Novel : Rantaian Berduri 1

29 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: Ayu Munawer

“Dapat ke?” Zup! Pantas aku menoleh ke arah suara yang menegur. Fuh! Kelihatan Kak Marlia telah terjengul dengan senyum di bibir. Sikit saja lagi tangan ini ringan mahu dibaling helaian artikel yang dipegang.

“Fuh! Semangat Kak Marlia ni. Terkejut saya. Tiba-tiba aje menegur. Lain kali masuk berilah salam dulu.” Aku pula menyindir.

“Ei, excuse me. Punyalah kuat akak beri salam tadi. Kamu tu aje yang termenung sakan. Hati dan perasaan tu masih melekat dekat sana ke? Ha, dah dapatlah tu!” Tempelak Kak Marlia sambil senyum meleret.

“Dapat apanya kak?”

“Dapat boyfriend Korea la. Bukan misi kamu pergi ke sana minggu lepas nak mencari si jantung hati ke? Dah berangan aje tu, terkenang-kenang orang kat sana la kan.”

“Ish, Kak Marlia! Mana ada. Ahjeossi ada la yang sangkut. Siap belanja minum. Tapi nak buat apa, dah anak tiga!”

Kedengaran Kak Marlia tergelak mendengar jawapanku. Haih Kak Marlia ni. Apalah yang kelakar sangat. Bila teringat muka pakcik Korea tu, memang tidak dinafikan kacak juga orangnya. Segak. Nampak muda pula tu walaupun anak sudah berderet tiga. Ah! Entah-entah adik-adiknya saja. Aku yang sengaja tolak tuah.

“Ha, okeylah tu. Dapat anak ekspres. Tak payah kamu susah payah nak beranak.” Tawa Kak Marlia masih meletus mengiringi gurau sendanya.

“Uish! Tak ada maknanya kak. Cakap pun macam ayam dengan itik. Lainlah kalau dia macam Nickhun ke, bolehlah cakap Mat Saleh. Sikit-sikit…”

“Fanatik Kpop apa macam ni. Sejak bila pula Nickhun tu jadi orang Korea?” Kak Marlia pula mengejek. Aduh! Macam mana boleh bagi salah contoh pula pada Kak Marlia. Kantoi. Ingatkan Kak Marlia, peminat setia drama lama Allayarham P. Ramlee tidak akan tahu langsung tentang dunia hiburan di Korea. Memang silap lawanlah kau, Nat!

“Ambil tak nombor telefon? Facebook ke, Instagram ke.” Kak Marlia bertanya lagi.

“Siapa punya Kak Mar, pakcik Korea tu ke. Emmm memanglah tak ada. Kang saya cakap lembu dia cakap kambing. Entah laki orang pun tak tahu.”

“Apa susah, transalator berlambak dekat web. Cari aje. Lagipun dalam Islam tak salah lelaki berkahwin empat!” Tempelak Kak Marlia lagi dituruti senda tawanya.

“Amboi Kak Mar! Beria nampak. Cakaplah akak yang nak, boleh kenen-kenenkan. Hujung tahun tamat zaman bujang!” Aku pula membalas. Tidak habis-habis Kak Marlia mengusik dari cerita pakcik Korea aku tu. Dari Kak Marlia masuk entah dari mana sampailah Ketua Unitnya datang ajak minum petang. Fuh! Kamcing betul Kak Marlia dengan Prof. Dr. Kusnida. Orang kanan boslah katakan. Hilang Kak Marlia mengikut Prof Dr Kusnida, aku sambung melayan fikiran. Usikan Kak Marlia sedikit sebanyak mencuit kenangan aku bercuti di Korea selama seminggu bersama Fifi Katrisya. Seronok tapi tidak puas. Tujuh hari tidak cukup untuk kami meronda seluruh Seoul. Inikan pula nak singgah ke Pulau Jeju, pulau idaman Fifi Katrisya. Hajat untuk menyambut hari jadi aku di Air Terjun Jeongbang dekat Pulau Jeju bertemankan bunyi hempasan air terjun jatuh terus ke laut pun tidak menjadi gara-gara kakiku yang sakit. Ceh! Semuanya disebabkan lelaki poyo yang selamba tolak aku jatuh tangga dekat stesen Myeongdong.

“Oh, I’m so sorry. Not my intention. Let me send you to nearly clinic!” Ucapan lelaki itu tiba-tiba melintas ke liang telinga sambil teringat-ingat dia cepat saja memapah tubuhku. Eiii… selamba dia saja nak pegang-pegang kita. Memang tidak aku benarkan. Ish! Kenapa lelaki poyo tu pula yang aku teringatkan! Syoh! Syoh! Menggelitik badanku geli-geleman sedari wajahnya melintasi fikiran.

“Ha, Nat! Dah balik rupanya kau!” Opocot! Kali ini betul-betul melayang helaian artikel di tangan. Bagaikan hujan kertas yang tidak sempat aku kelipkan itu jatuh atas kepala ini.

“Kau jumpa tak bakal suami yang kau cari-cari tu?” Huh! Aku merenung muka Kak Fatiha merangkap kakak sepupu yang terus menyerbu ke arahku. Siap tarik kerusi duduk menghadap aku dengan wajah penuh harapan hendak tahu cerita. Ini seorang lagi yang tanya soalan yang sama.

“Akak ni… tak ada soalan lain ke nak tanya.” Terkial-kial aku memungut kertas yang bertaburan. Kak Fatiha pun satu. Bukannya nak tolong kita pungut kertas-kertas ni. Sibuk jari-jemarinya yang panjang meruncing cuit-cuit lenganku yang kental.

“Cepatlah cerita. Akak ada kerja lagi ni.” Gesa Kak Fatiha.

“Alah, kalau cerita tu yang akak nak tanya buatlah kerja akak tu dulu. Nanti sampai ke Subuh tak siap.”

“Amboi! Panjang benar cerita kau. Mesti handsome kan ala-ala artis Korea tu. Ada macam Lee Seung Gi tak?” Lee Seung Gi? Itu cita rasa Fifi Katrisya! Ah! Kenapa mesti aku disoal dengan soalan sebegini? Ini mesti gara-gara mulut gatal aku bercerita dengan sangat yakin pada mereka semua sebelum aku terbang ke sana.

Annyeong haseyo Korea, aku datang! Misi untuk mencari Mr. K. Tunggu aku, Mr. K! Sah! Bukan kerana mulut tapi kerja jari-jemariku rupanya. Pasti gara-gara kenyataanku dalam group Whatsapp yang memakan diri. Padan muka kau Natasya!

“Bukannya nak tanya pasal trip Nat ke apa, tak nak tahu ke? Manalah tahu nanti akak nak pergi honeymoon dekat sana boleh jadikan rujukan.”

“Nak honeymoon apanya anak dah empat. Lagipun tak laratlah akak nak ikut cara kau, Nat oii. Kau tu backpacker. Letih akak nak buat macam kau dengan hero kecik empat orang tu. Belum masuk hero tua seorang tu lagi. Huh!” Tak boleh ke? Aku cuba bayangkan sejenak. Untunglah aku masih bujang. Fifi Katrisya yang bujang tu pun tak sanggup nak ikut cara aku.

“Lambat betul la kau ni Nat. Ceritalah cepat pasal balak Korea kau, ada dapat ke?” Gesa Kak Fatiha sambil menampar lenganku yang gebu.

“Emmm… nanti bila-bila Nat cari akak kongsi cerita ekslusif dengan akak ya. Akak pergilah buat kerja akak tu dulu. Nanti berbirat lengan Nat kena penampar akak. Akak je yang tahu cerita ekslusif lagi sensasi tu nanti.” Tersenyum sampai ke telinga Kak Fatiha bila ku bilang sebegitu rupa. Laju saja di bergegas keluar, namun masih memekik menuntut janji.

Fuh! Lega!


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.