Novel : Opps! Pintu Hatiku! 34, 35

21 August 2010  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

Bab 34

SELAMA ini dia masih boleh bersabar. Namun kali ini, kesabarannya benar-benar tergugat. Sikap Hakimi sudah melampau. Ternyata dia memang hanya dipermain-mainkan oleh Hakimi. Dia tidak dapat menahan rembesan air matanya daripada mengalir keluar. Dia terus berlari dengan air mata yang jatuh berderaian. Dia tidak peduli apa-apa lagi.

Semunya telah berakhir di dalam hidupnya. Tergamak sungguh Hakimi memarahi dirinya…… hanya kerana dia telah mengecewakan Haikal. Tahukah mengapa aku menolak Haikal? Kerana aku tetap mencintai insan bernama Hakimi….. Hakimi, kau akan selalu berada di takhta teratas…. di persada cinta hatiku. Kau tidak sedarkah betapa dalamnya perasaan ini terhadapmu wahai Hakimi? Kau harus yakin bahawa aku telah menerima cinta yang kau hulurkan. Aku menerimanya dengan setulus hatiku.

‘Kenapa kau buat aku macam ini, Kimi? Kenapa? Kenapa??’ Hati Eika terus merintih. Eika tersentak tatkala telinganya tiba-tiba sahaja bergema dengan bunyi pekikan hon yang sangat kuat dan teramat panjang. Sepantas itu juga dirasakannya terdapat satu kuasa yang menolaknya kuat ke hadapan.

Dia terpelanting hampir ke bahu jalan. Dia sendiri tidak sedar. Entah bilakah waktu dia melintas jalan. Kepalanya terasa amat pening. Pandangannya kelihatan samar-samar. Namun di dalam kesamaran itu, dia dapat melihat seorang lelaki telah terlentang di tengah-tengah jalan raya. Darah mengalir seakan-akan tidak mahu berhenti. Kenderaan yang melanggar mereka telah pergi menghilangkan diri.

Perlahan-lahan dia cuba bergerak mendapatkan lelaki tersebut. Kasihan… sudah pasti lelaki itu mahu menyelamatkan aku. Aku yakin dia telah menolakku supaya tidak dilanggar oleh kenderaan yang mahu menghentamku. Tetapi akhirnya dia pula yang dilanggar. Siapakah dia itu yang sanggup berkorban demi keselamatanku?

“Encik… encik tak apa-apa?” Eika cuba mengajukan soalan dengan suara yang lemah setelah dia berjaya merapatkan diri.

“Eika… Eika…” Lelaki itu bersuara perlahan. Eika terkejut mendengar suara itu. Hakimi? Benarkah? Ya Allah…!

“Kimi…?” Balas Eika dengan suara yang bertambah perlahan.

“Eika… aku… cin.. ta… kau..!” Serentak itu kedua-duanya pengsan tidak sedarkan diri.

Eika masih sempat mendengar kata-kata terakhir yang diucapkan oleh Hakimi itu. Eika juga sempat tersenyum kelat sebelum dia turut tidak sedarkan diri di sisi orang yang amat dicintainya. Rintik hujan mula jatuh menghempas kedua-dua pasangan kekasih tersebut. Orang ramai mula hadir mahu melihat kemalangan yang tidak dijangka itu.

Suasana di hadapan Syarikat S.I Sdn Bhd itu berubah menjadi hingar-bingar di dalam sekelip mata. Heboh mengatakan bahawa bos syarikat mereka dan salah seorang pekerja wanita telah mengalami kemalangan di hadapan premis pejabat itu sendiri..

**********

“HELO! Ya, Shahirul Hazami bercakap!”

“Encik, err… saya Dahlia setiausaha dari Syarikat S.I Sdn Bhd. Saya harap encik bersabar ya. Saya nak beritahu sesuatu… adik encik, Hakimi kemalangan!” Ujar Dahlia sambil cuba menenangkan diri.

“Apa? Hakimi kemalangan? Okey. Terima kasih ya, Dahlia!”
Terburu-buru Shahirul Hazami bergegas mendapatkan Sheila. Terpana seketika Sheila menerima berita yang disampaikan oleh Shahirul Hazami. Mereka masih tidak sedar bahawa akan ada lagi berita yang mengejutkan mereka.

Sheila dan Shahirul Hazami bergegas keluar dari pejabat. Hospitallah hala tuju mereka kini. Setibanya di hospital, mereka mendapati Lizz, Sue, Eida, Atin, dan Reza sudah tercegat di bilik menunggu. Sebelum menyertai mereka, Sheila dan Shahirul Hazami menghampiri kaunter penyambut tetamu.

“Selamat datang. Ada apa-apa yang boleh saya bantu?” Sapa jururawat yang bertugas dengan mesra sekali.

“Ya, terima kasih. Saya nak tumpang tanya, kat mana bilik pesakit bernama Shahirul Hakimi?” Aju Sheila.

“Sebentar ya. Oh… pesakit yang kemalangan jalan raya tu ke? Biliknya di nombor 717 dan 719,” jawab jururawat yang sentiasa tersenyum manis itu. Sheila dan Shahirul Hazami terkejut kerana jururawat itu menyatakan dua nombor bilik.

“Kenapa ada dua bilik?” Soal Shahirul Hazami pula. Jururawat tersebut senyum lagi.

“Oh, tentu kamu berdua tidak tahu. Sebenarnya bilik nombor 717 untuk pesakit bernama Hakimi, dan bilik nombor 719 adalah untuk Nur Elliya Shafeika. Maaf saya terlupa nak beritahu tadi,” terang jururawat itu lagi dengan jelas.

“Apa??” Serentak mereka terjerit. Mereka sangka hanya Hakimi sahaja yang mengalami kemalangan. Langsung tidak terfikir bahawa Eika juga turut terlibat.

“Maafkan saya. Tapi… mereka berdua masih belum boleh menerima pelawat. Jika kalian mahu juga, bolehlah tunggu dulu di bilik menunggu. Terima kasih,” sambung jururawat tersebut.

Shahirul Hazami dan Sheila saling berpandangan. Patutlah rakan-rakan mereka ramai yang tercongok di sana.

**********

“TENGKU, saya dah laksanakan tugas saya. Mana dia bahagian saya?” Suara Encik Fadzil dengan ghairah. Tengku Anis kelihatan tersenyum-senyum. Gembiralah tu agaknya.

“Bagus…. bagus sekali, Encik Fadzil. Nah, inilah habuan awak!” Sahut Tengku Anis sambil mengunjukkan satu sampul surat berwarna coklat.

Tanpa teragak-agak Encik Fadzil terus sahaja mencapai sampul surat tersebut. Tersenyum sumbing Encik Fadzil melihat isi yang berada di dalamnya. Sambil menyelam minum air. Namun kemudian cepat-cepat dia menyelitkan sampul surat itu ke dalam jaket yang dipakainya.
Selain berjaya membalas dendam terhadap Eika yang sudah menconteng arang ke mukanya, dia juga gembira kerana mendapat habuan berupa wang daripada Tengku Anis. Ahh… Tengku Anis yang merancang semua ini. Tengku Anis lagi jahat daripadanya. Sekiranya berlaku apa-apa, Tengku Anis yang akan bertanggungjawab. Encik Fadzil masih sempat berfikir demikian di dalam hati.

“Macam mana dengan keadaan dia?” Soal Tengku Anis ingin tahu.

“Saya rasa keadaannya teruk. Tapi….” Encik Fadzil tidak jadi meneruskan kata-katanya. Tengku Anis hairan.

“Tapi apa lagi?”

“Tapi…. Hakimi juga terlibat sama,” perlahan sahaja nada suara Encik Fadzil semasa menyuarakan berita tersebut. Terbeliak biji mata Tengku Anis mendengarnya.

“Apa kau kata? Hei, kan aku dah beritahu, jangan libatkan Hakimi! Aku hanya nak kau musnahkan hidup perempuan itu! Kau tak faham ke??” Tengku Anis menyinga. Encik Fadzil hanya duduk bersilang kaki. Sedikit pun dia tidak gentar.

“Memanglah aku nak langgar Nur Elliya Shafeika. Manalah aku jangka, tiba-tiba aje si Hakimi tu muncul jadi hero nak selamatkan dia,” jelas Encik Fadzil membela diri. Dia tidak ber‘saya-saya’ lagi apabila bercakap.

“Hisy…. geramnya aku! Tak guna betul kau ni. Tapi ingat, ini janji kita. Kalau sampai orang luar tahu, siaplah kau!” Gertak Tengku Anis.

Cepat-cepat Encik Fadzil menganggukkan kepalanya. Terasa juga dia dengan ugutan Tengku Anis itu. Maklumlah, wanita itu berkuasa melakukan apa sahaja yang dimahukan. Namun begitu, Encik Fadzil tetap berpuas hati dengan kerja yang telah dilakukannya. Gambaran tubuh Eika yang longlai di atas jalan raya bermain-main lagi di dalam kotak fikirannya.

Kini dia berjaya membalas apa yang telah dilakukan oleh Eika semasa di syarikatnya dahulu. Sampai bila-bila pun dia tidak akan lupa dengan hinaan yang dilemparkan oleh Eika. Biar perempuan itu tahu siapa Encik Fadzil sebenarnya. Bibir Encik Fadzil menguntum sebuah senyuman.

Dia tercari-cari di manakah Tengku Anis. Buat seketika dia langsung tidak menyedari keadaan sekeliling. Entah bila masa Tengku Anis berlalu pergi. Ah… dia sibuk melayan fikirannya sebentar tadi hingga tidak sedar apa yang berlaku. Dia terlalu gembira.

Jauh di sudut hati, dia berharap tidak akan ada sesiapa yang kehilangan jiwa akibat kemalangan tersebut. Dia sekadar mahu membalas dendam. Bukan mahu menjadi pembunuh. Dan yang pasti dia tidaklah sejahat Tengku Anis. Berkemungkinan besar Tengku Anis mahu membunuh Eika.

“Tengku Anis! Tunggu!!” Tiba-tiba terdengar satu jeritan yang kuat seraya mengejutkan Tengku Anis yang baru sahaja mahu membuka pintu keretanya.

Dia menoleh ke arah jeritan panggilan tersebut. Kelihatan Haikal sedang berlari-lari anak mendapatkannya. Tengku Anis mengeluh keras dengan kehadiran Haikal. Lelaki itu merupakan penyibuk bagi dirinya.

“Apa kau nak daripada aku, hah?” Haikal tidak menjawab. Dia hanya merenung Tengku Anis dengan wajah yang bengis.

“Hei…. what?? Apa yang tak kena ini?” Tengku Anis bersuara lagi. Gentar juga dia dengan renungan tajam Haikal.

“Hei, Tengku Anis! Apa kau dah buat ini, hah? Kenapa kau kacau hidup Eika? Dulu kau rancang nak kenakan Hakimi. Kau suruh aku aniaya sahabat aku sendiri. Kau juga suruh aku cari bomoh yang handal. Konon-konon nak buat dia lupakan Eika. Bukan itu sahaja, kau juga merancang kemalangan Eika. Bila aku tak nak bekerjasama dengan kau, kau buat rancangan sendiri. Kau betul-betul buat rancangan kemalangan itu kan? Kenapa Tengku Anis? Aku tahu ini semua angkara perbuatan jahat kau, kan?” Marah Haikal dengan panjang lebar. Dia tidak dapat bersabar lagi.

“Oh… pasal itu rupanya. Ingatkan ribut taufan mana yang dah melanda kau,” ujar Tengku Anis. Selamba sahaja.

“Eh, kau masih boleh buat lawak lagi, Tengku Anis! Kau tak patut buat dia orang macam itu tau!” Bentak Haikal lagi.

“Haikal, aku tak perlukan nasihat daripada kau. Aku tahu apa yang aku buat. Dan kau, jangan cuba-cuba nak masuk campur. Faham? Oh ya… lagi satu… siapa kata aku terlibat dalam kes dia orang itu? Tolong sikit. Good bye!” Selepas menghabiskan kata-katanya dia terus membuka pintu keretanya yang telah terbuka sejak tadi.

Cepat-cepat Haikal menghalang pergerakan Tengku Anis. Dia masih tidak berpuas hati. Sekali lagi Tengku Anis mengeluh keras. Dia mula bosan dengan kerenah Haikal.

“Tengku Anis, sebenarnya sampai sekarang aku tak percaya apa yang telah kau katakan dahulu. Aku tak percaya Kimi dan Eika sedang bercinta. Sebab aku nampak Kimi rapat dengan kau. Bukan rapat dengan Eika. Tengku Anis, jangan-jangan kau cuba nak laga-lagakan persahabatan aku dengan Kimi ya??” Haikal cuba meneka apa sebenarnya yang mahu dilakukan oleh Tengku Anis. Sungguh dia tidak faham dengan tindakan Tengku Anis itu.

“Huh! Buat apa aku nak laga-lagakan kau orang berdua? Tak ada faedah langsung,” bersahaja sahaja Tengku Anis membalas tuduhan yang baru dilemparkan oleh Haikal.

“Tolonglah hentikan. Apa gunanya kau buat semua ini?” Haikal cuba menegur secara baik.

“Aku tak buat semua inilah!” Tengku Anis cuba berdalih.
Tengku Anis hanya tidak mahu Haikal melaporkan namanya kepada pihak polis. Itu sahaja tujuannya. Haikal memang tidak berguna langsung buat dirinya. Sementara itu Haikal kelihatan terkejut dengan pengakuan yang dibuat oleh Tengku Anis.

“Kau tak percaya?” Duga Tengku Anis.

Haikal menggeleng-gelengkan kepala tanda tidak percaya. Memang dia tidak percaya langsung terhadap Tengku Anis. Dari dahulu lagi, dia tahu bagaimana sikap Tengku Anis itu. Dia lebih dahulu mengenali Tengku Anis daripada Eika. Tidak kisahlah jika Tengku Anis mahu memberikan seberapa banyak alasan sekalipun, dia tidak akan sekali-kali mempercayai Tengku Anis. Hakimi tidak bercinta dengan Eika. Muktamad! Dan dia percaya semua yang dilakukan oleh Tengku Anis itu berpunca daripada cemburu yang tidak bermata. Buta.

“Okey. Nah, kau tengoklah sendiri gambar ini!” Tengku Anis menyerahkan sekeping gambar kepada Haikal

Pantas Haikal menyambarnya. Serta merta matanya terpaku. Tengku Anis pula tersenyum. Betapa bijaknya aku. Tengku Anis memuji-muji dirinya sendiri. Sebenarnya banyak lagi gambar yang disimpannya. Tiada seorang pun yang tahu bahawa dia memiliki gambar-gambar tersebut.

“Encik Fadzil?”

“Ya, dialah dalang semua kejadian ini,” Tengku Anis menuduh. Ternyata Tengku Anis menjadi duri di dalam daging.

“Kau yang suruh, kan?” Tuduh Haikal lagi.

“Eh, tak adalah! Aku tak sejahat yang kau sangkalah. Dia yang nak buat. Nak balas dendam katanya. Dendam apa itu aku tak tahulah!” Tengku Anis mengutarakan alasan yang dirasakannya kukuh.
Sedang Haikal asyik merenung gambar tersebut, Tengku Anis merampasnya kembali daripada tangan Haikal. Dia terus masuk ke dalam kereta dan cepat-cepat meninggalkan Haikal yang masih kebingungan.

‘Aku patut halang Tengku Anis. Entah apa lagilah yang mahu dibuatnya. Aku takkan benarkan dia buat sesuka hati. Naluri aku kuat mengatakan bahawa Tengku Anis yang licik semulajadi itu memang terlibat. Maafkan aku, Eika. Ampunkanlah sahabat yang tidak berguna ini, Hakimi. Aku tidak mampu menjalankan tanggungjawab sebagai sahabat. Aku sedar, sepatutnya aku memberi amaran mengenai niat buruk Tengku Anis kepada kalian,’ suara hati Haikal di dalam kesedihan.

Haikal kesal terhadap dirinya sendiri. Dia memandu kereta dengan hati yang tidak tenteram. Dia ingin meminta maaf setulus hatinya. Jika dia sempat menghalang perbuatan Tengku Anis, sudah tentu semua ini tidak akan terjadi. Dia ingin lari daripada perasaan bersalah yang seolah-olah menghantuinya saban hari. Niat di hati untuk menghilangkan diri buat sementara waktu terbantut seketika tatkala menerima berita kemalangan yang melanda Hakimi dan Eika.

**********

JANTUNGNYA berdegup kencang sambil merenung pintu bilik wad Hakimi. Apakah Hakimi sanggup untuk memaafkan dirinya? Dia memang sudah tahu akan rancangan Tengku Anis sejak awal lagi. Namun dia hanya membisu seribu bahasa tanpa mengambil apa-apa tindakan. Ah… memang dia yang bersalah. Kejam.

Perlahan-lahan Haikal membuka pintu bilik Hakimi. Sambil melangkah, Haikal dapat melihat wajah tenang Hakimi yang sedang berbaring di atas katil. Hakimi yang baru tersedar akan kedatangan Haikal pantas menoleh. Kasihan sungguh Haikal melihat keadaan Hakimi. Kepalanya berbalut kain putih, menyembunyikan sedikit rambutnya. Renungan anak mata Hakimi tajam menembusi anak mata Haikal. Perasaan bersalah semakin bertambah-tambah di dalam diri Haikal.

“Assalamualaikum, Hakimi,” Haikal memberi salam dalam keadaan ragu-ragu memandangkan Hakimi asyik merenungnya tanpa berkelip. Apakah Hakimi sudah mengetahui bahawa Haikal juga terlibat? Hakimi terus mendiamkan diri tanpa menjawab salam yang diucapkan oleh Haikal sebentar tadi.

Haikal tidak sanggup untuk terus menentang renungan mata Hakimi. Cepat-cepat Haikal melarikan anak matanya ke arah lain. Namun wajahnya masih juga terus menjadi renungan Hakimi tanpa rasa jemu. Seakan-akan Hakimi tahu bahawa memang Haikal yang bersalah. Haikal berlagak seperti tiada apa-apa yang berlaku. Perlahan-lahan Haikal melabuhkan punggung di atas kerusi yang telah tersedia ada di tepi katil Hakimi. Lain macam sahaja makna renungan mata Hakimi itu. Kenapa agaknya??

Bab 35

KETIKA Haikal sedang sibuk mengatur kata di dalam bilik wad Hakimi, tiba-tiba daun pintu dibuka oleh seseorang. Haikal amat terkejut. Cepat-cepat dia menoleh ke arah pintu. Buat seketika, matanya terpaku melihat kehadiran Eika. Sempat dia melihat lengan Eika yang berbalut.

Sementara itu, Eika juga jelas terperanjat melihatkan kehadiran Haikal yang sudah berada di dalam bilik wad Hakimi. Sebelum ini dia menyangka bahawa Haikal telah pergi jauh setelah meletakkan jawatannya di dalam Syarikat S.I Sdn Bhd. Pergi jauh meninggalkan segala memori pahit di Malaysia. Dia melangkah masuk perlahan-lahan ke dalam bilik wad. Haikal dan Hakimi hanya memerhatikannya.

“Assalamualaikum…” Eika mengucap salam.

“Waalaikumussalam,” jawab Haikal.

Reaksi Hakimi tetap sama sebagaimana kehadiran Haikal sebentar tadi. Dia tidak menjawab salam yang diucapkan itu. Sebaliknya dia hanya merenung wajah Eika sehingga wanita itu tiba di sisinya. Kali ini wajah Hakimi berubah sedikit. Mulutnya seakan mahu berkata-kata. Namun tiada satu perkatan pun yang terkeluar.

“Kimi, kenapa kau halang aku? Tengok ni, kalau kau tak buat macam tu, tentu keadaan kau tak parah macam ni!” Marah Eika.

Kecederaan Hakimi nampak lebih teruk daripada Eika. Sedangkan itu bukan kesilapan Hakimi. Eika yang terlalu cuai sehingga tidak sedar bilakah dia melintas jalan raya. Pada masa itu Eika terlalu asyik melayan perasaannya. Hakimi hanya membisu.

“Kimi, kenapa kau diam aje? Jawablah aku,” tegur Eika setelah dia tidak menerima apa-apa balasan daripada Hakimi.

“Kimi!” Seru Haikal pula. Eika dan Haikal berasa pelik apabila Hakimi memandang mereka silih berganti.

“Si… siapa awak?” Tanya Hakimi sambil memandang Haikal.
Tersentak Haikal dan Eika tatkala mendengarkan pertanyaan Hakimi itu. Perasaan hairan semakin bertapak kukuh di dalam hati sekalian yang ada di dalam ruangan tersebut.

“Kimi, aku Haikal. Sahabat karib kau!” Jawab Haikal bersungguh-sungguh. Hakimi menoleh pula ke arah Eika.

“Aku Eika, Kimi. Aku…. ahh.. kenapa dengan kau?” Eika mula berasa tidak senang hati melihatkan keadaan Hakimi.

Eika ragu-ragu untuk mengakui dirinya sebagai kekasih Hakimi. Masih lagikah status kekasih itu menjadi miliknya? Boleh jadi Tengku Anis telah merampas status itu. Eika bukan siapa-siapa lagi kepada Hakimi. Dan hakikatnya status kekasih itu hanya pernah bertahan sekejap cuma. Hubungannya bersama Hakimi punah ranap apabila tiba-tiba sahaja Hakimi berubah sikap menjadi rapat dengan Tengku Anis.

Hakimi beralih pandang pula ke arah pintu wad. Kepalanya digeleng-gelengkan. Dia tidak mengerti. Memang dia tidak mengenali dua orang manusia yang saat ini berada di sisinya. Siapa mereka? Dan…siapa pula aku??

“Kimi, kenapa kau ni? Kau… kau tak kenal aku?” Eika seolah-olah mendesak.

Hakimi cuba mengingat. Perlahan-lahan kedua-dua belah tangannya mencengkam kepala. Wajahnya berkerut seakan sedang menahan kesakitan. Eika dan Haikal saling berpandangan. Mereka bertambah risau dan jantung masing-masing semakin laju debarannya.

“Maafkan aku, Kimi. Tak apa, jangan fikir lagi. Kita tak patut paksa dia, Eika!” Suara Haikal menenangkan keadaan. Beransur-ansur riak wajah Hakimi kembali tenang seperti sedia kala. Jari jemarinya juga tidak lagi mencengkam kepala.

“Kenapa aku… aku… tak ingat apa-apa?” Luah Hakimi kemudian.

“Apa kau cakap ni, Kimi?” Eika mula mengalirkan air mata.

Haikal tersentak. Dia tersentak bukan kerana Hakimi, tetapi kerana Eika. Kenapa Eika menangis? Eika bukanlah seorang yang mudah mengalirkan air mata. Sepanjang dia mengenali Eika, hanya sekali Eika pernah menangis di hadapannya.

Eika menangis sesungguh hati. Tangisan Eika kali ini jauh lebih teruk daripada tangisan yang pernah disaksikan oleh Haikal sebelum ini. Kenapa? Mungkinkah benar apa yang telah dikatakan oleh Tengku Anis kepadanya? Jika benar….. aku telah menjadi orang ketiga. Argh…. Kimi, kenapa kau tak bagitahu aku akan hubungan cinta kau dengan Eika? Bodohnya aku kerana tidak menyedarinya. Haikal memejamkan matanya rapat-rapat.

‘Oh, Tuhan! Ujian apakah yang Kau turunkan kepada aku yang tidak berdaya ini? Apakah dosaku? Berupayakah aku untuk menghadapinya? Sungguh… aku benar-benar menyintai Hakimi. Kini aku sudah tiada apa-apa makna lagi buat Hakimi. Dia telah melupakan aku,’ hati Eika terus merintih-rintih sendiri. Meratapi segala kesedihan yang tiba-tiba sahaja bertamu di dalam jiwanya. Namun kemudian dia cepat-cepat tersedar dan menginsafi diri. Tidak baik menyalahkan takdir.

“Aku… aku cintakan kau!”

Tiba-tiba ucapan itu menerjah ke dalam gegendang telinga Eika. Spontan dia menoleh ke wajah Hakimi. Bermimpikah dia? Atau hanya khayalan semata-mata? Kelihatan Hakimi sedang merenung lembut ke arahnya. Benar… memang ucapan itu keluar daripada mulut Hakimi sendiri. Dia seperti tidak percaya dengan hakikat yang kini terbentang di hadapan matanya. Haikal juga begitu.

“Kau dah kenal aku?” Soal Eika sepantas mungkin. Syukurlah jika Hakimi sudah boleh mengingatinya kembali. Aku tidak akan sekali-kali melepaskan kau pergi daripada hidupku lagi wahai Hakimi. Aku tidak akan malu lagi untuk mengaku bahawa hanya kau yang aku cintai.

“Tidak!” Jawab Hakimi.

Sekali lagi Eika dan Haikal terkejut. Kalau tidak kenal, bagaimana pula Hakimi boleh mengeluarkan kata-kata sedemikian rupa? Mereka terus dilanda dengan pelbagai teka-teki yang tiada jawapannya.. Apakah Hakimi hanya bergurau? Tak mungkin….!

“Habis itu, tadi kau kata kau… kau…” Eika malu untuk meneruskan kata-katanya. Malu kepada Haikal yang turut berada di situ.

“Saya tak kenal awak. Tapi… saya cintakan awak. Saya pun tak tau kenapa saya cakap macam itu. Maafkanlah saya, ya!” Cepat-cepat Hakimi bersuara memandangkan Eika sudah kehilangan kata-kata.

Eika menggeleng-gelengkan kepalanya. Dia tidak menganggap Hakimi bersalah kerana berkata begitu. Melihatkan keadaan Hakimi, jiwa Haikal menjadi sebak dan perasaan bersalah semakin memuncak. Sudah jelas dan terang, Haikal memang menjadi orang ketiga di antara Hakimi dan Eika. Aku yang telah mengganggu keharmonian kalian berdua. Haikal terus menyesali kebodohannya sendiri.

Ingatan Haikal mulai menerawang mengingati Tengku Anis. Perasaan dendam mula berputik di dalam dirinya. Dia berasa geram apabila terkenangkan perangai Tengku Anis yang tidak berhati perut.

Tidak berapa lama kemudian, Eika dan Haikal meminta diri untuk keluar. Hakimi hanya menganggukkan kepala. Senyuman manis terukir di bibirnya. Namun wajahnya masih jelas membayangkan kebingungan. Tidak elok jika mereka terus mengganggu dan mendesak Hakimi. Biarkanlah Hakimi mendapat rehat yang secukupnya.

Eika bersyukur di dalam hati kerana Hakimi masih terselamat di dalam kemalangan itu. Hakimi mahu menyelamatkan aku. Jika tidak, pasti aku yang kehilangan ingatan. Bukannya Hakimi. Hakimi tidak bersalah langsung dalam hal ini, dan Hakimi tidak seharusnya mengalami keadaan seperti itu. Eika masih terus berkata-kata di dalam hati kecilnya.

Perasaan sedih semakin melanda dirinya. Dia tidak sanggup melihat insan yang dicintainya selama ini kehilangan ingatan. Di dalam diam, dia bertekad mahu menyembuhkan insan yang amat disayanginya itu.

Mujurlah Hakimi masih menyimpan perasaan cinta di dalam hati. Ahh…. bukan perasaan sebenarnya. Tetapi hanya sekadar perkataan dan ucapan. Perkataan itu tiada makna baginya. Apalah gunanya ucapan tanpa perasaan? Hakimi sendiri tidak pasti mengapa dia boleh mengucapkan perkataan cinta kepadanya.

“Eika, aku ada sesuatu yang nak ditanyakan,” tiba-tiba Haikal membuka mulut. Eika yang sedang melayan perasaan tersentak sedikit. Ditolehnya wajah Haikal yang turut sama berjalan di sebelahnya.

“Apa dia?”

“Aku nak tanya, adakah orang yang kau cintai itu…. ialah Hakimi?” Pertanyaan Haikal itu mengejutkan Eika.

“Kenapa kau tanya macam tu?” Eika cuba mengelak.

“Berterus-terang sajalah, Eika. Aku tak akan apa-apa lagi. Tengku Anis yang beritahu aku semua itu,” ujar Haikal lagi. Dia masih mahu mendapatkan kepastian daripada mulut Eika sendiri.

“Kau percaya cakap dia?” Eika pura-pura ketawa.

“Memang susah aku nak percayakan dia. Tapi, betulkan?” Haikal terus mendesak. Dia dapat merasakannya apabila Eika menangis di dalam bilik Hakimi. Matanya sendiri yang menjadi saksi. Ucapan cinta yang diluahkan oleh Hakimi sebentar tadi menambahkan lagi hakikat itu.

“Memang aku sukakan dia. Aku mengaku, kami pernah saling menyayangi antara satu sama lain. Tapi itu semua cuma cerita lama. Sekarang ini keadaannya dah tak sama lagi macam dahulu,” luah Eika seikhlas hati. Biar Haikal faham dan tidak mempersoalkannya lagi.

Haikal mengangguk-anggukkan kepalanya tanda faham. Kini dia semakin sedar, dia hanya penyibuk dan pengacau di sisi Eika.

“Kenapa sekarang tak sama macam dulu? Sebab Hakimi hilang ingatan ke?” Risik Haikal. ‘Aduh, banyak pulak soalan mamat seorang ni,’ desis hati Eika.

“Oh… tidak! memang sebelum kemalangan pun…. hubungan kami dah tak berapa elok,” ujar Eika.

Eika sendiri tidak faham dengan sikapnya. Mulutnya terasa ringan sahaja untuk menuturkan kata-kata tersebut. Memang dia masih menyintai Hakimi. Cuma dia tidak mahu Haikal mengetahuinya. Dia tidak mahu menambah luka di dalam hati Haikal. Cukuplah Haikal mengetahui bahawa dia dan Hakimi pernah saling mencintai. Namun bukan niatnya untuk memberi harapan kepada Haikal. Dia hanya menyayangi Haikal sebagai sahabat. Ya… sahabat yang sangat baik hati.

**********

“HEI, betina tak guna! Apa kau dah buat dengan Hakimi, hah?!” Jerit Tengku Anis secara tiba-tiba. Tidak fasal-fasal dia menyerang Eika yang sedang duduk bersama rakan-rakannya sambil menikmati makan tengahari di kantin hospital.

“Apa aku dah buat dengan dia?” Eika bertanya kembali. Dia terperanjat dengan serangan Tengku Anis yang langsung tidak di duga itu.

“Buat tak tau pulak. Kau dah hilangkan ingatan dia, kan? Sekarang ini dia dah tak ingat kat aku lagi kau tau tak? Ini semua salah kau. Sebab dia nak selamatkan kau, kan? Kau memang punca semua ni. Kau tak guna! Kau sengaja nak sakitkan hati aku, kan? Nasib kau baik sebab kau terselamat dalam kemalangan tu. Kenapa tak kau saja yang hilang ingatan? Mampus lagi baiklah!” Tengku Anis terus mengeluarkan kata-kata yang tidak sepatutnya kepada Eika.

Mendidih juga darah Eika mendengarkan kata-kata kesat tersebut. Bagaimana Tengku Anis boleh tahu Hakimi telah cuba untuk menyelamatkan dirinya? Eika mula berasa curiga.

“Hei, Tengku Anis! Jaga-jaga sikit mulut kau tu ya. Kau ingat kau manusia berpengaruh kau boleh suka-suka hati cerca orang ke? Jangan nak tuduh aku yang bukan-bukan pulak. Sedarlah diri itu sikit wahai Tengku Anis. Entah-entah, dia sendiri yang rancangkan semua ini,” sengaja Eika berkata begitu. Dia mahu menyaksikan reaksi Tengku Anis yang seterusnya.

Namun memang tidak mustahil jika Tengku Anis yang melakukannya. Eika dapat mengagak. Entah mengapa, dia merasakan kemalangan itu memang sengaja dirancang oleh seseorang. Siapa lagi kalau bukan Tengku Anis yang merupakan musuh ketatnya sejak dahulu lagi? Jika tidak, masakan Tengku Anis itu tahu akan peristiwa sebenar yang terjadi pada waktu itu.

Hati Tengku Anis bertambah panas. Telinganya seakan berasap mendengarkan kata-kata Eika. Matanya pula terbeliak manahan nafsu amarah.

“Untuk apa aku nak buat kerja yang bodoh macam itu? Buang masa aje!” Tengku Anis cuba berdalih.

“Sebab kau cemburu,” gegendang telinga Tengku Anis terus dipukul dengan kata-kata pedas Eika. Biar Tengku Anis rasa.

“Kau… kau jaga-jaga, Eika! Kau dah sakitkan hati aku. Apa lagi yang kau nak? Kau… kau tahulah nasib kau nanti!”

Setelah meluahkan apa yang terlintas di hatinya, Tengku Anis berlalu meninggalkan Eika dengan hati yang panas membara. Eika tersenyum puas kerana berjaya ‘mengajar’ wanita yang terlalu sombong itu.

**********

SHEILA merenung wajah Haikal di hadapannya. Begitu juga dengan Shahirul Hazami. Haikal berasa serba salah kerana diperlakukan begitu oleh mereka. Dia yang menjemput Sheila dan Shahirul Hazami ke sebuah restoran. Dia ingin berterus terang tentang apa yang sebenarnya terjadi. Dia tidak mahu menyimpan rahsia itu terlalu lama.

Dia tidak akan tenang selagi dia tidak meluahkannya. Haikal memandang mereka berdua dengan pandangan yang sukar untuk dimengertikan oleh sesiapa jua yang melihatnya. Jantungnya berdebar-debar. Dia takut mereka akan memarahinya nanti. Ah… dia sanggup menanggung risiko tersebut.

“Macam mana dengan keadaan Hakimi sekarang?” Sheila bertanya kepada Haikal.

“Dia dah semakin pulih. Tapi… dia masih belum dapat ingat apa-apa,” jawab Haikal dalam nada sedih dan kesal.

“Tak apalah, Haikal. Janganlah bersedih lagi. Aku yakin, ingatan dia tentu akan pulih juga suatu hari nanti. Entah siapalah yang langgar Kimi dengan Eika tu kan? Tak berhati perut langsung. Tinggal macam itu aje pulak itu. Bukannya nak bertanggungjawab ke apa!” Marah Shahirul Hazami.

Haikal menelan liur melihat kemarahan Shahirul Hazami. Sheila juga menunjukkan rasa tidak puas hati. Haikal menarik nafasnya dalam-dalam.

“Sebenarnya, tujuan aku panggil kau orang ke sini ialah…. aku nak beritahu sesuatu,” ujar Haikal lambat-lambat.

“Beritahu apa tu, Haikal?” Tanya Shahirul Hazami dan Sheila hampir serentak.

“Kau orang jangan terkejut pulak. Sebenarnya aku tahu siapa yang rancangkan kemalangan Eika dengan Hakimi,” Haikal cuba bersuara tenang.

“Rancangkan kemalangan?” Sheila dan Shahirul Hazami terperanjat besar.

“Ya, kemalangan itu memang dirancang,” jelas Haikal lagi.

“Siapa yang rancang?” laju Shahirul Hazami bertanya.

“Kalau aku cakap, aku harap kau orang dapat bertenang. Orang itu ialah… Tengku Anis!” Ucap Haikal dengan penuh hati-hati. Dia benci menyebut nama itu.

“Hah? Macam mana kau boleh tau?” Soal Sheila ingin tahu.

“Aku tahu sebab pada mulanya, Tengku Anis minta aku tolong dia buat kerja jahat. Dia merancang satu kemalangan. Kemalangan terhadap Eika dan bomoh untuk Kimi. Bukan itu sahaja, malah dia merancang penangkapan khalwat dirinya sendiri bersama Hakimi. Tapi aku menolak. Aku tahu lepas itu mesti dia cari orang lain untuk melaksanakan niat dia. Aku harap kau orang tak marah sebab… sebab baru sekarang aku bagitahu kau orang,” luah Haikal.

“Hissyy! Busuknya hati Tengku Anis. Nasib baik kita orang ini baik. Buat apa kita orang nak marah kau pulak. Benda dah jadi takkan boleh undur balik. Walaupun dah terlambat untuk elak kemalangan itu, namun masih tak terlambat lagi untuk kita kumpul maklumat terbaru. Ini boleh membantu penyiasatan. Terima kasih, Haikal,” ucap Shahirul Hazami panjang lebar. Sheila hanya tersenyum tanda bersetuju dengan pandangan Shahirul Hazami. Mereka tahu bahawa Haikal sudah cukup rasa bersalah dan kecewa dengan apa yang berlaku sejak akhir-akhir ini.

“Amboi-amboi, ada bakat jadi anggota polislah kau ni, Zami!” Seloroh Haikal.

“Hai… dia aje ke yang ada bakat jadi anggota polis? Aku tak ada?” Usik Sheila. Hanya sengihan yang Haikal berikan buat menjadi jawapan kepada persoalan Sheila itu.

“Anyway… aku ada satu lagi berita. Selepas ini, aku nak pergi ke luar negara. Mungkin lama sebab aku nak bercuti panjang. Sesekali mengembara apa salahnya. Nanti kirimkan salam aku kat Hakimi dan Eika ya. Cakap kat dia orang yang aku minta maaf bebanyak!” Pesan Haikal.

“Baiklah, kita orang akan sampaikan. Tapi janganlah lama sangat bercuti itu. Mana la tau kot-kot kat sini ada orang yang akan merindu. Ha ha ha… kau itu janganlah rasa bersalah sangat. Tak ada sesiapa yang salahkan kau pun,” tegur Sheila sambil tersenyum.

“Okeylah, aku pergi dulu. Bye… assalamualaikum!” Ucap Haikal.

Setelah Haikal hilang daripada pandangan, Sheila dan Shahirul Hazami saling berpandangan. Kini barulah mereka faham akan apa yang sebenarnya berlaku. Tengku Anis, tunggulah nanti balasan yang bakal kau terima!


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

27 ulasan untuk “Novel : Opps! Pintu Hatiku! 34, 35”
  1. Noraz Ikha says:

    Novel Ops! Pintu hatiku bakal menemui anda dalam versi cetak pada MEI 2011

  2. mieyraa says:

    cerita nie mwnarik gilerrrrr, pape pn sy nk cari la novel nieeee

  3. Noraz Ikha says:

    Terima kasih ya Mieyraa

  4. dania says:

    bez!

  5. Syafieka says:

    Bab 36 takde ke ? Crite nie best sangat2 .

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.