Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 5, 6

24 August 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

5

AKU pulang awal hari ini. Tapi tidak terus ke rumah. Fikiranku terganggu. Kata-kata Asad merunsingkan fikiranku. Isteri nombor dua? Sememangnya bukan niat aku untuk menolak hukum agama, tapi aku tidak punya kekuatan untuk berkongsi kesayangan aku itu. Dengan sesiapa sekalipun!

Pandangan kuhalakan pada aksi kanak-kanak di taman permainan. Gelak tawa dan jeritan mereka seolah menarik diriku sekali untuk turut serta mengikuti mereka. Lantas aku labuhkan punggung di salah satu bangku kosong di situ. Sempat aku mengerling ke arah jam di tangan. Sudah pukul enam petang.

Selalunya, waktu begini aku akan memulakan masakan di rumah. Memasak untuk Asad. Tetapi, memandangkan aku sedang merajuk tanpa suara dengannya, jadi aku tidak mahu masak. Dan Tuan singa itu pula, entah ke mana. Awal sungguh di keluar dari pejabat hari ini. Tinggal lagi dua hari sebelum Asad berangkat ke HQ. Keadaan kami pula begini. Sungguh aku tidak sedap hati dengan keadaan ini.

Leka memerhatikan kanak-kanak di taman permainan itu, aku tidak sedar jam sudah mengorak ke angka tujuh. Laju saja aku mengangkat punggung untuk berlalu dari situ.

Sampai saja depan pintu rumah, aku memasukkan kunci dan tangan sudah mula memulas tombol pintu utama. Usai mengunci semula pintu dari dalam aku berpaling. Dan tiba-tiba…

“Argh!!!” aku menjerit sekuat hati. Aku betul-betul terkejut. Jembalang berbaju hitam?

Bila suis lampu dipetik dan cahaya memenuhi ruang itu, baru aku tahu siapa jembalang itu. Siapa lagi kalau bukan singa tu! Kening aku bertaut melihat pemakaiannya. Seolah sudah bersiap-siap hendak keluar.

Aku mengamati dirinya dari atas ke bawah. Dia yang begitu segak berpakaian serba hitam itu kelihatan sangat kacak pada pandangan aku. Ditambah dengan gaya rambut terbaru yang digayakan pada saat ini memberikan imej yang lebih muda buat dirinya. Dengan haruman yang begitu membuai deria bau setiap yang merasainya. Aduh! Aku jadi cemburu pula. Sebenarnya dia hendak keluar dengan siapa? Tapi tengah merajuk, macam mana hendak bertanya.

Disebabkan ego, aku sudah mula mengorak langkah untuk ke bilik. Tapi Tuan singa laju lagi menarik lengan aku. Dia tersenyum sambil memandang wajahku. Aku sudah cair di situ! Menyesal pula aku merajuk waktu-waktu begini. Suami aku nampak kacak sangat. Aku pula yang geram sendiri.

“Abang nak keluar.” Aku diam. Cuba beriak selamba walaupun dalam hati sudah bermacam-macam tanda soal.

“Abang nak pergi dating ni.” Dengan ayat yang kedua ini, selamba aku tidak begitu menjadi. Aku rasa tersentap. Dia hendak pergi berdating dan dia sedang memaklumkan pada diriku. Jujurnya! Nampaknya… perihal isteri nombor dua itu bukanlah gurauan semata-mata seperti yang aku harapkan.

“Pergilah siap.” Arahnya tiba-tiba.

Aku menjadi pelik. Lalu aku jungkitkan kening saja untuk bertanya. Berat mulut aku untuk mengeluarkan suara. Seakan ada jongkong emas saja dalam mulut aku pada ketika ini.

“Abang nak ajak isteri abang yang tersayang ni pergi dating… kenapa? Tak sudi ke?” nadanya seakan berjauh hati. Aku pula yang melopong. Ada ke aku cakap tak sudi. Hisy!

“Ada pulak. Abang tak cakap pun nak ajak keluar…” dan aku seakan terlupa tentang agenda merajukku. Lengannya sudah kupaut dengan erat.

“Saja… nak buat surprise dengan orang yang tengah merajuk ni. Merajuk lagi? Nak abang pujuk?” soalnya sambil tersenyum nakal. Cis! Takkanlah orang yang merajuk itu akan bercakap… pujuklah saya… pujuklah saya… Faham-faham sendirilah.

“Pergi siap. Lepas maghrib kita keluar.” Dan aku sudah tidak membantah. Merajuk pun gaya hangat-hangat tahi ayam saja aku ini. Baik tak payah merajuk. Buang masa dan tenaga saja aku merajuk untuk tempoh lima hari sudah.

MATAKU tidak berhenti-henti meliarkan pandangan di sekeliling. Cantik sungguh. Suasana terasa begitu romantik sekali bila ditempatkan dalam keadaan cukup privasi ini. Bila aku hentikan pandangan di wajahnya, dia tersenyum mesra.

“Suka?” aku senyum saja tanpa jawapan.

Tangan Asad sudah panjang mencapai tangan aku. Setiap elusan itu hanya mencambahkan rasa sayang dalam hatiku. Sayang sungguh dengan Tuan singa ini.

“Happy birthday sayang.” Ucapnya sambil mengucup jemariku. Birthday? Aku jadi amnesia pula di saat ini. Hari lahir aku ke?

“Lupa?” soalnya. Aku masih tidak bereaksi. Blur sekejap.

“Hei… wifey. Kenapa blur sangat ni?” dia menepuk perlahan tapak tangan aku. Aku cuba ingat semula, tarikh hari ini? 21 Jun… errr… betullah. Hari lahir aku. Aku tersengih saja memandang wajah Asad.

“Lupa.” Balasku lagi sambil tersengih.

“Baguslah lupa… abang boleh buat surprise.” Ucapnya ceria. Dan ketika itu sudah ada pelayan yang muncul sambil menyusun segala hidangan di atas meja. Sebaik saja pelayan keluar, Asad sudah beralih posisi. Dia melabuhkan punggungnya di sebelahku.

“Sebab sayang tak suka kek… so, I replace it with ice-cream.” Dia sudah menyudukan aiskrim padaku. “Happy birthday sayang… I love you, always.” Ucapnya lagi sambil mengucup pipiku. Aduh! Sedih pula. Dua hari lagi dia akan berangkat pergi. Bila dia melayan aku macam ini, lagi berat rasa hati ini untuk melepaskan dia jauh-jauh.

“Come.” Tiba-tiba saja Asad menghulurkan tangannya padaku. Aku blur sekali lagi. “Dance with me.” Terkelu lidah aku mendengar ajakannya. Menari? Asad ni… kalau iya pun nak buat lawak dengan aku, janganlah sampai ke tahap ini.

“Jom sayang…” bila aku kaku tanpa reaksi, dia terus menarik tanganku.

“Err… Sham tak pernah menari.”

“Abang pun.” Erk! Mataku bertemu matanya. Dia mengenyitkan mata dan tersenyum nakal saja. “Slow dance… tak apa, Sham boleh punya.” Asad sudah menarik lenganku dan diletakkan elok di bahunya. Tangannya pula sudah melingkar di pinggang aku.

Slow dance ikut rentak apa, aku tidak begitu pasti. Main hayun saja langkah ikut Asad. Sesekali tangannya nakal saja mencuit hidungku. Dia membiaskan kasih sayang padaku dalam setiap tingkahnya. Aku benar-benar terharu namun ada perkara yang masih mengganggu hatiku di saat ini.

“Abang…”

“Hhmmm…”

“Pasal second wife… abang melawak saja kan?” aku tanya juga soalan itu walaupun aku tahu yang ia tidak berapa sesuai di saat ini. Mood romantik yang aku rasakan sejak tadi bakal mati sekejap lagi.

“Pernah abang melawak dengan Sham tentang hal yang serius macam tu?” mulutnya menjawab juga. Badan kami masih bergerak mengikut alunan muzik yang lembut itu. Walaupun aku sudah tiada mood untuk meneruskan slow dance ini. Kan aku sudah cakap, soalan aku hanya akan merosakkan mood aku sendiri.

“Jadi betullah nak kahwin?” aku tanya lagi soalan-soalan yang membuatkan aku tercekik ini.

“Takkanlah…” aku sudah hendak menarik nafas lega. “Abang nak tolak tuah…” terus aku rasa hendak semput dengar sambungan ayat dia.

Tarian sudah terhenti sendiri. Aku sudah tidak mampu berdiri. Otakku benar-benar beku. Kalau aku jadi amnesia dari detik ini pun aku tidak kisah. Asalkan aku tidak ingat akan sebaris ayat yang diucapkan oleh Asad sekejap tadi.

Tiba-tiba saja Asad melepaskan tawanya. Dia ketawa sebab dia rasa bahagia ke? Aku tertanya-tanya.

“Kenapalah abang dapat seorang isteri yang sangat comel dan lurus ni?” soalan yang betul-betul memerli aku. Tapi aku tahan saja. Menanti bait kata-kata yang seterusnya.

“I love you… only you… no two, or three and never be four!” Asad sudah menarik daguku memaksa mataku terletak di wajahnya. “I love you Shamina… only you.” Ulangnya sambil merenung tepat ke dalam anak mataku.

“Dan kenapa abang asyik sebut pasal isteri kedua?” ayat yang mengusarkan hatiku seakan tidak mahu pergi. Yang itu juga aku tanya sekali lagi.

“Sebab memang betul ada orang tengah gilakan suami sayang…” jawabnya jujur. Aku mengeluh. Tak faham dengan kehendak manusia yang teringinkan suami orang pula.

“Siapa?”

“I’ll story to you later… now, you say…” katanya terhenti sekejap. Dia menarik aku rapat dengannya. Lebih rapat dari tadi. “Say that you love me… only me.”

“Mestilah Sham sayangkan abang seorang.” Apalah suami aku ini! Takkan dia tidak tahu…

“Good girl! Abang sayang Sham sangat-sangat tau… jangan terfikir nak share abang dengan orang lain.” Aku sudah menjeling kecil. Mestilah aku tak nak share! Gila ke Asad, fikir aku sanggup hendak berkongsi dia dengan orang lain.

“Dan untuk gembirakan hati isteri yang nak kena tinggal untuk sebulan ni… dan juga sebagai hadiah hari lahir…” dia menarik panjang. Aku semakin tertanya-tanya.

Dia tersenyum nakal. Keningnya dijungkitkan. Haish! Nak main-main pula dia.

“Apa bang?” soalku geram. Lama sangat dia buat aku ternanti.

“Let’s say… tarikh ke HQ ditunda.” Mataku bersinar. Iya ke?

“Dan abang ambil cuti seminggu.” Mataku bersinar-sinar lebih dari tadi. Dia perasan saja reaksi aku yang sudah terlalu teruja ini. Sempat lagi dihadiahkan kucupan kasih di dahiku.

“And I’m going to take you…” bibirnya didekatkan dengan telingaku. Dibisikkan sesuatu yang membuatkan aku hendak tersenyum tanpa henti. Ini yang buat aku sayang sangat dengan Tuan singa ni.

“Dan lagi satu…” dia kembali menarik perhatian aku yang sedang terawang-awang walaupun dia ada di depan mata. “Tadi… abang jumpa doktor Amri.” Aku terus mematikan senyuman.

“Dia cakap apa?” dengan penuh berhati-hati aku menyoal. Lain benar riak wajah Asad ketika menyebut nama doktor Amri.

Apakah yang diberitakan oleh doktor itu pada suamiku? Asad sudah menarik nafas panjang. Aduh! Aku sudah berdebar sangat rasanya menanti ayat yang akan diucapkan oleh Asad. Aku cuba untuk kuatkan emosi. Apa pun yang bakal diucapkan oleh suamiku sebentar lagi, harap tidak akan menggugat rasa kasih antara kami. Doaku. Mudah-mudahan…

____________

6

“WELCOME to Colmar Tropicle.” Aku tergelak terus dengan gaya Asad seolah salah seorang kakitangan di Berjaya Resort ini.

“Abang ni… buat Sham segan sajalah.”

“Kenapa?” keningnya sudah bertaut. Perlahan tangannya sudah mengunci pintu.

“Macam baru kahwin pulak.”

Aku nampak dia sudah menarik senyuman gatal. Aduh! Gatal-gatal pun, masih kacak. Pantas aku mengalihkan pandang ke jendela.

“Kalau tak buat macam ni, lama-lama Sham tak sayang abang pulak.”

“Ada pulak cakap macam ni.” Aku sudah menampar perlahan tangannya yang sudah memelukku dari belakang. Suka sangat cakap merapu!

“Iyalah… orang tu dah ada orang baru untuk nak disayang.” Aku tersenyum kecil.

“Kenapa? Abang tak sayang orang tu ke?” Dia ketawa terus. Untuk apa aku tidak mengerti, tetapi ikut sajalah melayan tawanya yang masih tidak henti.

“I’m really happy sayang!” Ucapnya tiba-tiba setelah menghentikan tawa. Tubuhku sudah ditarik untuk menghadap wajahnya. Aku nampak Asad tersenyum tanpa putus. Iya, sejak dari menerima khabar ini, kami berdua tidak putus-putus tersenyum dan bersyukur pada DIA.

“Really happy…” sambungnya lagi.

“Alhamdulillah… Allah nak bagi, bila pun dia boleh bagi. Rezeki tu kan dia yang tetapkan.”

“Tapi tak sangka secepat ni,” balasnya sambil merenung tepat ke dalam anak mataku.

Aku sebak tiba-tiba. Aduh! Kenapalah emosi aku cepat sangat berubah-ubah sekarang ini? Dalam mood happy pun aku boleh mengalirkan air mata tanpa henti.

“Janganlah nak potong mood… tiba-tiba nak menangis kenapa ni? Macam budak-budaklah sayang ni.” Usiknya sambil mencuit pipiku. Air mata yang sudah jatuh sedikit di pipiku, disapu lembut. Aku tersenyum untuk menunjukkan yang aku tidak sedih. Ini adalah air mata bahagia. Aku bahagia kerana dipertemukan dengan Tuan singa ini. Aku bahagia dapat mendapat kasih sayangnya yang tidak bertepi itu buat diriku. Dan sekarang… inilah detik yang paling membahagiakan buat diri kami berdua pada saat ini. Ya, anak dalam kandunganku.

Teringat pula pada makan malam surprise yang Asad aturkan buatku. Di saat dia hendak membuka mulut untuk memaklumkan berita yang disampaikan doktor Amri, tiba-tiba aku pengsan. Ku fikir, pengsan sebab terkejut. Sebab hati aku sudah terlalu berdebar menanti butiran dari bibir Asad pada ketika itu. Risau. Resah. Gelisah. Sampai aku pengsan dibuatnya.

“Congratulations!!!” masih terngiang lagi dalam telinga ini. Ayat yang diucapkan oleh doktor muda dalam klinik Sentosa. Yang paling lucunya, wajah Asad terus berubah mendengar ayat itu.

“My wife baru lepas pengsan, doktor cakap congratulations pula!” nadanya seperti hendak marah. Mungkin marah fikirkan doktor itu main-main dengan kesihatan diriku.

“Your wife pengsan sebab you la encik!” aku nampak muka Asad tergamam. Bibirnya bergetar. Aku tidak tahu, apakah dia sudah dapat menangkap maksud doktor pada ketika itu. Kerana reaksi wajahnya masih tertanya-tanya.

“Your wife is pregnant Encik Asad. Seven weeks.” Dan saat itu, sebak aku melihat wajah suamiku. Dia sudah mengalirkan air mata sambil meraup wajahnya dengan kalimah Alhamdulillah membasahi lidahnya.

Kehadiran benih adalah hadiah yang paling besar buat kami berdua. Syukur pada DIA.

“Sayang…” panggilan Asad menarikku kembali ke dalam Berjaya Resort ini. Dia tersenyum lagi. Dan aku membalasnya tanpa rasa jemu.

“Actually, abang plan nak bawa Sham ke Pulau Perhentian…” tuturnya.

“Pulau Perhentian?”

“Yup. Simbolik kan.” Sambungnya.

Dahi aku sudah berkerut. Simbolik? Simbolik kepada apa?

“Our first meet. Budak perempuan selekeh yang duduk dekat perhentian bas tu.” Sambung Asad. Kali ini dia sudah tersenyum nakal.

Aku pula yang menggigit bibir. Cis! Ingat saja Asad ini dengan babak perhentian bas itu. Dalam keadaan aku selekeh pula tu. Malunya!!!

“Tapi memandangkan… ada baby dalam ni, kita datang yang dekat-dekat sini sajalah. Sham tak kisah kan?”

“Tak kisahlah. Abang nak ajak bercuti dalam negeri pun Sham tak kisah. Asalkan abang ada dengan Sham… I’ll be happy, always.” Ikhlas ucapan yang lahir dari hatiku. Sungguh kehadirannya memberikan makna yang mendalam buatku.

AKU tidak memerlukan percutian yang hebat. Cukuplah sekadar adanya Tuan singa milikku di sisi. Itulah jawabku apabila Asad mengulang-ulang soal sama ada aku tidak kisah bercuti di negeri Pahang ini.

“Okey apa… sini pun scenery macam luar negara. Cantik dan unik.” Ucapku lagi. Asad yang melangkah bersama di sisiku tersenyum saja. Mungkin lepas ini dia akan berhenti menyoal tentang persoalan itu lagi.

“Abang mungkin tak pergi ke HQ,” ucap Asad tiba-tiba. Aku terkejut. Benarkah? Tidak tahu reaksi apa yang hendak aku tunjukkan pada ketika ini. Aku sudah tersenyum-senyum tanpa kawalan.

“Mungkin saja sayang… abang belum cakap lagi dengan big boss.”
Mungkin dari bibir Asad, maknanya confirm. Dia kalau dah cakap satu benda, akan dibuat bersungguh-sungguh.

“Abang tak kisah ke? Itu kan karier abang…” aku tanya buat menyedapkan hatinya. Aku tahu, Asad yang begitu sayangkan kerja pasti terasa berat untuk melakukan itu. Tapi dia hendak buat juga… sudah! Aku terharu lagi. Tolonglah jangan menangis sekarang.

“Kan abang cakap… abang sayangkan kerja abang. Tapi… abang sayangkan isteri abang lebih daripada tu.”

“Thanks…” aku benar-benar terharu.

“Aduh!!!” ucap Asad kuat. Aku terpinga. Kenapa?

“Kenapa selalu sangat suka menangis sekarang ni?” tangannya sudah mengelap sesuatu di pipiku.

Err… aku baru perasan. Air mata sudah membasahi pipi. Tidak mengapa. Air mata bahagia. Aku tidak kisah.

“YA mama. Asad tahu. Okey… Asad jaga dia elok-elok. Mama jangan risaulah.” Aku diam saja mendengar butir bicara dari bibir Asad. Sejak memaklumkan perihal anak dalam kandungan ini, mama tidak jemu-jemu menghubungi Asad. Bergelen-gelen nasihat yang dimuntahkan buat pendengaran suamiku. Untuk aku pun tidak kurang juga. Ada senarai panjang, do and don’t!

“Okey mama… assalamualaikum.”

Telefon Asad sudah diletakkan pada meja di sisi katil. Dia terus mendapatkan aku di sisinya.

“Abang rasa… mama patut record dan tekan play button je setiap kali dia call kita.” Aku sudah tergelak. Asad ni… kalaulah mama tahu.

“Ayat yang sama, without any changes of the sentence structure and arrangement. Entah-entah mama pun tulis skrip apa… kan sayang?” Aduh! Aku sudah menepuk lengannya. Tolonglah jangan duk buat lawak spesies macam ini. Tak mampu aku hendak gelak lama-lama.

“Pandai ya abang ni… dengan mama, okey-okey. Kenapa tak cakap macam ni tadi?”

“Kalau cakap macam tu… lagi bergegar telinga abang dengan ayat-ayat yang lagi dahsyat. Tak apa… this is okey. Boleh diterima lagi.” Akhirnya dia pun tertawa.

“Mama pesan apa?” aku tanya juga walaupun aku seakan sudah tahu apa pesanannya.

Asad tersenyum. “Jangan bagi buat kerja berat-berat. Jangan bagi Sham naik bas pergi dan balik kerja. Bagi makanan yang berkhasiat. Sayur dan buah kena rajin makan. Susu minum selalu…”

“Ala… Sham tak suka susu!” aku mengeluh kecil. “Soya tak boleh?” aku tanya macam hendak minta harga diskaun pula.

“Soya is not good la sayang… baby boleh ada alergik nanti. Belajarlah minum susu. Sedap apa…” pujukan lembut itu seolah tidak berkesan saja untuk diriku.

Susu dan Shamina… ugh! Dua benda yang tidak boleh disekalikan.

“Mama siap suruh buat jus buah lagi untuk Sham… hari-hari bagi minum jus buah-buahan untuk menantu mama tu. Ingat Asad. Jaga dia elok-elok. Mama dengar dia tak sihat nanti, siap Asad!” terus saja aku ketawa. Terbang sudah keresahan memikirkan susu. Suara Asad yang mengajuk ayat mamanya itu membuatkan aku geli hati. Ya Allah, sabar sajalah. Muka saja nampak garang, tapi sebenarnya orang lain boleh kalah kalau Asad dikuasai dengan sense of humor.

[BERSAMBUNG]


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

16 ulasan untuk “Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 5, 6”
  1. Rosdin says:

    Best giler,harap2 bahagia mereka berkekalan sampai citer ni habis.X sabaq nak tunggu episod seterusnya.

  2. ayu says:

    best sgt…
    penulis ada blog x????

  3. ryu says:

    best giler…sambung3…sya suka…..

  4. pinkRainbow says:

    gila best novel bersiri ni.. can’t wait for the nest series.. chaiyok writer! :)

  5. ifa says:

    best

  6. apapeje says:

    SO SWEET! BEST SANGAT2, TP MCM SMTING NK JD JE? HARAP HAPPY ENDING!

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.