Novel : Suamiku Suri Rumah? 11, 12

31 March 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Ilham Murabbi

11

Melida meluncur laju bersama BMW 6 Series Coupé miliknya. Aulia bermain-main dengan anak patung di sebelahnya. Cermin mata hitam berjenama Gucci menambahkan keanggunan Melida. Tubuhnya tinggi lampai dan berbadan seksi amat memikat hati sesiapapun. Adakala mata yang memandangnya seolah-olah mengatakan Melida masih anak dara. Mungkin kecantikan itu yang telah disalahgunakan oleh Melida untuk bersikap terlalu ego. Sekali-sekala Aulia terkulat-kulat mahu menekan butang cermin kereta. Melida hanya membiarkan anaknya bermain. Melida mengambil keputusan untuk menghantar Aulia kepada Hazim. Tidak sanggup menjaga anak kecil yang begitu lincah dalam usia tiga tahun.

“Ba..bah….baa…bah….” Suara Aulia kedengaran.

“Hesy… tahu sebut babah dia jer…aku dia tidak pernah sebut pulak…” Melida memandang Aulia.

“Ba…ba…bah…”

“Babah kau tak ada sini lah!” Melida memarahi Aulia. Terkejut anak kecil itu sambil mencebik bibirnya mahu menangis.

“Ba..bah…” Ujar Aulia sambil menangis lagi. Sakit telinga Melida mendengar Aulia memanggil Hazim.

“Senyap!!!!Kau ni memang buat aku tension jer…!Tak boleh ker kau tak sebut nama bapak kau tu?” Suara Melida bersipongang dalam kereta. Tangisan Aulia menjadi-jadi. Melida ni pun satu, dah tahu budak tu takut, makin dijerkahnya pula. Apa jenis ibu perangai macam ni. Layan anak sendiri macam layan anak tiri!

Melida memecut sekuat hati dan apabila tiba di selekoh, Melida hampir terlanggar sign board di tepi jalan. Melida brek secara mengejut dan Aulia terpelanting terkena desktop kereta. Berbonjol kepala Aulia. Tangisannya mendayu-dayu. Siapa yang melihat pasti akan menyatakan Melida patut dihukum penjara kerana mendera anak sendiri. Kejam!Memang kejam! Kepala Aulia terluka kerana terkena hantukan yang agak kuat. Aulia meminta simpati untuk didukung, Melida menepis anaknya dan memasang sit belt kepada anaknya. Aulia meronta-ronta dan Melida terus memecut laju tanpa menghiraukan tangisan Aulia. Jika Aulia pandai bercakap, sudah pasti dia akan menyatakan kepada ibunya akulah anak yang malang ketika kecil kerana sanggup diperlakukan sedemikian. Ada anak pun menyusahkan! Tapi, apa yang Aulia telah susahkan kau wahai Melida!Selama ini Hazim yang menjaga Aulia!Kau memang tidak punyai jiwa keibuan langsung, Melida!

*****

Melida menghentikan BMW 6 series di hadapan rumah Hazim. Melida membunyikan hon tidak henti-henti. Pembantu jiran sebelah rumah Hazim keluar menjenguk melalui pintu.

“Cari siapa cik…”

“Kau diamlah!Aku bukan tuan rumah kau…kau dengan tuan rumah kau sama jer, suka menyebuk hal orang!” Tidak pasal-pasal pembantu rumah jirannya dimaki oleh Melida.

“Sabar kak…jangan marah-marah..saya tanya aja…”

“Mana si Hazim nih!Semalam aku dah janji, nak hantar Aulia.” Melida mengomel sendirian sambil mendail telefon.

“Assalamualaikum…Ya, Mel” Suara Hazim yang tawaduk kedengaran.

“Awak kat mana ni?Semalam dah janji nak hantar Aulia. Saya tercegat depan rumah ni!” Melida tidak puas hati. Sinar matahari membakar kulitnya. Salam Hazim tidak berjawab. Hanya tahu marah sahaja perempuan ni.

“Masya-Allah, saya baru sampai di kampung hantar bonda. Mungkin saya dua hari di kampung…”

” Habis tu?Budak ni siapa nak jaga? Semalam saya dah janji. Saya tak kira, awak amik budak ni hari ni jugak!”

“Mel, saya nak patah balik ke rumah tu, tiga empat jam jugak nak sampai,Mel…tunggu dua hari lagi saya pergi ambil Auni nanti, ya…”

“Saya tak kira, saya penat-penat datang sini, awak balik kampung…”

“Erm..kenapa? Saya bukan lagi suami awak…lagipun, tidak ada sesiapa pun di rumah tu…saya bebas kemana-mana…”

“Amboi, awak ingat sudah tidak ada apa-apa hubungan dengan saya, awak bebas kemana-mana?”

“Habis tu, kenapa dengan awak?” Hazim seolah-olah bertegas dengan Melida.

” Menyakitkan hati betul. Awak ni, memang menyusahkan saya!”

“Apa yang saya susahkan awak….Mel….saya balik jenguk kampung, balik hantar mak saya…kenapa…? Dua hari jer pun, awak jagalah Aulia…anak awak…anak Micheal…bertanggungjawablah pada anak tu…”

“Dahlah! Eiiiiiiishhh…!” Melida membentak tidak puas hati.

“awak dah rindukan saya?” Hazim tergelak kecil di telefon. Mak Engku Teja hanya memandang Hazim dengan tanda tanya. Apa pulak rindu-merindu anaknya ni.

“Jangan harap!Saya bahagia dengan hidup saya sekarang…bye!” Panggilan terus dimatikan. Rindu?Hah? Aku rindu pada Hazim ker!? Gila talak ke aku ni?Hesyhhhhhhh!”

*****

“Saya call awak, tak angkat-angkat telefon. Pergi mana?” Hafiz (Micheal) bersuara. Brief case dicampak ke atas sofa.

“Saya tertidur…” Jawab Melida yang masih terpisat-pisat tidur di atas sofa. Aulia juga tertidur dalam buaiannya.

“Dah, pergi masak…saya nak makan…!” Hafiz mendengus sambil bercekak pinggang.

“Hah?Masak? Gila ker! Saya tak tahu masak!” Melida membulat matanya apabila disuruh oleh Hafiz.

” Orang perempuan kena tahu masak. Suami mahu makan kat kedai hari-hari ker?”

“Awak pergilah kedai kejap…makan…apa yang susahnya….” Melida membantah.

“Saya cakap pergi masak!Nak suruh masak pun susah sangat ker!?” Sergahan Hafiz mengejutkan Melida.

Melida kecut perut. Tidak pernah Hafiz menyeringa sedemikian. Hafiz sudah menunjukkan belang. Mengalahkan singa berbelang oren! Selama aku dengan Hazim, Hazim tidak pernah tengking aku, tidak pernah dia suruh aku memasak. Aku ingatkan bahagia bersama Hafiz kerana dialah cintaku dahulu hingga sekarang. Namun, cinta perlu pengorbanan. Mahu tidak mahu, aku terpaksa belajar memasak. Arghhh!Tertekannya. Lari daripada tekanan seorang lelaki demi cinta, kini dalam cinta pula aku tertekan. Melida dalam keadaan masih mengantuk, kena marah pula, hanya bangkit ke dapur. Mahu masak macam mana, dapur gas pun tiada. Dalam peti ais, apa pun tiada. Macam mana mahu masak ni?Geramnya, siiiiiiiiiii bangsat ni!Hah?Apa aku cakap ni, Hafiz cintaku, macam mana aku boleh cakap bangsat pada Hafiz ni? Ustaz cakap berdosa kalau lawan cakap suami. Aku tidak mahu nusyuz kali kedua. Tidak!!! Melida mencapai kunci kereta. Aulia ditinggalkan dalam buaian. Melida mahu ke pasaraya, mencari keperluan dapur. Menggelabah habis. Ni, baru nak memasak, belum nak menghidang pada mentua lagi ni!

*****

“Tauke, saya mahu beli dapur gas…ada jual sini tak?”

“Sini dapur tidak ada, gas yang ada amoi…”

“Ya, saya mahu gas satu…”

“Mahu tong yang besar ke yang kecil?”

“Tong gas ada besar kecil ker?Mana-mana sahajalah tauke!” Melida membuka dompetnya lalu menghulurkan wang bernilai 50 ringgit dan cepat-cepat mahu berlalu.

“Aiiya…lu tak kenal tong gas ke?Haha. Ada kecik macam lu, ada besar macam saya punyai isteri” Tergelak tauke kedai Ah Sim sambil memikul tong gas untuk dimasukkan ke dalam bonet kereta. Melida hanya tercegat dan mengekori tauke itu.

“Sekarang lu pergi cari dapur gas pula. Pertama kali mau masak?Baru pindah?”

“Baru pindah…” Melida malas melayan. Cakap baru masak nanti diperli pula. Tahu pun takut. Padan muka aku kan?

“Ohh, itu macam…ini baki amoi punya” Melida mengambil wang dan terus berlalu.

*****

Melida pulang dengan membawa barang keperluan dapur termasuk gas dan dapur. Bahan-bahan memasak dibeli. Telur, sardin, ayam, minyak masak, bawang, beras dan perasa. Itu sahaja. Menu apa yang aku nak masak ni. Goreng telur ajerlah!Apa nak susahkan diri sangat. Hafiz tu pun melantak apa sahaja yang boleh dimakan. Tolak batu dengan kayu jer. Masak nasi dahulu. Banyak mana air kena letak nih?Berapa kali basuh beras ni?Melida membuka laptop dan tangannya sambil membasuh beras. Melida melayari internet cara-cara menggoreng telur. Basuh beras tiga kali, air letak jerlah. Ikut suka hati. Sekarang masa menggoreng telur pula. Panaskan kuali. Alamak bawang tak tumbuk lagi. Mana ada lesung batu rumah aku ni? Kalau tak tumbuk tak boleh ker?Letak jer sebiji-sebiji bawang tu tak boleh ker? Belasah jerlah, asal masukkan. Kuali berasap-asap. Hampir hangus kuali dikerjakan oleh Melida. Rugi aku tak belajar dengan mama cara memasak dulu. Okey, siap!

“Hafiz, makanan dah siap. “Melida menghidang ala-ala special yang ditelangkup dengan tudung periuk sambil membawa makanan ke meja.

“Apa yang awak masak…?” Sambil menelan air liur.

“Saya masak special untuk awak hari ni….taraaaaaaaaaaaaa!” Melida tersenyum dan mengharapkan pujian daripada Hafiz sambil membuka tudung kuali.

“Apa? Telur jer?Saya ingat masakan special sampai bertudung periuk bagai. Servis punya tip top, tapi makanan telur goreng hampir hangus…!”

“Awak duduk dulu, rasa…nanti saya bawakkan nasi…” Ujar Melida sambil Hafiz duduk di meja makan. Melida berlalu ke dapur dan muncul dengan nasi di pinggan.

“Jemputlah makan…silakan suamiku tersayang…” Ceh!Meluat jugak Hafiz melihat Melida bermuka seperti itu. Masak apa pun tak reti.

“Bhuwekkk!Apa ni masin sangat ni…terlebih perasa ker?Kuahnya mana?Kicap ni jer?”

“Saya masak awak tak hargai langsung…”

“Macam mana saya nak telan, awak masak nasi pun mentah, telur pun masin dah la telur hitam…!”

“Saya masak khas untuk awak…banyak songeh pulak…Dah, kalau tak nak makan…biar saya makan…!” Melida menyuapkan telur di mulutnya yang digaul nasi.

“Huwekkk…”

“Hah?Apa rasanya…?Sedap? Tekak saya pun rasa macam awak rasa, lah. Bawang berketul-ketul macam ni kenapa? Awak pergi belajar memasak…masuk kursus memasak lepas ni…arahan saya ni wajib!Saya ingat awak pandai masak sebelum ni, selain layan saya…Rupanya….Huh!”Hafiz menolak pinggan makanan dan berlalu ke tingkat atas.

“Kalau macam tu, menyesallah awak kawin dengan saya ya???” Melida melaungkan suaranya dan Hafiz tidak mengendahkan perkara yang terpancul di bibir Melida.

“Diam!”Hafiz mengetap bibir. Kurang ajar Melida!

Hafiz mencapai kunci kereta dan berlalu. Mungkin untuk ke kedai makan atau pun restoran berhampiran. Lapar agaknya. Ada isteri pun tidak tahu memasak. Tak guna betul!Aku akan ajar dia nanti. Biar dia tahu siapa aku. Aku bukan seperti Hazim yang boleh ikut semua rentak dia. Kali ini Hafiz yang akan ajar Melida. Biasalah cinta, dia mesti berkorban untuk aku kan? Biar dia rasa dan tahu siapa aku!Ni lah baru ada power pada orang lelaki sebagai suami. Rasakan, Melida. Penat aku melayan kau selama ni!

*****

Hujan renyai-renyai di kampung. Sejuk sungguh angin bertiup. Hazim membuka jendela. Angin menerpa ke wajahnya. Lapang dan sunyi sekali kawasan sekitarnya. Mak Engku Teja sedang membacuh air di dapur. Kedengaran sudu dan teko berlaga. Telefon Hazim berbunyi lagi. Huh!Ada-ada sahaja ketika hati lapang, jiwa diusik.

“Assalamualaikum, Hazim….Pak Imam ni…”Belum sempat Hazim memberi salam, kedengaran ada yang memberi salam terlebih dahulu.

“Waalaikumusssalam…Oh, Pak Imam,.ada hajat Pak Imam?”

“Macam ni, petang esok saya nak jemput Hazim datang ke dewan. Esok, akan ada mesyuarat pelantikan jawatankuasa surau. Boleh lah ikut serta, ya…?”

” InsyAllah, saya akan datang. Dari mana Pak Imam tahu nombor saya?”

“Masa gotong-royong kan AJK ada edarkan borang untuk kehadiran…”

“Oh, terlupa pulak saya…Baiklah, InsyAllah saya ke dewan esok. Sekarang saya di kampung Pak Imam,.”

“Kampung di mana?”

“Di Sungai Buloh sahaja…”

“Baiklah, Hazim….Assalamualaikum”

“Walaikumussalam…” Tup!Telefon terus dimatikan.

“Siapa yang telefon Zim?”Mak Engku Teja bersuara.

“Bakal mak mertua bonda…”

“Zim, jangan nak melawak Zim, tua-tua macam bonda ni dah tak cium bau nak bermentua dahhh…” Mak Engku Teja mengerling Hazim.

“Hahaha…Bukan mak mertua bonda…Bonda dengar sekali lagi ek…Bakal mak mertua, bonda…” Hazim sambil menyebut perkataan koma sebelum perkataan bonda sambil tersenyum.

“Hamboi…bonda ni…nak kahwin dah?Baru beberapa hari tinggal Mel…?” Mak Engku Teja mengangkat kening.

“Tak adalah, Hazim gurau jer bonda…tadi Pak Imam surau telefon beritahu ada jemputan…”

“Baguslah macam tu Zim…isilah masa dengan sebaik-baiknya dalam kita tempuhi ujian, makin kita dekat dengan Allah, itu lagi baik…” Dua beranak saling berpandangan. Hazim hanya mengangguk dan tersenyum pada bondanya.

Cicak berdecit-decit di bumbung rumah. Sungguh suara cicak menghidupkan suasana di kampung, berselang-seli pula dengan suara cengkerik. Kopi diteguk perlahan-lahan. Tenang dan damai sekali. Jarang untuk merasai ketenangan seperti ini. Mungkin inilah yang Hazim dambakan dalam hidupnya. Terima kasih Tuhan, kerana membenarkan jiwa ini merasai ketenangan seperti ini. Begitulah kehidupan, adakalanya duka bersilih ganti dengan bahagia. Namun, tiada manusia yang mencari kedukaan, semua manusia mencari kebahagiaan. Cuma Allah memberikannya, maka terima dan rasainya untuk mentarbiyah diri. Hazim bermonolog dalam diri.

*****

” Hazim, Mel minta maaf atas apa yang berlaku…” Melida mengenggam tangan Hazim. Hazim hanya kaku di kerusi dalam taman di rumahnya.

” Saya berjanji akan berubah…pandanglah wajah saya…” Hazim masih tertunduk.

“Katakanlah sesuatu…kenapa awak senyap sahaja…” Ujar Melida lagi…

“Saya tak boleh terima awak lagi dalam hidup saya….”

“Hazim, selama ini saya terlalu menguji kesabaran awak…apakah awak langsung tidak mahu terima saya kembali?”

“Tidak…tak mungkin. Pergilah pada cinta awak, Mel…Biarkan saya sendiri walaupun saya benar-benar terluka…”

“Sampai hati awak, Hazim….saya pergi dulu…” Melida melangkah kaki untuk menyeberangi jalan di hadapan rumah. Melida tertunduk sugul dan penuh kekecewaan. Terasa terhina dan seperti sampah sekali. Dentuman kuat singgah di telinga Hazim. Hazim menoleh. Kaku, terkejut dan tergamam melihat Melida terbaring. Apabila terlalu bersedih, kereta yang meluncur laju tidak ternampak oleh Melida. Darah membasahi jalan. Melida terbaring dengan pakaian jubah putihnya. Terkulai.

“Mel……….!!!!”

“Melllllll…………Jangan tinggalkan abang!!!!” Hazim berlari pantas mendapatkan cinta hatinya yang kini sah milik orang lain.

MasyaAllah. Badan Hazim berpeluh-peluh. Hazim takut sekali tentang mimpinya. Takut untuk kehilangan Melida buat selama-lamanya walaupun Melida benar-benar melukai hatinya. Mimpi rupanya. Mimpi tentang Melida?Buat apalah aku mimpi pada Melida ni. Dia sudah kepunyaan orang lain!Aku benar-benar menyintainya!Tuhan!Hati ini masih lagi terasa perit membiarkan isteriku terlepas pada tangan orang lain. Dia cintaku Tuhan.Aku benar-benar cinta!Tuhan, andai perpisahan ini sementara, aku menerimanya. Sesungguhnya, air mata lelaki ini tidak mampu untuk bertahan pada kelopak mata. Berjujuran air mata ini, hanya Engkau Maha Mengetahui.

Suamiku Suri Rumah?12

“Hazim, baik-baik memandu. Sampai nanti, telefon, bonda” Ujar Mak Engku Teja.

“Ya, bonda. Nanti minggu depan Hazim pulang lagi…Nanti Hazim rindu masakan bonda kalau lama-lama kat sana…”

“Ya, lah…balik lah duduk kampung ni…kat rumah di Bandar tu pun dah tak ada orang…”

“InsyAllah, bonda..Hazim akan pulang suatu hari nanti selama-lamanya di sini. Hazim mahu kerja seperti dulu kembali. ”

“Ni bekalan. Pisang dalam guni tu setandan, pucuk ubi kayu, lengkuas, serai…semua ada…”

“Seorang diri ni, nampaknya masak jarang-jaranglah nanti bonda.” Senyum Hazim.

“Seorang diri pun, mak tahu anak mak….Hazim kan suri rumah…” Derai tawa anak beranak memecahi kesunyian.

*****

“Sakit pinggang aku…Aduhhh…” Hazim melabuhkan punggungnya di sofa putih di tengah-tengah ruang tamu rumahnya sambil tangan kirinya memicit-micit pinggang.

“Kalau ada Melida, boleh laaaa jugak tolong…Eh…hurm….pernah ker dia picit aku…”Hati Hazim mendesis, sudah-sudahlah mengungkit peristiwa lama. Biarlah bersarang seperti istana pasir. Apabila datangnya air, dibawa pergi segala yang bersarang agar tidak lagi terpahat dihati. Namun, sejauhmana?Hanya masa yang menentukan. Mungkin.

“Assalamualaikum….”Suara wanita. Hazim terjaga dari lamunan.

“Errr…err..Waalaikumussalam…ya…?” Hazim menoleh ke arah pintu dan bangkit untuk melihat suara siapakah gerangannya.

Seorang gadis manis. Berpurdah. Berdua dengan seorang budak lelaki dalam lingkungan 13 atau 14 tahun. Siapakah?

“Ya, boleh saya bantu?”Hazim mula bersuara.

“Encik Hazim, emak kirimkan lauk. Tadi ada mesyuarat jawatankuasa surau. Buat pelantikan tadi.Jadi, ada gotong-royong masak-masak.” Ujar gadis yang berpurdah itu.

“Astaghfirullahalazim…Oh, ini anak Pak Imam, ya?”

“Ya, abang…Nanti singgahlah rumah kami” Jawab budak lelaki yang tersenyum. Gigi dihadapan tiada. Seperti tiang pagar roboh sahaja. Hehe.

” Terima kasih…kirim salam Pak Imam dan Mak Imam ya…Abang baru sampai dari kampung tadi. Tak sempat untuk ikut serta. ” Hazim hanya melihat badan yang berdiri di hadapannya.

“Abang, kami nak balik dulu….Peace No War!” Budak yang gigi tiada di hadapan itu menunjukkan isyarat peace pada Hazim.Hazim tersenyum dan membalas peace juga.

“Abang, kakak saya ni cantik!” Eh,Eh…sempat lagi budak gigi rongak ni promosi kakak dia. Gadis itu hanya menarik telinga adiknya.

” Abang pun hensem!” Hazim membalas sambil tersenyum. Pandai betul budak ni. Macam tahu-tahu jer hati aku tengah bersedih. Ada juga yang mahu mengubat hatiku ini. Budak itu hanya angkat ibu jari pada Hazim.

*****

“Ayah, abang rumah banglo besar tu baik kan?Hensem….Kacak….Ala-ala Akhil Hay, ayah…” Budak gigi rongak menyuap nasi ke mulut.

“Abang mana ni, adik?” Pak Imam bersuara.

“Tuuu..abang rumah banglo besar tu…yang dekat simpang tu…yang mak suruh hantar makanan tadi…”

“Ohh…Hazim…Itu Abang Hazim”

” Saya suruh hantar makanan tadi…kesian kan abang…saya tahu dia baru berpisah dengan isteri dia…”

“Biarlah hal orang…tak baik kita bercakap depan rezeki lebih-lebih lagi berbincang hal rumah tangga orang…kita makan dulu…nanti kita solat maghrib di surau berjemaah. 10 minit lagi maghrib tu. Adik, ikut ayah dengan motosikal nanti”

Nur Sakina Zunnurain mengutip pinggang mangkuk yang ada di atas meja. Dikutip satu persatu untuk diletakkan dalam sinki. Oh, begitu halus dan tertib sekali Nur Sakina Zunnurain. Panggilan dalam keluarga hanyalah Sakina. Cahaya Kelembutan Yang Mempunyai Dua Cahaya. Begitulah kehidupan Pak Imam dan Mak Imam dengan mempunyai dua cahaya mata. Puterinya diberi nama Nur Sakina Zunnurain dan puteranya Muhammad Umar.

*****

“Adik dah besar, kenapa pakai kopiah senget?”

“Sebab adik nak Kak Sakina betul kan…”

“Eishhh, mengada-ngada betul..”

“Biasalah…anak bujang…”

“Amboi, bukan main lagi….umur baru setahun jagung…”

“Adik anak bujang umur setahun jagung…Kak Sakina tu…dah jadi jagung tuuuuut…”

“Eshhh…nak kena ni…”

“Ayah, Kak Sakina nak kahwin!” Suara Umar memecahi rumah.

“Eiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiiii memang nak kena pulas telinga betul ni!”

“Adik, betul ke Kak Sakina nak kahwin?” Mak Imam bersuara. Sambil menyarungkan telekung untuk bergegas ke surau. Azan sudah berkumandang.

“Mak, hari ni adik tak berapa betul. Dari tadi asyik mengusik Sakina”

“Adik, cepat.” Ujar Pak Imam sambil berdehem-dehem.

*****

“Hello..Hazim. You ni kat mana?”

“Ya…saya ada di rumah…nak keluar ke surau. ”

“You tunggu 5 minit lagi I sampai. Tolong jaga Aulia!” Telefon terus dimatikan. Kaki Hazim seolah-olah kaku. Tidak berganjak. Kopiah baru sahaja diletak atas kepala mahu ke surau. Namun, Melida pula datang untuk suruh jagakan Aulia. Kesian budak tu.

*****

“Ayah, tadi adik tak nampak pun Abang Hazim di surau. Selalunya dia akan datang.” Ujar Umar apabila sampai sahaja di rumah. Seliparnya terlucut dari kaki kerana terlalu cepat turun dari motosikal ayahnya.

“Mungkin Abang Hazim datanglah esok tu….Ni, kenapa selalu sebut pasal Abang Hazim ni?”

“Ayah…kalau Abang Hazim jadi abang adik kan best, ayah…adik mana ada abang…”

“Adik ni…macam tu pulak, ya?”

“Ya, lah ayah….kalau Kak Sakina kahwin dengan….Abang Hazim boleh?” Sambil Umar buat isyarat kedua-dua telunjuknya bercantum. Pak Imam mengangkat kening kanan. Pak Imam ni, mentang-mentang Imam, kening pun dahulukan kening kanan bila terangkat. Haha.

“Dah..naik…buat kerja sekolah, tidur.Nanti lambat ke sekolah pulak.” Pak Imam mematikan repekan Umar. Hesh..heshhh..Umar ni, kepingin abang agaknya.

*****

“Aulia awak jaga. Setiap bulan saya akan bank in kan RM 3000 pada awak. Makan minum Aulia RM 500 untuk susu dan makanan dia. RM 2500 tu gaji awak. Okaylah, saya balik dulu. ”

“Babah..babah…” Suara Aulia kedengaran memanggil Hazim. Rindu agaknya Aulia pada Hazim.

“Baiklah. Maknanya saya jadi orang gaji awaklah sekarang. Kerja saya jadi pengasuh anak orang.”

“Dah tu, sapa nak jaga?Saya tak boleh jaga!Awak nak suruh saya hantar kat rumah kebajikan?Mana nak letak air muka saya?”

“Ikut awak lah…anak awak…anak Micheal…”Hazim sengaja ingin menyindir. Nada sindirnya penuh harapan, semata-mata hanyalah untuk menyedarkan Melida. Tanpa berkata apa-apa Melida menutup pintu kereta dan berlalu pergi. Mudah bukan?Ya, amat mudah untuk meneran anak, tapi untuk menjadikan anak itu manusia, sungguh menguji. Mungkin Melida hanya tahu beranak sahaja!Tak apalah, kesian Aulia yang jadi mangsa. Sampai bila aku harus jadi pengasuh anak orang ni?!Ikhlaskan hati Hazim…Ikhlaskan hati…Hazim cuba bermonolong sendirian sambil mendukung Aulia. Sudah seperti anaknya sendiri. Dicium pipi Aulia yang comel itu.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Suamiku Suri Rumah? 11, 12”
  1. Dili says:

    masih rela jaga anak orang..kerja lain la wei

  2. Siti Soleha Yahaya says:

    kenapa Hazim masih berlembut lg nih…..

  3. aku... says:

    xsbar nak bca part hazim tu bertegas skit….asyik mengalah jer….
    xpun nanti dia kawin n anak pak imam 2 ker…pas2 dia bhgia…
    baru best…..

  4. Amirult says:

    Bile Update Nye ek ? xsabar da rasa nak tau jalan cita ni….

  5. IM says:

    Assalamualaikum semua. terima kasih atas pandang…teruskan mmbc bab 13&14 ya…apakah y berlaku pada Hazim…

  6. nora says:

    sah ker perkahwinan mel tu….. asenye mcm tak sah jer…. walaupun tak bersama suami…. asenyer… tetap perlu eddah 3 bulan……………..maaf kalau sy tersalah…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.