Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 1, 2

8 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

1

“MANA dia pergi???” pekikan itu hanya membuatkan langkahku yang laju menjadi terbantut di balik dinding.

“Err… tadi dia ada, sekarang tak ada pulak!” Itu suara Adila. Kalau aku tak ada, yang kena jawab persoalan di manakah aku berada, dialah orangnya. Kasihan. Pasti wajah itu terkulat-kulat menghadap kemarahan singa dalam pejabat kami ini.

“Kalau dia dah datang, suruh masuk dalam bilik saya!!!” nada yang masih meninggi itu membuatkan aku kecut perut. Aku sememangnya seorang yang penakut. Orang jerkah sedikit pun sudah bergelen air mata yang akan tumpah membasahi pipi.

Setelah keadaan kembali menyepi, aku meneruskan langkahku yang terbantut tadi. Benarlah seperti yang aku jangkakan, wajah Adila masih terkulat-kulat saat aku tiba di mejaku. Pandangannya tepat di wajah aku.

“Manalah kau pergi? Tengok… abang singa kau marah-marah dah! Cepat-cepat masuk menghadap dia… nanti makin teruk pulak mengamuknya!”

Belum sempat aku hendak menjawab pertanyaannya, dia sudah mula menolak tubuhku ke arah bilik tuan ‘Singa’ yang terpekik-pekik tadi. Aku menelan liur. Sekalipun aku memberi seribu alasan, wajah itu perlu dihadap juga. Dengan perasaan yang gementar, pintu itu ku ketuk.

“Masuk!” serius saja balasnya.

Perlahan-lahan aku menolak pintu dan sepantas kilat sahaja panahan matanya menikam wajahku. Aku tahu pandangan itu. Argh!!! Apa pula kesilapan aku kali ini? Dalam pada keresahan asyik mengacau emosi, sempat juga hatiku mengutuk diri sendiri. Macam mana boleh cuai sangat bekerja. Aku takkan dimarahi kalau tidak lakukan kesilapan.

“Siapa yang buat ni?” tidak perlu menunggu lama, aku sudah punya jawapan berkenaan kesilapan aku. Laporan kewangan. Aduh! Boleh ke tidak, aku hendak menghalimunankan diri di saat ini.

“Saya.” Suara pun nak tak nak saja keluar.

“Careless!!!” suaranya melantun dengan tinggi sekali. Aku menelan liur. Merah sungguh wajah itu ketika melampiaskan kemarahan padaku. Dan saat itu, aku mula merasakan mataku mulai panas. Sudah!!! Air mata sudah memenuhi kelopak mata.

“Tolong jangan menangis selagi saya tak puas marahkan awak!” Dan lelaki itu pun macam tahu-tahu saja.

“Macam mana awak buat laporan ni? Awak tau tak berapa banyak benda yang tersilap? Bila bermain dengan angka, otak kena peka. Jangan sesekali terleka…” aku diam saja menadah telinga dengan ceramah ringkas dan padat berkenaan laporan kewangan yang telah aku sediakan itu.

“Awak buat sambil tidur ke?” tebakan itu membuatkan aku mengangguk spontan. Wajah tuan ‘singa’ nyata berubah riak. Kali ini dia tidak lagi kelihatan seperti hendak menerkam mangsanya tetapi wajahnya sudah dibaluti rasa bersalah.

“Pukul berapa?” soalnya pendek. Aku faham. Dia hendak tanya, pukul berapa aku siapkan laporan itu.

“Empat pagi tadi.” Jawapan aku yang penuh dengan kejujuran itu terus saja menoktahkan kemarahannya. Hebat kan! Aku tersenyum dalam hati. Hendak senyum depan singa ini, aku tidak begitu berani.

“Pergi betulkan apa yang patut. Selesaikan kerja ni dulu… baru buat benda lain. Jangan nak curi tulang pulak! By three, submit to me.” Arahnya dengan nada tegas. Aku sudah mencapai laporan dalam fail biru itu dan mula mengatur langkah ke pintu.

“Sham…” panggilan itu membuatkan aku kembali berpaling ke arahnya. Ya, Tuan Singa!

“Tak ada apa. Sambung kerja awak.” Aku akur juga walaupun dalam hati masih tertanya-tanya kenapa dia panggil aku. Mungkin hendak ringankan tugasan. Mungkin…

“APA yang dikata abang singa awak tu?” terus saja Adila meluru pada aku. Aku tergelak kecil. Adila melabelkan orang di dalam bilik itu dengan panggilan abang singa padaku. Dan kami berdua memanggilnya tuan singa. Kena benarlah panggilan itu dengan diri tuan punya badan. Nama tuan singa aku, Encik Asadullah. Membawa maksud singa Allah. Singa kami juga!

Aku lepas gelak lagi tanpa menjawab soalan Adila.

“Kau ni… jawablah! Main gelak-gelak pulak.” Marahnya.

“Aku silap taip laporan kewangan ni… itu yang singa naik bengang.”

“Banyak ke silapnya?” soal Adila sambil membelek fail berwarna biru di atas mejaku.

“Banyak jugaklah… nak kena betulkan ni. By three kena submit.”

“Gila abang singa kau ni… tak ada tolenrasi langsung. Macam mana kau boleh bertahan dengan dia? Kalau aku… tak boleh dah.” Aku gelak lagi.

“Dah saaayanggg…” tarikku panjang dengan senyuman di bibir.

“Sayanglah sangat. Dah… buatlah kerja kau ni. Jangan sampai abang singa mengamuk lagi.” Ucap Adila sambil berlalu ke mejanya.

Jam sudah menginjak ke jam satu. Laporan yang sedang dibaiki ini baru siap separuh. Memandangkan sudah hendak masuk waktu zohor, aku tinggalkan saja kerja itu dan terus berlalu ke surau. Sebaik saja aku kembali ke meja setelah menunaikan solat, ada sebungkus plastic McD atas mejaku. Kad yang terselit di celah plastik itu aku tarik.

Enjoy your lunch sweetheart.

Aku tersenyum. Tanpa nama pun aku sudah tahu siapa pengirimnya. Bungkusan McD itu aku buka perlahan-lahan. Aku menjamu selera dengan gembira. Soal kerja sudah jatuh nombor dua bila hidangan dari insan kesayangan ada di depan mata.

“Lunch?” soalan itu membuat aku memanggung kepala. Tuan singa dah ada depan mata. Aku mengangguk saja.

“Saya ada hal nak keluar sekejap. But I’ll be back before three. So awak jangan nak main curi tulang pulak.”

“Baik Tuan Asad.” Aku jawab juga nak beritahu dia yang aku tak mungkin curi tulang.

“Enjoy your lunch.” Ucapnya dengan wajah serius sambil berlalu meninggalkan aku.

Enjoy your lunch. Sambutku dalam hati dengan senyuman sambil menyudahkan kunyahan dalam mulut.

__________

2

JARUM jam sudah mencecah angka lima. Sudah tiba waktunya untuk aku tinggalkan segala lelah di pejabat dan pulang ke rumah. Tuan singa yang asalnya kata hendak masuk pukul tiga, sampai ke sudah tidak nampak bayangnya. Akhirnya, diletakkan saja fail itu di atas meja lelaki itu. Biarlah kalau dia tidak masuk pukul tiga pun, janji kerja aku sudah siap. Tidak perlu peningkan kepala lagi fikirkan hal laporan yang tunggang langgang itu.

Beg sandang di dalam laci ku capai. PC telah dimatikan. Pandangan ku halakan pada meja Adila yang tidak jauh dari situ. Kelihatan dia pun sudah bersiap-siap hendak berangkat pulang.

“Awal balik hari ni?” tegurku sambil melangkah ke mejanya.

“Awallah. Anak-anak dah merajuk aku asyik balik lambat last week.” Aku tergelak.

“Amboi! Gelakkan aku… nanti kau dah ada anak, baru kau tau.” Sambung Adila sambil menjegil padaku. Tidak puas hati agaknya aku ketawakan dia. Hendak buat macam mana. Aku boleh gelak sajalah mengenangkan aku belum lagi berpeluang untuk merasakan situasi yang sebegitu. Punya anak-anak yang akan merajuk manja denganku.

“Okey… aku gerak dulu.” Ucapku pantas hendak bergerak dari situ.

“Okey… jumpa esok,” balas Adila dengan senyuman kecil.

“Eh… Sham!” Panggilan Adila menahan langkahku. “Balik dengan abang kan?” soalnya. Aku menggeleng.

“Kenapa?” Adila menyoal lagi. Aku senyum saja.

“Nak tumpang aku tak?” pucuk dicita ulam mendatang. Senyuman aku menjadi lebar dengan sendirinya.

“Tak susahkan kau ke?”

“Susah apa pulak… rumah aku kena lalu jalan rumah kau jugak. Dah, jom!” Adila sudah siap berkemas dan beriringan ke lif. Sementara menanti lif terbuka, pandangan aku meliar di sekitar ruang itu. Penuh dengan dekorasi bunga dan alam semulajadi. Benar-benar mendamaikan jiwa.

Pintu lif terbuka. Dan baru saja aku hendak melangkah masuk ke dalam bersama Adila, terasa lenganku ditarik. Adila sudah berada dalam lif. Aku pandang Adila, Adila pandang orang sebelah aku.

“Adila, you balik dulu.” Arahnya pada Adila. Aku termangu. Tiba-tiba saja dia muncul dan menghalang aku pulang pada waktu ini.

“Jom!” dia sudah mula menarik lenganku.

“Nak ke mana?” aku rasa pelik.

“Nak semak laporan.” Mendengarkan jawapan dari mulut Tuan singa ini, hati aku menjadi panas. Dia yang masuk lambat, alih-alih aku pula yang kena temankan dia semak laporan pula. Orang penat tau! Tapi setakat jerit dalam hati. Ketahuilah bahawa aku tidak punya keberanian untuk menjerit di depannya.

“Duduk!” arahnya. Dia sendiri sudah bergerak mengambil tempatnya. Fail biru yang aku letakkan tadi dicapai. Matanya laju berlari pada helaian kertas di dalam fail itu. Macam mata helang. Laju bergerak mencari mangsa. Cuma bezanya, tuan singa sedang mencari kesalahan aku sebenarnya.

“Okey. Bagus… dah tak ada apa yang silap. Awak boleh balik.” Ucapnya dengan wajah tidak berperasaan. Ish! Tuan singa ini… memang sengaja hendak cari pasal denganku.

“Abang!” aku panggil dia perlahan dengan panggilan yang mengingatkan status siapa dia padaku. Sebenarnya nak jerit, tapi lain pula nadanya bila aku berucap depan Tuan singa ini.

Dia jungkit kening saja hendak tanya soalan pada aku. Gaya macam sudah gadai saja mulut dia itu. “Elok orang dah boleh balik dengan Adila… abang tahan. Sekarang abang nak suruh Sham balik sendiri pulak!” aku lepaskan saja rasa marah aku di situ. Tapi kalau dengar elok-elok, nada yang aku guna, langsung tidak menunjukkan macam aku sedang marahkan dirinya. Aku cakap dengan tenang saja.

“Abang ada kerja lagi Sham… Sham nak tunggu sampai sepuluh malam?”

Laju aku geleng kepala. Tak kuasa aku hendak duduk lama-lama dalam ofis ini. Tidak cukup lapan jam, nak suruh aku tambah lagi lima jam. Kalau dia bayar suruh aku duduk pun, aku tak mahu.

“Kalau boleh hantar, abang dah hantar… tapi abang ada kerja. Boleh ya Sham balik sendiri?” Soalan yang lebih kepada arahan sebenarnya. Aku mengangguk saja. Macam biasa, aku akan balik sendiri menaiki bas atau teksi.

“Sham balik dulu.” Aku sudah bangun dan melangkah ke pintu.

“Shamina…” langkahku terhenti dengan panggilan itu. Itu panggilan manja katanya. Apakah Tuan singa aku ini dalam mood nak bermanja? Di pejabat pula tu. Aku macam tak boleh nak percaya.

Bila aku kalih saja, wajahnya sudah ada di depan mata. Dia tersenyum. Manisnya kalau ‘singa’ ini tersenyum selalu.

“Sorry pasal semalam.” Dia sudah mencapai jemariku dan mengucup perlahan. Aku senyum. Sekali sekala suami aku berlagak romantik macam ini, rasa seronok juga. Sebab kalau di pejabat, dia tidak suka layan aku seperti isteri. Dilayannya aku sama rata saja seperti pekerja yang lain juga.

“Sham dah cakap… Sham ada kerja. Abang tak nak percaya… abang nak jugak…” terhenti bicaraku. Tidak jadi bibir aku hendak menyambungnya. Panas pula pipi aku ini. Siapa suruh mulut aku gatal sangat hendak mengungkit kisah malam semalam.

“Sorrylah… abang pun tak ingat. Lain kali Sham ingatkan… tak adalah abang ‘kacau’ Sham. Okey…” dia sudah mencuit hidungku. Senyuman masih mekar di bibirnya.

“Okey… Sham balik dulu ya. Abang ni, jangan balik lewat sangat.”

“Okey.” Aku mencebik. Okey itu jawapan mulut saja. Tapi aku pasti sangat, pulangnya pasti lambat juga. Tanpa banyak bicara aku pulang juga meninggalkan dia di pejabatnya.

PETI sejuk ku buka. Tanganku laju mencapai sebiji epal hijau dan lobak merah untuk dibuat jus. Sempat lagi sebelum mencapai pengisar, aku kerling ke arah jam di dinding. Sudah pukul 10.30 malam. Tetapi wajah Tuan singa masih belum muncul lagi. Lamanya dia di pejabat itu. Kuat sangat bekerja. Kadang-kadang sampai terlupa yang ada seorang di rumah ini menantikan dia.

Aku mengeluh kecil. Walaupun sudah terbiasa dengan keadaan tapi tanpa dipinta kadang-kadang ada rasa terkilan juga. Asad tetap macam itu. Tidak pernah berubah langsung. Mood kerja benar-benar membuatkan dia melupakan aku.

Sedang aku memotong epal hijau untuk dikisar, terasa ada tangan sasa yang melingkar di pinggang aku.

“Argh!!!” spontan juga aku terjerit.

“Hei… abanglah!” ucapnya pantas.

“Terkejut tau! Datang macam penyamun. Salam pun tak bagi,” omelku. Dia yang masih dalam pakaian kerja terus saja bersandar di belakangku.

“Marah lagi ke?” soalnya lembut.

“Tak!”

“Iya ke?” soalnya lagi. Lebih lembut dari tadi. Bibirnya sudah mula mengenai pipiku. Hatiku dengan serta merta berdebar tidak tentu hala. Asad kalau sudah melangkah masuk ke dalam rumah, mood romantiknya seakan tidak sudah. Tidak puas-puas hendak menghangatkan perasaan aku. Tapi kalau di pejabat, layannya seperti orang tidak berperasaan.

Elok aku dengan idea hendak membuat jus tadi. Akhirnya terbengkalai semuanya. Asad memang sengaja. Kerjanya mengganggu aku saja di rumah. Terus ditarik tangan aku sekali ke bilik.

“Tolong, ambilkan towel…” pintanya. Aku turut saja tanpa banyak suara.

“Bukakan tie…” itu pun nak disuruh. Aku ikut juga.

Masa tanganku melonggarkan tali lehernya dapat aku rasa sepasang mata itu tidak lepas dari wajahku. Tangannya laju saja mengepung tubuhku yang kecil ini ke dalam pelukannya. Tuan singa sudah jadi Tuan romeo la pula.

“Abang… pergilah mandi.” Lembut aku menolak tubuhnya. Tapi bukan makin renggang, makin rapat adalah. Aku melepaskan keluhan kecil. Aku tahu kenapa ada reaksi-reaksi sebegini. Pasti ada sesuatu yang hendak disampaikan. Sesuatu yang bakal mengecewakan aku.

“Cakaplah… apa dia?” soalku tanpa membuang masa. Kalau bukan sekarang, nanti-nanti pun aku akan kecewa juga. Wajahnya kutatap lama. Dia seakan teruja apabila aku dengan mudahnya membaca isyarat yang dihantar oleh tingkahnya.

“Mana Sham tahu?”

“Abang cakap ni… macam kita baru kahwin sehari dua pula…” aku tarik muka. Sudahlah aku bakal kecewa. Tapi dia boleh rasa gembira pula.

“Oh ya… abang lupa. Dah dua tahun.”

“Dan kita masih berdua.” Spontan ayat itu terkeluar dari bibir. Pantas saja aku mengetap bibir. Aku bukan sengaja. Sempat aku mengerling wajahnya. Alhamdulillah. Nasib baik tenang. Kalau dia mengamuk, mahu menangis aku dekat sini.

“Hal tu kita tolak tepi dulu… hal yang abang nak cakap ni lagi penting.”

Saat itu aku sudah kembali berdebar. Berdebar memikirkan apa yang bakal terluah dari bibirnya. Berdebar memikirkan perkara yang bakal mengecewakan aku untuk kesekian kalinya setelah menjadi isteri kepada Asadullah. Kucupan di dahi membuat aku mengangkat pandangan mata. Renungannya benar-benar menusuk ke jiwa. Belum dia berkata apa pun aku sudah hendak buat drama air mata.

[Bersambung]


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

17 ulasan untuk “Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 1, 2”
  1. khairin keras kepala says:

    mn sambungan nyye???bila nak buhh????waaaaaaaaaa….slalu tgl dkt2 cita yg medbrkan2..

  2. ila says:

    haa aa la…misteri sungguh la…….mendebarkan…..

  3. ila says:

    ade blog x

  4. juju says:

    best ….cpt smbung teruje nih..hehe

  5. ryu says:

    sambung4…..

  6. noorSolehah says:

    rs ny, dlm blog kak umi dh byk bab dia post..

  7. secret the warrior says:

    waaa… rupe2 nye suami dyeee. ha98.. tertipoo gark aq mule2… keh3.. tapyy x kesah arhhh… al the best okeyh.. walaupom aq baru tergerak haty nk bace skangg.. he98

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.