Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 13, 14

3 November 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

13

AKU terus melangkah ke dalam lif, tak tengok kiri dan kanan. Tangan aku laju sahaja menekan butang ke tingkat 10. Sementara menunggu lif naik, aku sandarkan badan pada dinding lif. Saat itu, tergamam aku melihat jasad yang turut berdiri bersama aku di situ. Dia!

Jantung aku yang tadinya berdegup dengan normal, terus rasa macam nak pergi lari marathon. Aku nampak jelingan tajam itu pun sudah cukup menggemuruhkan hati aku. Tuan besar!

Tuan besar yang paling besar dalam bangunan ini. Semua orang pun gerun dengan dia. Kalau aku cakap Asad itu garang, dia ini kiranya sepuluh kali ganda Asad. Kalau suami aku itu pun, tahu juga tersenyum. Tapi yang Tuan besar ini, jangankan senyum ikhlas… senyum sinis pun tidak pernah. Sebab itu aku selalu gerun kalau menghadap dia.

“Pergi mana?” eh, eh… dia tanya aku. Garang pula tu! Gaya macam nak bagitahu, aku nak kena buang kerja.

“Jumpa Haji Malik, tuan.” Ya, dan inilah tikus yang paling sopan memberi jawapan.

“Oh…”

Oh… itu sahaja. Aku terus zip mulut tanda tidak mahu berbual lebih-lebih. Sampai tingkat 10, laju sahaja aku keluar dari lif. Sedikit pun tidak kalih memandang belakang. Tak payah! Itu bapak segala singa dalam bangunan pejabat ini. Tuan ‘singa’ aku boleh dikatakan singa yang paling comel antara semua singa yang ada di sini.

“Hai kak…” ramah aku menegur Kak Salbiah, setiausaha Haji Malik. Kak Salbiah terus senyum memandang aku.

“Sham… baru Asad telefon tadi. Tunggu sekejap ya, Haji ada tetamu.”

Aku mengangguk. Kerusi depan meja Kak Salbiah aku tarik dan melabuhkan punggung di situ.

“Berapa bulan dah ni?” Kak Salbiah tanya aku.

“Tiga…” aku sudah tersenyum. Spontan tanganku mengusap perut yang sudah menunjukkan rupa.

“Berseri-seri dah sekarang ni…”

“Biasa aje kak…”

“Mana ada biasa… akak seronok dengar Sham dengan Asad nak dapat baby.” Teruja sekali suara Kak Salbiah sampaikan office boy yang datang nak bagi surat pun tertoleh-toleh ke arah kami.

“Doakan semuanya baik-baik la ye kak…”

Belum sempat Kak Salbiah menyambut ayatku, pintu bilik Haji Malik sudah terkuak. Kelihatan Haji Malik dengan seorang pemuda berdiri membelakangi aku. Siapa dia tu? Ah… malas aku hendak ambil tahu. Bukan penting pun.

Aku sudah bangkit berdiri bila Haji Malik sedang berjabat tangan dengan pemuda itu. Maknanya, mereka sudah hendak bersurai la kan. Aku dah standby nak ‘terjah’ Haji Malik. Namun segalanya terbantut di saat pemuda itu melabuhkan pandangan matanya tepat pada wajahku.

Erk! Tergamam aku seketika. Kenapa aku macam kenal dengan dia?

KELUAR sahaja dari bilik Haji Malik, aku terus berjalan laju ke arah lif. Sempat lagi aku mengerling ke arah jam di tangan. Sudah pukul dua belas tengah hari. Tuan Haji ini pun satu. Menyoal aku gaya macam aku ini projek manager pula. Sedangkan kami hanya uruskan akaun bagi segala projek dan kewangan syarikat. Apalah! Sampai aku tergagap-gagap nak jawab sesetengah soalan.

“Lama tak jumpa.”

Opocot!!! Mujur aku tidak terlompat di situ. Aku terus kalih ke belakang bila terdengar suara yang menyapa. Dia!!!

“Err…” suaraku seakan hilang ditelan peti suara. Tiba-tiba volume pun sudah tidak ada.

“Kenapa Shamina? Dah tak boleh bercakap dengan aku?” dia tanya. Aku diam lagi. Sambil-sambil itu, aku jeling pada lif yang tak sampai-sampai lagi. Apa yang lama sangat ni?

“Kau sihat Sham?”

“Hhmmm…” aku jawab juga, walaupun macam tidak ikhlas sangat.

“Dah tak boleh bercakap dengan aku?” dia ulang semula soalan tadi.

“Hhmmm…” macam itu juga aku jawab. Buat apa aku hendak bercakap dengan dia?! Mesti dia akan sakitkan hati aku, macam dulu-dulu juga.

“Aku nak kahwin… bulan depan.”

Terus aku berpaling merenung tepat ke wajahnya. Dia bukan tengah kelentong aku kan?

“Kenapa, tak percaya ke?” dia soal aku lagi. Lif pun sudah terbuka masa itu. Tapi aku tidak naik juga. Aku pandang wajah dia lama. Wajah orang yang pernah kata, dia kecewa dengan aku. Aku mengeluh kecil.

“Tahniah!”

“Kau marah aku lagi?” dia tanya lagi. Dan aku rasa dia bukan bodoh untuk menilai layanan aku yang begitu acuh dan tidak acuh. Dengan segala benda yang dia tuduh aku sebelum ini, dia mengharapkan ‘layanan’ yang bagaimana daripada aku.

“Aku minta maaf Sham… aku yang bodoh, cakap macam-macam kat kau. Sorry… masa tu, aku macam tak boleh nak berfikir. Aku bercakap pun main lepas aje. Aku tak sedar, aku dah lukakan hati kau dengan bercakap macam tu…”

Tahu tak apa! Laju sahaja hati aku menyambut. Lepas dia dah cakap macam-macam pada aku, sekarang ini, sesenang kacang soya dia datang meminta maaf.

“Aku nak jemput kau dengan Asad datang ke majlis aku…” terus dia hulurkan sampul yang berisi kad pada aku. Aku sambut dengan muka tanpa sebarang reaksi. Kejam sungguh aku ini. Orang itu sudah memohon maaf, aku pula yang sedang berkeras hati.

“Sham… aku minta maaf.” Dia ulang semula dengan lebih bersungguh-sungguh.

“Please Sham… say that you forgive me…” rayunya lagi.

“Tak semua benda boleh dilupakan dengan semudah itu… aku takkan lupa apa yang kau pernah cakap dengan aku.” Aku menjeling tajam pada wajah dia. “Tapi… aku tahu, kau pun manusia biasa… aku pun sama juga… dan aku tahu, memberi kemaafan itu sebenarnya sangat digalakkan sesama manusia.”

“Kau maafkan aku?” teruja sekali dia menyebut ayat itu.

Aku menganggukkan kepala. Biarlah. Bukannya luak mana pun kalau kita maafkan kesalahan orang lain. Diri aku pun bukanlah sempurna sangat sehingga tidak pernah menyakitkan hati sesiapa. Dia pun mungkin tidak berniat untuk sakitkan hati aku, tapi akibat didorong rasa hati yang terluka… mungkin itu yang menyebabkan tutur katanya turut melukakan hati aku.

“Thanks Sham…” dia sudah tersenyum. Lama sudah aku tidak melihat senyuman itu.

“Semoga berbahagia Zul…”

“Insya-Allah Sham… doakan aku. Dan jangan lupa, datang ke majlis aku. Bawa Asad sekali…” Zulfahmi mengingatkan. Begitu ikhlas sinaran mata yang terbias di mata lelaki yang pernah menyimpan perasaan buat diri aku secara diam-diam dulu. Aku langsung tidak pernah menyangka, dalam pada hubungan akrab antara aku, Sani dan Zulfahmi… secara tidak disengajakan lelaki itu menyimpan perasaan buat diri aku. Tapi, aku sudah terlebih dahulu terpaut pada Tuan singa yang menggetarkan jiwa ini.

Disebabkan perkara itu, Zulfahmi sangat berang dengan aku. Sehingga mulutnya tidak berhenti-henti mencaci diri aku yang pernah menjadi teman rapatnya pada satu jangka waktu. Kami bukan sekadar rapat, malah sudah seakan adik-beradik pula. Mana aku boleh tahan kalau dia memutuskan hubungan silaturrahim yang sudah kami pupuk sejak di semester pertama pengajian lagi. Sani yang banyak memujuk aku. Dia seakan faham perasaan aku bila Zulfahmi pergi tanpa kata meninggalkan kami berdua.

Dan kini,takdir telah menemukan kami semula di sini dengan situasi yang lebih menyenangkan. Kan elok kalau Elisa pun boleh beralah seperti Zulfahmi… Akan fahamkah Elisa kalau aku bertegas tidak mahu berkongsi suami aku?!

Sekali lagi, aku hanya mengeluh panjang.

“SOTONG celup tepung, tomyam udang… apalagi Sham nak tambah?” aku menggeleng kecil. Sudah cukup rasanya untuk perut kami berdua. Nasi putih, sayur kangkung, sotong celup tepung dan tomyam.

Pelayan di situ telah pun berlalu dan Asad pun sudah kembali merenung tepat pada wajahku.

“Cukup ke?” soal Asad seolah tidak percaya.

“Cukuplah! Abang ingat perut Sham ni tong ke…”

“Manalah tahu, baby lapar…” risau sungguh Asad. Aku tersenyum sahaja sambil melilaukan pandangan mata di restoran Selera Tomyam ini. Tidak pernah aku tahu tentang restoran ini. Baru dibuka agaknya. Dan bila masa pula Asad datang makan di sini, musykil pula aku.

“Abang pernah makan dekat sini ke?”

“Ha’ah… datang dengan Elisa hari tu. Sedap makanan dekat sini, itu yang nak ajak sayang rasa…” selamba sahaja tanpa sebarang penapisan Asad menuturkan jawapan. Hisy! Aku pula yang sakit hati mendengar nama Elisa di bibir suami aku. Elisa… kenapa kau perlu wujud antara aku dan Asad?!

Dua tahun berlalu tanpa kehadiran zuriat pun tidak terlalu menggoyahkan hati aku pada Asad. Tapi sekarang, kenapa aku sudah merasakan ombak semakin memukul laju bahtera yang sedang kami layari?!

“Jangan salah sangka pula… abang, Elisa dan Tuan Hamid. Datang untuk urusan kerja di bangunan seberang jalan tu. Singgah sini sekejap untuk makan…” terang Asad. Tanpa perlu aku bertanya pun, dia sudah mampu membaca riak wajahku yang resah ini.

Jemari aku yang berada di atas meja dicapainya. Erat sekali genggaman kami bertaut sehingga aku rasa tidak mahu lepaskan tangan Asad! Aku tidak sanggup!

“I’m only yours… don’t worry sayang.” Senyuman Asad begitu manis sekali untukku. Sehingga aku merasakan tidak sanggup hendak mengelipkan mata buat sesaat pun. Kalau aku mampu untuk menekan butang ‘pause’ dalam hidup ini, ingin sekali aku hentikan di saat ini. Kami berdua duduk bertatapan dan sedikit pun tidak terganggu dek keriuhan manusia lain di restoran itu.

_________________

14

HENTAKAN keras pada meja aku membuatkan aku tersentak. Dengan rasa yang tidak puas hati, aku mengangkat wajah. Tanpa disangka-sangka, yang tidak kuinginkan sudah berada di depan mata. Renungan tajam menusuk pada wajahku. Rasanya, kalau renungan itu mempunyai kuasa laser, pasti sahaja muka aku ini akan ditoreh dengan teruk sekali.

Dalam masa yang sama, aku menjeling sekilas pada pintu bilik Asad yang terkatup rapat. Dia sudah keluar atas urusan kerja. Entah kenapa, dalam banyak-banyak hari… hari ini merupakan paling padat buat Asad. Aku tidak dapat mengganggunya waima untuk seminit sekalipun. Akhirnya, hanya keluhan berlagu di bibir.

Wajah Elisa yang sedang memandangku dengan penuh rasa amarah aku pandang juga tanpa perasaan. Sekarang ini, aku rasa betul-betul keliru. Asad ini sebenarnya suami siapa?! Aku ke dia? Kenapa yang dia pula naik marah macam kena sawan gayanya?! Musykil sungguh…

“Hei perempuan!” Elisa memanggil aku dengan kasar sekali. Aku mencebik. Ada juga yang nak makan batang penyapu dengan aku sekejap lagi.

“Amboi sopannya bahasa,” balasku tanpa dapat menahan bicara. Spontan, aku seolah mendapat semangat. Sedangkan, aku ini bukanlah berani mana sangat.

“Suka hati I lah nak guna bahasa apa pun!!!” marah benar Elisa dengan aku.

“Dan untuk pengetahuan Cik Elisa, suka hati saya jugak kalau saya tak suka dengar bahasa yang menyakitkan telinga saya…” aku balas lagi. Kemudian, aku menala semula pandangan pada skrin komputer yang terpasang. Orang ada banyak kerja yang bertimbun, boleh pula perempuan ini datang mengganggu waktu kerja aku.

“I tak kira… you suka, or you tak suka… I tetap akan kahwin dengan Asad jugak!” bentaknya tiba-tiba.

Dan saat itu, semua mata di dalam pejabat tertumpu pada aku dan Elisa. Wajah Adila singgah di ruang mataku. Jelas sekali riak terkejut bercampur risau di wajah teman baikku itu. Mungkin dia takut kalau Elisa naik hantu, buat benda yang bukan-bukan dengan aku. Yang sebenarnya, aku pun dah kecut perut dekat sini. Sebab dia membentak tadi, sebijik macam beruang mengamuk tidak dapat makan.

“Rasanya… kalau tentang hal kahwin Asad tu, I rasa you buang masa aje Cik Elisa. Dia suami I. Hanya milik I seorang…” tegas juga aku menjawab. Dalam pada takut-takut, aku terpaksa cakap juga. Nanti dia ingat suami aku hak dia pula. Mana boleh! Langsung tak boleh. Asad suami aku. Hak aku!!!

“I dah kata… Asad is mine… you sengaja kan, suruh dia match make dengan jantan mana entah. Apa you ingat, I akan senang-senang lepaskan Asad… never!!!” dia tengking aku lagi.

Aku mencebik beberapa kali. Asad yang buat kerja match make itu, aku pula yang kena marah. Huh!

“Kalau you yang tak ada kena-mengena dengan Asad pun boleh marah macam ni… I ni, isteri Asad. Sah di sisi agama. You siapa nak ugut-ugut I…” aku marah dia balik.

Amboi! Banyak lawa muka dia. Gaya datang minta suami aku, macam barang lelongan dekat pasar pula. Takkan senang-senang lepaskan Asad konon! Sepatutnya itu adalah dialog aku… serius, sekarang ini aku merasakan seolah kami sedang shooting filem pula. Yang lain langsung tidak masuk campur. Tengok sahaja aksi kami walaupun melalui ekor mata.

“Asad is my darling…”

Aku sudah menepuk dahi. Kalau jenis yang tidak faham bahasa, memang tidak akan faham sampai bila-bila.

“Asad is my darling husband… who do you think has the legal right?”

Elisa terus mengetap bibir. Aku tersenyum mengejek. Tahu kan yang dia itu bukan siapa-siapa kalau mengikut garisan hukum. Masih juga hendak mempertahankan haknya walaupun dia langsung tidak berhak.

“You akan menyesal!!!”

“Oh… really?”

“Sekali I dah suka… sampai bila pun I takkan lepas!”

“Sampai sanggup jadi isteri nombor dua?” aku tanya dengan nada tidak puas hati. Eeiii… geramnya aku!!! Suami aku juga yang dia nak sangat, kenapa??? Benci betul!

Tiba-tiba sahaja, Elisa lepas ketawa. Hilai tawanya seakan bunyi Pontianak sahaja. Kalau ikut penilaian telinga aku, Pontianak gelak lagi sedap kot. Huish! Mengarut.

Namun aku menjadi tidak senang saat tangannya menyentuh daguku. Mendongakkan kepala aku dengan hujung jari, supaya mata kami bertentang.

“You fikir I bodoh… nak hidup bermadu??? Hey stupid… once he’s mine, he’ll be only mine… kau ke, siapa ke, jangan nak bermimpi nak berkongsi dengan aku!!!” Elisa berkata sambil merenung tepat pada mataku. Bibirnya sudah mengoyak senyum sinis.

Tergamam aku mendengar bait-bait kata yang diucapkan oleh perempuan itu. Elisa ini, waras atau tidak? Melihatkan dia tertawa lagak orang gila, aku sudah disapa rasa risau yang begitu memuncak dalam hati. Kalau boleh, bukan setakat aku berhenti kerja di sini. Dengan Asad sekali aku hendak ajak berlari jauh dari sini. Ya Allah!!!

“SHAM nak pindah.” Tanpa sebarang mukadimah, aku sampaikan hasrat hati ini pada Asad. Sejak dua minggu yang lalu, hanya perkara ini membelenggu mindaku. Sehingga aku terasa sesak sekali. Aku bukan setakat hendak pindah rumah, tapi aku nak ajak Asad pindah negeri. Ngeri pula aku duduk senegeri dengan perempuan kurang siuman macam Elisa itu.

Sampai sekarang, ayat yang diucapkan Elisa terngiang-ngiang dalam telinga aku. Macam sumpahan tujuh keturunan. Meremang bulu roma aku bila teringatkan bait kata berserta dengan hilai tawa yang dilepaskan oleh perempuan itu.

“Pindah?” Asad sudah memandang aku dengan renungan yang maha pelik. Aku tahu, mesti dia ingat aku pun sudah gila macam Elisa. Tapi tidak sebenarnya. Sebab aku tak nak jadi gila, jadi aku ajak dia berpindah dengan kadar yang segera.

“Bolehlah bang… tukar kerja, pindah rumah…” makin membeliak biji mata Asad bila aku tambah ayat kerja.

“Are you kidding sayang?!”

“No kidding… damn serious!”

“Kenapa?” Asad soal lagi dengan nada suara yang tidak mampu aku tafsirkan. Perlukah aku ulang dialog Elisa pada Asad? Rasanya amat perlu. Biar Asad tahu, betapa aku tidak sanggup kehilangan suami aku dalam apa jua cara sekalipun.

“Sebenarnya… Elisa datang jumpa Sham dua minggu lepas…” aku baru hendak membuka intro tapi Asad laju lagi mencelah.

“Elisa ada bagitahu abang…”

Aku terdiam. Si sewel itu bagitahu apa dengan suami aku?

“Dia minta maaf kalau dia ter-over.” Aku diam lagi. Ter-over?! Itu sangat over!

“Abang tengok dia… macam dah okey sikit dari dulu. I think she’s okey now… Sham tak payah risaulah…” tiba-tiba Asad menyokong Elisa. Aku sudah mengetap bibir. Nampaknya perempuan itu sudah pandai berhelah. Depan Asad dialah wanita yang paling mulia, depan aku… memang aku rasa macam hendak pijak-pijak sahaja! Huh!

“Jadi… abang percayakan dia?” aku tidak puas hati. Mana boleh macam ini. Cerita penuh pun Asad belum dengar lagi. Tapi dia sudah mula menyokong si sewel Elisa itu. Sekarang, aku makin bertambah tidak sedap hati. Spontan, aku mengusap kandunganku perlahan. Baby… tolong mama, pujuk papa.

“Abang bukan nak percaya terus… tapi bila tengok dia dah kurang ‘gedik’ setiap kali datang jumpa abang dekat office, I assume she’s okay now… kan elok macam tu Sham…” Asad mengusap pipiku perlahan. Aku mendengus kecil.

“Dia tak okey! Lebih teruk daripada tu… Sham rasa dia psiko!” aku cakap terus. Sudah malas hendak memendam. Alih-alih, aku juga yang akan makan hati. Baik tak usah!

“Kenapa ni sayang? Kenapa nak buruk sangka dengan orang? Kan dia dah minta maaf.”

“Abang percayalah dengan maaf palsu dia tu?”

“Kan abang dah cakap tadi…”

“No! She’s playing drama in front of you… abang tak boleh percayakan dia!” mataku terasa panas. Spontan, air mataku jatuh perlahan-lahan membasahi pipi. Asad kaget melihat reaksi aku.

“Abang tak sayangkan Sham ke?” soalku lirih. Sedih aku bila dia menyokong Elisa.

“Sayang…” Asad sudah mula menarik bahuku rapat ke sisinya. “Janganlah macam ni… be rational Sham. Takkan untuk Elisa, Sham nak abang tinggalkan karier dekat sini… itu masa depan kita sayang…” Asad cuba untuk memujuk. Tapi aku menggeleng laju. Rasional atau tidak, aku tak peduli! Sekarang ini, aku hanya fikirkan suami aku sahaja. Entah-entah, aku yang gila tak???!

“Dia ugut Sham… abang tak nak tanya pun!”

“What???”Asad terkejut. Masa itulah aku lakonkan semula hilaian tawa berserta dialog punching yang diucapkan oleh minah sewel itu. Asad makin terkejut nampaknya.

“Dia cakap apa pun… Sham kena percayakan abang. Abang sayang Sham… don’t worry.”

“Memanglah Sham percayakan abang… tapi kalau dia buat apa-apa pada family kita, Sham tak sanggup!” aku sudah tertunduk sambil menekup muka.

“Masalah ni…” Asad menggumam sendiri sambil tangannya makin erat di bahuku. Aku terus sahaja melepaskan tangisan tanpa henti. Aku rasa hendak terus begini sampai Asad bersetuju dengan rancangan gila yang sedang aku rencanakan ini. Pindah! Biar ke luar negara sekali pun tidak mengapa. Punyalah aku hendak berlari jauh daripada Elisa itu.

“JOM!” spontan aku mendongak kepala. Wajah Asad di depan mata, kupandang dengan kerutan berlapis-lapis di dahi.

“Jom ke mana?” soalku pelik. Tak ada pula dia maklumkan hendak mengajak aku ke mana-mana hari ini. Dan kalau tidak silap, Asad ada meeting sejam dari sekarang.

“Teman abang pergi meeting.”

“Tak ada kerja!” ada ke diajak aku ke meeting. Macam aku suka sangat ikut pergi mesyuarat. Dalam banyak-banyak benda yang aku lalui, tidak kiralah, alam kerja atau alam belajar… perkara yang paling aku tidak suka, meeting! Tapi, cinta pertama aku bercambah mekar pun di dalam meeting juga. Meeting kelab kewangan. Ini presidennya, di depan mata. Spontan aku tersenyum bila kenangan lama menyapa minda.

“Senyum pulak dia… jom! Arahan kerja ni…” serius pula suara Asad. Wajahnya pun berubah serius. Aku hanya mengeluh. Tak suka!

“Meeting… malasnya…” aku cakap juga macam itu di depan Asad. Makin bertambah serius raut wajah ‘singa’ ini. Pasti tidak menyangka, aku yang dulunya hendak menjawab pun susah. Sekarang ini, sudah pandai complain pula.

“Banyak songeh nampak…” Asad sudah mula mengejek. Aku buat tak layan sambil mencapai beg sandang di dalam laci. Asad ini pun satu, cuba cakap awal-awal nak ajak aku pergi meeting. Bolehlah aku melaram lawa sikit!

Sampai sahaja di lobi, Asad menarik lengan aku.

“Kenapa?” pelik betullah Tuan singa ini. Macam ada yang tidak kena.

“Bukan nak pergi meeting pun…”

Aku terlopong. “Habis tu?”

Asad menarik nafas panjang. Haih! Bunyi dia tarik nafas pun sudah mengecutkan otot perut aku. Sebenarnya ada agenda apa ini? Apa yang sedang dia sembunyikan daripada aku?

“Nak ajak jumpa parents Elisa…” tenang sekali Asad berkata.

Aku terlopong lagi. Degupan jantung tiba-tiba sahaja bertambah speed! Apa yang akan jadi?!


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

14 ulasan untuk “Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 13, 14”
  1. Khairil Anam(JueLee-Na) says:

    bes laaa,,,, sweet ssgt…. gud job author…. keep it up!
    eish benci btul laa an elisa, gedik,xsdr dri btul..ada hati nk rmps suami org,… plg bnci btul laa an owg yg nk rmps suami org ni, rsa nk jer lontar lm laut,,hiee///// haha, author bjaya bwat sye brade d tmpt shamina…. sa nk je cekik2 jer time elisa tu mgedik an asad dpn shamina…. huih,nama je cntk… baik tukar nama je laa,mburukkkn name elisa jer//// congrates! cpt2 smbung…biar pnjg2 1 bab tu…..
    …ss…

  2. haes says:

    ishhh aq pun nyampah ngan minah gedik.mmg ppuan x sedar diri klu aq jd syam mmg lebam muke dia aq buat

  3. amir amira says:

    bnci elisa…penulis patut tegskn lgi wtak sham n jd brani ckit..
    bru elisa x brani…ni tak.. suke2 je nak amk laki org..n asad 2 kne tegas ckit ngan elisa gedik 2..

  4. farah says:

    salam..cerita ini best cuma lebih jelaskan lagi perasaan asad yang sebenarnya…

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.