Novel : Sayang Awak, Encik D 1

27 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: AYREESA

PROLOG

‘Sebenci-benci perkara yang halal di sisi Allah ialah talak.’ (Riwayat Abu Daud, Ibnu Majah dan Al-Baihaqi)

Mahkamah Syariah.

Akhirnya, aku di sini. Satu-satunya tempat yang paling cukup aku tidak suka. Namun, siapa aku untuk menolak takdir Tuhan. Ini yang dirancangkan untuk aku. Sebagai manusia, aku terima dengan reda. Walaupun hati aku, hancur berderai tatkala lafaz itu jelas pada pendengaran aku. Hanya Allah sahaja yang tahu.

“Siti Nurlaila binti Amin, aku ceraikan engkau dengan talak satu.”

Aku sambut lafaz pembubaran cinta dengan seluruh jiwa diserahkan kepada Allah. Air mata aku haramkan untuk mengalir. Untuk apa bazirkan air mata yang bernilai itu. Sedih? Aku manusia biasa. Menipu kalau tiada sekelumit perasaan sedih itu. Berpisah dengan talak raj’ie namun tidak akan menjanjikan penyatuan semula cinta antara aku dengan Faidi. Ya Allah, tenangkan hati ini. Bantu jiwa lemah ini. Terlerai satu ikatan halal antara aku dengan Ahmad Faidi. Perkahwinan selama dua tahun itu, bubar namun cinta aku kepada seorang Ahmad Faidi takkan pernah bubar. Cinta mati yang akan aku bawa sampai mati! Di hujung sana, ada sepasang mata memandang. Ada senyum sinis yang tersungging pada bibirnya. Ya, dia berjaya akhirnya. Kisah cinta dua darjat ini akhirnya menemui titik penamat. Dialah yang dikirimkan Allah untuk menguji erti cinta antara aku dan Faidi. Sepatutnya wanita itu menerima sumpah seranah aku atas apa yang dia lakukan. Ya, itu yang selayaknya dia dapat kerana meruntuhkan sebuah masjid. Kerana dia, perkara halal yang dibenci Allah akhirnya terjadi juga. Namun, apa yang akan aku dapat dari semua tindakan itu? Sabar Laila.Ini hadiah Allah untuk aku.

‘Allah tidak membebani seseorang melainkan apa yang terdaya olehnya, ia mendapat pahala kebajikan yang diusahakannya dan ia juga menanggung dosa kejahatan yang dilakukannya…’ (Al-Baqarah ayat 286) Berulang kali ayat itu aku alunkan pada bibir. Itu kekuatan atas apa yang jadi. Aku takkan menyalahkan sesiapa. Ini cerita aku. Ini qada dan qadar seorang Laila. Jangan meratap! Jangan meroyan! Jangan cuba-cuba salahkan Tuhan!

Selesai semua prosiding, aku keluar daripada tempat yang menghancurkan hati seorang perempuan dengan langkah longlai. Aku hanya sendiri. Sementelah angah masih lagi di Mesir dan acu di sekolah berasrama penuh. Pada mereka juga tidak aku khabarkan kisah cinta aku yang terputus ini. Kesian adik-adikku itu. Biarlah aku tanggung kesedihan ini sendiri.

“Laila…” Suara itu serak. Aku kenal. Lalu aku menoleh ke belakang. Faidi dengan muka serabai dan baju melayu tanpa butang. Aku hadiahkan senyum tawar kepada dia. Inilah lelaki yang telah mencuri satu-satunya hati yang aku ada lalu dibawa lari entah ke mana. Sampai sekarang! Cinta monyet alam persekolahan yang berjaya mengikat kami dengan sebuah perkahwinan. Cinta zaman hingusan yang tetap terletak paling tinggi untuk aku hargai walaupun tidak seromantik kisah Nabi Muhammad SAW dengan Saidatina Khadijah.

“Laila…”

Bagai ada sesuatu yang menahan dia daripada berbicara. Aku tahu ada yang ingin dia sampaikan. Lalu aku merenung wajah itu. Memberikan dia ruang dan peluang untuk meluahkan rasa. Aku hela nafas dengan perlahan. Cakaplah Faidi. Mungkin ini kali terakhir untuk kita bersua.

“Apapun yang jadi, Faidi… “ dia terhenti kata. Wajahnya diangkat lalu memaku pandangan sayu kepada aku.

“Laila, andai satu hari nanti Faidi kembali untuk Laila?”

“Faidi!”Datin Munirah melangkah dengan laju-laju mendekati kami. Lalu, lengan Faidi disambar kasar. Seolah-olah itulah amaran kepada aku supaya jangan mendekati anak kesayangannya lagi.

“Dah cerai. Ingat, itu bukan lagi isteri Faidi. Balik!”Jelingan tajam dari sepasang mata bermaskara tebal itu bagai cuba untuk membunuh harapan yang tersisa. Riak wajahnya amat menakutkan. Namun, aku sudah biasa. Tubuh kurus Faidi dipaksa mengatur langkah meninggalkan aku tanpa sempat soalan Faidi itu aku jawab. Aku hantar bayangan Faidi menjauh hingga hilang dari pandangan mata dengan hati yang retak beribu. Faidi, selamanya Laila sayang. Aku merasa pipi yang sedikit membengkak. Masih lagi terasa pijar pipi aku menerima tamparan daripada telapak tangan Faidi siang tadi. Amarah lelaki ini sampai ke kemuncaknya. Matanya merah membara. Nafasnya mendengus kasar. Setiap cercaan yang dihamburkan jelas terakam dalam memori hidup aku.

“Sebab duit Laila sanggup minta cerai dengan Abang? Kenapa Laila?”Faidi lemparkan sampul surat ke muka aku. Berderai helaian duit daripada isi sampul surat itu. Bertaburan pada badan aku.

“Ini RM250 ribu. Nilai diri Laila. Abang ‘hadiahkan’ pada Laila!” Kalaulah Faidi tahu kenapa aku perlukan duit ini…Berdentum bunyi guruh yang menyambut cahaya petir tadi menyentak aku daripada lamunan. Bunyi ketukan dan suara yang memanggil aku membuatkan aku cepat-cepat menyudahkan doa selepas solat insya. Telekung aku tanggalkan begitu sahaja dan bergegas menyarung tudung sambil langkah menuju ke ruang tamu.Entah siapa yang kalut sahaja bunyinya mengetuk pintu bertalu-talu. Sudahlah hujan dengan guruh yang berlawan dengan desir angin di luar. Aku capai selak pintu dan membuka pintu.

“Laila….” Zayden Alimin. Suara itu terketar-ketar memanggil nama aku. Aku sempat amati, tubuh itu basah kuyup. Lencun.

“Kau dari mana?” Badan Zayden menggigil kesejukan. Tumpah pula rasa kesian. Namun, teringat yang aku hanya sendiri membuatkan aku mengeraskan hati yang ada.

“Dari pusat tuisyen.” Ya, Zayden mengajar sambilan di salah sebuah pusat tuisyen di pekan. Kilat yang sabung menyabung sesekali buat aku beristigfar dek kerana terkejut sebelum lima saat kemudian guruh pula berdentum.

“Laila, bagi aku masuk. Sejuk…” Aku nampak pucat bibir Zayden. Aku yang tertempias dengan angin hujan pun terasa sejuk sampai ke tulang.

“Tolong aku, Laila…” Allah, macamana ni? Hati aku mula bolak balik. Tak tolong, kawan. Nak tolong, karang bahaya. Aku gengam kunci mangga pintu di dalam tangan. Pada masa yang sama, aku nampak Zayden sudah tersandar pada dinding.

“Tolong, Laila…” Zayden merayu lagi. Jatuh kasihan. Macamana nak buat ni? Takkan nak biarkan aje. Pengsan anak orang tu depan rumah aku, jenuh nak menjawab dengan mak ayah dia. Lagipun keluarga Zayden ni aku kenal. Mak ayah dia pun baik. Tapi…

“Laila… aku pening…” Tubuh Zayden melurut ke lantai. Allah. Kelam kabut aku membuka mangga pintu yang terkunci. “Zayden… Zayden…”
Dalam kepayahan aku papah tubuh basah Zayden masuk ke dalam rumah. Aku dudukan dia di atas sofa sebelum aku berlari ke dapur untuk mencari air panas untuk Zayden. “Zayden, kau jangan mati.” Sedang mengisi air di dalam cawan, aku perasan aku seseorang di belakang aku.

“Laila…” Laju aku mengalihkan tubuh. Nampak Zayden yang tidak berbaju. Hati aku mula rasa tidak enak. Ya Allah, kenapa ni?

“Zayden, kau okey?”Aku pandang mata Zayden. Ada sesuatu. Aku yakin!

“Maafkan aku, Laila.” Dalam rasanya suara Zayden sampai ke dalam hati aku sebelum dia menerkup hidungku dengan sesuatu. Aku meronta dan muk berisi air jatuh ke lantai. Bau yang aneh. Makin kuat aku meronta, makin kemas juga Zayden memeluk aku.

“Maafkan aku, Laila.”Pandangan aku semakin kabur sebelum aku rasa tubuh aku semakin ringan. “Zayden…”

Kelam.

BAB 1

‘Don’t be sad if Allah takes something from you. If you knew what He had for you as a replacement, you’d melt with the warmth of His love.’

AKU sudahkan bacaan Yasin dengan doa semoga wildan syurga berdua ini sentiasa dalam jagaan Pemilik Cintanya. Batu nesan di kiri dan kanan itu aku sentuh dengan kasih sayang. Sama seperti selalu. Membayangkan aku mengusap pipi mulus si dia yang sentiasa aku rindukan.

Kanan. “Umi, balik dulu ya sayang. Ada masa umi datang lagi ya.”

Kiri.“Along balik dulu ya Acik. Nanti Along datang lagi.”

Bisikku lagi sambil tersenyum bahagia. Air mawar yang aku bawa, aku siramkan di atas kuburan yang bersebelahan itu. Kali ini aku perasan ada taburan bunga mawar merah yang tertabur di atas kubur milik Ahmad Wildan. Seperti baru dua tiga hari juga sebab bunganya baru nak agak-agak layu. Siapa ya?Hairan juga. Takkan orang salah kubur kut. Ada nama dan aturan kubur di tanah perkuburan ini amat memudahkan waris untuk mencari. Takkan angah pula? Tak pula angah bagitau aku yang dia datang sini. Selalunya angah datang dengan aku.

“Assalamualaikum…”Agak terkejut namun aku sempat menenangkan diri. Aku angkat muka. Oh, pakcik ni rupanya. Aku kenal. Pakcik ni yang jaga tanah perkuburan di sini. Aku oles senyum kepada pakcik ini.

“Lama tak nampak?” Sapa Pak Cik Adi kepada aku. Batang cangkul direbahkan atas tanah. Pakcik Adi ni, kalau pandang seiras macam Tok Adi dalam drama Tanah Kubur tu. Sungguh, aku tak tipu. Angah pun kata yang sama juga. Namapun sama. Entah-entah Pakcik ni agaknya kut sumber ilham drama best tu. Aku letakkan jug kosong di sisi. “Ada je Pakcik Adi. Mungkin sebab selalu datang pagi-pagi sebelum pergi kerja. Sibuk sikit sekarang. Sabtu Ahad pun kerja juga.” Terbit sedikit keluhan. Sungguh, sekarang ni rasa tak menang tangan nak buat kerja. Mujurlah staf juga bertambah. Kalau dulu hanya aku, Tuan Haji dengan dua staf sahaja. Kalut juga. Sekarang ni, lagilah tambah kalutnya. Cuti pun tak serupa cuti!

“Orang sekarang ni kerja sampai tak ada rehat. Tahu-tahu dah sakit-sakit. Barulah nak rehat. Tu, rehat sungguh. Rehat atas katil hospital.”Aku tergelak.

“Itu nasib kalau rehat atas katil hospital. Kalau rehat lama kat sini. Memang rehat sungguhlah sementara nak tunggu kiamat.”

“Itulah dia… rehat betul. Kata Rasullullah SAW, dari Ibnu Abbas… Rebutlah lima perkara sebelum datangnya lima perkara. Masa sihat sebelum sakit. Masa kaya sebelum datangnya masa sempit. Masa lapang sebelum tiba masa sibuk. Masa muda sebelum datang masa tua dan masa hidup sebelum tiba masa tua.” Aku angguk tanda setuju dengan apa yang PakCik Adi katakan. Macam aku, sentiasa mengejar waktu. Kadangkala nak belek diri sendiripun tak sempat. Akhir zaman yang manusia selalu buat-buat lupa.

“Kamu muda lagi. Hiduplah baik-baik. Usahakan yang baik-baik. Doa tu… juga yang baik-baik. InshaAllah, Dia pun akan bagi yang baik-baik.” Seronok bersembang dengan lelaki yang mungkin sebaya abah, andai diizinkan abah masih hidup. Aku hormatkan Pakcik Adi ini macam abah. Sejak almarhum wildan syurga aku dikebumikan di sini, Pakcik ini tidak pernah culas dalam menegur aku setiap kali aku singgah sini.

“Pakcik, Laila nak tanya sikit boleh.”

“Apa dia?”

“Pakcik ada nampak tak siapa yang datang kubur Wildan dua tiga hari lepas. Laila nampak ada bunga mawar atas kubur tu.”Berkerut dahi tua Pakcik Adi. Mungkin cuba untuk mengingat agaknya. Aku menantikan. Mungkin betul, orang salah ziarah kubur agaknya. Pakcik Adi, tarik nafas panjang. Kemudian dia memandang aku.

“Dua tiga hari lepas, ada seorang lelaki datang. Dia tanyakan Pakcik pasal kubur Ahmad Wildan. Selama Pakcik jaga di sini, setahu pakcik satu saja kubur yang nesannya tertulis nama Ahmad Wildan. Kubur anak kamu. Sedara kamu agaknya?”Giliran aku pula memikir. Sedara aku? Datang celah mana pulak sedara sampai nak mencari kubur Ahmad Wildan. Kalaupun sedara jauh dari kampung, mestilah akan maklumkan dekat aku juga. Buat apa susah-susah datang dan cari kat sini. Aku sendiri pun boleh bawa.

“Bukan adik-adik Laila ke Pakcik?” tanyaku lagi. Aku terlunga sendiri. Kalaupun si angah, takkan angah tak tahu. Selalu datang dengan aku. Tahu aje dia kat mana. Atau acu? Acu jauh kat Johor, buat apa nak datang sini tapi tak balik rumah. Lagipun acu bagitau, minggu ni dia ada tournament.Cepat sahaja Pakcik Adi menggeleng.

“Si Wajdi dengan Ayman tu Pakcik kenal.”Aku garu kepala yang tidak gatal. “Dah tu siapa pula?”

“Sedara kamu yang lain?” Aku gelengkan kepala. “Laila yatim piatu Pakcik.”

“Siapa ya?”

“Entah-entah ayahnya si Ahmad Wildan tu?”Aku terjeda. Soalan Pakcik Adi buat aku tergamam sendiri. Untuk apa ayahnya si Ahmad Wildan menziarahi kubur anaknya setelah sekian lama dia tidak menjalankan tanggungjawabnya yang satu itu?

Daripada kubur, aku terus ke pejabat sementelah jam juga sudah menunjukkan pukul 10 pagi. Cahaya pagi pun sudah makin terik. Mujurlah jalan sudah tidak berapa sesak. Sampai ke pejabat dengan senyuman. Kalau dulu, jalan tu tak adalah sesak sangat tapi semenjak ada pusat membeli belah yang baru saja beroperasi, jalan sesak teruk. Sebab itu sama ada aku keluar sebelum pukul tujuh pagi ataupun baik keluar pukul 10 terus. Terlewat seminit pun boleh mengundang kesesakan yang menyesakkan jiwa dan raga aku. Siapa suka menghabiskan masa Kalau balik pula selalunya sebelum azan maghrib, aku sudah sampai ke rumah.

“Assalamualaikum Kak Ayni.” Salam aku beri sebaik sahaja melewati kubikel milik Penolong Jurutera Senior tu. Wanita beranak lima itu angkat muka. Salam aku disambut mesra.

“Dah breakfast ke?”Aku gelengkan kepala. Belum sempat pula tadi nak menjamah nasi goreng yang aku sediakan untuk Angah yang balik ke rumah aku semalam. Pagi sangat nak makan. Karang sakit perut dalam kereta, naya hidup!

“Atas meja Cik Laila, Kak Ayni dah letakkan nasi lemak. Tuan Haji buat kenduri katanya.”

“Wah… dapat tender projeklah tu. Agaknya yang dekat Behrang kut.” Setahu aku, syarikat ada menyertai tender untuk projek perumahan di Behrang, Perak. Penyediaan rumah untuk pelajar-pelajar institusi awam yang berdekatan. Mungkin sebagai asrama dekat luar. Kalau betul tender itu rezeki syarikat ini, alhamdulillah. Besar rahmat Allah untuk kami semua.

“Hujung tahun dapat bonuslah ye.”Encik Mirza selaku akauntan syarikat tiba-tiba mencelah. Aku pandang Kak Ayni sebelum kami keduanya mengukir senyum. “Bolehlah Encik Mirza kawin kan?”

Usik Kak Ayni buat lelaki yang masih lagi membujang itu tersenyum malu. Personalitinya nampak kemas sahaja. Jenis sopan. Belum pernah lagi aku dengar suaranya dalam nada marah. Lembut sahaja tuturnya. Semua orang menyenanginya.

“Belum fikir kawinlah kak. Ada rezeki lebih ingat nak bawa mak pergi umrah.”

“Baguslah tu. Wah, calon suami soleh ni Encik Karim. Kalau anak akak dah besar, memang akak pinang Encik Mirza jadi menantu akak.” Sekali lagi Encik Mirza tersenyum. Murah betul dia dengan senyuman.

“Zaman sekarang ni mak-mak yang kena pinang calon menantu. Nak harapkan anak mencari. Aduh… entah siapa-siapa yang dibawa.” Keluh Kak Ayni buat aku terangguk tanda setuju. Serupa pupus pula lelaki berbudiman di akhir zaman ini. Ada tu memanglah ada, tapi nak jumpa tu. Hesy… Satu dalam seribu.

“Anak Kak Ayni yang sulung tu baru form five. Akak chop Encik Mirza boleh?”Berderai ketawa kami semua. Macam-macam betul Kak Ayni ni. Punyalah takut dapat menantu yang entah apa-apa, sanggup nak chop dulu. Aduhai… Aku meminta untuk mengundurkan diri. Teringat perut yang berkeroncong lapar. Laju sahaja langkah disusun ke ruangan kubikel aku.Wah, ada nasi lemak. Berbungkus dengan daun pisang. Aromanya wangi. Beg kerja aku letakkan di tempatnya sebelum melabuhkan duduk di atas kerusi. Lapar-lapar begini, ada rezeki percuma, memang heaven. Orang kata musuh jangan dicari, rezeki jangan ditolak.Sedang aku membasuh air milo di dalam muk, aku disapa oleh Tuan Haji. Terkejut juga sebab hanya aku seorang sahaja di dalam pantri. Segan pula berdua-duaan dengan lelaki ini.

“Baru sampai ke Laila?”Aku angguk. Kerja di sini mudah saja. Datanglah pukul berapa pun, yang penting kerja siap. Protokol pakaian pun asalkan selesa sudah. Tuan Haji jenis fleksibel. Setakat ini, jumlah pekerja seramai 35 orang itu belum lagilah mengambil kesempatan atas kebaikan Tuan Haji.

“Pergi kubur tadi. Tuan Haji nak milo?” Sempat pula aku buat tawaran. Heh, ingat senang Laila nak bancuh air waima air milo 3 in 1 aje pun. Aku cuba untuk tidak membosankan suasana. Entah kenapa, duda berusia awal 40an ini sekarang macam saham naik. Ramai client di kalangan perempuan yang belum bersuami, mula memasang jerat pada lelaki ini.

Duda hot!

“Boleh jugak tu.”Siap dua cawan muk. Aku oles senyum pada Tuan Haji seraya meletakkan muk di atas meja. “Terima kasih Tuan Haji belanja makan pagi hari ni.”Tuan Haji senyum. Ada lesung pipit pada kedua belah pipinya. Dalam pulak tu. Aku rasa itulah aset mahal lelaki ini. Salah pandang, niat boleh terpesong. Mau jatuh hati pulak karang. Tapi, rasanya hati aku ni mangga dia kuat. InshaAllah, takkan nak jatuh hati dekat bos sendiri. Setakat goyah tu, mungkin ada. Lagipun, dah lama kut aku kerja sini. Habis sahaja ijazah, aku terus kerja dengan Tuan Haji. Sedar tak sedar dah tiga tahun aku di sini.

“Satu hari nanti Laila boleh bawa saya ke kubur anak Laila tak?”Alamak, aku elus batang leher. “InshaAllah.” Itu sahajalah jawapan yang mampu aku berikan. Nak berjanji bagai nanti bila Tuan Haji menuntut, tak ke mengagau aku nak menunaikannya. Lagipun, aku rasa tiada keperluan lelaki ini nak tahu tentang kubur Ahmad Wildan.Tuan Haji mencicip air milo sebelum meletakkannya semula.

“Sedap.”

“Terima kasih.” Trang tang tang kut air milo 3 in 1 Tuan Haji weyh.Tuan Haji mengemaskan duduknya. Riak wajahnya tenang. Lelaki ini walau dalam situasi apapun tetap sahaja tenang. Berkat orang yang wajahnya sentiasa dibasahi dengan air wuduk agaknya. Jangan tak tahu, Tuan Haji ni alim wal warak tahu. Tahfiz lagi. Masa mudanya dia sempat menghafaz Al-Quran di sebuah pondok di Pakistan sebelum balik ke Malaysia.

“Laila tahu kan kita dapat projek di Behrang tu.”Aku angguk. Tuan Haji berdehem.

“Projek tu projek usahasama kita dengan syarikat milik Datuk Ikhsan. Jadi, syarikat kita diminta untuk menghantar seorang wakil ke sana. Mungkin dalam dua ke tiga bulan.” Datuk Ikhsan? Berkerut dahi aku. Nama tu macam familiar. Takkanlah… Tapi, dekat Malaysia ni ramai lagi nama yang serupa namanya. Sila check kat Jabatan Pendaftaran Negara. Berderet orang yang nama serupa. Sila lempar jauh-jauh perasaan risau yang tak tentu hala itu ya Cik Laila.

“Jadi, Tuan Haji nak hantar siapa?”

Dalam kepala aku juga memikir. Siapa yang layak untuk menjadi wakil syarikat. Almaklum sajalah syarikat ini baru nak naik, bila dapat peluang baik begini kena usaha molek-molek. Tunjukkan prestasi yang bagus kepada syarikat rakan kongsi itu. Kalau dah empunyanya Datuk, tentu syarikat tu besar juga.

“Kalau saya hantar…”

Aku pandang Tuan Haji yang serupa berat nak memberitahu siapa calon yang terpilih itu. “Tuan Haji jangan risau, inshaAllah kita kat sini masih mampu nak buat kerja kalau seorang tak ada.” Mungkin itu yang merisaukan Tuan Haji. Yelah ada lima projek sedang berjalan sekarang. Karang mainpower tak cukup, terbongkang kami yang tinggal.Tuan Haji bersandar ke kerusi.

“Saya nak hantar Laila.”Erk, aku?

“Proposal semuanya Laila yang sediakan. Saya rasa kejayaan tender ni adalah atas usaha Laila.”

“Tapi, staf yang lain pun bagi kerjasama juga Tuan Haji.” Selaku. Ini bukan kejayaan aku sendiri, ramai yang menghulurkan bantuan semasa aku nak menyudahkan kertas kerja ini. Rasa macam tak adil pula kalau aku sorang aje yang dapat nama.

“Laila yang tahu pasal projek tu. Saya pilih Laila untuk ke sana.”Rasa tak tertelan air liur. Aku senyum tawar. Entahlah, rasa macam berat pula hati nak terima tawaran Tuan Haji. Patutnya aku boleh joget lambung. Hello, ingat senang bos nak bagi kepercayaan handle projek besar-besar macam tu? Rasa banggalah sikit sebab bos percayakan aku.

“Tapi, office mesti sunyi Laila tak ada.”Okey, aku sengih. Cerita macam akulah penglipurlara kat pejabat ni pulak.

“Saya pun akan rindukan Laila.”Nadanya sedikit sayu. Buat hati aku rasa tak tenteram. Jangan nak rindukan saya sangat bos, bahaya untuk kesihatan hati. Macam nak aje aku cakap macam tu dekat bos. Nasi lemak tadi belum sempat hadam, karang ada terkeluar pula nanti.

“Laila, sebelum pergi… saya nak…”Tuan Haji terdiam lagi. Apa masalah lelaki ini? Dulu okey aje. Sekarang ni lain sikit. Aku ni bawa masalah ker dalam pejabat? Tapi, rasanya hubungan aku okey dengan staf yang lain. Dengan Tuan Haji? Lagilah okey.Tuan Haji tarik nafas panjang sebelum menghembusnya juga panjang. Berat sangat ker ayat yang nak dihabiskan. Aduhai Tuan Haji, bikin I nervious ajelah.

“Laila… saya tahu sekarang bukannya masa yang sesuai tapi saya ada sesuatu yang perlu saya tanyakan kepada Laila. Saya risau kalau…”

“Tuan Haji nak tanya apa?” Ish, tengok muka lelaki ini buat aku cuak saja. Soalan apa nak tanya? Pasal kerja atau pasal peribadi. Kalau kerja, memang aku boleh aje jawab tanpa masalah. Tapi, kalau pasal peribadi?Takkanlah…Tuan Haji pandang aku. Serasa boleh tembus pandangan itu masuk ke dalam hati aku. Sungguh, mulalah aku jadi tidak keruan. Dipandang sebegitu oleh seorang lelaki mampu menkucar-kacirkan hati aku.

“Sudi tak Laila jadi isteri saya?”

Haah?!


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.