Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 11, 12

21 October 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

11

“KENAPA tercegat dekat depan pintu? Masuklah… meeting dah nak mula!” tegas sekali kata-kata yang meluncur dari bibir si dia yang bermata tajam itu. Sampai terkedu aku. Muka dah handsome. Tapi garangnya… macam singa! Sempat lagi aku mengumpulkan komen untuk diri dia dalam hati ini.

Sebab tak nak kena ‘sound’ buat kali yang kedua, aku laju saja melangkah. Kerusi di sebelah Sani aku tarik perlahan. Baru sahaja aku hendak duduk di situ, suara si dia timbul kembali.

“Budak tudung purple!”

Erk! Aku pula yang rasa tercekik, macam dia panggil aku. Aku menjeling sekejap ke kiri dan kanan. Tiada lain yang bertudung purple melainkan aku. Ya Allah… kenapa dia panggil aku? Aku ada buat salah ke? Jantung aku ini sudahlah gaya macam hendak melompat sahaja bila bertembung dengan mata dia.

“Sham… dia panggil kaulah!” sibuk sahaja Sani memaklumkan sambil menyiku lenganku. Aku baru terfikir nak buat don’t know!

“Ya saya…” dengan suara yang paling ayu, aku sahut juga panggilan ‘singa’ dekat depan itu. Matanya tajam sekali merenung aku. Kalau manusia boleh mencair macam ais batu, sudah tentu aku akan cair terus di situ. Renungan tajam itu walaupun serius, tapi benar-benar menusuk ke kalbu.

“Shamina!” eh, dia panggil nama aku. Mana dia tahu?

“You’re the secretary?” aku mengangguk.

“So…”

“So?” apa yang dia hendak tanya sebenarnya? Aku tak faham.

“Kau ni ngek la Sham! Dah nama pun setiausaha, cuba duduk di sebelah presiden!” Sani membisik padaku. Aku terus mengerutkan dahi. Aik… wajib ke macam itu? Setahu aku sebelum ini aku duduk di mana yang aku suka. Sekarang ini kena ikut cakap presiden pula? Err… dia ke presiden baru kelab kewangan? Maksudnya… hari-hari aku boleh lemas.

“Shamina… I need my secretary here! Or do you wish to pass the post to any other of the board members?”

Terasa disindir dengan ayat itu. Cepat sahaja aku bangun dan pergi duduk di sebelah kerusi presiden baru kami. Apa nama dia? Aku belum tahu!

Sempat lagi sebelum duduk, aku jeling dulu. Konon hendak menunjukkan protes. Tapi bila dia jeling balik, lagi tajam daripada aku… errr… aku terkelu. Kecut sudah otot perut. Memang betullah… aku dapat rasakan aura ‘singa’ dekat sebelah aku ini.

“Meet our new president… Asadullah.”

Telinga aku hanya mengembang bila part nama dia disebut oleh abang Hafiz, mantan presiden kelab kewangan. Perkataan yang lain seakan tidak begitu penting untuk telinga aku. Yang aku tahu dan aku pahat dalam kepala dengan penukul, hanya nama dia. Asadullah.

Eh… Asad?! Aku teringat jiran sebelah bilik yang ambil minor subjek Arab. Seakan teringat dia sebut singa. Asad itu maksudnya singa. Jadi betullah… sebelah aku ini ‘singa’. Aduh.. kena benar nama dengan tuannya.

“Esok saya nak tengok laporannya!” tersentak aku apabila disergah dengan arahan begitu. Erk! Seketika aku tergaru-garu kepala. Laporan apa? Aku pandang dia. Gulp! Renungan itu tajam sekali. Mati aku… dia minta laporan meeting. Sedangkan aku, sedap sekali berkhayal pasal ‘singa’ di sebelah aku ni.

“Shamina!” aku diam. Kecut sudah perut aku dengan renungan tajam menikam itu. Tapi kan, walaupun agak menggerunkan tetapi tetap mengasyikkan jiwa. Ah, sempat lagi!

“SHAM!!!” terkejut aku dengan sergahan itu. Seketika aku blur. Matanya melingas ke arah sekeliling. Apa yang aku buat dekat sini? Yang tadi itu, aku mimpi ke?

“Kau ni kenapa?” soalan Adila membuatkan dahi aku berkerut. Baru aku tersedar. Aku teringatkan kenangan lama rupanya. Memori daun pisang. Memori pertemuan aku dengan Tuan ‘singa’ yang sedang merajuk panjang denganku.

Tanpa dipinta, aku mengeluh. Aku dah buntu memikirkan langkah yang perlu diambil untuk memujuk lelaki itu. Apa besar sangat ke salah aku? Sampaikan dia kena mogok hingga ke jangkaan seminggu lamanya.

“Sham!” Adila menyiku aku. “Tengok tu…” dia menjuihkan bibir ke arah kananku.

Malas-malas sahaja aku memusingkan kepala. Dalam pada tidak sedap hati terus terasa seakan direntap hati ini. Apa minah gedik tu buat di sini? Mesti hendak mencari Asad. Aku tahu sangat!

“Asad ada?” soal Elisa dengan lenggok manja depan aku. Soalnya pada Adila tapi tengoknya pada aku. Apa?! Ada hutang? Geram pula aku dengan minah tidak faham bahasa ini. Bukankah suami aku pun tidak suka menghadap wajah dia. Apa lagi yang dia nak dengan datang ke sini?

“Elisa… dah sampai…”

Erk! Seakan tercekik suaraku bila Asad menyapa Elisa dengan nada yang begitu ceria sekali. Amboi! Bukan main lagi ‘singa’ ini. Main senyum dengan perempuan lain sampai terlupa dengan bini sendiri. Ini yang buat aku pula terasa hati.

“Adila…” suaraku sudah menjadi serak. Pandangan aku mengekor langkah Asad yang sudah melangkah keluar dengan si cantik Elisa. Kenapa dia buat aku macam ini?

“Sham… mungkin ada hal penting. Kalau tak, abang singa kau takkan keluar dengan perempuan tu…” suara Adila cuba memujuk aku. Tapi aku tidak rasa terpujuk langsung dengan nadanya yang prihatin itu. Aku sedih. Aku rasa nak menangis.

Asad… aku menyeru-nyeru di dalam hati agar ingatannya kembali padaku walaupun Elisa berada di sisi. Entahkan ya atau tidak dia akan padaku…

Dengan rasa hati yang rawan ini, aku teruskan juga kerjaku yang masih berbaki. Sedih-sedih juga, tapi takkan hendak melayan emosi sehingga terabai semua kerjaku di pejabat ini. Nanti, ini pun jadi salah satu alasan untuk Tuan singa itu sound aku!

MERAJUK tidak sudah. Aku pun malas hendak melayan. Biarlah kalau dia hendak merajuk lama mana pun. Bukan aku tidak meminta maaf. Sudah berkali-kali aku ucapkan. Tapi satu pun tidak dilayan.

Dengan langkah yang malas, aku melabuhkan punggung di sofa.

“Papa merajuk… baby ajelah teman mama tengok TV ya…” aku mengusap perutku yang sudah membuncit sedikit. Baby pun dah masuk tiga bulan. Semakin terasa kasihku buatnya yang hadir setelah dua tahun menanti. Tapi sedih pula bila kenangkan papanya dengan kerenah yang terkini. Merajuk!

Aku mengeluh lagi. Bosan! Lantas aku menekan remote control untuk mencari siaran yang menarik pada ketika ini. Kebetulan mataku terhenti pada siaran rancangan masakan. Aduh! Kecur sudah liurku. Tiba-tiba sudah muncul angin mengidam. Aku teringin nak makan spaghetti. Kalaulah Asad tidak merajuk, dah lama aku suruh dia pergi beli.

“Baby… kenapa papa merajuk masa ni? Mama teringin nak makan spaghetti la…” keluhku perlahan. Sedapnya aku tengok chef itu menuang sos yang dimasak ke atas spaghetti. Entah sedap atau tak, tapi benar-benar menyelerakan mataku yang memandang.

“Spaghetti… hurm…” aku kerling ke arah jam di dinding. Sudah pukul sembilan malam. Baby aku ini pun. Cuba timbulkan rasa teringin dalam diriku waktu yang lebih cerah sedikit. Ini tidak. Asal langit gelap sahaja, baru teringin macam-macam benda. Mana berani aku nak keluar waktu gelap macam ini.

Bunyi gril pintu yang ditolak, terus membantutkan rasa mengidamku. Asad sudah keluar dari rumah tanpa kata. Selalu pun dia memang akan balik malam. Tapi keluar di waktu malam begini, belum pernah lagi. Takkan dia keluar dengan Elisa tu???

Fikirkan Elisa, terus selera aku mati. Sakit hati!

TUPPERWARE yang berisi spaghetti segera singgah di ruang mataku. Aku terkejut bukan kepalang bila nampak hidangan itu terhidang elok di atas meja makan. Kad kecil yang terselit di sisi pinggan aku tarik perlahan.

Kalau mengidam apa pun, minta aje. Abang merajuk dengan Sham, bukan dengan baby.
-Abang-

Ewah! Ayat macam nak memujuk, tapi aku rasa macam makin sakit hati. Kiranya sekarang ini, dia hendak berkomunikasi dengan anaknya sahaja. Dengan aku masih merajuk lagi. Haish! Pening… pening…

Dalam pada pening… pening… itu pun, spaghetti aku tidak lupa. Uish, mana boleh biarkan macam itu sahaja. Dengan penuh berselera aku menjamah. Sedap pula tu. Entah dekat mana Asad beli. Kiranya yang dia keluar tadi untuk belikan aku spaghetti? Eh… silap. Untuk belikan anak dia, spaghetti… ya, ini baru betul.

Tak apalah. Sekurang-kurangnya, kalau aku mengidam dia sanggup juga untuk keluar dan membeli. Kiranya aku masih ada peluang untuk memujuk rajuknya daripada melarut lagi. Aku tersenyum sendiri. Aku tahu nak buat apa. Baby… mama tau, baby mesti tolong mama. Bisikku di dalam hati.

Selesai mengemas meja makan, aku terus mengatur langkah ke bilik. Aku nampak Asad tengah membaca majalah Solusi. Muka dia… tiada yang baru. Masih garang macam dulu. Asad sejak memulakan perang rajuk denganku, wajahnya sudah mengetat sama seperti kali pertama kami bertemu. Pandangan tajam yang begitu memukau diriku.

“Thanks papa for the spaghetti… sedap!” ucapku sambil menarik selimut di kaki. Sengaja aku tekankan perkataan papa itu, konon-konon macam baby yang bercakap dengan dia. Dengan aku dia tak nak cakap, jadinya… berkomunikasi dengan kata ganti diri bayi aku sahajalah!

“Don’t mention it sayang…”

Erk! Sayang? Aku ke?

“My baby…” sambung Asad tidak lama selepas itu.

Cis… sengaja kan! Tapi tak apa… aku anggap sayang itu untuk aku juga. Aku sudah mula tersenyum sendiri. Wajah Asad kucuri pandang dengan hujung mata. Macam manalah ‘singa’ ini boleh maintain muka serius macam ini?

“Good night… papa!” dia diam.

“I love you… papa!” aku ucap lagi. Tapi dia diam juga. Perlahan aku menghela nafas. Tak apalah… perlahan-perlahan, aku akan cuba pujuk dia juga. Aku berbaring tapi tidak menghadap ke arah Asad.

Mujur juga, walaupun dia merajuk dan aku masih tidak dapat memujuk, tapi kami masih berada di dalam satu bilik. Takut juga aku kalau Asad merajuk sampai bawa diri ke bilik sebelah. Tidak ke lagi susah proses komunikasi antara kami berdua.

“I love you too… baby.” Lambat-lambat Asad mengucapkan perkataan baby itu.

Senyumanku terus melebar. Hehehe… ini pun aku anggap untuk aku juga. Thanks baby. Mama dan papa sayang baby… tanganku sudah mula mengusap perutku dengan penuh kasih.

Tersentak aku bila ada satu tangan lain yang ikut mengusap perutku. Asad! Haish… terseksa juga jiwa kalau macam ini. Iyalah… dengan alasan hendak bermanja dengan anak, dengan aku sekali terasa dimanjakan pula.

“Good night my baby.” Serentak itu satu kucupan terpahat di pipiku. Aku terkedu. Baby… papa you ni sebenarnya tengah ambil kesempatan agaknya. Dengan mama, dia merajuk. Tapi dengan baby dia manja. Dan perantaraan manja antara baby dan papa, siapa? Mama jugak.

___________

12

“BABY… ambilkan kemeja putih papa…” suara Asad itu terus membuatkan aku menghadiahkan jelingan tajam buat dia. Tapi dia buat tak tahu. Selamba dia berlalu keluar dari bilik. Untuk buat apa, aku malas hendak bertanya.

“Baby… necktie, jangan lupa!” laung Asad dari luar bilik. Aku dah naik rimas. Amboi! Mentanglah aku berkomunikasi dengan dia, menggunakan ganti diri anak kami yang berada di dalam kandungan ini… dia langsung tak nak panggil nama aku dah! Ini yang membuatkan aku panas hati sejak dua hari lamanya.

Bila dia masuk semula ke bilik, aku hulurkan kemeja yang diminta berserta dengan tali leher. Belum sempat aku hendak melangkah, dia sudah menarik lenganku.

“Ya papa… nak suruh baby buat apa lagi?” aku perli dia. Biar dia terasa sikit. Geram aku bila dilayan macam ini. Aku pun rindu juga hendak mendengar nama Shamina berlagu di bibir suamiku ini. Tapi dia… asyik, baby… baby… baby. Entah-entah, sudah tidak ingat agaknya nama isterinya ini.

Asad tersengih kecil. Pipi aku diusap perlahan. “Kalau ada apa-apa lagi papa panggil baby ya…” ucapnya dengan sengihan yang panjang.

Aku mengetap bibir geram. Eeeiii! Asad ini benar-benar menguji kesabaran aku. Kalau merajuk, buat cara merajuk. Ini apa guna aku sebagai perantara untuk komunikasi dengan anak dia. Sudah tu, manjanya bukan main.

“Abang… tolong jangan main-main dengan Sham boleh tak?!” aku cakap juga apa yang terpendam di dalam hati. Sebab kalau terlalu melayan kerenah lelaki ini, lama-lama aku yang makan hati. Kalau tidak keberatan, tolong cakap yang dia sudah tidak merajuk dengan aku.

“Baby… cakap dengan mama, papa nak cakap dengan baby aje.”

Eeeiii!!! Kalau tidak fikirkan yang dia ini suami aku, dah lama aku cekik-cekik Asad ni!

“Baby… cakap dengan papa tu, kalau nak cakap dengan baby… dipersilakan. Tapi jangan nak ambil kesempatan!” aku ucap dengan penuh perasaan. Bukan apa, terasa sungguh bila dia langsung tak nak sebut nama aku. Takkan merajuk sampai ke tahap itu?! Sekarang ini, aku pula yang rasa macam hendak merajuk. Biarkan dia pujuk diri sendiri! Sudah buntu aku fikirkan cara hendak memujuk dirinya.

“Aik… mama baby pun nak merajuk jugak?” dia perli aku. Aku menjeling lebih tajam dari tadi.

“Habis… mama baby bukan manusia ke? Papa aje boleh merajuk? Mama tak boleh?!”

Aku menghela nafas panjang. Semput pula bila cakap dengan gaya hendak bergusti ini. Sebab penat sangat, aku terus ke birai katil dan melabuhkan punggung di situ. Perlahan aku mengurut dada, terasa mengah. Penat!

“Eh sayang… kenapa ni?” suara Asad yang begitu risau menyapa telinga aku. Tapi aku diam. Bukan tak nak cakap. Tapi aku terasa penat pula. Aku baru perasan, sekarang ni kalau makan banyak, tidak pun… bercakap banyak, cepat sahaja aku terasa penat.

“Sayang…” Asad sudah mula melekapkan tangan di dahi aku. Risau sungguh dia bila aku tak membalas jawapan soalan yang diberi.

Haish… ada rasa risau. Ada rasa sayang dalam elusannya. Tapi kenapa yang masih berpura-pura merajuk dengan aku. Merajuk itu boleh tahan lagi. Part yang aku tidak berapa nak suka dalam situasi ini ialah bila dia keluar dengan perempuan bernama Elisa itu. Sudah lupakah suamiku tentang ayat perampasan kuasa yang pernah Elisa ucapkan pada aku?

“Shamina sayang… okey tak ni?”

Ahha… aku tersenyum dalam hati. Akhirnya, kemenangan menjadi milik aku. Dia sebut juga nama Shamina tu.

“Abang merajuk lagi tak?” aku soal dengan nada mengugut. Sedangkan tak ada benda pun yang hendak diugut sebenarnya.

Dia senyum meleret. Aku dah agak! Tuan singa ini kan, pasti begitu seronok sekali mengenakan aku.

“Macam manalah abang boleh merajuk dengan Sham lama-lama…” Asad ketawa. Aku pula sudah mengetap bibir. Haish! Boleh naik blood preassure aku kalau macam ini. “Saja nak bergurau senda…”

“Abang ni!!!” aku mengancingkan gigi. Geram betul dengan ‘singa’ dalam rumah ini.

“Tapi tak bersungguh pun pujuk abang? Macam mana ni… failed skill pembujukan…” sempat lagi Asad mengutuk aku. Aku dah mula tarik muka. Suka hati dia sahaja cakap aku failed.

“Seminggu lebih tau Sham pujuk abang… tak cukup?”

“Tak cukup la… setakat pujuk pakai mulut, siapa nak layan…”

Ewah! Habis yang aku sediakan nasi beriyani dengan kari kurma kegemaran dia itu apa? Tak ingat agaknya yang dia makan sampai licin periuk nasi. Semua itu pun untuk memujuk dia juga.

“Okey la… I’m sorry…” Asad memujuk. Jari aku dalam genggaman dia. Erat sekali.

Aku diam.

“Abang minta maaf Sham… abang dah tak merajuk. Tapi Sham tolong, jangan cakap macam tu lagi. Ingat abang tak terasa ke…”

Erk! Iyalah… salah aku. Mulut aku ini yang terlalu cepat sangat menuturkan ayat yang melukakan hati dia.

“Sham melawak aje… bukannya complain pun.”

“Emosi manusia, kita tak tahu Sham… kadang benda yang kita fikir lawak, orang yang mendengar tu boleh ambil serius juga. Sebab tu orang cakap… bila nak bercakap, kena fikir dulu…”

“Iyalah…” aku akui akan perkara itu. Silap aku! Lepas ini aku akan pastikan mulut aku terzip daripada melawak hal ‘singa’ ini.

“Tapi kenapa abang keluar dengan Elisa hari tu?” soalku laju. Macam mana aku boleh terlupa babak yang menyakitkan hati itu. Nasib teringat last minute.

“Oh… yang tu…” dia ketawa. “Blind date.”

Membulat biji mata aku. Blind date???

“Ada sorang kawan ni… nak sangat kenal dengan Elisa tu, so… abang arrange la pertemuan dua manusia tu.”

“Elisa tu tau tak?” aku rasa macam ada yang tidak kena pula dengan blind date Elisa ini. Mana mungkin dia date orang lain sedangkan hatinya terpahat kukuh hendakkan Asad.

“Mampus kalau dia tau… gerenti takkan datang!”

“Biarlah dia tak datang… yang abang ni sibuk sangat arrange blind date untuk dia tu kenapa? Dengan isteri sendiri tak nak date pulak?! Lepas tu… nampak aje muka Elisa, terus senyum lebar. Berseri bukan main lagi…” marahku. Bila ingat balik babak itu, hatiku automatik terasa sakit. Menyampah pun ada bila terkenangkan lenggok suara manja Elisa. Entah macam manalah suami aku ini menepis godaan yang dilakukan secara terang-terangan itu. Naik gerun pula aku fikirkannya.

“Kalau abang tak buat macam ni… Sham yang akan disusahkan nanti.”

Gulp! Berkali-kali aku menelan liur mendengar ucapan itu. Aku yang akan disusahkan?

“Dia ada plan nak bunuh Sham ke abang?” soal aku dengan rasa risau. Mana aku nak tahu, mungkin dia ada sejarah sakit mental ke apa. Boleh jadi dia bertindak di luar kawalan.

“She is dangerous… abang kalau boleh, nak sangat elakkan Sham daripada dia. Sebab tu dia tak tahu, kita ni suami isteri… sekarang ni, Sham dah mengandung… abang makin tak sedap hati… bila fikir abang tak ada dekat pejabat, kepala dah mula bayangkan kalau Elisa tu datang serang Sham…”

Gulp! Macam nak tercekik sahaja kerongkong aku. Tidak aku sangka, Asad pun risau juga tentang hal itu. Tapi, bila aku hari tu, dia sendiri yang nasihat dengan aku, jangan fikir bukan-bukan. Sedangkan dia pun tidak tenang juga memikirkan Elisa. Bahaya sehingga ke tahap penjenayah bersiri ke Elisa tu?!

“Sham berhenti kerjalah…” sambung Asad tanpa henti. Erk!

“Kenapa?”

“Lagi selamat kalau Sham duduk di rumah…”

“Dan Elisa akan datang kacau abang hari-hari dekat pejabat…” aku takkan puas hati kalau itu yang terjadi. “Tak nak berhenti!” aku balas juga dengan rasa degil.

“Please Sham… dengar cakap abang. Abang akan rasa lebih tenang kalau Sham tinggal di rumah…” nada Asad seakan merayu. Aduh! Aku terus naik sayu. Tapi perlukah sampai berhenti kerja.

BERHENTI kerja? Bila fikirkan tentang rasional perkara ini, aku rasa macam tidak patut sahaja. Sebab takutkan serangan Elisa, aku kena berhenti kerja. Mulanya aku jadi suspicious juga bila Asad beria-ria sangat suruh aku berhenti. Sampaikan aku dah buat kesimpulan, betul agaknya dia ada affair dengan Elisa itu. Jadi untuk menutup mata aku, dia suruh aku berhenti.

Buruk betulkan perangai aku, bersangka buruk dengan suami sendiri.

Tapi bila Asad terangkan semua benda yang pernah jadi. Berapa banyak usaha Elisa untuk mengenakan Asad yang kecundang. Meremang terus bulu roma aku. Aku tidak dapat membayangkan, gadis secantik dan sebijak Elisa, akan fikir jalan yang begitu keji untuk memiliki suami aku ini.

Ketukan di meja membuatkan aku tersentak. Angkat sahaja muka, wajah Asad sudah berlayar dengan sebuah fail di tangan.

“Nak kena bagi fail ni pada Tuan Asad…” dia sendiri cakap, lepas itu dia sendiri ketawa. Aku rasa nak ketuk-ketuk kepala dia. Suka sangat main-main dengan aku sekarang ini!

“Sham hantar ni dekat Haji Malik… dia nak tengok. Kalau dia tanya details pasal benda ni, you jawablah ya…” fail dihulurkan pada aku. Aku belek sekilas sebelum mengangguk. Haji Malik… tingkat 10.

“Ada apa lagi ke Tuan Asad?” aku tanya Asad bila dia masih belum bergerak dari tempat aku.

“Suami Sham cakap… dia nak ajak you lunch hari ni. You free ke?” dia tanya aku.

Aku dah mula tarik senyum. Menyampah betullah aku dengan gaya orang tua ini. Konon-konon gaya perantara, sedangkan yang bertanya itu dia juga.

“Untuk suami I… I free sentiasa… cakap dekat dia ya.”

Dia sudah tersengih bila aku jawab macam itu. Tanpa melengahkan masa, aku terus capai fail dan bergerak keluar dari bahagian kewangan. Butang lif aku tekan. Sementara menunggu lif terbuka, aku merayaukan pandangan ke arah kaca jernih yang membiaskan panorama di luar pejabat. Cantik sungguh.

TING! Lif terbuka dan aku terus masuk ke dalam tanpa berfikir panjang. Seketika aku tergamam. Ya Allah!!! Serta-merta dadaku berdebar kencang.

[Bersambung]


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

19 ulasan untuk “Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 11, 12”
  1. coklat cadbery says:

    knpe ngan sham 2??

  2. secret the warrior says:

    kenapeee??? kenapee??!!!! cepat arhh sambongg…. sambong2!!!

  3. azie says:

    eh knp? apa yg terjadi…

  4. cinderella says:

    …sambong..sambong..sambong..!!! =]

  5. Salmiha Ishak says:

    best, semakin menarik….

  6. rieda says:

    best2…nak lagi…:-)

  7. nazira says:

    comeyla novel ni…sambung lgiii..

  8. Aiefa Qiefa Mohamad says:

    smbung3 ~

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.