Novel : Suamiku Suri Rumah? 1, 2

24 January 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Ilham Murabbi

Suamiku Housewife?1

Sungguh bersyukur atas kurniaan nikmat kehidupan ini. Segalanya yang kuimpikan telah menjadi kenyataan. Kereta, rumah, kerjaya dan pelajaran telah kini dalam genggaman. Apa lagi yang aku mahukan, suami dan anak sudah ada. Mengenalimu suamiku, cukup indah dalam hidup ini. Semoga sampai ke syurga cinta ini terus mekar dan segar dalam hati. Kasihmu tidak terhingga, sayangmu tidak berbelah bahagi. Cuma, ada ketikanya diri ini alpa untuk mendekati dan mengenalimu. Adakah hanya sekadar luaran diriku sebagai isterimu kerana aku tidak bisa menjadi sesetia Aisyah R.A dan sehebat Siti Khadijah. Hazim, maafkan Melida andainya Melida bukanlah seorang isteri yang terbaik buat dirimu, Hazim.

*****

“Abang, esok Mel akan bertolak ke Kota Bharu, Mel ada mesyuarat di Pasific Hotel. Mel kat sana selama empat hari. Abang dah siapkan makanan untuk Mel? Pukul 8.00 kejap lagi Mel akan ke ofis ada mesyuarat…”

“Baiklah, sayang…abang dah siapkan makanan…jom kita makan…?”

“Abang turunlah dulu…Mel nak mandi dulu..dah pukul 7.10 dah ni…abang turun dulu…Mel makan kemudian…”

Aulia merengek-rengek kecil. Hazim memangku bayi kecil yang berusia sembilan bulan. Dipeluk tubuh kecil itu yang masih tidak mengerti apa-apa. Melida hanya berpantang sebulan sahaja. Sepatutnya perlu tiga bulan duduk di rumah dan menyusukan anak, tetapi masa pantangnya begitu sekejap sahaja. Bukan tidak mahu berpantang, tetapi Melida banyak urusan perlu diselesaikan. Cuti bersalin selama sebulan pun dirasakan amat membebankannya. Hazim memangku Aulia dan menuruni tangga. Diletakkan anaknya dalam buaian dan didodoi-dodoikan. Aulia terlena dalam dodoian seorang bapa, bukan diulit suara seorang ibu. Setelah Aulia memejamkan mata, Hazim mencedok nasi ke dalam pinggan. Hazim memang pandai memasak. Lauk kurma daging dan sotong goreng berempah menjadi hidangan untuk makan malam. Lama menunggu Melida. Sudah pasti sedang bersolek. Hazim merapati meja makan dan makan keseorangan. Baru sahaja suapan kedua. Isterinya, Melida sudah memanggil.

“Abang!Abang…!Mana baju Mel? Abang dah gosok ker?”Suara Melida kedengaran dari tingkat atas.

“Ada sayang…dalam almari tu…” Hazim merapati anak tangga dan memberitahu Melida dari tingkat bawah.

“Abang..bukan baju ni…Mel nak baju coklat tu….abang ni….ishhhhh!”

“Baju coklat dalam mesin basuh sayang. Abang belum basuh lagi…” Ujar Hazim dengan penuh kasih sayang dari tingkat bawah.

“Baju tu dari minggu lepas lagi Mel dah beritahu…suruh abang basuh dan gosok siap-siap…tulah..Mel nak amik orang gaji abang tak nak…”

“Baju lain lah sayang pakai…banyak lagi baju lain yang cantik-cantik…kan…” Hazim sudah muncul di pintu bilik. Melida masih menyelak-nyelak pakaian dalam almari.

Melida mengambil baju putih berona pink dibelek-belek dan terus dipakainya dengan cepat. Melida mengejar masa. Tudungnya disarung dan dikemaskan dengan brooch berlian hadiah daripada Hazim sempena ulang tahun perkahwinan mereka yang ketiga pada bulan lepas. Brooch yang ditempah khas untuk isteri tersayang amat bermakna juga buat Melida. Harganya hampir lima ribu ringgit. Jadi, masakan wanita itu tidak menyayangi suaminya yang terlalu memanjakan dirinya dan ditatang bagaikan puteri dayang sari. Kedengaran Aulia merengek-rengek. Hazim terus berlalu dan mendapatkan Aulia. Sebelum itu, tangannya dibasuh. Kuah lauk yang dimakan melekat di tangan hampir kering. Hidangan atas meja hambar sepi tanpa dijamu tuannya lagi. Melida menuruni anak tangga. Terus singgah di meja makan.

“Sayang…dah solat maghrib…?”

“Abang ni….Mel period lah!”

“Hari ni…baru 15 hb…biasanya Mel akan period pada 26hb….”

Betapa caknanya seorang suami seperti Hazim, soal period Melida juga diambil tahu. Bukan apa, semua hal Hazim uruskan termasuk membeli pad jenama Libress untuk Melida juga sudah menjadi tanggungjawabnya. Melida hanya bangun pagi, pakaian siap tersedia, makanan siap di meja makan, dan Melida hanya pergi kerja dan yang lain, semuanya Hazim yang uruskan.

“Sayang…pergi solat dulu…solatlah lah maghrib dulu sebelum pergi mesyuarat…”

“Abang ni..nanti tak sempat..jam tengah jalan nanti…!Kat tempat kerja nanti Mel solat lah” Suara Melida makin meninggi.

“Baiklah, sayang..yang penting solat…masuk waktu Isyak 8.30 malam…jangan terlambat pula…”

“Abang ni…Mel nak makan pun membebel…abang…buang sikit nasi tu…banyak sangatlah…”

Hazim menyenduk nasi untuk dikurangkan dari pinggan Melida. Dia terlupa isterinya sedang diet. Isterinya baru sahaja memakai selendang sejak bulan lepas. Hazim berharap, permulaan dengan memakai selendang agar terbuka hati Melida untuk bertudung. Hazim berdoa kelak Melida akan memakai tudung di kepala.

” Sedapnya abang masak….” Melida terus menyuap makanan ke mulutnya.

Melida tidak sedar, Hazim sedang memerhatikannya menyuap makanan. Kasihan isterinya, adakalanya makan pun tidak sempat. Tidak pula dijemput suaminya untuk makan bersama. Hazim hanya memandang sambil tersenyum. Dia faham perangai Melida. Aulia dipangku Hazim. Sekali-sekala Aulia merengek-rengek. Sudah lama Aulia tidak menyusu susu ibu. Lebih baik menjadi anak lembu kerana tiap hari Aulia asyik minum susu lembu! Melida sendawa kekenyangan dan mencapai begnya dan fail-fail ditangan dipegang kemas. Tangan Hazim dikucupnya dan terus berlalu pergi. Melida terlupa dia punyai bayi kecil yang juga memerlukan dakapan seorang ibu.
*****
Hazim membasuh tangan untuk menyambung suapan yang tergendala tadi. Aulia sudah dimandikan dan ditidurkan. Lena bayi kecil itu tidur. Setelah Melida mengandung, Hazim mengambil keputusan untuk berhenti kerja. Isterinya asyik masuk hospital kerana alahan yang teruk. Ketika mengandungkan Aulia, adakalanya Melida meminta untuk makan pelik-pelik hinggakan selipar jepun pun Melida ingin makan buat lauk. Pelbagai ragam yang Hazim layan dan bersabar namun, Hazim tidak pernah memarahi Melida. Hazim faham benar, sebelum berkahwin Melida adalah anak manja kepada bosnya, Datuk Mansor. Perkenalan dirinya dan Melida juga diaturkan oleh bapa mertuanya. Hanya Hazim sahaja yang berjaya mencuri hati Melida. Hazim menikmati makan malam seorang diri. Ruang rumah yang besar itu dipandang sepi walaupun penuh kemewahan hidupnya. Walaupun tidak bekerja, gaji bulanan Hazim sebanyak RM 2500 masuk ke dalam akaunnya. Bapa mertuanya memberi gaji percuma pada Hazim kerana membantu anaknya menguruskan rumah tangga. Harta, kereta, rumah, isteri dan anak sudah ada. Apa yang Hazim mahukan lagi. Dia hanya mahu menjadi suami yang bertanggungjawab dan berkorban untuk keluarga. Telefon bimbit Hazim berbunyi. Kedengaran lagu Tasbih Cinta bergema memecah kesunyian. Tertera panggilan isterinya, Melida.

“Ya sayang…?”

“Abang…abang tolong Mel kemaskan baju untuk Mel pergi outstation ya…”

“Baiklah, sayang…”

“Abang gosok baju, ubat gigi, berus gigi, kasut dan semualah yang abang rasa perlu untuk Mel bawa…abang siapkan ya, abang…Mel rasa balik lambat malam ni…rasanya tak sempat untuk Mel kemas…tolong ya abang…?”

“Baiklah, sayang…itu tugas abang untuk sediakan semuanya untuk Mel…”

“Terima kasih…” Bicara Melida tamat di talian.
Oh, Tuhan…hanya Melida isteriku. Auni Aulia bukti cinta kami. Perkukuhkanlah cinta kami ini hingga ke syurga. Aku punyai isteri yang sentiasa sibuk dengan kerja, dan aku sentiasa menadah telinga untuk mendengar jiran-jiran, rakan-rakanku bahawa aku ini seorang lelaki yang dayus. Apakah aku ini dayus tika ada rasa ingin membantu seorang isteri menguruskan rumah tangga? Apakah aku ini terlalu memanjakan isteri seperti yang diperkatakan oleh mereka di luar sana itu?Adakah salah untuk aku berkorban demi isteri dan anak aku ini Tuhan? Bila hati hanya mencari kebahagiaan, aku sanggup segalanya Tuhanku….Hazim memeluk Aulia…Setiap hari Aulia tidur dalam pelukan seorang bapa. Bilakah Aulia akan tidur dalam pelukan seorang ibu? Hazim percaya, kehidupan ini memerlukan pengorbanan dan saling bekerjasama. Biarlah dia berkorban demi isteri tercinta buat masa ini.

———————————
Suamiku Housewife?2

Hazim melihat jam di dinding. Jam menunjukkan pukul 2.30 pagi. Di sisinya, kelihatan bayi kecil yang sedang tidur lena. Melihat wajah bayi kecil itu, Hazim tersenyum lantas mencium pipi anak kecil yang masih tidak mengerti apa-apa. Suara bayi kecil itulah yang menjadi pengubat kesunyian Hazim. Mereka hanya berdua dalam rumah yang besar itu. Ibu Aulia, Melida sentiasa sibuk dengan kerjaya. Benar sekali, Melida seorang yang workaholic. Hazim mendoakan agar isterinya sentiasa selamat dan sihat sejahtera. Dia mampu mendoakan kejayaan dan kebahagiaan isterinya. Biarlah dirinya di rumah menguruskan rumah tangga. Hazim tidak dapat melelapkan mata. Aulia merengek-rengek lagi. Memang bayi itu sentiasa merengek-rengek. Dilihatnya lampin anaknya itu basah. Hazim menukarkan lampin anaknya. Hazim teringat pada pengorbanan arwah ibunya. Agaknya beginilah ibunya berkorban untuk membesarkannya. Hazim menyelami hati seorang ibu biarpun dia seorang bapa. Rengekan Aulia semakin menjadi-jadi. Rengekan bertukar menjadi tangisan. Aulia menangis begitu kuat. Sakitkah anaknya?

Badan Aulia begitu panas. Ya Allah, selamatkanlah anakku ini. Ya Allah, kenapa anakku ini?Sakit perutkah?Demamkah?Kebiasaanya Aulia menangis tidaklah seperti ini. Jam menunjukkan 3.00 pagi, Aulia masih menangis. Tangisannya masih tidak henti-henti. Pelbagai cara Hazim telah lakukan termasuk menyapu ubat pada perut Aulia, mendukung, meriba, menepuk-nepuk untuk anaknya tidur semuanya tidak menjadi. Bawakan Aulia ke Klinik? Klinik mana yang buka tengah-tengah malam ni? Hazim mendail nombor Melida. Dia ingin memberi tahu Melida. Anak mereka sakit. Sudah dua hati Melida tiada di rumah. Melida ke Kota Bharu urusan kerja.

“Ya, abang..dah pagi ni…Mel mengantuklah, bang…”

“Sayang…anak kita sakit…sejam lebih dah anak kita menangis tak henti-henti…” Hazim hanya mengharapkan Melida mendengar luahan rasanya.

“Abang bawaklah anak kita tu ke klinik jer…abang telefon Mel pun Mel tak boleh buat apa-apa…takkan lah Mel nak balik dari jauh ni….apalah abang, ni….!” Suara Melida yang baru bangun tidur kedengaran. Panjang lebar Melida merungut-rungut.

“Abang hanya nak beritahu Mel anak kita sakit, sayang…bukan untuk ganggu Mel tidur…Mel perlu tahu sebab anak ini anak Mel juga kan…”

“Baiklah…abang telefon Dr Mardan, nombor telefon Dr Mardan ada dalam buku telefon…Dr Mardan yang menyambut kelahiran Aulia dulu tu…”

“Baiklah…”
*****
Hazim keluh-kesah. Sekejap berdiri dan sekejap duduk di bangku klinik Dr.Mardan. Mundar-mandir apabila doktor yang merawat anaknya masih tidak keluar untuk memberitahu apa keadaan anaknya. Suara Auni Aulia senyap tidak kedengaran. Jururawat membantu Hazim mendodoikan bayi kecil itu. Kalaulah ibu Aulia berada di sisi ketika ini, alangkah baiknya. Doktor meminta untuk Hazim tunggu di luar seketika untuk pemeriksaan pada bayinya dan Auni Aulia ditemani jururawat. Dr Mardan muncul keluar dari bilik rawatan.

“En.Hazim, anak encik hidap demam panas…”

“Doktor, jadi macam mana…dan apa yang saya perlu buat?”

“Encik Hazim bertenang…Saya akan berikan ubat decongestant dan antibiotik pada anak encik. Suhu badannya melebihi 40 darjah celcius..demam panas disebabkan juga jangkitan pada telinga, sebelum ini anak encik ada selesema?”

“Ada doktok…Buatlah apa sahaja doktor…asalkan anak saya sihat”

“Mana ibu bayi ni…?”

“Ibunya outstation…”

“Baiklah….anak encik bersama jururawat sekarang…biarkan anak encik berehat sebelum pulang…dan encik ambil ubat di kaunter nanti…”

“Terima kasih doktor…”

“Sama-sama…” Ujar Dr Mardan sambil berlalu.

*****
Suara Aulia menangis memecah kesunyian malam. Hazim terjaga dari tidur. Jam menunjukkan 3.30 pagi. Tersengguk-sengguk Hazim mendodoikan Aulia. Balang termos diambil. Ringan. Hazim terlupa untuk mengisi air panas. Sudah menjadi tanggungjawab Hazim, dialah pengasuh kepada bayinya. Demam, cirit-birit, dan segala tentang anaknya, dialah yang sentiasa di sisi bayinya. Melida? Melida dunianya adalah di luar dan kerja. Sampai bilakah?Hazim tiada jawapan untuk itu. Suara Aulia tidak kedengaran lagi. Botol susu dimulutnya. Hazim memeluk erat anaknya.

“Aulia, papa sayang Aulia…” Ditenung anaknya itu. Aulia terkebil-kebil seolah-olah mengerti. Adakalanya Aulia berhenti menyusu dan melihat wajah bapanya. Bayi kecil itu seolah-olah memahami perasaan bapanya.
Hazim mendodoi bayinya hingga terlena. Tidak sedar jam telah 6.30 pagi. Hazim tergopoh-gapah ke bilik air untuk mengambil wuduk sebelum terlewat. Diletak Aulia di sebelahnya ketika hendak bersolat. Bimbang Aulia menangis. Air mata Hazim mengalir tatkala berdoa.

“Ya Allah Ya Tuhanku, Tuhan semesta alam yang menghidup dan mematikan seluruh yang bernyawa. Aku memohon ampun atas segala khilafku padaMu Tuhan. Selawat dan salam pada Nabi Muhammad S.A.W yang menjadi utusanMu dalam menyebarkan agama Islam hingga dapat aku anutinya pada hari ini…tempatkanlah Nabi Muhammad S.A.W ditempat yang tertinggi dan terpuju…Aku berdoa tempatkanlah kedua ibu bapaku di syurgaMu di tempat yang tertinggi dan terpuji, berikanlah kesihatan yang baik pada ibubapaku, keluargaku, anak dan isteriku…bahagiakanlah kehidupan kami di dunia dan akhirat, tempatkanlah kami di syurgaMu…Hiasilah akhlak anakku ini dengan akhlak terpuji…Amin Ya Rabbal Alamin…”

Aulia mengagah-ngagah. Hazim tersenyum melihat Auni Aulia memegang teddy bear kecil. Anaknya sudah mampu merangkak. Isterinya akan pulang pada hari ini. Hazim segera turun ke dapur untuk menyediakan sarapan pagi. Auni Aulia diletakkan dalam walker.

“Auni duduk baik-baik ya…papa nak masak nasi lemak special untuk mama…mama balik dua jam lagi…” Kepala Aulia digosok-gosok oleh Hazim dan dicium bayinya itu. Bayinya masih belum kebah daripada demam. Namun, sudah kelihatan beransur baik.

*****
Loceng rumah berbunyi. Nasi lemak semerbak di dapur. Sambal tumis ikan bilis dan kerang tumis semerbak singgah pada hidung Melida. Loceng kedua berbunyi lagi. Hazim tidak sedar mungkin begitu asyik berada di dapur. Loceng ketiga berbunyi. Suara Melida dari luar kedengaran.

“Abang!Abang….Buka pintu…Mel dah balik ni…”

Hazim yang sedang memotong timun tersentak terdengar suara Melida. Tangannya berdarah. Pisau terhiris jari telunjuknya tanpa disedari.

“Kejap Mel…”
Hazim meluru ke pintu utama untuk membuka pintu. Walhal ada sahaja kunci dalam beg. Mel malas untuk membuka handbag nya. Di buka pintu rumah, kelihatan Melida berbaju coklat dan berskirt putih tersenyum pada suaminya.

” Apa khabar abang?Rindu Mel tak?” Melida tersenyum.

“Rindulah…Aulia pun rindu Mel…”

“Mana Aulia?”

“Tuh…dalam walker tu…”

Melida mendapatkan Aulia. Dicium anaknya. Namun, hanya ciuman sahaja. Tidak dipegang dan didukung bayi kecil itu. Melida terus ke tingkat atas. Katanya mahu berehat. Penat sungguh. Sebentar lagi barulah dia akan turun makan. Auni Aulia terkebil-kebil. Setelah Melida ke tingkat atas, Hazim mendukung dan dicium anaknya itu. Aulia memeluk leher Hazim. Jari Hazim masih terasa pedih terkena pisau. Alah, sikit sahaja cederanya.

“Aulia..kejap lagi kita makan dengan mama, ya…Aulia makan nestum…papa dengan mama makan nasi lemak….dadadadaaaaaaaaaaaa…” Hazim mengagah-ngagah Aulia. Aulia terkekek-kekek dengan agahan papanya.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

14 ulasan untuk “Novel : Suamiku Suri Rumah? 1, 2”
  1. alfa says:

    masih ada ke lelaki seperti hazim ni…bertuah melida…xp kelak mesti menyesal jugak melida ni..hihihi….gud job ilham… 😆 😯

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    bertuahnya Melida……

  3. Ilham Murabbi says:

    terima kasih atas pandangan dan komen semua…insyAllah episod seterusnya akan lebih menarik utk pembaca…

  4. intan says:

    BEST GILA TAK SABAR NAK THU AKHIRNYA

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.