Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 9, 10

13 October 2011  
Kategori: Novel

Penulisan2u

Oleh : Umi Kalsom

9

MULUTKU sudah menyanyi-nyanyi kecil sambil mengacau minuman dalam teko. Senyuman di bibir tidak lekang sejak dari semalam. Kenyang sudah perut dan hatiku dapat menyantap char kuey teow yang begitu enak sekali. Entah di mana Asad beli, aku tidak sempat hendak bertanya. Bila bungkusan sudah ada di depan mata, aku jadi lupa tentang segalanya.

Pagi ini, aku rajin sedikit. Aku sediakan roti jala dengan kari ayam untuk sarapan. Teringin pula aku hendak makan hidangan itu. Tambah pula, hari ini cuti kan. Makin rajinlah tangan aku memproses peti sejuk mencari bahan untuk menyediakan hidangan yang aku inginkan.

Asad yang baru bangun ketika itu sudah terpisat-pisat matanya memandang aku. Kesian dia. Sudahlah tidur lambat semalam. Lalu diqadha tidur sesudah subuh tadi. Aku pula sudah tidak mampu hendak menyambung tidur, jadi melepak sahaja di dalam dapur ini. Buat apa-apa yang patut.

“Masak ke?” soal Asad sambil melangkah menghampiriku. Wajahnya begitu mamai sekali. Kesiannya!

“Sham buat roti jala… abang pergilah mandi dulu, nanti kita makan sekali.”

“Roti jala?!” terbuka biji matanya yang hampir terkatup tadi. Matanya sudah bercahaya. Maklumlah, makanan kegemaran dia. Mujur aku teringin hendak makan kegemaran Asad. Dapat juga aku beli jiwa dia sebab dia belikan aku char kuey teow tengah malam semalam. Apa orang cakap… sambil menyelam, sambil minum air. Kiranya hati aku senang, perut dia pun kenyang. Aku tersenyum sendiri.

“Sayang banyak-banyaklah macam ni!” ucapnya sambil menghampirkan wajahnya denganku.

“Sayang banyak tu… Sham tahu! Tapi abang please… toilet ada dekat situ.”

Dia mencebik. Jelas sekali cebikan itu ditujukan untuk ayatku yang seolah memerli dirinya. Belum mandi lagi kan.

“Eleh… macam dia wangi sangat…” katanya yang sudah mula berlalu dari dapur. “Abang bau ayam dekat Sham!” laungnya kuat.

“Abang!!!” sempat pula dia kenakan aku.

“MAMA ajak ke rumah…” ujar Asad usai sahaja selesai menghabiskan beberapa keping roti jala di dalam pinggannya.

Aku diam seketika. Sudah lama rasanya kami tidak ke rumah mama. Maklumlah, sebelum ini seakan ada krisis sahaja. Dua tahun berkahwin dan masih tidak punya anak, membuatkan orang tua itu asyik merungut sahaja. Aku faham waktu itu, tapi hendak buat bagaimana. Kadangkala, perasaan ini sukar dikawal juga. Ada sahaja perkara yang membuatkan hati ini terasa dengan kata-kata ibu mertuaku.

Tapi sekarang, kasihnya seakan mencurah-curah semula. Mestilah… waris anaknya sedang membesar di dalam rahimku. ALLAH Maha Kuasa! Mujur aku masih diberi peluang untuk merasakan proses ini.

“Nak pergi bila?” terus aku tanya setelah menyepi. Mata Asad pun melekat lama di wajahku seakan menantikan kata putus.

“Sham masih terasa dengan mama ke?” tebaknya. Aku tersentak.

“Kenapa abang tanya macam tu?”

“Iyalah… dulu masa Sham belum mengandung, mama layan acuh tak acuh aje. Sekarang ni… dah makin sayang. Dah makin ambil berat. Kalau sehari tak telefon tanya khabar, mama takkan senang duduk dekat rumah…”

Aku mengeluh kecil. Kalau dulu terasa, betullah. Memang aku sering makan hati dengan kata-kata mama. Tapi sekarang… buat apalah hendak disimpan dalam hati. Perkara yang berlalu, biarkan berlalu. Macam pepatah orang putih, let bygones, be bygones. Kalau orang itu sendiri sudah berbesar hati hendak menerima diri kita, buat apa hendak diungkit dengan layanan kurang memuaskan yang pernah kita terima.

Aku yakin, mama buat macam itu… bukannya dia bencikan aku. Cuma dia terkilan, anak sulungnya ini masih belum ada waris. Bukankah tujuan perkahwinan untuk memanjangkan zuriat. Tapi, itulah… rezeki di tangan ALLAH. Kita sebagai manusia hanya boleh berusaha. Segala ketetapan hanya daripada DIA. Cepat atau lambat, itu semua kerja DIA.

“Sham…” suara Asad memanggil.

“Sham dah tak simpan dalam hati semua tu. Sekarang mama dah happy nak dapat cucu, buat apa Sham nak ungkit-ungkit hal dulu… kan?” ucap aku ikhlas.

“Betul?”

“Iya abang… betul!” tekanku. Risau sungguh Asad! Mestilah dia risau… disebelah kanan ibu dan sebelah kiri isteri. Dua-dua pun penting. Masakan dia dapat bertenang kalau ada persengketaan antara kami.

“Lega abang dengar Sham cakap macam ni…” dia menghela nafas perlahan. Tanganku sudah digenggam erat. Matanya sudah berkaca. Eh… kenapa pula dah?! Am I missing something? Suami aku tengah sebak habis, tapi aku tidak tahu kenapa?!

“Kenapa ni? Menangis kenapa? Sham ada buat salah ke? Abang… Sham minta maaf, Sham janji takkan sakitkan hati abang… Sham janji akan taat pada abang. Abang janganlah menangis, Sham pun rasa nak menangis!” air mata aku tidak sabar-sabar mahu jatuh sekali. Aku sudah menangis, lebih terus daripada Asad. Iyalah, yang mata berkaca dia… yang menangis over, kalah drama queen, aku!

“Lah… kenapa menangis pulak?” soal Asad hairan. Aku pun naik hairan bila wajahnya sudah beriak biasa. Tidak basah pula pipinya. Dengan esakan kecil dari bibir aku pandang tepat ke wajahnya.

“Habis… mata abang berkaca tadi kenapa? Bukan marahkan Sham ke?”

Dia menggeleng laju. “Mana ada… ni ha, macam mana boleh tersesat cabai hidup dalam kari ayam Sham ni!” aku sudah terlopong. Entah-entah terjatuh masa aku kalut tarik serbuk cabai dalam bekas bergantung itu. Mungkin.

Asad sudah ketawa. “Menangis ingat abang marahlah ya?”

“Iyalah… tiba-tiba mata berkaca, ingatkan abang marahlah,” ucapku sambil mengesat air mataku laju. Ish, aku ini memang suka sangat buat drama air mata. Lagi-lagi dengan Asad, air mata itu lagi senang mencurah-curah bagai ke ladang gandum dalam iklan cocokrunch itu.

“Abang tak marah…” tidak sempat aku hendak mengelak, tangan Asad sudah mencubit pipiku laju.

“RINDUNYA…” kaki aku baru melangkah setapak ke dalam rumah mama Asad. Dalam sekelip mata tubuhku sudah dirangkul erat. Aku pun balaskan sahaja. Takkan hendak buat-buat rimas pula. Sudah dapat mertua yang nak sayangkan aku, lagi mahu apa!

“Sham sihat? Baby sihat? Meragam tak?” soalnya dengan riak risau. Tidak mampu hendak menahan rasa lucu. Aku lepaskan ketawa sebebasnya. Jelas wajah mama terpinga-pinga. Mungkin sudah terdetik dalam hati, menantu aku ini waras ke tidak!

“Baby sihat baru nak masuk tiga bulan… tak meragam pun!” aku menjawab dengan yakin.

“Iyalah tu mama… pukul satu pagi minta char kuey teow, cucu mama ni!” sampuk Asad yang sudah berdiri di belakangku. Aku tersengih kelat bila mama tayang wajah terkejut. Entah-entah dia tengah fikir, aku dera anak lelaki dia ini tak?! Tengah-tengah malam suruh pergi cari makan sebab aku teringin.

Tapi lain pula jawabnya.

“Biasalah… ibu mengandung…” mama sudah menarik tanganku untuk duduk di sofa. “Mama dulu… masa mengandungkan Asad ni, lagi teruk Sham. Mengandung baru sebulan… asyik muntah, sampai lagi seminit nak bersalin pun mama muntah lagi. Mengandungkan budak ni lah…” mama sudah mencubit pipi Asad yang melabuhkan punggung di sisinya. Aku sudah tergelak. Hehehe… sejarah Tuan singa sudah mula bersiaran langsung di telinga.

“Mama selalu teringin apa masa mengandungkan abang?” teruja pula aku hendak ambil tahu tentang perkara itu.

“Dengan budak ni… selalu suka makan pedas-pedas. Kalau sehari tak makan pedas, memang tak sah!” uish!!! Aku sudah membulatkan mata. Berani sungguh ibu mertua aku ini. Makan pedas-pedas. Yang aku tahu, tak elok makan pedas sebabnya, aku pun bukan peminat kelab makanan pedas.

“Patutlah anak mama ni selalu berasap telinganya. Tapi di pejabat sajalah…” gumamku sendiri. Tapi tak sangka pula, jelas pula di telinga ‘singa’ itu.

“Asad ni… masa kecil lagi dah nampak aura garang macam singa dia tu. Elok sangatlah nama dia pun Asad.” Sambung mama lagi. Dia sudah ketawa seketika.

“Sham jangan tak tahu… masa mengandung Asad, mama selalu tengok gambar singa. Apa-apa rancangan yang ada singa, tak kisahlah… filem ke, dokumentari ke… semua mama tengok. Teruja pulak tu.” Aku pula yang naik teruja bila mama sebutkan fakta itu. Tapi belum sempat aku bertanya banyak, mama sudah ke dapur hendak ambil air katanya.

Aku sudah menjeling ke arah Asad di sebelah. Bibirku tersenyum sedikit.

“Patutlah abang sebijik macam singa… rupanya…” aku leretkan sahaja ayat itu. Tidak sambung pun dia tahu agaknya. “Nanti… Sham tak nak la, tengok-tengok gambar singa semua… nanti anak kita pula jadi suka mengamuk. Jadi singa junior Tuan Asad.” Aku sudah ketawa. Tapi bila panahan tajam dari mata Asad menikam wajahku, lidahku menjadi kelu. Over sangat ke aku ketawa tadi?! Errr…

“Memanglah ‘singa’ ni garang… tapi, tak cukup romantik ke dengan sayang…” aku terdiam. Memang tidak boleh hendak membalas kata. Sebab apa yang diucapkan Asad itu adalah fakta. Sahih dan benar belaka.

“Biar garang kena dengan waktu. Asal dengan orang-orang yang sepatutnya kasih sayang abang melimpah ruah… tak cukup macam tu?” soalnya padaku. Aku diam lagi.

“Ke Sham nak abang lebarkan sayap kasih sayang ni dengan orang lain? Bukan tak ada yang sudi. Sham pun tahu kan…”

ZAPPP!!! Tersentap jantungku. Argh! Rasa macam nak stapler sahaja mulut aku ini. Suka sangat membuka topik yang membuatkan jantungku berdegup kencang begini. Orang lain itu siapa lagi, kalau bukan Elisa yang tergila-gilakan suamiku ini.

“Tak nak la!!!” ucapku laju. Tidak sanggup untuk menerima hakikat itu.

“Kalau tak nak… cuba jangan cakap macam tu lagi. Sham buat abang terasa macam tak reti jaga hati isteri!” ucapnya seakan berjauh hati.

Aku terdiam lagi. Iya ke? Aduh… kadang-kadang, lidah ini sukar dikawal bicaranya. Sehingga membuatkan orang itu terasa terguris hati. Itulah Sham… bercakap itu, berfikir dahulu. Tengok… kan Asad dah terasa hati. Akhirnya aku mengeluh sendiri.

_____________

10

RUNSING! Itulah yang buat aku pening kepala sekarang ini. Tidak ada masalah, tapi aku cari masalah. Elok Asad tengah berjiwa romantika dengan aku. Tup! Tup! Tak nak cakap terus. Aduh!!! Pening pula kepala aku fikirkan cara untuk memujuk ‘singa’ manja ini.

Masuk hari ini, bukan sehari dua. Tapi hampir seminggu dah. Apa yang aku hendak buat? Semuanya seakan tak jalan. Kalau gaya main bowling itu, pasti semua bola masuk longkang. Satu pun tidak dapat menjatuhkan pin. Betul-betul merajuk ini Tuan singa.

Pintu bilik yang terkuak, membuatkan aku tersentak. Terintai-intai mata aku dekat pintu. Kononnya hendak tengok, siapa itu. Walhal, dalam rumah ini ada dua manusia sahaja pun! Macam bodoh pula aksi aku ini.

Asad tanpa kata sudah melabuhkan punggung di birai katil. Aku yang dekat sebelah ini, dia pandang sebelah mata pun tidak. Hurm… sepatutnya aku mengandung, aku yang merajuk. Ini kenapa dia pula yang terlebih emosi?! Musykil betul…

“Abang…” panggilku. Aku sudah tidak tahan dengan keadaan begini. Duduk rumah berdua, tapi yang bernyawanya seperti aku seorang sahaja. Iyalah, kalau yang bercakapnya aku seorang, mana hendak rasa duanya!

Dia statik. Aku sudah mengetap bibir. Kejam sungguh singa ini! Ini dia sudah nekad hendak menunjukkan taring ‘singa’nya dengan aku! Aku rasalah… itulah agenda yang tersembunyi. Tuan singa seorang ini begitu bersemangat agaknya hendak mendera jiwa ragaku. Semuanya gara-gara mulut aku yang kurang insurans ini juga. Siapa suruh aku pandai-pandai bercakap pasal rancangan singa itu? Kan tak pasal, suami aku sudah merajuk begini.

“Abang…” aku panggil lagi. Kali ini aku sudah merapatkan diri dengannya. Kalau dia beremosi buat-buat bergerak ke kiri, aku akan tidur terus. Tapi dia statik juga. Jadi aku assume, dia seronok juga dapat duduk sebelah aku.

“Abang… I’m sorry.”

Tanpa kata, Asad membaringkan tubuhnya. Aku pula terkaku, tidak tercapai dek akal. Marahnya dia!!! Sampai langsung tak nak cakap sepatah pun dengan aku.

Aku masih begitu. Duduk memandang tepat ke wajahnya yang membelakangiku. Sedih pula rasa hati ini. Kami masih berada di bawah bumbung yang sama, tapi macam tinggal asing-asing juga.

Tanpa dapat dikawal. Air mata aku sudah mula menitis. Biasalah, aku kan drama queen! Scene biasa pun aku boleh menangis, apatah lagi kalau scene sebegini. Lebih daripada perlu untuk aku menangis!

“AKU tengok… kau dengan abang singa, macam ada konflik aje. Iya ke?” hampir sahaja aku tersembur air sirap yang sedang dihirup pada saat ini. Sampai semua orang boleh nampak? Ketara sangatkah konflik aku dengan Asad?

“Tak ada apalah… biasalah, suami isteri… siapa yang tak pernah ada konflik.” Aku balas sekadar hendak menutup hati yang sudah mula banjir. Haih! Jangan aku silap buat babak tangkap leleh dekat sini pula.

“Tapi macam lain sangatlah… dulu, dia marah jugak kau dalam ofis. Tapi sekarang, nak jeling pun tak nak… apatah lagi nak marah.”

Hati aku sudah mula resah. Adila ini kan… cuba jangan buat aku rasa gelisah tidak kena gaya. Sudahlah aku risau, suami aku tidak melayan aku seperti biasa. Sekarang ini, sudah ada yang perasan pula. Lagi aku rasa tidak senang duduk.

“Tak ada apalah…” hanya itu yang mampu aku luahkan pada saat ini. Hatiku sudah mengeluh panjang. Entah apa yang aku kena buat untuk menormalkan semula hubungan kami. Sham… Sham… kenapalah suka sangat buat perangai orang gila. Tidak cukup dengan gila-gila zaman kolej dulu. Sekarang pun aku hendak jadi gila juga ke???

Mindaku sudah mula tertarik-tarik untuk mengingati kenangan pada satu masa itu… fikiranku sudah menerawang. Aku sudah dibawa mengimbau kenangan masa itu…

BEBERAPA tahun lalu…

Aku dah lambat! Aku dah lambat! Kelam kabut sangat aku bersiap pagi itu. Seperti biasa, baju kegemaran yang elok bersidai pada penyangkut aku rembat laju. Tudung yang sememangnya penuh dengan garisan simetri, latitud dan longitud aku sarung tanpa sebarang rasa malu. Aku memang macam ini. Orang kutuk selekeh bagai nak rak pun, belum tentu aku berubah.

Dengan muka tidak bertempek bedak walau seinci, aku keluar juga dari bilik dengan keadaan begini. Selipar jepun sahaja aku sarung di kaki dan laju sekali aku melangkah keluar dari hostel.

Bus stop yang agak lengang itu membuatkan aku resah. Waktu-waktu aku terlalu perlukan kehadiran bas… sebiji pun tidak akan muncul. Sakit hati! Aku terpacak lagak tiang bendera dekat situ dengan penuh kesabaran. Sabar sahaja la… takkan aku hendak berjalan kaki pula. Bukannya dekat. Mahu esok baru aku sampai kalau berjalan kaki.

Elok aku sedang meninjau-ninjau bas dari sebelah kanan, bunyi seretan tayar yang begitu kuat membuatkan aku tersentak. Huish! Excident ke? Mataku laju mencari punca bunyi. Sudah gaya hendak buat laporan berita pula. Hendak tulis berita apanya, aku tengok jiran bilik sebelah fikirkan slug berita pun macam nak pecah kepala! Ish… susah… susah… aku hanya layak bermain dengan akaun sahaja. Itulah minat aku. Itulah jiwa aku.

Sebut sahaja jiwa… dengan tiba-tiba aku rasa berdebar. Seakan terasa, ada sepasang mata yang melekap dengan kemas pada wajahku. Err… siapa pula yang boleh mengusha minah selekeh macam aku ini?

Rasa hati yang begitu mendesak, membuatkan aku perlahan-lahan mengalihkan mata. Ingin tahu… siapa dia?! Sekali… terkedu aku dibuatnya. Weh… kacak gila mamat seorang ini. Tapi, mukanya serius tanpa senyuman walau seinci. Walau apapun, aku rasa… aku sudah cair dengan renungan mata itu. Tajam dan beku. Mata itu juga seolah memberitahu aku… betapa selekehnya aku di saat ini. Tiba-tiba sahaja aku rasa malu.

Akhirnya… setelah berusia 22 tahun di atas muka bumi ini. Aku berjaya discover perkataan malu dalam diri aku.

“SHAMINA!!!” laung emak aku, gaya termakan speaker dua ketul! Kuatnya macam nak bagi satu rukun tetangga dengar. Sedangkan aku tengah elok bersimpuh depan mata dia sahaja.

“Ya mak…” malas-malas aku sambut panggilan emak.

“Ni ha… baju yang Sham tempah, dah siap. Cuba dulu… kalau rasa ada yang tak kena, mak bagi balik dekat Kak Ton balik suruh ubah.”

Baju?! Oh ya… baru aku teringat. Entah hantu mana yang merasuk masuk dalam kepala, sejak aku ‘terjatuh’ hati secara tidak sengaja dengan mamat yang aku tak tahu siapa… tiba-tiba sahaja, aku telefon mak. Bukan cakap yang aku sudah jatuh cinta. Tapi aku minta emak tempahkan baju kurung untuk aku. Err… macam pelik. Shamina dengan baju kurung tapi aku okeykan juga. Bila lagi aku hendak berubah jadi ayu?

“Yang Sham tiba-tiba minat dengan baju kurung ni, sebab apa? Dulu tu… bukan main susah. Kalau buka aje mulut… cakap nak beli kain ela, hilang terus dari pandangan mata,” bebel emak. Aku tersengih. Dulu lain… sekarang lain mak.

Dulu, orang pandang aku dengan pandangan yang macam mana pun aku tidak pernah kisah. Terus kekal jadi selekeh walau ke mana sahaja. Tapi sekarang… cukup satu pandangan tajam itu untuk menyedarkan kepala gila aku ini. Aduh! Malu pula kalau hendak dikenangkan babak itu. Sudahlah orang itu kacak… dan imej aku, argh! Tercemar!

“Tak ada apalah mak… anak mak jadi ayu sikit, senanglah mak nak promosi cari suami untuk Sham nanti.” Selamba aku cakap macam itu dan terus mencicit masuk ke dalam bilik.

“ZUL… Sham mana?” tersedak aku yang sedang duduk elok belakang Zulfahmi. Muka Sani aku pandang tidak berkelip. Buta ke pak cik seorang itu. Aku tengah duduk elok dekat belakang Zul, boleh pula dia cari melilau satu dewan kuliah.

“Aku pun tak nampak dia dari tadi!” ini lagi aku rasa hendak terbatuk besar. Kiranya Zul yang dari tadi duduk depan aku, langsung tidak perasan… aku ada di belakangnya?!

“Aku ada ni!” sahut aku menyedarkan kedua lelaki yang sedang duduk elok di depan ini. Keduanya kalih serentak. Tergamam wajah mereka. Erk!!! Kenapa pula dah?

“Sham!!!” ucap Zul.

“Wei!!!” Sani pula.

“Kenapa?” celah aku laju.

“Kau… jadi apa ni?” soal Sani. Berkerut-kerut dahinya. Aku ikut pelik sekali. Jadi apa? Kenapa?

“Kenapa?” aku soal lagi tanpa memberi jawapan. Jujurnya, aku sangat pelik dengan soalan itu.

“Aku tak pernah tau… kawan aku lawa macam ni!” sambung Zulfahmi dengan mata yang masih tidak berkelip. Aku tersengih kelat. Lawa ke? Aku rasa macam biasa sahaja. Okey… bukan biasa Sham! Tapi ini luar biasa.

Aku bangun awal hari ini. Dengan rajinnya aku seterika baju kurung bercorak bunga. Dipadankan dengan tudung bawal dengan rona yang sepadan dengan baju. Yang pasti, segalanya dari hujung kepala ke hujung kaki, bergosok hari ini. Dan yang pasti juga, aku berwarna-warni hari ini.

“Sham! Sham! Sham!” Sani panggil aku laju sebaik sahaja tamat kuliah. Aku membrekkan langkah walaupun gaya aku aku seperti ada perjumpaan terbesar selepas ini.

“Laju betullah kau ni. Nak pergi meeting kan? Jomlah gerak sekali.” Ucapnya dengan suara yang termengah-mengah. Penat kejar aku agaknya.

“Jomlah!”

“Mana pergi Sham serba hitam?” soalnya tanpa bertangguh. Aku menjeling. Nama tak glamour langsung. Ada ke patut dilabelkan aku dengan panggilan Sham serba hitam?!

“Saja… nak tukar angin. Asyik hitam aje… sampai tak ada siapa pun nampak aku!”

Sani sudah tersenyum-senyum. “Cewah!!! Untuk siapa ni? Diam-diam ubi berisi ya Sham… tak cakap pun dengan member. Siapa? Senior sini ke? Degree? Master? Siapa Sham?” bertubi-tubi soalan yang diajukan pada aku. Aku sudah pening!

“Siapa-siapa pulak? Tak ada siapalah.” Jujur jawapan yang aku bagi, tapi Sani tetap tidak mahu percaya dengan jawapan aku yang sangat jujur ini.

“Malas nak layan kau!” akhirnya aku mengalah. Andaikan apa sahaja. Aku tidak kisah. Asalkan aku bahagia… cukup dengan pandangan mata yang tajam itu.

Pintu bilik mesyuarat untuk kelab usahawan itu kutolak dari luar. Tidak sampai sesaat, jantungku sudah berdegup kencang. Aku jadi statue dekat tempat yang aku sedang berpijak di saat ini. Jodoh ke? Mata tajam itu kembali mencairkan hati aku. Arghhh… boleh jatuh cinta kalau begini gayanya.

[Bersambung]


RUANGAN IKLANEKA



Komen dan ulasan karya

6 ulasan untuk “Novel : Tuan ‘Singa’ Milikku 9, 10”
  1. nysa says:

    sambung lg ekkk

  2. rieda says:

    best2….

  3. Addeen says:

    seronok baca…
    kat blog xde sambungan ke..
    rindu dgn ngauman Tuan Asad ni.,
    hehe..nice kak umi..

  4. liza says:

    best hantap hehe nice one. cant wait, sambung le cepat2.

  5. stilla says:

    best sangat,,,cepat la smbong

  6. noorWieyl'91 says:

    sambung cpt………

Jom jadi pengulas

Apa pandangan anda terhadap karya ini. Ulasan dan komen yang membangun akan memperbaiki, membentuk penulisan dan seterusnya melahirkan penulis yang terbaik didalam dunia penulisan. Pengulas yang aktif memberi ulasan dan komen yang membangun akan memenangi hadiah sebuah Novel.

Daftar di gravatar untuk paparan gambar anda di sudut ulasan / komen

You must be logged in to post a comment.