Novel : Opps! Pintu Hatiku! 32, 33

14 August 2010  
Kategori: Novel

Oleh : Noraz Ikha

Bab 32

“EIKA… kau tak boleh macam ini tau. Sekurang-kurangnya, kau ambillah dulu surat ini,” nasihat Sheila tanpa jemu.

Kelihatannya Eika lebih senang mengambil sikap acuh tidak acuh. ‘Apa lagi yang dia nak? Kalau ya pun nak cakap dengan aku, tak boleh ke jumpa sendiri. Beritahu face to face. Ini… nak berposmen-posmenlah bagai. Pengecut!’ Eika tidak mempedulikan Sheila di sebelahnya.

“Kesian dia tau. Ambil sajalah. Please…” Pujuk Sheila lagi.

Tangannya terus menghulurkan sampul surat berwarna merah jambu. Memang itu warna kegemaran Eika.

“Tak naklah! Kalau kau kesian sangat kat dia, kau sajalah ambil surat tu. Aku bagi kau,” balas Eika masih dengan wajah selambanya. Sheila mengeluh. ‘Kerasnyalah hati kawan aku seorang ni. Lebih keras daripada batu,’ rungut Sheila di dalam hati.

“Ya ALLAH Eika… Eika… Surat ni ditujukan kepada Nur Elliya Shafeika. Bukannya aku. Aku cuma menyampaikan aje. Kenapa kau tak nak terima surat dia? Kau orang bergaduh lagi ya? Alah… bergaduh masa bercinta tu biasalah. Puncanya mesti cemburu kan? Bukan ke… cemburu itu tandanya sayang?” Ujar Sheila penuh semangat.

“Eeeeii…. tak mainlah gaduh-gaduh sayang macam itu. Jiwanglah kau ini. Pandai-pandai je serkap jarang orang…” balas Eika. Jari jemarinya mula mencari sasaran.

“Eh… kalau ya pun janganlah cubit aku. Tengok tangan kau tu, dah macam kaki labah-labah. Geli aku, berbisa pulak tu!” Jerit Sheila sambil cuba mengelak.

Sebenarnya Sheila sendiri tidak pasti siapakah pengirim sebenar surat tersebut. Dia hanya menerimanya dariapada seorang budak. Tanpa membuang masa, dia terus mengajak Eika ke taman tersebut untuk memberikannya. Tidak sangka pula Eika enggan menerima. Namun Sheila dapat merasakan surat itu datangnya daripada Hakimi.

“Ha… tau pun. Nanti aku sengat-sengat kulit kau baru padan muka. Okaylah… disebabkan kau adalah kawan aku… bak sini surat itu! Kau tau tak siapa malaun yang bagi surat ini?” Akhirnya Eika mengalah juga. Sheila tersenyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

“Tapi… siapa lagi kalau bukan kekasih hati pengarang jantung kau yang satu itu!”

“Siapa? Jantung aku mana ada pengarang. Ada tulisan ke kat dalam jantung aku ni?” Eika sengaja berkata begitu.

“Eh… eh budak ni. Susah betul nak cakap dengan dia. Takkan boleh lupa kekasih sendiri kot?” Usik Sheila.

“Aku tau, kau mesti ingat pengirimnya ialah Hakimi kan?” Teka Eika.

“Mestilah. Takkanlah Haikal kot!” Balas Sheila.

Eika menguis-nguis rumput di hujung kaki. Dilempar pandangannnya ke arah tasik buatan yang terbentang indah di hadapan matanya. Haikal? Mengapa tiba-tiba sahaja Sheila menyebut nama Haikal? Haikal yang terlalu mengambil berat akan dirinya.

“Haikal?” Bisik Eika. Haikal yang membuatkannya ceria.

“Kenapa?” Berkerut dahi Sheila.

“Ah! Tak ada apa-apalah! Sheila, macam mana dengan Sue?” Eika sengaja menukar tajuk perbualan. Sheila faham. Biarkanlah.

“Okay! Kalau tak ada aral melintang, minggu depan kahwinlah dia dengan tunang tersayang. Nasib baiklah si Zarinah tu tak kacau Sue lagi. Aman dunia…” Jawab Sheila. Sekadar mengikut rentak Eika.

“Eh… dah lama ni. Jom baliklah!” Ajak Eika.
“Jom!”

**********

NUR ELLIYA SHAFEIKA…

Apa khabar? Masihkah kau ingat akan aku? Aku yang masih tidak berubah sejak mengenali dirimu sejak bertahun-tahun yang lalu. Ketahuilah aku kini amat merindui dirimu.

Maaf kerana sudah terlalu lama aku tidak mengutus surat kepada dirimu. Jika tidak silap….sudah lebih lima tahun lebih. Wow… satu jangka masa yang amat lama. Hanya satu kebimbangan yang sering bermain difikiran aku. Bimbang diriku telah kau lupakan. Kau tidak melupakan aku bukan?

Buat masa ini, tidak perlulah kau tahu siapakah aku yang sebenar. Namun seperti dahulu, aku tahu segala perkembangan hidup kau. Hanya satu kupinta, jangan kau ragu atau takut kepada aku. Aku tetap manusia. Bukannya hantu atau apa sahaja. Percayalah…. dari dahulu hingga kini… dan untuk selamanya, aku akan tetap melindungi kau!
Sebelum mengundurkan diri, aku ingin memohon kemaafan sekali lagi. Benar-benar meminta maaf setulus hati. Aku tahu kau kini sedang bersedih. Maaf..maaf..maaf..!

Insan Setia,
-PSH-

Maaf? Kalau benar pun aku tengah bersedih, apa kaitannya dengan dia? Kenapa dia pula yang perlu meminta maaf? Sebaliknya Hakimi yang sepatutnya memohon kemaafan itu. Bukannya PSH yang dia sendiri tidak kenal.

Berkerut dahi Eika sebaik sahaja habis membaca isi surat yang baru diterimanya petang tadi. ‘Siapakah gerangan orang yang menghantarnya? Mengapa dia tidak mahu aku tahu siapa dia? Dan macam mana pulak dia boleh tahu semua perkembangan aku? Apakah aku mengenali dia? Entahlah…..!’

PSH? Eika mengulang-ulang nama pengirim tersebut. Tiba-tiba dia terfikir sesuatu. ‘Dia kata sudah lebih lima tahun tidak berutus surat. Maknanya, surat terakhir yang aku terima ialah semasa aku di tingkatan lima. Ah… dah lama sangat itu! Masakan aku boleh ingat. Lagipun, semua benda yang tak aku gunakan lagi sudah dibakar. Hancur lebur menjadi abu.’

Eika bangun dari katil lantas menyambar telefon di tepi katilnya. Jari jemari runcingnya mula menekan-nekan nombor telefon seseorang.

“Helo, assalamualaikum. Boleh saya bercakap dengan Sheila”

“Ya, Sheila bercakap. Ini Eika ke?” Sheila dapat mengecam suara Eika.

“Yalah, siapa lagi. Eh Sheila, kau tahu tak siapa yang bagi surat itu kat kau tadi?” Ujar Eika terus kepada soalannya.

“Entahlah. Pengirim sebenarnya aku tak tau. Sebab ada seorang budak yang bagi aku surat tu. Tak sempat aku nak tanya, budak tu dah lari,” jawab Sheila di hujung talian.

“Kalau bukan Kimi siapa lagi boyfriend kau. Apa dia cakap dalam surat tu? Dia pujuk kau erk?”

“Bukan Kimi yang bagi surat itulah. Tapi… PSH!” Jelas Eika tanpa berselindung.

“Siapa PSH itu? Kawan kau ke? Pelik semacam aje bunyi nama tu,” kata Sheila.

“Entahlah. Tapi dia ada kata, dah lebih lima tahun dia tak hantar surat. Last masa aku tingkatan limalah. Tapi kan dah lama sangat. Aku pun dah tak ingat apa-apa pasal dia lagi,” terang Eika.

“Masa kita tingkatan lima ya… Oh ya, baru aku ingat, dulu kan kau ada tunjukkan surat PSH itu kat kita orang. Aku ingat lagi sebab kau tuduh kita orang yang buat dan reka surat tu kan? Ha, sekarang barulah terbukti bukan kita orang yang main-mainkan kau tau!” Beritahu Sheila. Masih sempat dia mengusik.

Eika mengerutkan kening. Cuba mengingat peristiwa lampau. Tiba-tiba riak wajahnya berubah. Bola matanya membulat. Seperti nampak hantu saja lagaknya.

“Oh ya, tak apalah Sheila. Terima kasih. Okey…. bye!” Cepat-cepat Eika memutuskan talian. Sheila yang kehairanan dengan gelagat Eika itu tidak mampu bersuara lagi. Talian telefon sudah diputuskan “Suka hati kaulah, Eika,” bisik Sheila seorang diri.

Tanpa membuang masa Eika terus menyelongkar bilik tidurnya. Memang dahulu dia telah membakar semua surat-surat yang tidak digunakan lagi. Namun dia masih ingat, dia tidak membakar sebuah kotak yang berisi surat. Kotak tersebut telah disimpan dan diasingkan awal-awal lagi.

“Hisy… mana pulak perginya ini?” Rungut Eika sendirian. Dia terus mencari-cari. Dibukanya pula laci di bawah katil. Teraba-raba tangannya di dalam laci tersebut.

Matanya membesar apabila tiba-tiba dia terpegangkan sesuatu. Perlahan-lahan tangannya ditarik keluar. “Ah! Stoking busuk rupanya! Ingatkan apa, patutlah lembut semacam aje!” Jerit Eika sambil melemparkan stoking tersebut ke dalam tong sampah. Tangannya terus lincah mencari sesuatu di dalam laci.

Sekali lagi pergerakannya terhenti, dia terpegangkan sesuatu lagi. Sesuatu yang keras. Kali ini mesti betul. Sepantas kilat ditariknya keluar kotak tersebut. Ya… memang benar. Kotak itulah yang telah diasingkannya suatu ketika dahulu. Sebaik sahaja penutup kotak tersebut dibuka, matanya terus menangkap sampul-sampul surat yang beraneka warna. Kini dia pasti, dia kenal PSH melalui surat. Tetapi realitinya dia langsung tidak tahu siapakah PSH. Eika sudah mengingati segala-galanya mengenai PSH. Namun identiti PSH masih menjadi misteri di dalam hidupnya.

Bab 33

“EIKA!” Panggil Haikal tiba-tiba.

Terdongak kepala Eika memandang ke wajah Haikal. Suasana di dalam restoran itu memang sungguh romantik. Sengaja Haikal memilih restoran tersebut. Haikal mahu mengikut cadangan Hakimi suatu ketika dahulu. Dia bertekad akan meluahkan segala isi hatinya kepada Eika. Dia tidak kisah lagi akan akibat yang bakal terjadi.

“Sebenarnya aku nak bagitahu kau sesuatu. Aku harap kau takkan marah aku,” Haikal memulakan mukadimahnya.

“Cakap ajelah. Buat apa aku nak marah pulak!” Ujar Eika. Matanya tepat menatap wajah Haikal yang putih bersih itu. Sejuk mata memandang.

“Dah lama sebenarnya aku nak cakap benda ni,” suara Haikal lagi.

“Yalah, tapi apa dia?” Desak Eika mula bosan dengan ragam Haikal.

“Kalau kau nak tahu, sebenarnya… selama ini aku… aku mencintai kau, Eika!”

Mulut Eika melopong mendengar pengakuan ikhlas daripada Haikal. Dia akui, memang dia juga menyukai Haikal. Tetapi, perasaan suka itu tidak akan sama sebagaimana dia menyukai Hakimi. Cinta hati Eika hanya milik Hakimi.

Haikal terus menanti kata-kata yang bakal keluar daripada mulut Eika. Serba salah gadis itu jadinya. Dia tidak berniat mahu mengecewakan Haikal.

“Haikal, aku minta maaf banyak-banyak,” balas Eika lambat-lambat membuatkan Haikal terkejut.

“Kenapa Eika?” Haikal cuba meminta alasan. Eika tidak menjawab soalan Haikal. Dia hanya tunduk merenung alas meja.

“Kau suka orang lain ke? Siapa?” Teka Haikal tidak berpuas hati.

‘Ya, Haikal… aku mencintai Hakimi!’ Jawab Eika sekadar di dalam hatinya. Wajahnya sayu memandang wajah Haikal. Lelaki itu tetap terus menunggu jawapan.

“Ya,” pendek sahaja jawapan yang diberikan. Berat hati Eika mahu meluahkannya. Haikal mengeluh berat. Sukar untuknya menerima pengakuan Eika itu.

“Siapa?” Haikal ingin tahu. Sekurang-kurangnya dia mahu tahu siapakah pesaingnya.

Susah untuk Eika menjawab. Haikal tidak perlu tahu semua itu. Banyak buruk daripada yang baik. Tambahan pula, Haikal dan Hakimi sudah lama menjadi sahabat karib. Dia tidak mahu hubungan persahabatan itu menjadi berantakan hanya disebabkan oleh dirinya.

“Siapa Eika?” Soal Haikal lagi. Kali ini lebih menekan. Eika terus-terusan mendiamkan diri. Membiarkan Haikal terus lemas di dalam arus keresahan.

“Tak apalah kalau kau keberatan nak beritahu,” akhirnya Haikal mengalah. Dia tidak mahu dituduh sebagai pemaksa. Itu bukan perangainya.

“Maaf Haikal! Aku pergi dulu!” Ujar Eika. Pantas dia melarikan diri dari situ. Eika tidak sanggup lagi untuk terus berlama-lama melihat kekecewaan Haikal. Simpatinya mudah jatuh.
Haikal menumbuk telapak tangannya sendiri. Kesal dengan jawapan Eika. Kesal terhadap dirinya sendiri juga.

**********

“APA yang kau repekkan ni, Tengku Anis? Kau dah gila ke?” Keras nada suara Haikal. Dia membantah rancangan jahat Tengku Anis.

“Apasal pulak dengan kau ni? Lecehlah kalau macam ini!” Rungut Tengku Anis.

Pada pandangan Tengku Anis, Haikallah orang yang paling sesuai untuk dia melaksanakan rancangan yang telah lama dipendamnya.

“Aku kata, aku tak nak…. aku tak naklah. Ini kerja gila namanya! Kau faham tak?” Marah Haikal tanpa dapat dibendung lagi.

“Oh… jadi, kau tak kisahlah kalau… kekasih hati kau itu… tak pedulikan kau?” Pancing Tengku Anis.

Kini hati Haikal seolah-olah berbelah bahagi. Ah… hasutan! Dia telah bertekad. Dia tidak akan terpengaruh dengan pujukan Tengku Anis. Wanita muda itu memandang Haikal dengan pandangan dan senyuman yang menggoda. Telan air liur juga Haikal dibuatnya. Namun imannya masih kuat.

“Tapi Hakimi itu kawan aku. Eika pun kawan aku juga. Aku tak nak menjadi pengkhianat semata-mata kerana kau. Tak pasal-pasal, terjejas pulak hubungan baik kami nanti. Siapa nak bertanggungjawab nanti? Kau nak?” Haikal membina alasan yang logik.

Tengku Anis mendengus kasar. Walau apa sekalipun, Tengku Anis tetap mahu melakukannya. Dia memeluk tubuh. Manakala Haikal pula terus berkemas-kemas untuk pulang ke rumah. Tengku Anis terus merenung wajah Haikal.

“Cuba kau bayangkan, kalau Kimi layu kat tangan aku, dia takkan berpaling lagi pada Eika. Kesiannya, takkan kau tak tahu lagi yang si Eika itu suka kat Kimi?” Tengku Anis masih cuba memancing perhatian Haikal.

“Aku tak percaya!” Haikal terus menidakkan segala kata-kata Tengku Anis.

“Sekarang kau nak tolong aku ke tak ini?” Tengku Anis mahukan persetujuan.

“Tak nak!” Haikal masih tetap dengan pendiriannya.

“Jadi, kau betul-betul tak setujulah ini?” Tengku Anis meminta kepastian. Dia masih tidak berpuas hati.

“Tidak!!” Tegas Haikal tanpa ragu-ragu.

“Tak apa. Tengoklah nanti,” bisik Tengku Anis perlahan. Tetapi bisikan itu masih sempat sampai ke pendengaran Haikal. Namun dibiarkannya sahaja.

Tengku Anis berjalan pula ke arah meja Eika. Dia memandang kerusi tempat duduk Eika yang sudah kosong. Sambil melabuhkan punggungnya di atas kerusi empuk itu, bibirnya mula mengukir sebuah senyuman yang penuh makna.

“Tak lama lagi, kau tahulah nasib kau, Nur Elliya Shafeika,” Tengku Anis berbisik kepada dirinya sendiri.

“Apa kata kita tukar rancangan. Rancangan kemalangan Eika. Lepas itu kau pura-puralah jadi penyelamat untuk dia. Supaya dia rasa terharu dengan kau. Lepas itu, dia mesti cintakan kau punyalah,” cadang Tengku Anis lagi. Masih tidak berputus asa.

“Kau gila!” Balas Haikal. Kemudian dia mengangkat begnya dan terus berlalu meninggalkan Tengku Anis keseorangan.

Sebentar tadi Tengku Anis telah mengajaknya untuk melakukan dua rancangan jahat. Pertama, Haikal ditugaskan untuk menghubungi pejabat agama supaya Tengku Anis dan Hakimi akan dicekup ketika sedang berdua-duaan. Kedua, Haikal ditugaskan untuk menyamar di dalam telefon untuk memberi amaran kepada Eika supaya gadis itu tidak berani mendekati Hakimi. Dan terbaru, Tengku Anis mengajaknya untuk bersekongkol merancang kemalangan. Huh! Memang sudah sewel agaknya otak Tengku Anis.

Tiba-tiba Tengku Anis teringatkan sesuatu. Dia sepatutnya melakukan ini dahulu sebelum bertemu Haikal. Ah… tidak mengapa. Hanya kesilapan kecil. Laju sahaja dia meninggalkan Syarikat S.I Sdn Bhd. Tengku Anis pasti, kali ini dia akan memperoleh orang yang lebih sesuai daripada Haikal.

**********

KERETA dipandu deras sekali. Kemudian kereta Tengku Anis berhenti betul-betul di hadapan sebuah syarikat. Panjang langkahnya menuju ke pejabat pengarah. Tanpa membuang masa Tengku Anis terus menolak pintu pejabat tanpa mempedulikan setiausaha yang cuba menghalangnya.
Seorang lelaki yang sedang leka menulis sesuatu kelihatan amat terkejut dengan kehadiran Tengku Anis. Kemunculannya memang tidak diundang langsung.

“Maafkan saya, Tuan. Saya dah cuba halang dia. Tapi… dia tak peduli,” cepat-cepat Mazira meminta maaf.

“Tak apa. Awak boleh keluar. Silakan Tengku Anis,” pelawanya dengan penuh sopan dan ramah. Sambil memandang tajam Tengku Anis, Mazira melangkah keluar untuk menyambung tugasannya yang telah sedikit terganggu sebentar tadi.

“Of course. Thank you, Encik Fadzil. Macam mana awak boleh tahu nama saya?” Aju Tengku Anis mula bangga diri.

“Ohh… orang macam Tengku Anis ini, siapa lagi yang tak kenal? Tersangat-sangatlah popularnya mengalahkan artis. Oh ya, ada apa Tengku datang ke pejabat saya yang tak seberapa ni?” Soal Encik Fadzil.

“Saya ada satu perkara yang nak dibincangkan. Dan ia memerlukan kerjasama yang bukan sedikit daripada Encik Fadzil,” ujar Tengku Anis tanpa berlengah.
Spontan Encik Fadzil mengerutkan dahinya yang luas. Ditenung wajah Tengku Anis semahu-mahunya. Dia tidak faham dengan apa yang sedang disampaikan oleh Tengku Anis itu.

“Kerjasama yang macam mana itu, Tengku?” Encik Fadzil tidak faham.

“Saya mahu awak bekerjasama dengan saya untuk merancang satu kemalangan,” ucap Tengku Anis tanpa sedikit pun rasa gentar. Seolah-olah apa yang dikatakannya itu adalah sesuatu yang baik.
Terbeliak besar biji mata Encik Fadzil tatkala mendengarkan kerjasama yang dimaksudkan oleh Tengku Anis. Tengku Anis pula kelihatan selamba sahaja dan tersenyum sedikit apabila menyedari Encik Fadzil sedang merenungnya dengan mata yang tidak berkelip-kelip.

“Merancang kemalangan? Kemalangan apa? Siapa?” Soal Encik Fadzil bertalu-talu. Tambah melebar senyum Tengku Anis melihatkan reaksi positif yang ditunjukkan oleh Encik Fadzil.

“Kemalangan jalan raya,” suara Tengku Anis tanpa ragu.
Mereka mula berbincang. Pada mulanya, Encik Fadzil seolah-olah tidak bersetuju. Namun setelah mengetahui siapakah orang yang akan menjadi sasaran utamanya, terus sahaja dia bersetuju. Memang inilah saat yang dia tunggu-tunggu selama ini.

Tidak dapat dibayangkan betapa gembirnya Tengku Anis ketika itu. Dia telah menduga sejak awal. Pasti Encik Fadzil akan bersetuju. Dia tahu sememangnya Encik Fadzil dengan sasarannya itu adalah musuh ketat. Mudahlah kerja Tengku Anis nanti.

**********

TERLOPONG mulut Eika sebaik sahaja sampai ke pejabat. Hairan dia melihat meja Haikal yang kosong tanpa penghuni. Tidak seperti selalu. Lazimnya Haikallah orang pertama yang akan sampai ke pejabat.

Jantung Eika berdebar-debar tatkala menyedari segala barang milik Haikal telah tiada di atas mejanya. Di dalam dalam laci, bawah meja… semua kosong belaka. Eika kembali ke mejanya sendiri. Matanya terus menangkap kelibat sampul surat di atas meja. Disambarnya sampul surat tersebut dengan pantas.

Assalamualaikum…..

Kehadapan Nur Elliya Shafeika yang dirindui selalu. Maaf kupinta andainya kemunculan warkah ini mengundang ketidaktenteraman di dalam hati sucimu. Mungkin hanya inilah saja kesempatan dan peluang terakhir yang ada untuk insan malang ini berhubung denganmu.

Tahukah bahawa diri ini amat sukar untuk menerima hakikat kehidupan yang sering saja mengecewakan hatiku? Satu per satu insan yang amat aku sayangi hilang meninggalkanku. Kekecewaan seakan-akan suka mengejar aku. Aku tidak faham, apa kesalahanku sebenarnya… Oh, maaf… aku tidak seharusnya meluahkan rintihan hati ini kepadamu.

Jika kau masih ingat… suatu waktu dahulu, aku pernah menceritakan sesuatu kepadamu. Kedatanganku ke daerah ini hanyalah untuk satu tujuan… iaitu mencari adik kesayanganku yang hilang tanpa berita. Namun aku tidak sangka begini jadinya. Adik ke mana, cinta ke mana… Namun aku pasrah, inilah nasibku……!

Kau dan aku…

Sekiranya kau juga mempunyai perasaan yang sama denganku, dunia ini akan menjadi milik kita berdua. Dan sekiranya aku hanya bertepuk sebelah tangan, hanyutlah aku dalam lamunan dan angan-angan. Aku sedar, sesungguhnya aku tidak layak untuk berada di sampingmu.

Aku harap kau gembira dan bahagia di dalam menjalani kehidupan. Berbahagialah dikau bersama insan pilihan hatimu. Kebahagiaan yang kau kecapi adalah kebahagiaanku jua. Sekian… wassalam!
– Haikal-

Hati Eika dilanda perasaan sebak selepas membaca surat yang ditinggalkan oleh Haikal. Dia tidak sangka, di sebalik keriangan dan keceriaan Haikal selama ini, tersimpan satu rahsia yang menyedihkan. Salah satu penyebabnya ialah dirinya sendiri. Ya! Eika akui dia telah mengecewakan hati pemuda itu. Tetapi Eika terpaksa. Hatinya bukan milik Haikal. Eika juga sayang Haikal. Tetapi perasaan sayang itu tidak lebih dari sayang seorang sahabat.

Titisan mutiara jernih mula berguguran satu demi satu daripada kelopak mata Eika. Mengapa Eika menangis? Sedih? Ya… dia berasa amat sedih dengan pemergian Haikal. Selepas ini sudah pasti dia tidak akan dapat mendengar usikan-usikan Haikal yang suka menyakatnya. Eika pasti akan merindui saat gembira itu.

Ke mana Haikal pergi? Adakah Haikal pergi membawa diri hanya kerana dia? Eika tertanya-tanya. Eika tersentak apabila tiba-tiba sahaja dia dikejutkan dengan bunyi tong sampah tersepak. Serta merta dia memalingkan tubuhnya ke belakang. Terpaku batang tubuh Eika memandangkan pemuda yang telah mengecewakan hatinya.

“Untuk apa kau datang ke sini?” Marah Eika.

Eika tidak sedar bahawa soalan itu tidak sesuai untuk diajukan. Kerana memang pejabat itu milik pemuda tersebut. Pemuda di hadapannya itu tidak mempedulikan kata-kata Eika. Malah dia semakin mendekati Eika secara perlahan-lahan.

“Kau kejam, Eika,” tuduh Hakimi tanpa diduga. Eika tersentak.

“Kenapa kau kata aku kejam? Aku tak rasa kejam pun,” protes Eika membela diri.

Hakimi tersenyum mendengar ucapan Eika. Eika semakin tidak faham dengan kelakuan Hakimi. Kenapa Hakimi tersenyum? Sedangkan sebentar tadi mimik muka Hakimi masam mengalahkan cuka.

“Kau tau tak, Haikal amat cintakan kau?”

Berdesing telinga Eika mendengar kata-kata yang keluar daripada mulut Hakimi. Dari mana Hakimi tahu? Apakah sebab ini Hakimi berubah hati? Hakimi malas mahu bersaing dengan Haikal. Lantas memilih Tengku Anis sebagai teman hidupnya? Kalau benar begitu, oh… alangkah nipisnya rasa cinta Hakimi terhadap Eika. Apakah Hakimi benar-benar telah jatuh cinta terhadap Tengku Anis yang hipokrit itu??

Ah…!! Malas Eika mahu memikirkannya lagi. Apa yang pasti, Hakimi kini memang tidak sama dengan Hakimi yang dahulu. Hati Eika telah hancur sehancur-hancurnya. Dia tidak suka terhadap orang yang tidak tetap pendirian.

“Aku tau, Kimi. Aku tau dia cintakan aku. Kenapa? Salah ke kalau dia cintakan aku? Hah?” Sengaja Eika bertanya begitu. Niatnya mahu membuat Hakimi cemburu.

“Kau telah buat dia kecewa dan merana,” suara Hakimi lagi.

Kali ini kata-kata Hakimi itu membuatkan Eika terkejut. Kenapa Hakimi berkata begitu? Adakah Hakimi mahu membela Haikal? Ini bermakna, Hakimi memang tidak cintakannya lagi. Hatinya terasa amat pedih tiba-tiba. Mahu menangis tetapi berjaya ditahannya. Hakimi tidak berperasaan lagi terhadapnya.

“Itu masalah dia!” Tidak semena-mena nada suara Eika meninggi. Geram dengan Hakimi. Eika menyedari bahawa tidak sepatutnya dia berkata seperti itu. Namun entah mengapa mulut itu sukar pula untuk dikawal.

“Kau memang tak ada perasaan, Eika.”

“Hei, kau yang sebenarnya tak ada perasaan Hakimi. Kau yang kejam. Kau yang jahat. Kau penipu besar. Pengkhianat. Aku memang tak faham dengan sikap kau. Sekejap kau bercinta dengan Tengku Anis. Sekejap kau cuba berbaik-baik dengan aku. Sekejap kau menjauh dari aku. Apa yang kau nak sebenarnya? Cukuplah Kimi. Pergi!! Aku tak nak tengok muka kau lagi. Dan aku tak ingin nak kerja kat sini lagi. Selamat tinggal!” Hambur Eika.

Tanpa menunggu apa-apa lagi Eika terus berlari keluar. Hakimi tergamam tidak terkata. Dia seperti tidak percaya. Sukar untuk dia mempercayai bahawa Eika boleh mempamerkan ketidakstabilan emosi sedemikian rupa.

Benar apa yang Eika luahkan itu. Apa yang aku mahu? Eika? Haikal? Tengku Anis? Satu per satu nama-nama itu melintas di dalam kotak fikirannya. Eika…. ya… aku mahu Eika!

Tanpa menunggu lebih lama lagi Hakimi terus berlari mahu mengejar Eika yang semakin jauh ke hadapan. Dapat dilihat Eika sedang berlari dan semakin menghampiri pintu utama. Dia benar-benar tidak sanggup untuk kehilangan Eika. Dia tidak berdaya lagi untuk terus berpura-pura. Sejujurnya memang dia tidak rela melepaskan Eika yang dicintainya itu ke tangan Haikal. Maafkan aku Haikal… maafkan aku Tengku Anis. Cintaku hanya untuk Eika…. dan Eika hanya untukku.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

5 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 32, 33”
  1. ira/anjang says:

    next…………………………,

  2. admin says:

    testing

  3. nuriz says:

    alahai, pe la hakimi ni..
    xphm ker y ika 2 tgu ko..
    aduh..

  4. vampire95 says:

    besttttttt

  5. MiCha2402 says:

    :smile:
    cpt la smbg..lma la tggu..
    next..pless

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.