Novel : Terpenjara Kerana Janji 1

27 September 2016  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh: QUINN ROZEL

SETIAP JANJI YANG TERMETERAI SUDAH PASTI ADA RAHSIA DISEBALIKNYA.

“Maria, tolong suruh Ana masuk bilik saya sekarang. Ada perkara penting yang saya nak bincang dengan Ana.” Dato’ Danny Iskandar memberi arahan kepada setiausahanya. Dari pagi tadi hatinya tidak tenang memikirkan anak bujangnya yang sedang demam. Dia juga baru tahu berita itu melalui isterinya Datin Zulaikha. Rasa bersalahnya terhadap anak bujangnya, Ikhmar Ariffin itu semakin menggunung semenjak kepulangannya ke Malaysia. Ikhmar langsung tak menjejakkan kaki ke rumah mereka. Ikhmar terus menetap di kondominium kepunyaannya sendiri. Masih merajukkah Ikhmar terhadap kesilapan yang dilakukannya tujuh tahun lalu. Nafas dihela berat. Lamunannya terhenti apabila pintu diketuk dari luar. “Ya masuk,” jemput Dato’Danny. Ana segera melangkah masuk dengan hati yang berdegup kencang. Semenjak kerja di syarikat itu tiga bulan lalu, ini pertama kali dia menjejakkan kaki ke bilik CEO. Bermacam-macam persoalan bermain di mindanya. Badan menjadi seram sejuk.

“Selamat pagi Dato’ .” Ana menundukkan sedikit kepalanya tanda hormat kepada Dato’ Danny. Dato’ Danny tersenyum memandang wajah gadis yang bernama Ana Qisya binti Zalani. Wajahnya pucat lesi. Takut agaknya.

“Selamat pagi Ana. Silakan duduk.” Ana hanya menuruti arahan tanpa berkata apa-apa. Ana melabuhkan punggungnya di kerusi berhadapan dengan Dato’ Danny. Dia ternanti-nanti perkara yang Dato’ Danny ingin katakan. Degup jantungnya sudah tidak lancar.

“Saya panggil awak ke sini sebab ada perkara yang saya nak minta tolong awak ni,” Dato’ Danny menghelakan nafas panjang. Sukar rasa di hatinya ingin membuka bicara. Gadis sebaik Ana haruskah diperjudikan masa depannya. Dato’ Danny selalu terdengar perbualan pekerja-pekerjanya, Ana seorang yang baik. Suka menolong rakan pekerja yang lain. Ana seorang gadis yang biasa sahaja. Cukup hormat pada orang di sekelilingnya. Malah rakan rapat Dato’ Danny sendiri, Bahari Isyak yang merupakan pegawai akauntan sering memuji kecekapan Ana dalam mengurus akaun syarikatnya biarpun jawatan Ana hanya sebagai pembantu akauntan. Oleh sebab itu, dia sendiri ingin mengenali keperibadian Ana.

“Dato’ nak saya tolong apa?” Kata Ana yang melihat Dato’ Danny teragak-agak hendak menyuarakan permintaannya. Dato’ Danny menghela nafasnya semula sebelum bersuara.

“Saya minta Ana pergi ke rumah anak saya. Tolong jaga dia untuk saya, Ana. Dia sedang demam sekarang ni.” Ana berasa pelik dengan permintaan Dato’ Danny. Tidak bolehkah kalau Dato’ sendiri yang melawat anaknya itu. Kenapa mesti dia yang diarahkan untuk menjaga anaknya yang demam. Bukankah itu di luar bidang tugasnya. Namun lidah menjadi kelu untuk berkata-kata. Ana memerhatikan sahaja tangan Dato’ Danny yang menulis sesuatu pada sehelai kertas lalu diserahkannya kertas itu kepada Ana.

“Ana, ini alamat rumah anak saya. Ana pergi tengahari ni. Saya bagi Ana cuti bergaji. Hari Isnin Ana boleh masuk pejabat semula.” Dato’ Danny memandang riak wajah Ana yang agak keliru.

“Awak boleh pergi Ana,” pintanya lagi. Ana bangun menuju pintu dan tiba-tiba terlintas satu persoalan di mindanya. Dia berpaling semula ke arah Dato’ Danny.

“Anak Dato’ ni lelaki ke perempuan?” Tanya Ana.

“Lelaki.”

Ana hanya mampu tersenyum dan meneruskan langkahnya meninggalkan bilik pejabat Dato’ Danny. Banyak persoalan yang timbul di hatinya. Bagaimana dia harus berdepan dengan anak Dato’ itu. Susah juga jadi orang makan gaji ni, bisiknya dalam hati. Kertas yang ditulis oleh Dato’ tadi disimpannya di dalam beg tangannya. Baru saja hendak menyambung tugasnya semula, handphonenya berbunyi menandakan mesej masuk. Kepala digelengkan. Menganggu betullah orang ni, bebelnya. Mesej dibuka.

Hai, tengahari ni kita lunch sama – Zayn Farish

Resah hati Ana melihat mesej daripada Zayn. Selalunya Ana akan mengelak untuk bertemu dengan Zayn. Mahu tapi malu. Tidak mahu berebut dengan rakan sekerjanya, Sharini. Sharini memang sudah lama menaruh hati terhadap Zayn. Siapa yang tak mahu pada lelaki sekacak Zayn dan bekerjaya sepertinya. Tapi Ana tidak mahu niat hatinya yang hanya ingin berkawan disalahertikan oleh Zayn. Ana tidak mahu untuk memberi harapan.

Saya busy hari ni. Maaf. – Ana Qisya

Handphone diletaknya semula di atas meja. Fail di atas mejanya dibuka. Otaknya tidak mampu untuk berfikir lagi. Hatinya sering menyerukan anak bos besarnya itu. Siapakah lelaki itu? Adakah orangnya seindah namanya? Hatinya semakin berdebar-debar apabila melihat jam di tangannya yang hampir menunjukkan jam dua belas. Dia sudah mengelabah. Fail dikemaskan dan diletakkan di tempat yang sepatutnya. Hari itu, Ana tidak punya semangat hendak meneruskan kerja pejabatnya. Entah mengapa. Fikirannya terganggu kerana terlalu memikirkan permintaan Dato’ Danny.

“Hei, Ana. Kau termenungkan siapa tu?” Tegur Sharini sambil menjongketkan keningnya. Lamunan Ana terhenti.

“Apa?” Jawab Ana dengan nada yang agak keras.

“Aku tegur ajelah. Takkan itu pun kau nak marah. Nanti cepat tua tau. Jom kita pergi lunch. Aku laparlah sayang.” Sharini tersenyum lebar. Ana tetap tiada reaksi.

“Jomlah.” Sharini menarik tangan Ana supaya Ana segera bangun.

“Yelah..yelah. Eh, nantilah. Beg tangan aku tinggallah.” Sharini hanya mampu ketawa kecil melihat telatah gadis yang berusia dua puluh lima tahun itu. Muda dua tahun daripadanya. Mereka mengambil tempat duduk di sebuah kedai makan yang agak sesak apabila tibanya waktu tengahari. Nasib baiklah ada tempat kosong ketika itu. Pelayan menghampiri meja mereka untuk mengambil pesanan. Selepas itu pelayan itu pun beredar. Hari itu, Sharini terasa sesuatu yang tak kena dengan sahabatnya Ana. Ana tidak bersuara seperti selalu. Selalunya Ana suka buat lawak dan menyakatnya.

“Ana, kau ada masalah ke? Kalau ada masalah tolong ceritakan pada aku. Mana tau aku boleh tolong kau,” kata Sharini cuba mencari jawapan yang menyebabkan Ana tiba-tiba berubah sikap.

“Ye ke?” Jawab Ana yang tidak percaya pada kawannya itu. Setahu Ana, Sharini tidak pernah membantu tapi hanya mampu memberi cadangan. Hampir ketawa Ana memandang wajah Sharini yang beria-ia hendak membantunya. Sedang mereka berdua sibuk berbual, tiba-tiba datang seseorang tanpa diundang menegur mereka.

“Hai Ana,” tegur orang itu. Kedua-dua mereka serentak mendongakkan kepala. Sharini tergamam. Matanya terus melekat melihat ketampanan Zayn. Malu mula terbit di hati Ana melihat kelakuan Sharini seperti tidak pernah melihat lelaki. Ana melambaikan tangannya depan muka Sharini untuk menyedarkannya dari lamunan. Sharini tersentak. Mukanya merah menahan malu. Ana hanya ketawa dalam hati.

“Boleh saya join kamu orang ke?” Tanya Zayn lagi.

“Emm…boleh. Duduklah.” Pelawa Ana.

“Terima kasih,” jawab Zayn dengan senyuman. Sharini rasa tak keruan. Jejaka idamannya duduk pulak di sebelahnya. Ana hanya mampu tersenyum. Lirikan mata Zayn hanya tertumpu pada Ana. Namun hampa. Ana sedikit pun tidak memandangnya. Tapi Zayn tidak pernah berputus asa. Dia cuba dan terus mencuba untuk mengambil hati Ana.

“Emm..Ana, petang ni awak free ke? Saya nak ajak awak pergi tengok wayang.” Zayn teruskan saja niatnya tanpa mempedulikan Sharini. Bulat mata Sharini memandang Ana. Jantung Ana hampir hendak meletup pulak. Apa tak kena dengan mamat sorang ni. Dia ajak aku pergi tengok wayang depan Sharini pulak tu. Ish! Ini berita buruk ni, bisiknya dalam hati. Ana tidak mampu untuk bersuara. Rasa bersalah pun ada. Dia tahu Sharini sudah lama menyimpan perasaan terhadap Zayn. Cuma Zayn tidak pernah tahu. Atau sengaja tak nak ambil tahu.

“Oh ya. Ana busy petang ni. Ada tugasan diberi Dato’ tadi. Betul tak Ana?”

“Ya..ya… Saya busy petang ni. Maaf ye.”

Fuh! Nasib baik Sharini selamatkan aku. Tapi apa pulak niat Sharini. Sharini memang menyimpan rasa cemburunya itu di dalam hati.

“Apa kata awak ajak Sharini pergi bersama awak pergi tengok wayang petang nanti,” Ana cuba memberi cadangan untuk merapatkan Sharini dan Zayn. Terkejut pulak Sharini mendengar cadangan Ana itu. Tak pernah terlintas pulak di fikirannya untuk keluar bersama Zayn. Biarpun di dalam hatinya bersorak kegembiraan. Diharap jawapan Zayn tidak menghampakannya. Zayn tersenyum manis memandang Sharini yang menanti jawapan daripadanya. Sharini hampir jatuh dari kerusi melihat senyuman daripada Zayn. Itukah rasanya cinta. Degupan jantungnya semakin laju.

“Oh..kalau macam tu. Saya keluar dengan Sharini sajalah nanti.” Akhirnya Zayn terpaksa akur dengan cadangan Ana walaupun di hatinya berasa sedikit kecewa kerana Ana menolaknya. Sampai bila Ana hendak menolaknya. Sharini betul-betul gembira. Hampir saja dia bangun dari kerusi itu dan bersorak gembira. Ana menjongketkan keningnya dan tersenyum memandang Sharini. Menjadi pulak plan dia hendak rapatkan dua sahabatnya itu.


RUANGAN IKLANEKA



Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.