasilnya tetap berstatus GAGAL sama sekali. Malah dia pula yang diherdik. Tetapi semua itu tidak mudah mematahkan semangatnya. Dia sendiri tidak faham, mengapakah hati pemuda itu amat sukar untuk ditawannya.

Jika Tengku Anis berjaya mengahwini Hakimi, dia akan menjadi lebih berkuasa dan berpangkat tinggi di Syarikat S.I Sdn. Bhd. Itulah angan-angan yang telah lama dipasangnya sejak dahulu. Boleh sentiasa hidup bersama dengan insan yang dicintainya sejak kecil lagi. Sebenarnya Tengku Anis tidaklah kisah sangat dengan jawatan yang tinggi. Dia memang sangat mencintai Hakimi. Cuma karakter Tengku Anis itu sendiri yang membuatkan ramai orang tidak menyenanginya.

“Hai…. Kimi! boleh tak you temankan I breakfast? Tadi tak sempatlah I nak makan kat rumah. Bolehlah….!” Rengek Tengku Anis penuh manja dan mengada-ngada.

Hakimi mengeluh sebaik sahaja terdengar suara Tengku Anis. Tiba-tiba Hakimi mendapat satu idea. Dia akan cuba menggunakan Tengku Anis bagi menjayakan rancangan barunya.

“Kau belum breakfast lagi ke?” Soal Hakimi walaupun Tengku Anis sudah menyatakannya sebentar tadi.

“Belumm… kan I dah cakap tadi. You ni dengar ke tak apa yang I cakap? Entah-entah you mengelamun ingatkan orang lain tak. Macam mana? Boleh temankan I?”

“Elok juga tu. Aku pun belum makan lagi ni. Jomlah!” Hakimi bersetuju tanpa berfikir panjang lagi. Terasa seperti perbualan ayam dengan itik. Seorang menggunakan kata ganti nama aku dan kau. Seorang lagi pula menggunakan kata ganti nama I dan You.

Tengku Anis amat gembira. Dia memang tidak menyangka bahawa kali ini Hakimi mahu mengikut kehendaknya. Inilah kali pertama. Malah layanan Hakimi juga begitu mesra dan baik sekali. Tidak seperti kebiasaannya. ‘Apakah Kimi sudah mula menyukaiku? He… he… he…!’ Tengku Anis mempercepatkan langkahannya agar tidak ditinggalkan oleh Hakimi yang berjalan agak laju. Hatinya sudah mula berbunga-bunga cinta yang semakin mengembang.

Jauh di sudut hati, Hakimi berharap agar dia dipertemukan dengan Eika. Bukan niatnya mahu memutuskan hubungan dengan gadis kesayangannya itu. Aku terpaksa berbuat begini demi ikatan persahabatan. Percayalah bahawa aku tidak pernah melupakanmu. Detik Hakimi dengan perasaan yang amat sayu dan sebak.

Tiba-tiba Eika melintas di hadapannya. Hakimi agak terkejut. Pantas Hakimi memaut bahu Tengku Anis. Manakala Tengku Anis pula terus sahaja memaut lengan Hakimi memandangkan peluang yang tiba-tiba terbuka dengan luas. Tengku Anis yang sememangnya memusuhi Eika terus berjalan dengan sombongnya di samping Hakimi. Hakimi buat-buat tidak perasan akan kehadiran Eika di situ.

Sementara itu, Eika kelihatan sedang mengerutkan keningnya. Riak wajahnya serta merta berubah. Tanpa membuang masa, Eika terus berlari menuju ke arah mejanya. Mengapa Kimi bersama Tengku Anis? Mengapa dia tidak menegurku? Mengapa?? Bukankah Kimi telah menyatakan perasaan cintanya kepadaku? Dan aku juga sudah memberikan balasan yang positif. Tapi kini, mengapa semuanya seakan telah berubah? Hakimi…. apakah aku sedang bermimpi di siang hari?

Eika terus dihimpit oleh perasaan pilu. Hakimi telah berubah. Hakimi telah termakan pujuk rayu Tengku Anis. Aku telah dikecewakan? Eika amat berharap bahawa apa yang dilihatnya itu hanyalah satu kebetulan yang tidak direlakan oleh Hakimi sendiri. Sebaliknya Eika menganggap semua yang berlaku di hadapan matanya sebentar tadi hanyalah angkara Tengku Anis yang mahu membuatkannya cemburu.. Lagipun, tidak mungkin Hakimi akan berubah hati dalam sekelip mata. Tidak mungkin…. Eika yakin itu.

Eika menghempaskan beg tangannya ke atas meja. Dia langsung tidak mempedulikan Haikal yang sedang mendekatinya.

“Hai, selamat pagi! Eika, boleh tak kau tolong aku?” Pinta Haikal.

“Aku tak ada moodlah!” Jawab Eika malas.

Haikal mangangkat bahu. Hairan melihat sikap Eika yang agak berbeza dari hari-hari sebelumnya. Haikal faham kini gadis itu tidak mahu diganggu. Lantas dia meminta diri lalu beredar meninggalkan Eika keseorangan. Namun sebenarnya Haikal tidaklah jauh meninggalkan Eika. Pandangan matanya terus membenam ke wajah Eika yang tampak suram.

Kelihatan Dahlia pula mendekati Eika. Rambutnya yang ikal mayang itu turut terhayun-hayun mengikut rentak langkahannya. Sesekali dia berasa cemburu terhadap Eika. Mana tidaknya, tidak putus-putus orang mengirimkan bunga kepadanya. Dahlia lah yang terpaksa menyampaikan semua kiriman-kiriman itu kepada tuan punya badan iaitu Eika.

“Selamat pagi, Eika. Ini ada kiriman bunga untuk kau,” tegur Dahlia. Tangannya menghulurkan sejambak bunga ke arah Eika.

“Dari siapa?”

“Tak tahu pulak. Kau tengoklah sendiri. Takkan aku nak baca kad orang pulak,” ujar Dahlia.

Eika menyambutnya. Dibelek-beleknya sebentar bunga tersebut. Mencari kalau-kalau ada kad. Hampa. Dia mengeluh berat lalu menghempaskan bunga tersebut ke atas meja. Kalau diikutkan hati, mahu sahaja dia mencampakkannya ke dalam bakul sampah. Sudahlah tadi dia terserempak Hakimi bersama Tengku Anis. Kini hadir pula sejambak bunga yang tidak bernama. Keadaan ini menambah beratkan lagi perasaannya.

“Alamak, bunga aku itu!” Haikal risau melihat bunga yang dikirimkannya itu dihempas oleh Eika. Kenapalah mood dia tak baik? Wrong timing… Keluh Haikal sendirian.

**********

SUDAH dua minggu masa berlalu. Sudah dua minggu jugalah keadan Eika berubah. Wajahnya tidak seceria dahulu. Perasaannya begitu terganggu dengan perubahan sikap Hakimi yang dirasakan begitu mendadak sekali. Memanglah pada mulanya dia tidak percaya. Tetapi dia tidak mampu menangkis kenyataan itu apabila sikap Hakimi terus-terusan dingin terhadapnya dan semakin mesra bersama Tengku Anis. Kenapa???

“Eika, kau ada masalah ke?” Haikal bertambah risau melihat keadaan Eika yang sedikit tidak terurus.

Kini Eika lebih suka mendiamkan diri. Hanya satu yang tetap tidak berubah, Eika masih makan dan minum bersama Haikal pada waktu rehat. Tiba-tiba Eika tersedar sesuatu. Dia merasa Haikal begitu baik dan amat mengambil berat akan dirinya. Haikal suka membuatkannya terhibur. Terutama di saat dia sedih. Dan di dalam situasi apa pun, Haikal tetap berada di sampinya. Tapi Hakimi…. kenapa Haikal bukan Hakimi? Kenapa?

“Eika…” Panggil Haikal perlahan.

“Maafkan aku, Haikal. Aku….” Kata-kata Eika terhenti.

“Katakanlah, Eika. Aku sedia mendengar apa jua yang kau ingin ucapkan,” dorong Haikal. Kelihatan kolam mata Eika berkaca-kaca. Haikal bertambah terkejut.

“Haikal, kau sajalah yang sanggup berkawan dan mengambil berat tentang diri aku. Aku sedih, Haikal. Sedih…” Eika meluahkan apa yang terpendam di dalam hatinya. Haikal menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Kenapa ni? Kenapa kau sedih pulak?” Cungkil Haikal lagi. Inilah kali pertama dia melihat Eika menangis. Air mata yang selama ini begitu mahal untuk dilihat, kini mengalir jua di hadapan Haikal.

“Tak ada apa, Haikal. Terima kasih, aku suka berkawan dengan kau,” suara Eika lagi.

Tentu ada sebabnya kau jadi begini, Eika. Selama ini kau begitu bersemangat dan ceria. Siapa yang berani membuatkan kau menangis? Hati Haikal terus berkata-kata sambil membuat penilaian terhadap Eika buat ke sekian kalinya.

“Tak payahlah kau risau, Eika. Aku akan cuba menjadi sahabat yang terbaik untuk kau. Aku tidak akan sekali-kali mengabaikan kau. Percayalah cakap aku!” Haikal memberikan semangat. Menjadi sahabat yang terbaik? Haikal mengulangi perkataan yang baru diucapkannya itu di dalam hatinya sendiri. Oh… tidak! Hanya sekadar sahabatkah?

“Terima kasih, Haikal,” ucap Eika buat kali yang kedua.

“Cukup-cukuplah tu kau ucap terima kasih. Aku tau,” balas Haikal.

Haikal mengesat air jernih yang berlinangan di pipi Eika. Eika mahu menahannya. Namun terasa tidak berdaya. Dia hanya membiarkan Haikal berbuat begitu. Dikala itu, tiba-tiba sahaja bayangan Hakimi menjelma di kotak fikirannya.

Alangkah bagusnya kalau Haikal adalah Hakimi. Hakikatnya mereka amat berbeza. Haikal adalah orang yang amat menyenangkan dan sentiasa di sisi ketika aku bersedih. Dan Hakimi pula adalah orang yang amat aku cintai. Tidak kira di dalam susah atau pun senang, aku ingin bersama Hakimi. Tanpa sedar Eika terus membuat perbandingan di antara Haikal dan juga Hakimi. Mungkinkah Eika juga mempunyai perasaan terhadap Haikal? Tiada siapa yang menyedarinya.

Eika yang tiba-tiba tersedar bahawa Haikal sedang mengesat air matanya terus menepis tangan Haikal. Haram bagi lelaki bersentuhan dengan wanita yang bukan muhrim. Mujur Eika masih berada di dalam kewarasan fikiran. Walaupun Eika menyedari bahawa Haikal menggunakan tisu, namun dia tetap tidak merelakan sentuhan itu. Haikal terkedu dengan tindakan drastik Eika. Tak mengapa Haikal…. biarlah aku mengesat air mataku sendiri.

**********

EIKA sedang menyusuri lorong demi lorong di pusat membeli belah. Dia sendiri tidak tahu ke mana arah tujuannya. Biarlah, diturutkan sahaja ke mana arah kakinya mahu melangkah. Yang penting hatinya senang dan tenang. Dahulu dia tidak pernah berkelakuan seperti itu. Dia tidak pernah merayau-rayau keseorangan. Biasanya dia selalu ditemani oleh Sheila. Jiwanya tidak pernah segundah itu. Jawapan yang pasti hanyalah satu…. iaitu kerana Hakimi.

Dahulu ketika Hakimi rancak memikatnya, Eika langsung tidak peduli. Apabila dia mula menerima dan sedang memahat kukuh nama lelaki itu di dalam hati, keadaan tiba-tiba sahaja berubah. Mengapa?? Cinta ini seolah-olah sedang dipermainkan.

Tanpa sengaja Eika terlihat lagi kelibat Hakimi bersama Tengku Anis sedang menjamu selera di sebuah restoran. Argh!!….. Kau pendusta Kimi!! Kau pendusta!! Aku benci kau! Benci! Sangat benci! Tanpa sedar air mata Eika kembali mengalir.

**********

“EIKA, kenapa sekarang aku jarang nampak Kimi?” Soal Atin secara mendadak. Eika tersentak.

“Manalah aku tahu. Kau carilah dia sendiri,” balas Eika. Penuh emosi.

“Ada pulak macam itu. Kau kan buah hati dia. Takkan tak tahu,” kata Atin lagi.

“Sudahlah! Jangan kau sebut nama dia lagi!!” Bentak Eika kuat.

Atin amat terperanjat. Telan air liur Atin dibuatnya. Begitu juga dengan rakan-rakan yang lain. Pelik kerana tidak fasal-fasal sahaja Eika berubah angin. Baru sebentar tadi Eika bergelak ketawa bersama mereka. Namun, apabila Atin bertanyakan hal mengenai Hakimi sahaja, dia terus berubah. Diherdiknya pula si Atin itu. Kesian Atin.

“Kenapa ini, Eika?” Pantas Sheila bertanya. Eika hanya mendiamkan diri. Tidak mahu bersuara.

“Kenapa kau tak suka bila Atin tanya pasal Kimi?” Tanya Lizz pula. Eika masih membatu. Keadaan ini membuatkan mereka yang lain berpandangan sesama sendiri.

“Tak apalah kalau kau tak nak ceritakan pada kita orang. Aku tahu kau mesti ada masalah sekarang. Tapi ingat, bila-bila masa yang kau perlu, kita orang akan sentiasa ada untuk membantu,” ujar Sue pula.

“Betul tu, Eika,” sokong Eida.

Kata-kata perangsang sahabatnya itu hanya dibalas oleh Eika dengan renungan yang amat sukar untuk dimengertikan. Sesungguhnya Eika tidak tahu apa yang patut diucapkan. Hatinya panas dan berdebar-debar bila terkenangkan pemuda itu. Hatinya panas kerana disakiti. Namun dia tidak mengerti akan maksud debaran di dalam hatinya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 28, 29”
  1. adrin_malina says:

    adusssss…. kimi menafikan perasaan sendiri demi haikal. hurm…. chaiyok! ikha…

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    aduhai….naper ler Kimi wat cam 2…. :sad: :sad:
    sekejap berterus terang ttg perasaannya terhadap Eika…
    n sekejap plak berubah demi seorang sahabat…
    cam lalang plak….

  3. soffi says:

    uwaaa.. x mau la cmni.. cian eika 😥
    cpt smbg ya…

  4. Hana says:

    😳 daun pintu…Rumah buluh ke!

  5. Noraz Ikha says:

    Rumah buluh emas ke Hana…ehehe
    apakah maksud ‘daun pintu’?:Bahagian pintu yang dibuka dan ditutup.

  6. hanis says:

    yesss.. next

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.