Novel : Sudikah Kau Terima? 1

8 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Noraz Ikha

“Leena, sebenarnya…. saya… saya…”

Lama Aleena menunggu Taufiq menghabiskan ayat, namun semakin lama dia menunggu semakin sesak pula nafasnya. Penat Aleena menahan nafas demi mahu mendengar kata-kata Taufiq, tapi kesudahannya kata-kata itu tetap tergantung di situ.

“Sebenarnya saya apa, wahai Encik Taufiq?” sengaja Aleena bertanya.

“Saya cintakan awak, Leena!” tiba-tiba laju pula Taufiq menuturkan kata-kata itu.

Mata Aleena terbeliak. Bergetar juga rasa hatinya apabila ada seorang lelaki berkata begitu kepadanya. Sepantas itu juga Aleena menggeleng. Gagal! Pada pendapat Aleena, lelaki di hadapannya itu telah gagal. Tapi alang-alang sedang berlakon, lebih baik aku layankan sahaja si Taufiq ini, detik hati Aleena.

Hai… Taufiq… Taufiq… kau yang mahu mengurat anak dara orang, aku pula yang menjadi mangsa. Apalah salahnya kalau kau terus meng‘ayat’ wanita pujaan hati kau itu? Ini tidak, aku pula yang kena menyamar jadi si dia untuk memudahkan kau berlatih.

“Hei, awak ni dah gila ke? Awak ni siapa? Tiba-tiba saja awak kata cintakan saya. Dah buang tabiat ke?” balas Aleena bersungguh-sungguh.

“Sampai hati kau kata aku macam tu. Tak naklah berlatih lagi,” Taufiq merajuk. Sesi latihan yang mereka sedang jalani itu terus tamat.

“Laaa…. takkanlah itupun kau nak merajuk. Taufiq, kau kena sedar. Kau tak boleh tiba-tiba saja kata kau cintakan dia. Dia tak kenal kau. Mula-mula kau kenalah berkawan dengan dia dulu. Lepas tu barulah kau boleh luahkan perasaan cinta tu. Kalau kau terus cakap macam tadi, tak mustahil dia pun akan kata kau gila,” terang Aleena.

Taufiq menggaru kepala sambil berfikir. Oh, tak boleh ya? Tapii…..

“Sebenarnya, dia pun dah lama kenal aku. Cuma aku tak tahu apa perasaan dia terhadap aku,” bongkar Taufiq.

“Ohh, kenapa kau tak cakap awal-awal? Buang air liur aku saja terangkan tadi,” Aleena sudah membebel.

“Kau tak tanya, kau yang suka hati anggap dia tak kenal aku. Apa kata kita berlatih sekali lagi?” ajak Taufiq.

“Tak naklah! Sebenarnya aku tak ada kaitan dalam hubungan kau dengan dia. Apa kata kau terus saja beritahu perasaan kau kat dia. Lagipun kau orang dah lama kenal kan? Apa lagi masalahnya?” Aleena cuba mengelak.

“Alaa…. pleaseee… aku belum cukup berani nak berterus terang dengan dia. Aku kena berlatih dulu. Tolonglah jadi partner latihan aku,” rayu Taufiq.

Aleena mula menongkat dagu sambil memandang pinggan dan cawan yang sudah kosong di hadapannya. Dipandangnya wajah Taufiq sehingga lelaki itu kelihatan serba salah. Aleena tersenyum, suka benar dia menyakat Taufiq.

Taufiq memang seorang yang pemalu. Aleena sendiri tidak sangka dia akan berkawan rapat dengan Taufiq. Bagaimana mereka boleh berkenalan? Haa… mereka merupakan rakan sekolah. Cuma di sekolah dahulu persahabatan mereka tidaklah serapat hari ini. Kini masing-masing sudah bekerja. Jika dilihat pada umur mereka, memang sudah layak sangat untuk berkahwin. Cuma pasangan masing-masing sahaja yang belum ada.

“Hmmm…. okey, aku akan tolong. Tapi, boleh aku tanya satu soalan?” suara Aleena setelah mempertimbangkan permintaan Taufiq. Kasihan pula dia melihat Taufiq yang tidak pandai memikat wanita idamannya.

“Tolong jangan tanya siapakah perempuan yang aku tengah pikat tu,” putus Taufiq kemudian. Spontan Aleena mengeluh.

“Macam mana kau boleh tahu yang aku nak tanya soalan tu? Kau boleh baca hati orang ya?” usik Aleena.

“Tak adalah. Kalau aku boleh baca hati orang, mesti aku dah tahu apa perasaan perempuan tu terhadap aku,” luah Taufiq dalam nada sedih.

Hmm… kasihannya Taufiq, detik hati Aleena. Memendam perasaan adalah lebih menyiksakan berbanding meluahkan. Tetapi jika hati tidak berani untuk berterus terang, apa boleh buat?

“Mesti perempuan tu seorang yang istimewa kan? Hisyy, cemburulah aku,” kata-kata Aleena itu membuatkan Taufiq tersentak.

“Kau cemburu? Maksudnya… kau sukakan aku ke?” Taufiq bertanya tanpa ragu-ragu.

“Eh… eh… tolong sikit. Kau adalah kawan aku, friend forever. Aku cemburu sebab nanti mesti kau kahwin dulu daripada aku. Kau dah ada calon, aku belum ada. Tapi aku tak kisah pun. Kalau dah jodoh tak ke mana,” jawab Aleena.

“Betul tu, kalau dah jodoh tak ke mana. Kadang-kadang jodoh kita sudah ada di hadapan mata, tapi kita tak sedar,” ucap Taufiq.

Kening Aleena berkerut. Apabila difikirkan, lain macam pula maksud ayat Taufiq itu. Haa… Aleena faham.

“Sedarlah Taufiq, jodoh kau dah ada kat depan mata kau tu. Kau saja yang tak berani nak luahkan perasaan. Cepat Taufiq, luahkan sebelum dia jadi milik orang lain. Masa tu nanti mulut kau juga yang terlopong,” nasihat Aleena.

Taufiq menepuk dahi, nampaknya dia sudah termakan oleh kata-kata sendiri.

“Mulalah nak buat muka blur tu. Sudahlah, aku nak balik rumah. Dah petang sangat ni. Lain kali aku tolong kau berlatih. Oh ya, nanti jangan lupa perkenalkan wanita idaman kau tu pada aku ya. Teringin juga nak tahu siapa orangnya. Papaiii!” Aleena mematikan perbualan.

Belum sempat Taufiq membalas apa-apa, Aleena sudah berlalu dari kedai makan tersebut. Dia hanya mampu menggeleng melihat tingkah laku Aleena.

“Aleena…” tanpa sedar Taufiq menyebut nama itu diiringi sebuah senyuman yang makin meleret.

“Abang, kenapa abang senyum seorang-seorang?” suatu teguran tiba-tiba sahaja menerjah telinga Taufiq.

Serta-merta Taufiq menoleh. Kelihatan Zaim, pembantu kedai di situ sudah tercegat di tepi meja. Baru dua minggu Zaim bekerja di kedai makan itu dan dia sudah biasa menerima kunjungan Taufiq yang menjadi pelanggan tetap. Zaim sebenarnya sedang menunggu keputusan Sijil Pelajaran Malaysia. Daripada duduk ‘tanam anggur’ di rumah, lebih baik dia bekerja buat sementara. Bolehlah juga mendatangkan pendapatan kepadanya.

“Mana ada abang senyum seorang-seorang. Agaknya Zaim tak perasan yang muka abang ni memang jenis muka senyum. Kalau abang tak senyum pun orang akan ingat abang senyum,” balas Taufiq, sengaja mencipta alasan.

“Perasanlah abang ni. Dah senyum seoang-seorang, tapi tak nak mengaku pula. Abang, saya nak tanya sikit ni, siapa perempuan tadi tu? Teman wanita abang ya? Cantiklah!” ujar Zaim secara tiba-tiba.

“Eh… eh… yang Zaim menyibuk ni kenapa? Dah… dah… lebih baik Zaim bagi bil abang dan kakak tadi,” suruh Taufiq, malas dia mahu melayan Zaim.

Akur dengan arahan pelanggan, tanpa membuang masa Zaim terus berlalu ke kaunter dan mengambil bil yang dimaksudkan. Taufiq pula menggeleng-geleng.


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

2 ulasan untuk “Novel : Sudikah Kau Terima? 1”
  1. ice90 says:

    dulu ade cerpen ni kan..wahh.skrg sume yg dr cerpen sdg bertkr mnjdi novel..
    >.<

  2. Noraz Ikha says:

    ya ice, cerpen itu dalam proses untuk dinovelkan kerana adanya permintaan. Terima kasih sebab sudi baca ya 😀

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.