Novel : Opps! Pintu Hatiku! 30, 31

6 August 2010  
Kategori: Novel

Oleh : Noraz Ikha

Bab 30 & 31

Bab 30

SHEILA sedang mengemas fail-fail yang agak bersepah di atas meja pejabat. Sesekali dijelingnya Shahirul Hazami yang sedang duduk di atas sofa.

“Zami, kau tahu tak sesuatu telah terjadi?” Tanya Sheila secara tiba-tiba. Shahirul Hazami menoleh ke arah Sheila. Dahinya dikerutkan.

“Apa maksud kau? Ada apa-apa yang tak kena ke?” Soal Shahirul Hazami kembali.

“Emm… kau sayang aku tak?” Tiba-tiba Sheila mengubah topik perbualan.

Shahirul Hazami bertambah hairan. Dia bangun lalu duduk di hadapan meja Sheila.

“Kenapa pulak ni? Mestilah aku sayangkan kau. Semua orang pun tahu yang kita ini tengah bercinta. Aku rasa lebih baik kau berterus-terang sahaja. Apa sebenarnya yang kau nak cakapkan ini??” Ujar Shahirul Hazami seolah-olah mendesak. Sheila mengelap wajahnya menggunakan tisu. Kemudian ditarik nafasnya dalam-dalam.

“Okaylah. Sebenarnya aku nak tanya kau sesuatu. Kimi tu dah berubah hati ke? Aku bukan apa. Aku tengok sejak kebelakangan ini…. perangai si Eika tu lain macam sahaja.” Suara Sheila mula menyingkap masalah dan tanda tanya besar yang bermain di benak fikirannya.

“Maksud kau…. Kimi sukakan orang lain?”

“Ya.”

“Tak tahu pulak. Tapi….”

“Tapi apa? Ha… Zami, kau jangan nak rahsiakan apa-apa. Apa yang kau tahu itu?” Potong Sheila.

Kelihatan Shahirul Hazami mengosok-gosok telapak tangannya.

“Tapi… aku tengok sekarang ni Kimi kerap bersama Tengku Anis. Hari itu aku pergi jenguk syarikat dia, aku nampak bukan main lagi si Hakimi itu berkepit dengan Tengku Anis. Masa itu Eika pun ada jugak. Jadi, aku ingatkan Tengku Anis sengaja buat begitu. Saje nak buat Eika cemburu. Yalah, mereka dua orang itu kan memang musuh ketat,” panjang lebar Shahirul Hazami cuba menerangkannya.

Sheila mengangguk-anggukkan kepala. Sebenarnya sudah lama dia mengesyaki sesuatu. Sejak kebelakangan ini dia juga sering terlihat Hakimi berjalan dengan Tengku Anis. Entah apalah yang telah merubah pendirian lelaki itu.

“Eh, cuba kau nasihatkan sikit adik kau tu. Suruh dia… jangan sampai kecewakan Eika. Aku bukan apa. Kesian tengok keadaan Eika yang dah serupa macam orang mamai. Kau tak kesian ke??” Tegur Sheila sambil memberi cadangannya.

Shahirul Hazami hanya acuh tidak acuh sahaja mendengarnya. Tangannya pula sibuk membelek sebuah buku yang terdapat di atas meja. Dia menoleh Sheila yang sedang menjeling tajam ke arahnya. Pantas dia menghadiahkan sebuah senyuman manis kepada Sheila.

“Macam mana kalau….. kalau aku yang suka orang lain?” Duga Shahirul Hazami kemudian. Hampir terkeluar biji mata Sheila mendengarnya. Terasa darah menyirap sampai ke hujung kepala. Shahirul Hazami ketawa terkekeh-kekeh melihat reaksi Sheila yang seperti harimau kelaparan.

“Janganlah serius sangat. Aku gurau jerr!”

“Mengada-ngadalah kau ni! Orang cerita fasal Kimi dengan Eika, dia pergi kenakan orang pulak!” Marah Sheila.

Bengang juga Sheila dibuatnya. Nasib baik tak bangang terus. Sia-sia sahaja. Dilihatnya Shahirul Hazami masih lagi dengan tawanya. Sudah-sudahlah tu ketawa oii. Macam beruk pulak lama-lama aku tengok muka kau tu. Buruk benar. Tak apa. Ada ubi ada batas, ada hari aku akan balas. Omel Sheila di dalam hati.

“Okey…. okey… janganlah merajuk. Haa… baru aku ingat, Zaki kirim salam kat kau,” Shahirul Hazami menukar tajuk perbualan.
Serta merta riak wajah Sheila berubah. Tidak jadi mahu meneruskan rajuknya. Sudah terlalu lama rasanya dia tidak mendengar berita tentang Zaki. Sejak lelaki itu bertukar kerja ke luar negara mereka semakin jarang berhubung. Bertemu apatah lagi. Haram.

“Waalaikumussalam. Dia telefon kau ke?” Soal Sheila ghairah.

“Eh, dia dah balik sinilah. Takkan tak tau lagi kot? Ha ha ha… tak adalah! Kau ni cepat sangat buat muka pelik macam tu. Sebab itulah aku suka sakat kau. Ha ha ha…!”

“Shahirul Hazami…. cuba cakap tu jangan belit-belit!” Marah sheila.

“Yalah… yalah… hari tu aku terserempak dengan dia masa out station kat tempat dia,” akhirnya Shahirul Hazami mengalah.

“Ha… cakap macam itu dari tadi kan senang. Ini nak berbelit-belitlah bagai. Ingat ular ke,” Sheila masih berleter.

Di dalam hati, Sheila berdoa agar Shahirul Hazami tidak akan mempermainkan perasannya. Sungguh dia amat sayangkan lelaki yang kini berada di hadapannya itu.

**********

HAKIMI memusing-musingkan pen yang dipegangnya. Fikirannya sedang rancak memikirkan sesuatu. Satu per satu kata-kata yang diucapkan oleh abangnya semasa di rumah tadi terngiang-ngiang di cuping telinganya.

Hakimi telah menceritakan semua perbuatannya sejak akhir-akhir ini kepada satu-satu abang kembarnya itu. Dia tidak dapat berahsia lagi. Memang abangnya yang satu itulah yang menjadi tempat untuk dia mengadu dan meluahkan perasaan. Tidak fasal-fasal pula dia kena marah dengan Shahirul Hazami.

“Kenapalah kau ni bodoh sangat pergi buat kerja-kerja gila tu. Cubalah fikir dulu sebelum buat keputusan. Ingat hensem sangat ke muka kau kalau buat macam tu. Macam mana dengan Eika kalau dia dapat kesan perubahan yang kau buat ini? Ada tak kau fikir hati Eika? Ada kau fikir hati Tengku Anis? Mesti Tengku Anis ingat kau betul-betul suka kat dia. Kau sedar tak yang kau ini cuma akan mempermain-mainkan perasaan orang lain sahaja? Akibatnya? Sendiri mau ingatlah. Tak lain dan tak bukan…. hati kau sendiri yang teruk… dan hati Eika yang akan terluka. Aduhai Kimi… Kimi….”

Panjang lebar Shahirul Hazami memberi teguran kepada adiknya itu. Biar Hakimi sedar akan apa yang sedang dilakukannya. Hakimi hanya mendengar tanpa mampu meluahkan walau sepatah perkataan pun. Lidahnya menjadi kelu tiba-tiba. Memang apa yang dikatakan oleh Shahirul Hazami itu ada kebenarannya. Baru kini dia ‘terjaga’ daripada ‘mimpi’nya.

Sesekali, dijengukkan kepalanya ke arah pejabat Eika yang lokasinya berhadapan dengan pejabatnya. Jauh di sudut hati, Hakimi tidak pernah berniat untuk melepaskan gadis yang dicintainya itu. Namun Haikal…. Ahh…!! Letih Hakimi memikirkan tentang Haikal. Otaknya beku. Tidak tahu apa yang patut dilakukannya. Tambah-tambah lagi kini Tengku Anis telah terlibat ke dalam masalahnya. Sikap terburu-burunya itu seolah-olah sedang memakan dirinya sendiri. Bukannya mudah dia mahu melepaskan diri daripada Tengku Anis jika sudah terjebak.

‘Bagaimana kalau aku ajak Eika keluar?’ Serta merta soalan tersebut terlintas di dalam kotak fikirannya. Papp!! Tiba-tiba terdengar suatu bunyi yang amat mengejutkan Hakimi. Spontan ditolehkan pandangannya ke arah belakang. Oh… rupa-rupanya hanya sebuah fail yang telah terjatuh daripada kedudukan asal. Hakimi bangkit mencapainya lalu terus dimasukkan semula ke dalam rak. Dengan fikiran yang kusut, Hakimi meneruskan juga kerjanya yang tidak selesai-selesai sejak pagi tadi.

**********

SUASANA di Permata House yang sesak dengan pelanggan-pelanggannya itu menyebabkan Eika berjalan dengan langkah yang amat perlahan. Mindanya masih ligat berfikir. Patutkah dia menjejakkan kaki ke dalam Permata House itu walaupun hakikatnya dia telah pun memasukinya?

“Eika!!” Tiba-tiba dia terdengar namanya seperti dilaungkan seseorang.
Terpusing-pusing Eika mencari dari manakah arah suara itu menerjah pendengarannya. Secara tidak sengaja, matanya menangkap wajah seseorang di salah satu sudut Permata House. Kini dia pasti, orang itulah yang telah melaungkan namanya sebentar tadi.

“Assalamualaikum. Apa khabar?” Sapa Eika.

Eika berlagak seperti biasa. Tidak mahu menunjukkan rasa tidak senang hatinya. Kelihatan pemuda itu tersenyum manis.

“Waalaikumussalam. Saya okey. Macam mana dengan Eika?” Tanyanya pula.

‘Heh! Tanya konon. Sudah gaharu cendana pula, sudah tahu bertanya pula!’ Desis Eika di dalam hati. Sementara itu Hakimi hanya memandang tepat ke wajah Eika. Eika sengaja membiarkan soalan Hakimi itu tergantung tanpa sebarang jawapan daripada mulutnya.

“Kenapa kau nak jumpa aku?” Tanya Eika kembali. Terpesong daripada topik sebelumnya. ‘Aik… takkan nak jumpa pun dah tak boleh kot? Itulah, semuanya aku punya pasal!’ Di dalam hati, Hakimi asyik memarahi diri sendiri.

Hakimi mula tersedar akan sesuatu yang kini telah berubah. Eika sudah tidak membahasakan diri dengan perkataan ‘saya’ dan ‘awak’.

Sebaliknya telah kembali bertukar dengan perkataan ‘aku’ dan ‘kau’. Sama persis seperti di alam persekolahan dahulu. Hakimi terpaksa mengikut rentak Eika.

“Ehem… sebenarnya aku…” Ternyata Hakimi masih ragu-ragu untuk menyatakan hasrat hatinya. Bimbang kalau-kalau akan dibalas dengan kutukan Eika.

“Sebenarnya apa?” Soal Eika menyebabkan Hakimi semakin terdesak.

“Sebenarnya aku nak makan!!” Spontan kata-kata tersebut meluncur keluar daripada mulut Hakimi. ‘Hah? Apa aku dah cakap ni? Aduh…. janganlah gelabah sangat. Buat malu sahaja!’ Sekali lagi Hakimi berleter kepada dirinya sendiri.

Terbeliak kedua-dua bola mata Eika mendengarkan kata-kata Hakimi. Eika langsung tidak menjangkakan jawapan tersebut. ‘Kalau setakat nak makan…. tak boleh ke makan sendiri? Mengada-ngada betul. Ingatkan ada benda serius ke… apa ke..!’ Getus Eika di dalam hati. Seperti biasa, Hakimi akan menggaru-garu belakang kepalanya yang tidak gatal.

“Makan??” Eika terjerit.

“Maaf…. sebenarnya aku nak minta maaf dekat kau. Sambil tu… err.. makanlah sekali,” akhirnya Hakimi menyatakan hasrat hatinya sambil menutup malu di atas keterlanjuran kata-katanya sebentar tadi.

Serentak itu terbayang wajah Haikal di penjuru mindanya. Haikal….. aku harap kau faham. Eika adalah cintaku sejak di bangku sekolah lagi. Jika ada kesempatan, aku akan menceritakan kisah cintaku kepada kau Haikal. Aku akan menunggu saat itu.

“Maaf untuk apa pulak? Kau tak buat salah kat aku pun!” Balas Eika seolah-olah tiada apa-apa yang serius.

“Ada… aku ada buat salah. Dan aku pasti, kau pun tahu kan? Kau tak boleh menipu diri kau sendiri Eika!”

Suara Hakimi penuh dengan perasaan dan harapan. Eika hanya menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Apa ini? Aku ke kau? Kau yang tak boleh menipu diri kau sendiri wahai Encik Hakimi. Aku tahu kau tidaklah teruk seperti mana yang kau lakonkan itu. Aku juga tahu bahawa kau hanya berpura-pura di hadapan Tengku Anis. Tapi ingat, kau tak boleh berpura-pura di hadapan aku, Kimi. Memang sebelum ini aku amat memahami sikap dan perangai kau. Bukankah kau benci terhadap Tengku Anis? Betulkan??”

Eika meluahkan segala yang terpendam di dalam hatinya. Pada mulanya, memang dia sangat benci dan sakit hati melihatkan sikap Hakimi yang berubah secara tiba-tiba. Namun dia masih waras. Masih berkemampuan untuk berfikir secara rasional. Baginya, Hakimi tidak akan mudah berubah tanpa sebab. Sudah tentu ada sesuatu yang tidak kena. Dan Eika akan cuba mencarinya.

Manakala Hakimi pula terpinga-pinga mendengarkan kata-kata Eika. Mulutnya sedikit terlopong. Memang itulah kata-kata yang mahu diluahkan. Namun Eika telah terlebih dahulu memperkatakannya. Semua tekaan Eika itu memang benar-benar belaka. Macam mana Eika boleh tahu??

“Terima kasih sebab kau sudi memahami hati aku. Eika… aku sayangkan kau!” Luah Hakimi buat kesekian kalinya.

Hampir jemu Eika mendengarkan ucapan tersebut. ‘Malangnya… kau belum benar-benar memahami aku, Kimi. Aku bukanlah baju yang boleh ditukar ganti. Ternyata kau memang seorang lelaki yang tidak tetap pendirian. Walau apa pun, aku akan siasat perkara ini dulu!’ Tekad Eika penuh semangat. Hatinya kuat mengatakan ada sesuatu di sebalik semua ini.

“Maafkan aku Kimi. Sekalipun aku memahami kau, tapi aku tetap tidak suka diri aku dipermainkan sesuka hati. Berilah sedikit ruang untuk aku memikirkannya kembali. Jangan bimbang, aku tahu apa yang aku buat!” Ucap Eika lalu terus bangun meninggalkan Hakimi.

Eika tersenyum sendiri. Puas! Hakikatnya, sikap Eika tidaklah setegas itu. Dia pandai berlakon. Sehebat Nasya Aziz dalam filem Laila Isabella yang meletup-letup. Sekurang-kurangnya Hakimi tidak akan tenang memikirkan hal ini. Itulah yang Eika mahukan. Biar lelaki itu pening dan keliru melihat sikapnya yang sekejap happy go lucky dan sekejap dingin.

Hatinya meronta mahu mengejar Eika. Namun kakinya seolah-olah sudah terpaku. Dia hanya mampu merenung Eika yang telah pun jauh meninggalkannya sedikit demi sedikit. Akhirnya dia mengeluh kasar. Menyesal kerana telah melukai hati gadis kesayangannya. Meskipun Eika tidak pernah mempamerkan rasa duka, tetapi Hakimi sedar bahawa sekeping hati yang suci itu telah pun menderita.
Abang… terima kasih. Tanpa nasihat abang, tentu aku masih hanyut dalam rancangan bodoh ini.

Bab 31

TELAH berkali-kali Eika memohon cuti. Namun majikan merangkap kekasih hatinya itu tetap tidak mahu memberikan kelulusan. Eh… kekasih ke? Dia tidak peduli. Lulus ke… tidak lulus ke… dia tetap akan bercuti hari ini. Dia mahu keluar bersama Sheila.

“Eika, mana kita nak pergi ni?” Soal Sheila. Dia tahu sahabatnya itu amat suka kepada bidang penyiasatan. Tapi sayang dia tidak mahu menjadi anggota polis.

“Apa kata kita pergi kat kedai depan tu. Sebelum kita mulakan sesuatu, baik kita kenyangkan perut kita dulu. Macam mana?” Cadang Eika laju. Kelihatan Sheila menjuihkan bibirnya.

“Apalah kau ni. Belum buat apa-apa lagi dah nak mencekik. Nanti aku cekik-cekik kau baru kau tahu,” balas Sheila. Eika hanya ketawa mendengarnya.

“Alah Sheila, apa salahnya. Aku tahulah kau tu dah tak sabar nak berlagak macam Inspektor Aleza dalam filem Gerak Khas The Movie itu!” Sakat Eika kemudian.

Sheila mahu mencubit lengan Eika. Namun Eika dapat mengelak lalu ketawa terkekeh-kekeh. Sheila yang berasa geram terus mengejarnya. Tergopoh-gapah Eika cuba melarikan diri.

Eika dan Sheila memerhatikan makanan dan minuman yang telah tersedia di hadapan masing-masing. Mereka saling berpandangan dengan wajah yang pelik. Kemudian Sheila tersenyum sinis.

“Hah! Kenapa duduk macam patung je? Makanlah, tadi bukan main lagi laparlah, nak makanlah, nak mencekiklah!” Tegur Sheila.

“Kaulah makan dulu. Aku peliklah!”

“Eh, aku pulak yang kena makan dulu!” Tolak Sheila. Eika menolak badannya sedikit ke hadapan agar mudah untuk berbicara dengan Sheila.

“Eh, kau rasakan, kenapa pekerja tadi tu hantar makanan kat meja kita ha? Kita belum order lagi kan?” Bisik Eika dengan wajah yang berkerut.

“Ya tak ya jugak. Ha… entah-entah, ada orang minat kat kau tak? Yalah… nak belanja makan. Banyak pulak tu. Aku rasa tak habis kalau kita makan berdua ini,” teka Sheila sebarangan.

“Jangan mengarutlah kau. Mana ada. Pandai-pandai dia aje nak bercakap. Tapi… aku tengok, makanan ni boleh tahanlah. Apa kata orang tu…. rezeki jangan ditolak. Makanan jatuh dari langit ni. He… he… he…” Ujar Eika sambil mencapai sudu dan garpu di atas meja.

“Hei, kau betul-betul nak makan ke? Orang punya ini!” Bantah Sheila.

“Laa… tadi dia jugak yang cakap ada orang minat kat aku dan ada orang nak belanja aku makan. Ni sekarang nak marah orang pulak!”

“Aku main-mainlah. Kau ini!”

“Yalah… yalah… aku tak makan,” balas Eika lantas meletakkan kembali sudu dan garpu di tangannya ke tempat asal.

“Heii! Perempuan, kenapa duduk kat meja kita orang??”

Hampir terpelanting sudu dan garpu yang berada di samping Eika dan Sheila apabila tiba-tiba sahaja muncul seorang wanita dengan sergahan yang amat kuat dan nyaring. Membingitkan telinga sesiapa saja yang mendengarnya. Eika dan Sheila saling berpandangan sebelum menoleh ke arah datangnya suara tersebut.

“Apa pulak. Kita orang yang duduk tempat ini dulu!” Lawan Eika dengan berani.

“Tapi makanan tu aku yang punya. Tak tau malu ke?!” Sindir Tengku Anis dengan senyuman sinisnya yang sungguh meluatkan.

Bagai hendak pecah telinga Eika dibuatnya. Terasa sungguh maruahnya sedang dicabar orang. Tergamak sungguh Tengku Anis itu mengatakan dirinya tidak tahu malu. Pantang nenek moyang Eika. ‘Kau ingat aku tak ada duit ke nak makan?’ Marah Eika di dalam hati.

“Kenapa ini?” Tiba-tiba muncul pula seorang pemuda yang segak bergaya.
Sebaik sahaja Tengku Anis terpandangkan pemuda tersebut, dia terus mendapatkannya. Digenggamnya lengan pemuda itu dengan penuh erat. Menimbulkan rasa cemburu di dalam hati Eika. Tidak bekerja jugakah dia? Kehadiran Hakimi di tempat itu menimbulkan tanda tanya di dalam hati kecil Eika. Ah… aku peduli apa.

“Kimi…. you tengoklah betina tak tahu malu ni. I sengaja order makanan dulu kat pelayan tu tadi. Saje nak buat surprise untuk you. Tapi you tengoklah itu, dia orang ini kacau daunlah pulak! I pergi tandas kejap je tadi. Tau-tau dia orang dah bersenang lenang duduk kat meja ni,” adu Tengku Anis.

Suara Tengku Anis itu kedengaran sungguh manja dan mengada-ngada. Semakin panas cuping telinga Eika. Sheila hanya mampu memandang Eika dengan pandangan yang penuh makna tersirat. Semoga sahabatnya itu dapat bersabar.

“Kau bagitahu pelayan itu meja nombor berapa?” Soal Hakimi sekadar untuk menghilangkan rasa gundah di hati.

“Laa… nombor meja inilah. Nombor mana lagi. You nii…!” Jawab Tengku Anis.

Hakimi kelihatan serba salah. ‘Kenapa setiap kali aku keluar dengan Tengku Anis pasti akan bertemu dengan Eika? Agaknya… ALLAH juga mahu aku bersama Eika. Tapi Eika…” Pada saat inipun Hakimi masih sempat mengelamun.

Menyedari lengannya sedang dipegang erat oleh Tengku Anis, Hakimi cepat-cepat menarik tangannya agar cepat terlepas dari cengkaman wanita itu. Tengku Anis kelihatan kecewa dan malu kerana diperlakukan begitu di hadapan Eika dan Sheila. Namun demi kekasih hatinya itu, Tengku Anis sanggup membuat muka tembok. Tetap berdiri terus di sisi Hakimi.

“Eika… Sheila… maaf kerana membuatkan kau orang malu macam ini,” pinta Hakimi sambil menjeling tajam kepada Tengku Anis. Selamba sahaja wanita itu nampaknya.

Eika tersenyum sinis sambil memandang tajam ke arah Tengku Anis. Tengku Anis pula mencebikkan bibir seolah-olah memperkecilkannya. Eika tersenyum di dalam hati kerana wajah Tengku Anis itu jelas menunjukkan rasa marah.

“Apa? Malu? Hei, siapa yang kau kata malu itu?”

“Hai… awaklah wahai betina tak mahu malu!” Sampuk Tengku Anis tanpa dipinta.

Tersirap darah Eika mendengarnya. Sheila juga meluat dan geram melihat perangai Tengku Anis. Mereka berdua memandang tepat ke wajah wanita berpangkat tengku itu.

“Kenapa? Tak puas hati ke? Hei… perempuan, bertepuk sebelah tangan takkan berbunyi tau. Sia-sia saja menepuk angin!” Sindir Tengku Anis lagi dengan wajah yang tiada perasaan dan tiada hati perut.

“Apa kau kata? Bertepuk sebelah tangan? Cakap apa ini, ha? Tolong sikit, siapa yang kau kata bertepuk sebelah tangan itu? Cuba cakap kat aku?!” Cabar Eika. Dia tahu dialah orang yang sedang dimaksudkan oleh Tengku Anis. Namun hakikatnya bukan begitu. Giliran Tengku Anis pula tersenyum sinis.

“Aii… siapa lagi. Tak payahlah nak berahsia-rahsia lagi Cik Eika oii. Aku tau, kau suka kat kekasih aku bukan?” Ujar Tengku Anis.

“Dia? Dia ni yang kau kata kekasih kau?” Soal Eika sambil jari telunjuknya menuding tepat ke arah Hakimi.

“Yalah…. Kimi, I lah kekasih you kan… kan?” Rengek Tengku Anis manja menyebabkan hati Sheila bertambah meluat. Manakala hati Eika pula semakin panas membara.

“Apa ni, Anis. Janganlah main-main. Sekarang bukan masanya,” tegas Hakimi seolah-olah membela Eika.

Tengku Anis mengetap bibir melihatkan reaksi Hakimi. Tidak seperti yang diharapkannya. Jelas dia telah dimalukan oleh kekasih sendiri.

“Wahai Tengku Anis yang cantik, jelita, rupawan dan… dan apa-apa je lah. Untuk pengetahuan kau, aku sikit pun tak teringin dengan orang yang suka berpura-pura. Lagi-lagi orang macam…. ke… kekasih kau ni. Tak payahlah. Tapi… aku musykil sikitlah. Betul ke kau ni kekasih Hakimi? Entah-entah… syok sendiri. Ha… ha.. ha…! Sudahlah! Tak kuasa aku nak layan kau!” Setelah menghabiskan kata-katanya itu Eika terus berlalu dari tempat itu.

Sheila kelihatan terangguk-angguk tanya setuju dengan kata-kata Eika tadi. Dia juga terus mencapai beg tangannya.

“Kau jangan cuba-cuba nak kacau Eika lagi. Faham?? Makanlah makanan kau yang dah sejuk tu. Kita orang pun tak hingin! Kimi…” Sheila tidak menghabiskan kata-katanya terhadap Hakimi. Biar lelaki itu faham sendiri. Itu pun kalau dia faham.

‘Eika, aku akan selesaikan masalah hubungan kita secepat mungkin. Pertama sekali, aku harus selesaikan Tengku Anis dahulu. Sabar sayang..” bisik Hakimi di dalam hati.

Nampaknya tidak perlu lagi Eika menyiasat. Sudah terang lagi bersuluh. Hakimi memang menjalin hubungan dengan Tengku Anis. Tujuannya bercuti pada hari ini adalah untuk melihat apakah Hakimi tetap bermesra dengan Tengku Anis tanpa kehadiran dirinya di pejabat.

Selama ini dia hanya disajikan dengan kemesraan mereka yang ternyata menyakitkan hati. Dia masih berharap bahawa Hakimi hanya berpura-pura melayan Tengku Anis di atas sebab-sebab yang tidak diketahui. Namun dengan peristiwa yang baru terjadi pada hari ini, dia merasa semakin jauh daripada Hakimi.

Dari kejauhan dia dapat menangkap adegan suap menyuap antara Hakimi dan Tengku Anis. Dia sendiri hairan menyaksikan tindak tanduk Hakimi. Dia dapat melihat sesuatu yang tidak kena pada diri Hakimi.

Untuk apa Hakimi melayan Tengku Anis? Untuk apa Hakimi meminta maaf dan cuba berbaik-baik dengannya di belakang Tengku Anis? Untuk apakah semua itu?


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 30, 31”
  1. MiCha2402 says:

    😈 😆 ..
    huhu..apa la hakimi..
    mna dia nak ne..

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    menarik2….sukanyaa… 😉 😉
    berdebar2 lak menanti bab seterusnya…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.